Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 8

“APA?! Ini memang tak munasabah!” Tinggi alunan suara Nilam Qadheera usai mendengar penjelasan Mak Cik Kejora yang panjang lebar.
“Shhh... Suara kau tu perlahanlah sikit,” arahnya sambil memberikan isyarat jari telunjuk di bibir. Mereka berdua sedang berbincang di dapur.
“Biar betul Cik Jora nak jaga budak kaya yang sombong semacam tu?”
“Betullah. Kau bayangkan, Cik Jora mula-mula minta 2000. Dalam hati Cik Jora pun dah kira banyak kalau 2000 tu untuk dua orang. Tup-tup, pak cik dia orang setuju nak kasi 2000 untuk seorang. Kalau kau jadi Cik Jora, kau nak tolak mentah-mentah ke?”
“Sebelum Cik Jora terima mentah-mentah macam tu aje, Cik Jora ada fikir masak-masak tak?”
Sudah, tadi mentah-mentah, sekarang masak-masak pula? Memang masak.
“Kenapa nak fikir pula? Jaga budak tu dua bulan aje, dah dapat 8000. Kaya tak kaya?”
“Masalahnya sekarang ni, larat ke Cik Jora? Dengan nak meniaga sarapan pagi lagi. Boleh ke Cik Jora nak jaga budak-budak tu? Dahlah banyak songeh. Nak itu, nak ini. Munasabah sikit, Cik Jora.”
“Habis tu, Apis tu terus jadi besar panjang ke keluar dari perut aku ni? Kau ingat dia anak buluh betung? Bukan setakat budak macam tu, budak besar macam kau ni pun Cik Jora tengah jaga tau.”
“Memanglah Apis tu keluar tak terus jadi besar. Apis tu anak Cik Jora. Orang ni pula anak saudara Cik Jora. Yang Cik Jora nak jaga ni anak orang lain.”
“Anak orang lain? Anak aku tu bukan orang ke Nil oi?”
“Isy! Susah betul cakap dengan Cik Jora ni. Suka hati Cik Joralah. Cik Jora yang nak jaga.”
Mak Cik Kejora sudah tersengih kambing. “Masalahnya, kerja ni bukan untuk aku, tapi untuk kau.”
“Orang tak cakap orang nak jaga. Orang tak pandai jaga budak.”
“Tak susah manalah jaga budak darjah dua macam dia orang tu. Kau balik kerja cuci bangunan tu pukul 1.00, kan? Habis aje kerja, kau ambil Zaffi dengan Muzaf kat sekolah. Tambang semua boleh claim. Kau tak payah tolong Cik Jora kopek ikan bilis lagi. Sekarang ni tugas kau jaga aje budak berdua tu.”
“Orang tak boleh. Mana reti. Lepas tu kena jadi bodyguard? Lagilah tak munasabah. Anak siapa aje si Zaffi dengan Muzaf tu sampai nak kena ada bodyguard? Lepas tu nak tengokkan kerja sekolah pula. Mana orang tahu semua tu. Belajar sekarang tak sama dengan belajar dulu. Result SPM orang pangkat datuk banyaklah.”
Pangkat datuk yang dimaksudkan oleh Nilam Qadheera ialah gred D. D untuk Datuk.
“Zaffi dengan Muzaf bukan SPM. Setakat darjah dua tu, takkanlah kau tak pas darjah dua. Pasal bodyguard tu, memang kaulah orangnya, Nil. Kau kan dah selalu kayuh basikal, panjat dinding dengan bangunan. Ni ha... otot tangan dengan kaki kau mesti kuat. Urat dawai, tulang besi, kulit buaya. Cik Jora yakin kau mampu bagi tendangan. Kau berani panjat bangunan tinggi, takkanlah nak sepak terajang orang kau tak boleh. Kan?” ujar mak Cik Kejora sambil memicit-micit lengan anak saudaranya itu.
Nilam Qadheera menarik perlahan lengannya daripada terus digenggam Mak Cik Kejora. Wajahnya serius menidakkan kenyataan Mak Cik Kejora yang hampir serupa karangan tu. Banyak betul alasan dan ulasan yang orang tua itu berikan semata-mata mahu Nilam Qadheera setuju dengan permintaannya.
“Pukul 5.30 orang dah nak pergi kerja kat Xtreme Park. Mana sempat nak jaga Zaffi dengan Muzaf sampai pak cik dia orang balik.” Gadis itu masih berusaha untuk mengelak.
“Yang tu kau tak payah risau. Cik Jora kau ni dah kautim dengan Fath. Fath cakap dia sampai rumah dalam pukul 5.30 hingga 6.00. Kurang sejam macam tu kira halal. Lagipun, Cik Jora boleh jenguk kejap kat rumah dia. Depan aje kan, bukan jauh mana pun.”
“Orang tetap tak nak buat.”
Mendengar sahaja jawapan sedemikian, Mak Cik Kejora mengeluh. Raut wajah segera diukir dengan perasaan sedih. Wanita itu melangkah longlai ke tempat dia mengupas bawang tadi. Bawang yang separuh dikopek beberapa minit yang lalu dikupas sehingga habis.
“Betul ke Nil tak nak tolong Cik Jora?” Rentak bicara yang ditutur kedengaran kasihan.
Nilam Qadheera mencebik.
“Nil tak kasihan kat Cik Jora ke? Bangun pagi, masak nasi lemak, kelim tepung karipap semata-mata nak bayar hutang rumah, bil api, bil air, sekolah Apis, tuisyen Apis.”
“Selama ni orang ada tolong Cik Jora, kan? Orang kerja tu apa?”
“Itu baru hal rumah, belum lagi hutang karpet dengan Salman Khan, kain batik dengan Leha, main kutu. Setidak-tidaknya dengan duit 8000 tu mampu Cik jora nak tukar sofa baru, cat dinding baru raya tahun depan. Bak kata Zaffi, lain kali beli TV baru yang besar dan nipis,” ungkap perempuan itu lagi sambil mengelap air mata yang kononnya mengalir. Hidung sengaja dibunyikan seperti orang menghidapi selesema.
“Tak nak. Orang tak akan termakan drama sedih Cik Jora ni.”
“Sesungguhnya... hidup ni jangan jadi macam kacang.”
Nilam Qadheera memejamkan mata sambil menggelengkan kepala. Dia menekup kedua-dua belah telinga. Dia mula tidak senang dengan mukadimah begitu. Memang bijak insan itu menyusun ayat.
“Nil dilambung dengan ombak kesedihan lima tahun yang lepas. Nil tak ingat ke siapa yang tolong Nil dulu?”
“Ha... Ni dah macam taktik lain macam ni.”
Selesai mengopek sebiji, bawang yang lain pula diambil untuk menambahkan perisa. Biar matanya berair. Barulah nampak logik dan berkesan lakonan Mak Cik Kejora.
“Masa tu, tanpa ada rasa ragu-ragu. Cik Jora tolong anak saudara Cik Jora ni. Walaupun Cik Jora susah, tak cukup duit, kais pagi makan Maggi, kais petang makan kacang, tanpa ada waswas di hati...”
“Yalah, yalah. Orang tolong Cik Jora. Orang akan jaga Zaffi dengan Muzaf. Cik Jora jangan buat drama lagi.”
Umpama ada suis, terus sahaja wajah muram durja itu bertukar menjadi ceria. “Betul ni?”
“Nampak sangat nangis tipu.”
Wanita tersebut menampakkan baris gigi hadapan. “Nil dah cakap nak tolong, kan? Tak boleh tarik balik.”
“Ya, orang buat pun sebab nak tolong Cik Jora bayar karpet Salman Khan tu. Raya tahun depan Cik Jora boleh ganti TV baru. Suka tak?”
“Suka. Memang Nilam Qadheera anak saudara yang paling Cik Jora sayang. Lepas Nil mandi dengan solat, bawa dia orang balik rumah.”
“Serta-merta dah mula kerja? Drama sedih dah habis?” perli Nilam Qadheera dengan terpinga-pinga.
“Nenek?” Ada suara kecil datang mencelah perbualan mereka.
“Ya? Muzaf nak apa?”
“Nak buang sampah ni kat mana?” aju Rayhan Muzaffar sambil menghalakan kotak minuman itu kepada Mak Cik Kejora.
“Tong sampah ada kat sana,” jawab Nilam Qadheera. Jari telunjuk menunjukkan arah yang dimaksudkan.
Rayhan Muzaffar menjengah. “Ada satu tong aje ke?”
“Habis tu, nak kena ada berapa banyak tong sampah kat rumah?” tanya gadis tersebut dengan mata terbeliak.
“Pak su cakap kalau sampah kotak macam ni kena asing tong lain. Kena ada tong kertas, kaca, plastik dengan sisa makanan,” ujar budak lelaki itu sambil berkerut-kerut cuba mengingati pesan Alfatah tempoh hari.
“Muzaf, kotak ni sampah juga. Sama aje. Tak payah pening kepala.”
“Ya ke?” Anak kecil itu mula keliru. Ayah saudaranya mengajar lain, insan itu pula mengajar lain.
“Ya. Yang penting buang sampah.”
“Tapi, kat rumah pak su, pak su marah buang kat tong lain. Kakak tak nampak ke ada bentuk anak panah segi tiga ni? Kalau bentuk macam ni maksudnya kena buang kat tong asing,” lafaz anak kecil itu dan dalam masa yang sama menunjukkan simbol kitar semula pada permukaan kotak. Kali ini giliran Rayhan Muzaffar pula yang mengajar.
Nilam Qadheera memicit kepala. Pening. “Kalau susah sangat, Muzaf simpan aje, buang kat rumah pak su Muzaf nanti.”
“Muzaf nak buang sampah pun tak boleh. Kedekut,” omel Rayhan Muzaffar sambil kakinya menuju ke ruang tamu.
Mendengar kata-kata itu, rahang Nilam Qadheera serta-merta terjatuh.

MULUT yang ternganga terus melopong melihat keadaan rumah majikan barunya itu. Sebaik sahaja melangkah masuk, Nilam Qadheera bagaikan berada di tempat yang berbeza. Meskipun cuaca di luar kelihatan terik dan panas, keadaan di dalam rumah agak sejuk.
Halaman rumah penuh dengan tumbuhan hijau. Pasu yang digunakan bukanlah pasu biasa. Pemilik rumah itu menggunakan tayar dan botol plastik terpakai untuk dijadikan sebagai pasu. Untuk sentuhan artistik dan landskap, si penanam mengecat tayar dan botol tersebut dengan pelbagai warna.
“Patutlah,” ungkap Nilam Qadheera tatkala dirinya berada di dapur.
Empat tong berlainan yang ditempatkan berhampiran pintu belakang terpampang di pandangan. Ia sama seperti yang diberitahu oleh Rayhan Muzaffar tadi.
“Pak cik kau orang ni pencinta alam sekitar rupanya,” ujar gadis itu lagi sambil matanya meliar memandang dekorasi di dalam rumah.
Tidak cukup di halaman luar, pemilik rumah tersebut memang mementingkan kehidupan dan gaya hidup hijau. Tempat duduk dan meja kopi yang menghiasi ruang tamu bukanlah set sofa harga ribuan ringgit. Tetapi, kayu pallet yang diubah suai menjadi tempat duduk. Untuk lebih selesa, si penghias meletakkan kusyen sebagai alas punggung dan belakang badan.
Terbit rasa kagum di hati perempuan tersebut. Yang Nilam Qadheera tahu selama ini, kayu pallet itu hanya digunakan di kedai atau di dalam lori sebagai tempat meletakkan barang. Bila sudah berubah bentuk dan dicat dengan cantik, kelihatan elegan pula. Tidak cukup dengan itu, sebahagian rak yang ada juga menggunakan bahan yang sama.
“Pak cik Zaffi dengan Muzaf ni kerja apa? Photographer ke?” aju Nilam Qadheera.
Habis ruang tengah dibelek, penglihatan Nilam Qadheera berpindah ke dinding. Ada satu bahagian dinding penuh dengan hasil kerja Alfatah sebagai seorang jurugambar sambilan. Gambar pemandangan pelbagai tempat dan sudut menghiasi permukaan yang rata itu. Ada rakaman pegun di air terjun, kawasan bukit bukau, sekitar sawah bendang dan matahari hampir terbenam di langit.
Nilam Qadheera terpesona dengan sentuhan Alfatah menerusi foto yang ada. Soalan yang ditanya langsung tidak dipedulikan oleh si kembar. Mereka berdua leka menonton televisyen.
Tangan Nilam Qadheera cuba menyentuh bingkai gambar hasil barang terbuang itu. Sama sekali tidak menyangka perhiasan seakan-akan kuntuman bunga itu terwujud daripada bekas telur yang besar, digunting menjadi kecil lalu dibentuk menjadi rupa begitu. Jika dipandang sekali imbas, langsung tidak perasan ia daripada bahan terbuang.
“Semua benda kat rumah ni, pak cik kau orang buat sendiri ke?” tanya Nilam Qadheer lagi.
Soalan itu dibalas oleh Rayhan Muzaffirah. Namun, bukan dengan suara tetapi budak perempuan itu meninggikan paras bunyi televisyen. Dia merasa rimas dengan pertanyaan yang dilemparkan.
“Ya Allah, tengok TV kat rumah ke kat panggung wayang ni? Beg sekolah dengan stoking kenapa campak-campak? Bersepah jadinya,” tegur Nilam Qadheera, separuh menjerit sambil terbongkok-bongkok mengutip objek tersebut.
“Pak su dah upah orang kemas. Kalau kakak tak kemas, siapa lagi?” ungkap Rayhan Muzaffirah sejurus memperlahankan nada televisyen.
Nilam Qadheera menggelengkan kepala. Sabar ajelah cakap dengan budak berlagak ni. Tak pernah hidup susah dari kecil. Semua benda nak kena orang lain buat, monolog hatinya.
“Dah balik sekolah ni, mesti berpeluh. Zaffi dengan Muzaf pergi mandi.”
“Tak nak,” jawab Rayhan Muzaffar lagi dengan menarik muka bersahaja.
“Kalau tak nak mandi, siapkan kerja sekolah. Lepas siap semua kerja, Kak Nil tengok.”
“Tak ada kerja sekolah. Sibuklah kakak ni. Kerja kakak jaga kami dan kemas rumah aje, bukan suruh kami buat apa yang kakak nak,” bantah Rayhan Muzaffirah.
“Kau ingat akak nak sangat ke jaga kau orang yang berlagak tak tentu hala ni? Akak dah diamanahkan untuk tengok-tengok kau orang. Jadi, dengar ajelah apa yang akak suruh.”
Ukiran wajah kanak-kanak perempuan tersebut terpamer masam. Kalau Cik Yah, sudah tentu orang gaji itu akan memenuhi segala kehendaknya. “Zaffi lapar. Kakak kena sediakan makan untuk kami, kan?”
“Kau orang kena tunggu dulu. Akak nak tengok dulu apa yang ada kat rumah ni.”
“Zaffi tak boleh tunggu. Zaffi nak sekarang.”
“Kalau nak sekarang tak boleh. Kakak tengok kat peti sejuk, ada susu tak. Minum susu dulu kalau lapar.”
“Kakak ni tak faham ke? Zaffi nak makan. Bukan minum susu.”
“Kakak Tilam, Zaffi tak suka minum susulah,” beritahu Rayhan Muzaffar akan selera kembarnya itu.
“Eh, budak ni. Panggil orang tilam pula. Bukan tilam, Nilam.”
“Sama aje bunyi,” balas anak lelaki kepada pelakon terkenal tersebut.
“Tak sama. Budak-budak, kenalah minum susu. Tak tahu ke?”
“Zaffi tak suka. Kakak jangan banyak cakap boleh tak? Zaffi nak makan sekarang. Zaffi nak makan piza.”
“Tak boleh makan piza. Tak elok makan makanan segera macam tu. Budak membesar, kena cukup khasiat. Nanti Kak Nil tengok apa yang ada kat dapur tu.”
“Kakak Tilam boleh masak ke?” aju budak lelaki itu.
Nilam Qadheera mengembang lalu mengempiskan hidung. “Tilam tak sudah-sudah. Ingat ni lori jual tilam ke? Tilam... tilam, beli tilam lama jual tilam baru.”
Rayhan Muzaffar ketawa mendengar kata-kata itu.
“Lecehlah. Kakak oder ajelah piza tu. Pak su boleh bayar balik duit kakak. Kalau pak su tak nak bayar, Zaffi boleh suruh papa, tak pun mama bayar. Kakak cakap aje berapa. Tak susah pun.”
Nilam Qadheera menggelengkan kepala dan mendecit beberapa kali seperti bunyi cicak. Memang parah budak-budak ni. “Salah konsep tu. Jangan ingat kalau kaya aje, kau orang boleh dapat apa yang kau orang nak.”
“Papa dengan mama kaya. Mama selalu aje kasi apa yang kita orang nak,” lafaz Rayhan Muzaffar pula.
“Tak semua anak orang kaya, macam Zaffi dengan Muzaf. Anak orang kaya pun kena berdikari.”
“Ya ke? Macam mana Kakak Tilam tahu?” Rayhan Muzaffar berkerut-kerut mengajukan soalan itu.
“Kakak tahulah.”
“Akak bukan kaya pun.”
“Akak kaya ke tak, semua tu tak penting. Yang kakak tahu sekarang ni, kakak nak pergi dapur, nak masak. Syarat kalau nak makan, kena mandi dulu. Kalau tak mandi, tak dapat makan.”
“Zaffi tak suka semua ni. Zaffi tak suka pak su, tak suka kakak, tak suka rumah ni. Apa yang Zaffi nak, semua tak dapat.” Rayhan Muzaffirah meluah perasaan.
Alat kawalan televisyen di tangan laju sahaja dihempas ke lantai. Berpisah bateri dengan objek tersebut. Anak kecil itu segera menapak, mendaki tangga menuju ke kamar.
Rayhan Muzaffar dan Nilam Qadheera hanya menyaksikan sahaja tingkah itu.
“Kalau Kakak Tilam masak tak sedap, Muzaf muntahkan balik,” ugut Rayhan Muzaffar. Dia turun dari kerusi lalu menurut jejak Rayhan Muzaffirah.
“Eh, budak ni, dahlah panggil orang tilam, lepas tu main ugut-ugut pula,” omel Nilam Qadhera.
Dia mengatur langkah ke dapur. Gerakan kaki di lantai terhenti tatkala tiba di peti sejuk dua pintu tersebut. Hati Nilam Qadheera tertarik dengan kertas yang dilekatkan pada permukaan pintu dengan magnet berbentuk strawberi itu.
“Peraturan rumah?” ucap Nilam Qadheera, membaca tajuk yang ada permukaan kertas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan