Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 10

MEREKA berdua diam sepanjang pertemuan bermula. Masing-masing menguncikan mulut rapat. Hanya sekali-sekala dengar suara mereka, itu pun bila disoal. Jelas mereka berdua kekok saat diminta untuk saling kenal antara satu sama lain. Mungkin mereka berdua masih terkejut dengan pertemuan ini.
Sungguh tidak disangka langsung, wanita yang selalu diceritakan mamanya itu adalah Zulaikha. Memang lidahnya kelu bila bertemu dengan Zulaikha tadi. Bagaikan sudah tiada lagi bahasa yang ingin diucapkan. Ungkapan maaf yang bersarang di mindanya daripada pulang kerja tadi juga tidak terluah. Terkelu lidah. Bukan tidak pernah melihat Zulaikha sebelum ini, malah seharian suntuk mereka sentiasa bertemu di pejabat. Masih terkejut Zulaikha adalah sepupunya sendiri.
“Karl, Ika... Kenapa diam aje? Macam tak pernah kenal pula?” soal Tengku Zuraidah.
“Ialah, Karl. Dah selalu berjumpa pun takkan tak ada apa yang hendak dibualkan?” Puan Fasihah pula mengiakan sahaja kata-kata kakak iparnya itu.
Mereka bagaikan sengaja memberi ruang untuk Tengku Haikal dan Zulaikha untuk mengenali antara satu sama lain. Lagipun tidak salah mereka berdua rapat dan mengenali antara satu sama lain.
“Kamu berdua berbuallah dulu. Kami ada hal yang nak dibincangkan.” Tengku Malik memberi ruang kepada mereka berdua. Dia tahu anaknya Tengku Haikal masih kaget lagi dengan apa yang berlaku. Ia pastinya satu kejutan besar.
Apa yang hendak dibualkan dengan Zulaikha? Apa pula yang ingin dibincangkan mereka semua? Adakah ia ada kaitan dengannya dan Zulaikha. Dihantar ke semuanya dengan lirikan pandangan.
Kini di ruang tamu hanya tinggal mereka berdua. Saling membisu. Memang tidak disangkal lagi perasaannya saat ini. Sungguh laju degupan jantungnya. Sesekali Tengku Haikal mengerling Zulaikha. Tetapi, gadis itu hanya membisu sambil membelek gadgetnya.
Zulaikha melangkah kaki keluar dari perut rumah. Tidak selesa bila perasan mata Tengku Haikal memandang perbuatannya. Walaupun mereka selalu berjumpa di pejabat dia masih berasa kekok dan masih mendalam rasa rajuknya terhadap Tengku Haikal.
“Zulaikha...” Gugup nama itu disebut. Langkah Zulaikha diikutinya dari belakang.
Tiada sebarang reaksi daripada Zulaikha. Langkahnya terus diatur ke taman kecil yang selalu ditandang Nenda Fauziah.
“Zulaikha...” Tengku Haikal berdiri betul-betul berdepan dengan Zulaikha.
Tengku Haikal ingin memohon maaf di atas ketelanjurannya menuduh Zulaikha. Tetapi, melihat Zulaikha yang keras hati membuatkan keegoannya tercabar.
“Maafkan saya, Tengku Karl. Tak ada apa-apa yang saya nak bualkan.” Kasar suara Zulaikha menjawab.
Tengku Haikal rasa tercabar dengan layanan hambar Zulaikha. Jika Zulaikha melayan hambar salam perkenalannya, takkan dia mahu tunduk begitu sahaja? Tidak akan terus merayu-rayu meminta maaf jika kata maaf itu tidak disambut. Pantang sekali baginya. Maaf yang ingin diungkapkan mati di situ sahaja.
“Awak jangan nak jual mahal sangat dengan saya, Zulaikha. Kalau ikutkan hati saya pun tak ingin nak berbual dengan awak,” balas Tengku Haikal.
“Kalau tak mahu berbual, janganlah ikut saya. Tinggalkan saya sendiri,” balas Zulaikha rimas. Sebenarnya dia begitu gelisah berdepan sendirian dengan Tengku Haikal. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup laju.           
“Hei, kalau bukan sebab papa dan mama, tak ingin saya nak jumpa awak. Saya dah minta maaf dengan awak pun, tapi jual mahal.” Makin tercabar diri Tengku Haikal dengan sikap Zulaikha.
Zulaikha mengetap giginya kuat. Bergetar badannya. Geram dengan sikap singa beku di depannya itu. Sombong dan angkuh. “Tak perlu nak minta maaf.”
“Hah, baguslah! Saya pun tak ingin nak minta maaf. Dah mati kata-kata maaf dari bibir saya ni.” Tengku Haikal galak menaikkan api kemarahan Zulaikha. Bukannya hendak berlembut, malah makin menjadi-jadi sikapnya.
“Kalau tak ada apa-apa Tengku Karl boleh tinggalkan saya sendirian.” Zulaikha mengalihkan pandangnya daripada bertentangan. Tidak sanggup berhadapan dengan lelaki singa beku di hadapannya itu. Tidak pernah dia berjumpa lelaki seperti itu sebelum ini. Terlalu tinggi egonya.
“Eh, suka hati sayalah. Ini rumah saya.” Tengku Haikal ini pun satu keras kepala. Ego tiba-tiba memuncak.
Zulaikha mengatur langkahnya ke arah kolam mini yang cantik bercahaya dengan lampu-lampu yang pelbagai warna. Menarik minatnya untuk terus melihat lebih dekat. Sudah tidak kuasa melayan Tengku Haikal.
Zulaikha beralih langkah pula. Dia ke arah buaian di hadapan rumah, tetapi Tengku Haikal tetap memintasnya dan terlebih dahulu duduk dibuaian. Turun naik nafas Zulaikha dengan sikap Tengku Haikal yang sangat menyesakkan jiwa.
“Tengku Karl ada masalah ke? Apa yang Tengku Karl nak daripada saya?” Ditenung tunak tepat Tengku Haikal.
Tengku Haikal menjuihkan bibirnya.
“Tak puas-puas lagi ke, Tengku Karl seksa saya? Sampaikan di rumah pun, Tengku Karl terus kejar saya. Saya dah tak tahanlah macam ni. Tengku Karl ingat saya ni tak ada hati dan perasaan?” bentak Zulaikha geram. Sudah tidak mampu bersabar lagi. Segala kemarahannya dilepaskan.
So?” Kedua-dua belah bahunya dijongketkan. Muka sengaja dikerutkan. Tidak berkelip-kelip mata Tengku Haikal merenung Zulaikha. Wajah yang sedang marah itu dirakamnya. Tetap manis wajah itu walau dalam keadaan marah.
“Tak ada apa-apa lagi.” Sudah malas melayan Tengku Haikal.
“Zulaikha, awak nak ke mana?” Belum puas Tengku Haikal bersama Zulaikha. Walaupun perbualan mereka banyak dengan perbalahan, dia tetap ingin terus bersama-sama di situ bersama Zulaikha. Ingin pandang wajah itu sepuas-puasnya.
Zulaikha yang aturkan langkah terhenti. Laju sahaja nafasnya dilepaskan. Mata mereka saling berpandangan antara satu sama lain, hingga penasaran hati. Cepat-cepat Zulaikha melarikan pandangannya.
“Saya tak diperlukan di sini dan tak ada apa yang perlu saya bualkan dengan Tengku Karl.” Zulaikha kembali mengaturkan langkahnya. Selagi dia di situ selagi itu hatinya tidak tenteram.
“Saya tak izinkan awak pergi, Zulaikha.” Kuat suara Tengku Haikal.
“Saya tak ada apa-apa hal nak dibualkan.” Tegang dan cuak Zulaikha. Gugup sebenarnya.
“Siapa cakap?” Kening dijongketkan tinggi.
“Awak masih berhutang dengan saya,” sambung Tengku Haikal separuh berbisik ke telinga Zulaikha. Tersenyum sinis bila melihat reaksi Zulaikha yang tidak tentu arah.

ZULAIKHA menghenyakkan punggungnya di sofa. Nafas dilepaskan bila dapat pulang juga ke rumah sendiri. Lega rasanya bila dia sudah tidak berada sebumbung dengan abang sepupunya yang menjengkelkan itu. Hilang rasa tekanan bila Tengku Haikal tiada di depan mata.
Tiada apa yang menyenangkan dengan sikap Tengku Haikal si singa beku. Di pejabat dan di rumah sama sahaja, tiada perbezaan perwatakan. Tiada langsung kelembutan daripada dirinya seperti yang Nenda Fauziah ceritakan, malah lebih menyakitkan hati.
Pertemuannya bersama Tengku Haikal tadi hanya membuatkan fikirannya terganggu. Wajah dan sikap pemuda itu sering mengasak mindanya. Sudahlah bengis!
Kembali kedengaran kata-kata Nenda Fauziah.
“Tengku Haikal ini lembut hatinya. Cuma kadang-kadang dia ego untuk pamerkan kelembutannya.”
Ego? Memang itu aku setuju. Jika lembut, memang tak ada.
“Kenapa muram anak mummy ni?” Tengku Zuraidah henyakkan punggung di sebelah Zulaikha. Tangan kanannya diletakkan ke pangkal paha Zulaikha.
“Tak ada apalah, mummy.” Zulaikha cuba mengelak berbual tentang pertemuannya dengan Tengku Haikal tadi. Buat sakit hati sahaja bila diingatkan semua itu kembali.
“Jangan tipu. Mummy perasan dari tadi lagi. Ika dengan Karl ada masalah?”
Daripada bertandang ke rumah Tengku Malik tadi, Tengku Zuraidah perasan akan perubahan sikap Zulaikha. Rasanya dia sudah dapat mengagak apa yang terjadi antara Zulaikha dan Tengku Haikal.
Zulaikha diam. Berketap bibirnya. Hatinya sakit. Jika boleh bersuara, mahu sahaja dia membantah. Tetapi, kerana ingin menjaga hati Nenda Fauziah dia terpaksa korbankan segalanya. Perasaan dan hatinya dipendam sahaja.
“Ika...” Lembut suara Tengku Zuraidah memanggil puterinya. Wajah anaknya itu dipandang dari sisi dan tangan mengelus perlahan belakang Zulaikha.
“Ika dengan Karl memang ada masalah, mummy. Ika tak bolehlah nak dekat dengan Karl seperti yang nenda minta tu. Ada aje nak cari fasal dengan Ika. Di pejabat selalu buli Ika, di rumah pun nak buli jugak. Macam mana kami berdua nak berbaik?” rungut Zulaikha sambil memeluk tubuhnya erat.
“Ika sabar ajelah. Insya-Allah, akan lembut juga dia nanti.” Tengku Zuraidah memujuk anaknya. Yakin Tengku Haikal tak seperti yang Zulaikha gambarkan.
“Letihlah nak bersabar. Esok Ika tak mahu pergi pejabat. Ika nak letak jawatan,” tegas Zulaikha. Sudah naik menyampah nak menghadap muka Tengku Haikal di pejabat. Ada sahaja yang tidak kena. Berhutanglah! Entah apa yang dihutangnya hingga mahu dituntut.
“Isy, takkan sampai macam tu sekali? Nanti apa pula kata pak ngah dan nenda? Kesian nenda kalau nenda tahu Ika memberontak sampai begini sekali.” Tengku Zuraidah masih memujuk puterinya.
Dia tahu Zulaikha tidak sanggup berhadapan dengan anak buahnya itu. Tetapi, bila memikirkan kembali bondanya, dia juga terpaksa akur.
Mummy, Ika tak mahu dijodohkan dengan Abang Karl tu. Mummy beritahulah dengan nenda...” Tangan Tengku Zuraidah ditarik-tarik manja. Inginkan simpati mummynya.
“Shhh... Jangan cakap macam tu. Nanti nenda dengar, kecil hati dengan kita pulak. Tak fasal-fasal nanti merajuk bawa diri.” Meliar pandangan Tengku Zuraidah. Risau jika bondanya dengar perbualan itu.
Mummy, please... Ika tak mahu.” Zulaikha terus meraih simpati. Tidak lepas jemari Tengku Zuraidah digenggam-genggamnya. Berharap sekali ada peluang untuk dirinya melepaskan diri.
Dia tidak kisah andai dirinya akan dijodohkan dengan sesiapa pun oleh Nenda Fauziah. Tetapi, biarlah lelaki itu juga sudi menerima dirinya seadanya. Bukan terus menyeksa dirinya seperti yang dilakukan Tengku Haikal.           
Tengku Zuraidah terus memandang wajah lembut anaknya itu. Pandangan yang penuh dengan pengertian. Bukan dia tidak tahu apa yang dirasakan Zulaikha. Dia juga pernah alami situasi yang sama beberapa puluh tahun yang lalu. Cuma yang membezakan, Tengku Zuraidah memberontak dan memilih pilihannya sendiri.
“Ika ambillah masa untuk berkenalan dengan Karl. Mana tahu akan ada bibit cinta nanti. Jika Ika tak boleh nak teruskan juga, nanti mummy beritahu kepada nenda. Tapi, bukan sekarang.” Jemari anaknya turut digenggam. Mengharapkan pengertian puterinya itu.
Zulaikha diam tidak membalas kata-kata Tengku Zuraidah. Wajahnya yang keruh diselitkan sedikit dengan senyuman untuk menyenangkan sedikit hati mummynya.
“Cuba dulu dalam masa setahun ni. Kalau tak ada apa-apa perubahan hubungan Ika dan Karl, mummy akan bincangkan dengan pak ngah dan mak ngah. Paling utama sekarang ni, nenda. Hari tu dia bawa diri sebab merajuk dengan Karl. Mummy tak mahu nenda merajuk dengan kita pula. Boleh, tak?” Kerisauan yang bersarang di hati, Tengku Zuraidah lepaskan.
“Ika tak tahu nak cakap macam mana lagi, mummy. Jika ini yang nenda mahukan, Ika akan cuba. Tapi, Ika cuma tak tahan dengan sikap Karl. Bolehkah kami bersatu jika begitu sikap dia kepada Ika?” Disuarakan kebimbangan yang mula bersarang di hatinya.
“Kita berdoa kepada Allah supaya lembutkan hati dia. Jika jodoh Ika dan Karl ada, tetap akan bersama juga walau Ika menentang sekalipun. Begitulah juga jika sebaliknya. Sekarang ni semuanya kita serahkan kepada Allah.”
Zulaikha menerima kata-kata mummynya. Hatinya sedikit lembut. Itu tidak bererti kemarahan dan kebenciannya kepada Tengku Haikal sudah dilupakan begitu sahaja. Ya Allah, jika benar Tengku Haikal adalah jodohku, Kau dekatkanlah dia kepada diriku. Jika dia bukan jodohku, Kau jauhkanlah dia daripada terus mendekatiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan