Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 5

ACHOM!” Nuha menggenyeh hidungnya yang berair. Gara-gara mandi hujan semalam, hari ini dia dapat demam. Bangun tidur pagi tadi badan menggigil-gigil dan kepala rasa pening. Pergi klinik dapat cuti dua hari.
Nasi air di depan mata dimakan beberapa suap. Terasa lega sedikit selesemanya selepas itu. Sedang asyik makan, telefon bimbitnya berbunyi. Nama Pak Awi terpapar pada skrin. Lekas-lekas dia menjawab, “Assalamualaikum, Pak Awi.”
“Waalaikumussalam. Nuha, ada dekat mana ni?”
“Nuha dekat rumah. Hari ni Nuha tak pergi kerja. Doktor beri MC dua hari sebab demam. Kan tadi Nuha dah hantar SMS dekat Pak Awi. Tak dapat ke mesej tu?” beritahu Nuha.
Kemudian dia terdengar Pak Awi berdeham kuat. Aik, lain macam sahaja suara Pak Awi ni?
“Ini akulah. Fadil,” balas Fadil akhirnya membongkar identiti penyamarannya.
Nuha segera melarikan telefon dari telinga. Dia merenung lama sambil menelan air liur dengan susah payah. Fadil? Huh! Semalam buat dajal dekat aku. Hari ni kau menyamar jadi Pak Awi pulak ya? Macam manalah aku boleh tak cam suara kau tadi? getus Nuha dalam hati lalu menekap kembali telefon ke telinga.
“Hah! Ada apa ni awak telefon saya? Cakaplah cepat. Nanti habis pulak kredit ayah awak tu,” kata Nuha dalam nada dingin. Memang tidak patut Fadil telefon dia menggunakan telefon bimbit Pak Awi. Entah minta izin ke tidak.
“Kau demam sebab kena hujan semalam ke?” tanya Fadil.
“Buat apa awak sibuk nak ambil tahu?”
“Hmm... Maaflah pasal hal semalam. Terima kasih jugak sebab kau mengadu pasal aku dekat ayah aku.” Fadil menyindir.
Nuha mencebik. “Memang patut pun saya mengadu pasal awak. Semalam nasib saya malang betul. Dari pagi sampai petang, tak habis-habis kena musibah. Awaklah punya pasal!”
“Itu semua sebab takdirlah. Bukannya salah aku 100 peratus. Aku hanya penyebab aje. Tapi, kejadian tu memang dah tertulis dalam rencana Allah,” balas Fadil membuatkan Nuha semakin berasa geram dan bengang dengannya.
“Amboi! Bukan main sedap lagi awak bercakap? Dahlah. Tak kiralah suratan takdir ke atau kebetulan ke? Yang pasti, nasib saya semalam memang dah tak dapat diubah. Memang awaklah puncanya. Sekarang cakap dekat saya. Apa tujuan awak telefon saya? Awak nak apa lagi daripada saya?” Tinggi suara Nuha menempelak Fadil.
“Garangnya kau. Cakap lembut-lembut sikit tak boleh ke? Setahu akulah kan, perempuan ni lemah lembut sikapnya.”
Hampir tersedak Nuha dibuatnya. Ah, kalau dengan orang macam Fadil, tidak ada maknanya dia hendak bercakap lemah lembut. “Itu perempuan lain. Saya ni tak sama dengan perempuan yang awak maksudkan. Hah, cakaplah cepat awak nak apa?”
“Aku... aku nak minta maaf.”
“Tadi kan dah minta maaf. Berapa kali lagi awak nak minta maaf ni? Sekali cukuplah,” marah Nuha.
“Kau jangan nak kelentong akulah. Dengar nada kau bercakap pun aku tahu kau masih marahkan aku. Atau dalam erti kata lain kau tak ikhlas nak maafkan aku,” ujar Fadil.
Bibir Nuha senget sebelah. Bijak juga Fadil meneka perasaan orang.
“Ya! Memang saya marah awak. Saya marah sangat-sangat! Sekarang pun marah saya ni masih tak hilang lagi.” Nuha meluah rasa. Terdengar Fadil menghembus nafas perlahan.
“Okey, sekarang kau cakap. Kau nak aku buat apa? Aku akan ikut semua cakap kau.”
“Berhenti kacau saya.” Nuha terus memutuskan panggilan. Malaslah dia bersembang dengan Fadil lama-lama. Buat jiwa rasa sakit sahaja. Sudahlah dia tengah demam. Karang melarat-larat pula sakitnya.
“Bergaduh dengan siapa tu, Nuha?”
Nuha tersentak apabila disapa oleh emaknya, Mak Siti.
“Err... tak ada siapa-siapalah, mak. Orang salah nombor tadi. Dia cakap kasar dengan Nuha. Nuha balaslah kasar jugak,” tipunya mengenai hal sebenar.
Mak Siti bergumam. Dia meletak air suam di hadapan Nuha.
“Lepas ni beli motosikal ajelah buat ulang-alik ke tempat kerja. Kalau kau tak ada duit, pinjam duit mak dulu. Mak kesianlah tengok kau,” cadang Mak Siti.
Namun, Nuha tidak bersetuju dengan saranannya. Laju dia menggelengkan kepala.
“Tak naklah, mak. Nuha lebih suka naik teksi lagi,” balas Nuha.
“Naik teksi pun kadang-kadang lambat sampai. Lambat datang ambil. Tengok macam semalam, apa dah jadi?”
“Semalam tu sebab bukan Pak Awi yang bawa teksi. Kalau tak, on time aje Nuha pergi balik kerja. Mak tak payah risaulah. Nuha okey aje pergi kerja dengan teksi pun.” Nuha memujuk Mak Siti.
“Tapi, kalau kau berubah fikiran, beritahulah dekat mak. Nanti kita ajak ayah sekali pergi tengok motosikal dekat kedai Uncle Acong tu. Beli dengan dia boleh dapat murah sikit,” pesan Mak Siti.
“Yalah, mak,” ujar Nuha sekadar menyedapkan hati emaknya.

HERMAN memerhati gelagat Fadil. Diam sahaja memetik gitar tanpa menyanyi. Sikap Fadil hari itu agak berlainan sedikit daripada selalu.
“Ni apa hal ni, datang dengan muka monyok stail orang putus cinta aje? Apa masalah kau ni? Cuba cerita sikit dekat aku.” Kerusi berhampiran Fadil ditarik dan Herman duduk menghadap lelaki itu.
Fadil mengangkat muka dan berhenti memetik gitar. “Man, kalau perempuan tengah marah, kau tahu macam mana cara nak pujuk dia?”  
Dahi Herman berkerut mendengar soalan itu. “Siapa pulak yang marah kau?”
“Adalah sorang budak perempuan tu...” nyata Fadil. Wajah Nuha bergayut di depan mata.
“Awek ek? Wah, dah ada awek kau tak beritahu dekat aku pun. Diam-diam aje kau bercinta. Tergamak betul kau ni,” sungut Herman seakan-akan berjauh hati.
“Bukan aweklah...” Fadil menyangkal.
Lagipun perempuan mulut celopar macam Nuha tu mana sesuai menjadi awek dia. Bergaduh sahajalah 24 jam.
Kening Herman terangkat. “Dah tu, yang kau peduli sangat pasal dia apasal? Biasanya awek aje yang buat lelaki bujang macam kau ni susah hati duk fikir.”
“Bukan awek akulah, bro. Dia tu pelanggan teksi ayah aku. Semalam aku tolong hantar dia pergi kerja. Tapi, masa balik aku terlupa nak pergi jemput dia. Apa lagi, marahlah minah tu. Sebelum tu ada perkara lain jugak yang aku buat dia marah.”
“Kau buat apa?”
“Aku suruh dia tolak teksi sebab minyak habis.”
Ketawa Herman meledak. Terus dia sekeh kepala Fadil. “Ada pulak macam tu. Bongok betullah kau ni, Fad.”
Fadil membetulkan rambutnya. Memang kelakar apabila diingat semula. Tetapi, kagum juga dia dengan Nuha. Kuat kudratnya menolak teksi.
“Yang kau terlupa tu kes apa?” soal Herman.
“Petang semalam kan hujan. Syoklah aku bantai tidur. Tak sangka pulak terlajak sampai dekat pukul 7.00. Ayah aku balik dari Kuantan terus membebel aku sebab perempuan tu mengadu dekat dia,” jelas Fadil.
“Jadi, kau menyesallah ni?”
“Taklah menyesal sangat. Cuma, rasa bersalah sikit sebab hari ni dia demam. Tadi aku call tanya keadaan dia, bukan main teruk aku kena marah.”
Lama Herman merenung wajah Fadil sebelum tersengih-sengih sambil menggerakkan jari telunjuk ke muka Fadil. Sikap peduli Fadil buat dia mengesyaki sesuatu. “Awek tu cantik ke?”
“Boleh tahanlah. Tapi, mulut busuk sikit.”
“Jenis malas gosok gigi?”
“Agaknyalah kut sebab celopar lain macam,” kata Fadil lagi.
Tanpa sedar bibirnya tersenyum. Maksud dia tadi bukan busuk sebab tidak gosok gigi. Tetapi, cakap tidak bertapis. Dia bersembang dengan Nuha tidak ada pula bau longkang. Bau wangi dan manis adalah. Entah minyak wangi jenama apa Nuha pakai.
Herman memandang Fadil tersenyum sendirian. Segera dia membuat telahan. “Kau ni macam dah tangkap cintan dekat dia aje. Betul tak?”
Woo! Memang taklah aku hadap dengan perempuan macam tu.” Fadil menggeleng-geleng kepalanya.
“Ia ke? Tapi, aku tengok kau susah hati lain macam aje?”
Fadil mengeluh. “Macam mana aku tak susah hati kalau aku yang jadi penyebab dia jatuh sakit.”
“Alah, kalau kau suka pun mengaku ajelah depan aku.”
“Gila! Takkan baru sehari kenal dah jatuh suka. Biar logik kau ni.”
“Cinta tak mengenal waktu. Sesaat pun kau boleh jatuh cinta kalau Allah izinkan semua tu berlaku.”
Fadil mengerising. Kelakar pula dia dengar Herman bermadah pujangga.
“Itu kau. Bukan aku,” balasnya terus menafikan telahan Herman.
“Kalau aku jadi kau, aku ajak aje dia keluar. Belanja dia makan ke. Barulah nampak ikhlas nak minta maaf.”
Cadangan Herman buat Fadil termangu. Ajak Nuha keluar? Macam okey. Tetapi... “Kalau dia tak sudi?”
“Pandai-pandailah kau pergi ke rumah dia pujuk sampai dia sudi.”
Fadil mendecit. “Ini yang lecehnya. Mana aku tahu dia tinggal dekat mana?”
Herman mengeluh berat. “Nak seribu daya, Fad. Kalau tak nak, macam-macamlah alasan yang kau beri.”
Mata Fadil terkelip-kelip memandang Herman. Perlu ke dia buat semua itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan