Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 9

Majlis merisik dan bertunang akhirnya selamat berlangsung. Majlis yang diadakan sememangnya cukup ringkas. Hanya ada keluarga Ika yang datang sebagai wakil daripada pihak Karl. Seperti yang mereka bincang, majlis kahwin akan berlangsung dalam masa lebih kurang tiga minggu lagi. Makin kelam-kabutlah Mak Jemah nak uruskan hal kahwin anak tunggalnya itu.
“Jodoh ni memang kita susah nak jangka, kan? Bertahun kau bercinta dengan Idham tu, lastnya dengan Abang Karl jugak kau nak kahwin.”
“Tulah pasal. Baru minggu lepas aku jumpa abang sepupu kau tu. Tup-tup, pagi tadi dia dah jadi tunang aku. Macam pelik aje. Macam pelik aje,” ujar Wafa dengan muka sengalnya.
Wafa menyisip sedikit air yang masih bersisa di dalam muk. Dia bersandar malas di sofa empuk itu. Malam ini dia nak rehat di rumah saja. Penat kerana seharian ini menguruskan majlis yang berlangsung siang tadi. Petang tadi pun elok saja sampai ke Shah Alam, terus dia terbongkang tidur. Nak dekat maghrib baru dia bangun. Teruk betul perangai!
“Abang sepupu kau tu okey ke orangnya, Ka?”
Ika kerutkan kening. “Apasal kau tanya? Kau nampak dia tak okey ke?”
“Tak adalah. Aku baru aje kenal dia dalam seminggu ni. Itu pun banyak lagi yang aku tak tahu pasal dia. Kau bagi tahulah aku apa-apa yang kau tahu pasal dia.”
Ika buat muka. Konon-konon tengah fikirkan jawapan pada soalan teman baiknya itu.
“Emmm, apa yang kau patut tahu pasal Abang Karl tu, eh? Okey, dia tu control freak sikit. Suka arah-arah orang ikut cakap dia. Mendesak. Dan, dia akan keluarkan perangai sengal-sengal dia dengan orang yang dia suka. Tapi, kau jangan risaulah. Dia tu sebenarnya loving, caring... Dia okey ajelah.”
Kepala Wafa terangguk-angguk mendengar apa yang Ika katakan. Tapi, sepanjang seminggu dia kenal Karl, memang dia nampak semua itu. Lelaki itu memang sengal. Jadi, itu bermakna lelaki itu suka dia ke? Mustahillah!
“Weh, Ka. Aku tiba-tiba rasa macam takutlah pulak nak kahwin dengan abang sepupu kau tu.”
“Hah, nak takut apa bendanya? Dia bukannya makan orang pun. Makan nasi macam kita jugak. Kalau Abang Karl tu makan orang, bukan kau aje, dengan aku-aku pun takut. Hahaha!”
Wafa menjeling Ika tajam. Orang tanya betul-betul, dia buat lawak pula!
Ika tayang gigi. Tersengih.
Wafa julingkan mata ke atas. Heh, malas dah dia nak cakap dengan Ika. Tak sah kalau tak ke laut perbualan mereka. Dia fokuskan mata dekat rancangan yang tersiar di TV. Baru saja nak bersenang-lenang, iPhonenya pula berbunyi. Bila dia tengok nama pada skrin, terus hatinya berdebar-debar. Alahai, encik tunang telefon pula!
“Helo?” ucapnya lepas talian bersambung.
“Keluar kejap. Aku ada dekat luar ni.”
Wafa pelik mendengar ayat lelaki itu. “Nak keluar ke mana?”
“Kau jangan nak sengal sangat boleh tak? Keluar rumahlah. Cepat, aku tunggu ni.”
“Eh, awak ada dekat sini ke?” Mata Wafa terus membulat. Macam tak percaya.
“Ya, Cik Wafa Adlina! Aku ada dekat depan rumah kau ni. Boleh tak kau keluar sekarang? Haih, apa yang payah sangat nak faham kau ni. Cepat!”
“Eee, sabarlah! Kejap, saya keluar.” Wafa matikan talian. Hati dah mula membebel-bebel. Karl ni kan, memang suka tau desak-desak orang. Tak reti bersabar langsung!
“Eh, kau nak pergi mana, Fa? Nak tidur dah ke?” soal Ika bila nampak Wafa dah bangun dari sofa.
“Nak keluar kejap. Tu, abang sepupu kau dah terpacak dekat depan rumah kita tu, hah.”
“Alah, dia nak jumpa dengan tunang dia yang tersayang nilah,” sakat Ika dengan muka minta penampar.
Grrr!
“Tersayanglah sangat!” balas Wafa endah tak endah. Terus menuju ke pintu untuk keluar rumah berjumpa dengan tunang tercinta. Ah, tercintalah sangat, kan!

WAFA lihat Karl tengah bersandar pada Audi hitam milik lelaki itu. Siap berpeluk tubuh lagi. Amboi!
Mata lelaki itu tak lepas daripada merenung dia sepanjang dia berjalan. Haih, makin dup dap pula jantungnya ini. Tadi semasa bertunang, lelaki itu tak ikut sekali. Inilah baru kali pertama mereka berjumpa sebagai pasangan tunang.
“Kenapa awak nak jumpa saya malam-malam ni?” tanyanya bila dia dah berdiri di depan lelaki itu.
Karl perhatikan tunangnya itu. Alahai... comelnya dengan seluar tidur gambar Pooh begitu. Jadi geram pula dia. “Saja. Tak boleh ke aku nak jumpa tunang aku sendiri?”
Wafa buat muka biasa. Malas nak berlawan cakap dengan Karl. “Boleh aje.”
“Meh, aku nak tengok tangan kau kejap.”
“Eh, nak buat apa pulak tengok tangan saya?”
“Banyak cakaplah kau ni. Tunjuk ajelah. Cepat!” Karl pandang tajam muka Wafa.
Kadang-kadang dia rasa macam nak picit-picit saja pipi tunangnya itu. Geram! Suka buat dia ulang semula apa yang dia dah cakap. Wafa ingat kerja dia duk ulang suara saja ke apa?
Wafa mula rasa tak puas hati. Dengan hati yang tak rela, dia hulurkan tangan kepada Karl. Nah! Nak tengok sangat, kan?!
“Emmm, nasib baik muat dekat jari kau. Suka tak cincin tunang tu?”
Wafa macam tak percaya dengan soalan itu. Perempuan mana yang tak suka kalau diberi cincin berlian seperti yang dia tengah pakai ini? Gila tak suka? Mestilah suka!
“Suka,” jawab Wafa. Biasa-biasa saja. Tak mahu tunjukkan yang dia sebenarnya rasa teruja dengan cincin itu.
“Cantik tak?”
“Ya, cantik. Terima kasihlah. Tapi, yang awak bagi cincin lagi dekat saya buat apa? Hari tu kan awak dah bagi?”
“Cincin hari tu aku saja aje bagi. Yang ni cincin tunang. Cincin rasmi kau jadi milik aku. Jangan gatal nak tanggalkan ya!”
Wafa tenung semula cincin tunang yang tersarung pada jari manisnya itu. Haih, baru kenal seminggu dengan Karl, dia dah dapat dua bentuk cincin berlian. Inilah dia orang kaya. Duit sampai dah tahu nak buat apa. Duk beli saja apa yang dia orang nak beli.
Karl tersenyum sikit bila nampak Wafa buat muka menyampah. Tak puas hati dengan dialah tu! “Ika ada send gambar kau dekat WhatsApp pagi tadi. Emmm, cantik...”
Wafa tersipu malu. Rasanya dia dah buka telinga dia luas-luas. Jadi, memang tak salah lagi yang Karl cakap dia cantik, kan? Kan, kan, kan?
“Pakai mekap memanglah cantik. Cuba tak pakai mekap macam ni, hah. Tak cantik, kan?” Sengaja Wafa menduga.
“Cantik jugak. Lagi cantik yang natural macam ni,” puji Karl, perlahan.
Muka Wafa tanpa sebarang solekan itu dia pandang lama. Ya, memang cantik. Cantik sangat! Okey, dah berapa kali dia cakap cantik?
Wafa pegang kedua-dua belah pipinya. Mukanya mula terasa membahang panas. Dia malu! Habis semua darah serbu naik ke muka. Karl puji dia cantik? Alah, sayang...
“Dah, tak payah nak perasan sangat,” ucap Karl tiba-tiba. Macam tak ada perasaan saja bunyi suaranya.
Erk! Hilang terus perasaan bahagia lepas kena puji cantik tadi. Kini, bengkek pula Wafa rasa. Nak berangan sekejap pun tak boleh. Eee!
“Kau dengar tak aku cakap ni?”
“Eee, ya. Saya dengarlah!”
Karl mula berdiri tegak. Kemudian, kepala Wafa dia usap manja.
Good. Dah, aku nak balik ni. Kau pergi masuk. Sleep well, okay? Night, sayang...” ucap Karl manis, penuh lemak berkrim. Siap senyum senget lagi. Menggoda!
Tubuh Wafa jadi kaku tiba-tiba. Karl yang dah selamat masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi itu hanya mampu dia pandang dengan mata tak berkelip. Apa yang Karl buat tadi, dah cukup untuk timbulkan rasa lain dalam hatinya. Karl usap kepalanya, ucap selamat malam kepadanya.
Tiba-tiba dia rasa satu perasaan yang dah beberapa bulan dia tak rasa. Dia rasa... disayangi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan