Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 2 Februari 2016

Tak Sangka Jatuh Cinta - Bab 5

“YALAH mama! Nanti Karz sampailah! Karz berhenti sekejap sebab kaki Karz kebas ni. Mama dengan papa sembanglah dulu dengan pak su dan mak su. Sekejap lagi Karz sampai!” Karzrin memberikan alasan.
Talian telefon segera dimatikan. Dah 10 kali mama telefon tanya kenapa dia tak sampai lagi di rumah pak su. Memanglah tadi dia ikut kereta papa tapi, bila dah dekat simpang masuk rumah pak su, dia mula gelisah. Macam-macam telahan yang menerpa dalam mindanya tentang Hannah.
Entah-entah badan dia macam badak air sekarang ni. Eiii... ngeri! Sebab tu, dia berhenti di tepi jalan. Membatukan diri dalam kereta sambil merenung simpang jalan yang bakal mengubah hidupnya. Cuaca pula agak mendung. Nak hujan. Ah, kan baik kalau dia tak balik? Nak berpatah balik pun, dah terlambat.
Dalam kegelisahan itu, dia terpandang seorang gadis sedang berjalan tidak jauh dari keretanya. Cuaca yang mendung itu disertai dengan tiupan angin yang agak kencang membuatkan gadis yang memakai kemeja corak abstrak dengan kain kembang dan bertudung litup itu terkial-kial mahu membetulkan kainnya yang mahu terselak.
Karzrin terus memakukan pandangannya pada wajah itu. Cantik! Putih! Tinggi! Walaupun wajah itu kelihatan resah dan murung. Entah kenapa, hatinya berdetak tiba-tiba. Bibir Karzrin mengukir senyum. Jiwa lelakinya mula terusik. Dia terbuai-buai dengan perasaan sendiri sehinggakan dia tidak sedar gadis itu berlalu pergi.
Karzrin menghidupkan enjin kereta. Mahu cepat sampai di rumah pak su. Dia mahu memberitahu mama yang dia dah jumpa gadis yang membuatkan hatinya berdebar-debar. Terima kasih Allah kerana menemukan gadis itu dengannya! Mama, Tolong pinangkan gadis itu untuk Karz! bisik hatinya teruja.
Tak sangka pula di kampung ini ada gadis cantik macam itu!

KERETA Mazda RX8 berwarna merah milik Karzrin berhenti di halaman sebuah rumah batu dua tingkat milik Haji Darus. Semua meluru keluar sebaik sahaja ternampak kereta itu memasuki halaman rumah.
Haji Darus menghampiri Karzrin. Akhirnya, dapat juga dia bersua muka dengan Karzrin selepas sekian lama. Dipeluknya Karzrin erat-erat.
“Sampai pun Karz kat rumah pak su. Dah lama pak su tak tengok Karz,” ujar Haji Darus setelah melepaskan pelukan.
Karzrin tersenyum seraya menyalami mak sunya.
“Mak su dengan pak su apa khabar?” Karzrin berbahasa walaupun sedikit canggung. Maklumlah, dah lama tak berjumpa dengan mereka. Segan.
“Baik, Karz,” jawab Hajah Hayati Dan Haji Darus serentak.
“Kenapa lambat sangat sampai? Mama dan papa dah kenyang makan mi kuah yang mak su buat.” Hajah Hayati menyoal sambil tersenyum.
Dia meneliti Karzrin dari atas sampai bawah. Nampak sasa dan maco! Pasti tak lembik macam yang Hannah fikirkan.
“Karz berhenti kejap tadi, mak su. Kaki Karz ni tiba-tiba pula kebas. Dah lama tak memandu jauh-jauh macam ni. Sebab tu kebas agaknya.” Karzrin tersengih lagi.
Dia menoleh ke arah mama yang sedang menjegilkan mata kepadanya. Mama tengah marah sebab dia lambat. Tapi, dia tak kisah sebab dia dah jumpa dengan gadis yang boleh buat hatinya berdegup laju.
“Ya ke? Kalau macam tu, jomlah masuk dulu. Rehat. Tentu kamu penat lagi.” Haji Darus mencelah dengan senyuman yang melebar. Hatinya terus berkenan dengan Karzrin.
Karzrin menarik tangan mamanya. Dia mahu segera menyampaikan berita baik itu. Pak su, mak su dan papa dah menghilang dalam rumah. Inilah peluangnya!
“Mama...” Karzrin memaut pinggang mamanya. Mahu merapatkan kedudukan mereka.
Datin Mazwin menoleh ke sisi kirinya. Hairan dengan kelakuan anak tunggalnya itu. Main peluk-peluk pula. “Ada apa?”
“Mama, Karz dah jumpa calon isteri yang Karz nak tu. Karz nak mama pinang dia untuk Karz hari ni juga,” bisik Karzrin bersungguh-sungguh.
Langkahan Datin Mazwin terpaku di situ. Terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Karzrin.
“Apa yang kamu cakap ni, Karz? Siapa yang kamu nak mama pinangkan untuk kamu pula?” Berkerut dahi Datin Mazwin menanyakan soalan itu.
Macam-macam pula fiil budak bertuah ni. Masa inilah nak bercerita pasal calon isteri. Hannah tu nak campak ke mana pula? Dah macam-macam rancangan yang mereka bincangkan tadi.
“Adalah. Tadi Karz nampak masa Karz berhenti tadi. Cantik betul, mama. Orang kampung ni juga. Kita tanya mak su dengan pak su aje. Mesti dia orang kenal.”
“Jangan jadi gila boleh tak? Karz nak mama dengan papa malu ke? Mama dah pinangkan Hannah untuk Karz. Takkan nak tarik balik pula?” getus Datin Mazwin menahan marah.
Kalaulah Haji Darus dengan Hajah Hayati dengar, habislah! Dia yang beria-ia mahu kahwinkan Karzrin dengan Hannah.
“Tarik ajelah. Karz sanggup bayar kalau mak su dengan pak su saman pun. Mama jangan risau.”
“Jangan buat mama mengamuk kat sini! Jom masuk!” Datin Mazwin menarik tangan anaknya memasuki rumah batu itu.
Karzrin masih belum berputus asa. “Mama... dengarlah cakap Karz ni! Karz dah jatuh cinta dengan...”
Karzrin tidak sempat menghabiskan ayat itu bila seorang gadis muncul dengan membawa sedulang air. Karzrin menelan air liur. Matanya terus sahaja terpaku pada lenggang-lenggok gadis itu. Itu kan... gadis yang dia jumpa tadi? Memang gadis yang sama! Pakaiannya juga masih sama.
“Jemputlah minum.” Lembut saja suara itu mempelawa.
Karzrin terkesima.
“Kenapa kamu tengok Hannah macam tu? Dah tak kenal ke?” Terdengar suara Haji Darus menyoal.
Karzrin tersentak. Dia berdeham sekali. Hannah? Gadis itu ialah... Hannah? Tapi, kenapa mesti Hannah? Bukankah Hannah tu 3G? Gemuk, gendut, gempal? Macam mana boleh kurus pula? Aduh, sakitnya tuh di sini!
Karzrin mengeluh hampa. Dia memang tidak pernah bertuah dalam soal cinta. Oleh kerana gadis itu ialah Hannah maka, dia cuma mampu menzahirkan rasa kecewa. Hampa yang teramat. Sobs, sobs, sobs! Sedih! Pi mai, pi mai tang tu juga! Argh, bencinya!

PAGI esoknya, Karzrin bangun awal dan melepak di beranda rumah. Semalaman dia tak boleh lelapkan mata. Pilu mengenang nasib diri. Jatuh cinta pandang pertama dengan orang yang paling dia benci. Walaupun suka, tapi dia tetap benci sebab gadis itu adalah Hannah!
Hatinya pun satu juga. Kenapalah dalam ramai-ramai perempuan yang dia jumpa dengan si pembuli tu juga ia nak berdegup? Hisy, kacau betul!
“Karz buat apa kat sini? Kenapa tak ikut papa dengan pak su pergi kolam ikan?” Hajah Hayati menyapanya mesra.
Karzrin sekadar tersengih. Tidak bersedia dengan sebarang jawapan.
“Tak apa Yati. Nanti suruh aje Hannah bawa dia pergi,” sampuk Datin Mazwin pula.
Karzrin ketap bibir. Mama ini kan! Sikit-sikit Hannah! Sikit-sikit Hannah! Jelak betul dia dengar nama budak tu. Karzrin tidak memberikan sebarang reaksi.
Ketika itu, Hannah datang dan duduk di sisi Hajah Hayati. Karzrin mencebik. Cantik macam mana pun, kalau dah namanya Nur Hannah Delayla maka, dia tidak akan suka selamanya!
“Eh, Karz tolong mama pergi belikan... garam kejap. Garam kat dapur mak su dah habis. Mama nak masak untuk makan tengah hari nanti.”
“Nak beli kat mana mama? Karz bukan tahu sangat jalan-jalan kat sini. Kedai pun tak tahu di mana.”
“Pergi aje dengan Hannah. Pergilah cepat.” Datin Mazwin menolak tubuh anak tunggalnya. Kemudian dia menarik Hannah pula. Gadis itu terkebil-kebil.
“Cepatlah!”
Karzrin dan Hannah cepat-cepat mengangguk dan berlalu pergi. Walaupun dalam hati masing-masing berasa cuak dan rimas.
“Kat dapur tu banyak lagilah garam.” Hajah Hayati berbisik perlahan sebaik sahaja kelibat Hannah dan Karzrin sudah menjauh.
“Kak tahu. Saja nak bagi peluang dia orang tu berkenal-kenalan. Kan dah lama tak berjumpa. Mesti segan kalau nak bercakap soal hati depan kita, kan?” Datin Mazwin mengulum senyum.
Hajah Hayati cuma tersenyum pendek. Risau jika Hannah buat lagi perangai lamanya yang suka sangat buli Karzrin.

HANNAH melangkah laju-laju. Sengaja mahu meninggalkan Karzrin di belakang. Dia tak suka tengok muka lelaki itu yang mencebik setiap kali memandangnya. Apa? Ingat aku terliur sangat ke dengan dia? Ceh! Sudahlah lembik. Memang patut orang cakap dia gay pun. Tengoklah tu. Jalan pun terkepit-kepit macam sotong! gumam Hannah.
“Hoi!” laung Karzrin dari belakang.
Hannah segera berpusing. Kakinya dihentak kuat. Debu-debu di jalan itu berterbangan. Saja nak tiru aksi Rajnikanth dalam filem Sivaji Da Boss (hero pujaan tu). Baru nampak macam betul-betul marah.
“Apa hoi, hoi? Ingat anak kucing ke? Botol kicap pun ada nama tau?” selar Hannah sambil bercekak pinggang. Dia merenung Karzrin dengan perasaan geram.
Sedap aje panggil aku hoi! Bagi buku lima ni baru tahu. Hannah mengetap bibir.
“Aku tahulah kau ada nama, tapi mulut aku ni tak boleh sebut nama kau. Boleh terbakar lidah aku kalau sebut nama kau tahu tak?” kata Karzrin kasar.
“Mujurlah mulut Abang Karz tu tak boleh sebut nama Hannah. Sebab Hannah pun tak suka kalau Abang Karz duk sebut nama Hannah. Boleh meletup telinga Hannah ni dengar abang sebut nama Hannah!” bentak Hannah tidak mahu kalah.
Ingat dia suka sangat dengan pinangan mak long tu? Memang dia pun tak sukalah! Umi dengan walid yang paksa.
“Nanti kejap! Yang kau berabang-abang dengan aku ni apa hal? Eiii... geli tekak aku dengar!”
“Habis, nak panggil apa? Pak cik? Tok wan? Atau... si lembik?” Hannah sengaja menekankan perkataan lembik tu. Biar si poyo tu dengar dengan jelas.
“Apa kau cakap? Lembik?” Karzrin mula menyinga. Dia mengetap bibir bila melihat ada senyuman di bibir gadis itu. Senyuman mengejek! Ini yang hati dia panas ni!
“Mengaku pun!” sindir Hannah lagi. Dia berpaling dan kakinya diayun semula untuk ke kedai runcit Pak Mehat yang tidak jauh dari situ. Berbunga-bunga pula hatinya sebab dapat naikkan darah mamat poyo tak sedar diri itu. Macamlah handsome sangat! Hero tamil yang pakai doti dalam TV tu lagi handsome daripada dia! Cit, poodah!
“Eh, kau jangan naikkan darah aku!” Karzrin berlari anak untuk menyaingi langkah Hannah. Lantas, tangan Hannah diraih.
Sepantas kilat Hannah menepis.
“Apa hal pegang-pegang ni? Nak kena tumbuk?” Hannah sudah tayang penumbuknya.
Merah pipinya dek pegangan Karzrin tadi. Bukan sebab malu, tapi sebab marah! Bukan muhrim. Suka-suka saja nak pegang.
Karzrin yang agak terkejut dengan sergahan Hannah cepat-cepat melepaskan pegangannya. Gulp! Dia tertelan air liur. Makin besar, makin ganas budak jahat ini ya?
Sorry! Aku tak sengaja. Aku ada hal nak cakap dengan kau ni. Penting!” Karzrin memerhatikan keadaan sekeliling.
Kawasan sawah padi itu kelihatan sunyi kerana hari sudah mula meninggi. Karzrin beranikan diri. Tangan Hannah dipegang dan ditarik menuju ke arah pokok bongor yang agak rendang.
“Isy, apa ni? Abang Karz ni tak faham bahasa? Berdosa tau pegang-pegang Hannah macam ni!” Hannah mendengus marah. Dia dah rasa macam nak menangis sebab belum pernah makhluk bernama lelaki memegang tangannya kecuali walid.
“Okey, aku tahu. Bukan aku nak buat apa-apa pun. Aku nak cakap sikit dengan kau.”
“Cakap ajelah! Tak payah nak tarik-tarik tangan Hannah macam tu. Bagi katak baru tahu!” Hannah mula mengugut.
Karzrin membeliakkan matanya. Katak? Bulu romanya mula meremang. Sampai hari ini, dia masih geli dan takut dengan makhluk Allah yang satu tu! Eiii...
“Kalau kau sebut katak lagi, aku cium mulut kau! Nak?” Giliran Karzrin mengugut.
Serta-merta mata Hannah terbuntang. Pipinya kemerah-merahan. Perkataan cium itu cukup asing baginya. Jadi, dia malu bila Karzrin menyebut perkataan itu.
“Isy... Cakap ajelah apa yang penting sangat tu. Mak long tengah tunggu nak masak kat rumah tu.” Hannah mengalah dengan menukarkan topik perbualan.
Sudahlah lembik, budi bahasa pun hampeh! Huh! Memang tak termasuk dalam senarai lelaki impiannya. Entah apa yang umi dan walid kenankan sangat dengan mamat poyo tu. Zero!
“Aku nak kau tolak pinangan mama. Sebab aku tak suka dengan kau! Aku tak nak kahwin dengan kau. Kau tahu kan yang kau tu adalah manusia yang paling aku tak nak jumpa dalam hidup aku.” Karzrin berterus terang.
Sambil itu, matanya dihalakan ke arah sawah padi yang menghijau. Dia tak boleh pandang muka Hannah lama-lama. Sebab hatinya tak reti bahasa. Asyik berdegup-degup saja setiap kali dia pandang Hannah. Haru betul!
“Itu urusan umi dengan walid. Kalau Abang Karz tak nak kahwin dengan Hannah, Abang Karz cakap sendiri dengan walid. Hannah cuma ikut cakap walid dengan umi.” Hannah menjawab dengan tenang.
“Eh, kau tak payah nak berlagak solehah sangatlah! Kau cakap ajelah dengan mama yang kau tu dah ada kekasih hati. Habis cerita. Aku pun tak tahu apa yang mama suka sangat dengan kau ni. Kasar semacam aku tengok!”
“Biarlah! Bukan kacau hidup abang pun, kan? Sepatutnya Abang Karz cari sendiri calon isteri. Barulah mak long tu tak terdesak sangat nak Hannah ni jadi menantu dia. Takkanlah abang tak ada teman wanita? Ke... Teman wanita abang tu sama spesies dengan abang juga?” Hannah menyindir tajam.
Dia tersenyum sinis. Padan muka! Dia sendiri tidak pasti kenapa dia yang jadi pilihan mak long untuk dijadikan isteri Karzrin. Niat di hati nak tolak saja pinangan mak long. Tapi, bila dia bersemuka dengan mak long, dia tak sampai hati. Mak long beria-ia sangat nak jodohkan dia dengan Karzrin.
“Aku lelaki sejatilah! Kau ingat aku ni tak reti sangat pasal hukum-hakam? Eiii... Mulut dengan perangai kau sama aje, kan? Menyakitkan hati orang.” Karzrin rasa tercabar. Boleh pula dia mempertikaikan kejantanan aku!
Karzrin menahan rasa marah. Dia mengambil ranting kayu sebesar ibu jari dan mengacukan-acukan ke arah Hannah. Rasa macam nak saja jolok mulut Hannah dengan ranting itu. Mulut tak ada insurans! Dia memang tak nak kahwin dengan Hannah. Dah terus terang pun Hannah masih tidak mahu bekerjasama dengannya. Tak tahu malu betul.
“Macam ni ajelah. Abang Karz beritahu mak long yang Abang Karz tak nak kahwin dengan Hannah. Abang Karz pujuklah mak long. Hannah pun tak adalah teringin sangat nak bersuamikan lelaki yang pernah dipanggil... gay! Hannah pun ada taste juga. And, you’re really not my taste! Penakut, lembik!” ujar Hannah sambil berlalu pergi.
Karzrin terpinga-pinga sendirian. Kata-kata Hannah terngiang-ngiang di cuping telinga. Lembik? Eiii, belum cuba belum tahu! Hannah, kau cabar aku ya? Nanti aku tunjuk betapa kerasnya aku. Tak perlu tongkat ali tau? Mama ni pun satu hal! Langsung tak reti nak jaga maruah anak lelakinya yang seorang ni.
Karzrin mengeluh deras. Ranting kayu tadi dilontarkan ke dalam tali air di hadapannya. Dia betul-betul rasa tercabar. Baik, aku akan kahwin dengan kau Hannah! Aku akan balas dendam. Dulu kau buli aku, kan? Lepas ni biar aku pula yang buli kau! Siapa suruh kau cakap aku lembik? Karzrin menghitung dendam sebelum berlari-lari anak mengejar Hannah yang agak jauh meninggalkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan