Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 4

WAFA menggaru-garu kepala yang sikit pun tak rasa gatal. Dia duduk diam di pangkin sambil melihat Mak Jemah yang sedang memancing puyu dekat parit kecil di tepi rumah.
Lepas jumpa Karl di ofis lelaki itu dua hari lepas, hari ini dia balik ke kampung. Cadangnya nak beritahu maknya soal lelaki itu. Tapi, dia tak tahu nak cakap macam mana kepada Mak Jemah. Terus jadi blur otaknya.
Nak cakap macam mana, eh? Mak, Wafa nak kahwin! Isy... Takkan nak cakap macam itu? Terkejut pula orang tua itu karang. Macam mana dia nak mulakan ayat ya? Tiba-tiba, jadi cuak pula dia. Yalah, tiba-tiba saja nak kahwin. Bukan dengan Idham pula itu. Agak-agak maknya itu akan syak apa-apa tak?
“Duk garu kepala tu kenapa? Berkutu ke?”
Terkejut Wafa bila disergah begitu dengan Mak Jemah. Maknya, dijeling dengan ekor mata. “Isy... Nasib baiklah tak mati Wafa ni, mak. Kalau tak, tak sempat nak kahwin!”
“Aik, nak kahwin ke?”
Opsss! Wafa kedip-kedip mata, cuba mengawal riak muka. Tak sempat dia nak bina ayat elok-elok, dah terlepas cakap nak kahwin. Matilah, nak!
“Errr... sebenarnya, mak. Wafa balik ni nak bagi tahu yang... yang...” Gagap Wafa terhenti bila dia terperasan sebuah kereta Audi hitam masuk ke pekarangan rumah kampungnya. Elok saja terus parkir di sebelah kereta MyVinya.
Eh, siapa pula ni? Puas dia panjangkan leher nak tengok siapa yang ada di dalam kereta. Tapi, kalau dah cermin tingkap kereta itu tinted segelap-gelapnya, memang taklah dia nak nampak apa.
“Siapa tu, Fa?” tanya Mak Jemah. Turut tertanya-tanya siapa yang datang ke rumahnya petang-petang begini.
Wafa jongketkan bahu. “Entahlah, mak.”
Pintu kereta sebelah pemandu terbuka. Sebelah kaki dah menjejak tanah. Kemudian, satu susuk tubuh tinggi dan agak sasa keluar. Wafa tenung lama tubuh yang masih membelakangkan dia dengan maknya itu. Macam dia kenal saja belakang badan itu.
Elok saja pemilik tubuh itu pusing ke belakang, badan Wafa terus kejung. Dia rasa nak pengsan! Apa hal pula mamat ni boleh ada dekat sini?!
“Assalamualaikum, mak cik...” Karl berjalan mendekati Mak Jemah sambil tangan kanannya membuka cermin mata hitam.
Muka manis dia pamerkan buat bakal mak mertua dan bakal isteri yang macam dah nak pengsan di belakang itu. Terkejutlah tu. Hahaha. Surprise!
Mak Jemah sandarkan batang pancing di tepi pangkin dan letakkan baldi berisi ikan puyu di atas tanah. Tangan dilap dengan baju bila lelaki yang tidak dikenali itu hulurkan tangan untuk bersalam.
“Eh, tangan mak cik kotor ni,” ujarnya bila lelaki itu mencium hormat tangannya.
“Nak cari siapa ni?” tanyanya lagi.
“Saya Karl Elliyas. Bakal menantu mak cik,” jawab Karl selamba. Lepas itu, elok saja dia sengih-sengih.
Terkejut Mak Jemah mendengar pengakuan lelaki muda itu. Bakal menantu dia? Dia pandang Karl. Kemudian, dia toleh belakang. Mata dijegil-jegilkan kepada Wafa. Memberi maksud apa semua ni? Siap kau kejap lagi, Wafa!
Wafa dah mula tak tentu arah. Dia pandang muka tak bersalah Karl. Eee, mamat ni kan! Sengaja cari pasal betullah!

KARL duduk menunggu dengan sabar. Kedua-dua tangan digenggam erat. Tiba-tiba dia rasa gementar pula nak berdepan dengan wanita yang bernama Mak Jemah tadi.
Orangnya berbadan agak gempal. Tingginya pula lebih kurang sama macam anaknya, Wafa. Mukanya pun seperti Wafa. Yalah, dah namanya pun mak dan anak. Agaknya nanti bila Wafa dah tua, macam Mak Jemah itulah rupanya.
Entah macam manalah perangai sebenar Mak Jemah itu. Dalam Malaysia ini, seorang saja Mak Jemah yang dia kenal. Johan Raja Lawak. Kalau yang itu, perangai memang boleh tahan sengal. Tapi, yang the real Mak Jemah ini, tak tahulah dia macam mana. Haih, seram pula dia rasa.
Mak Jemah muncul di sebelah Wafa yang menatang air dari dapur. Karl terus berdiri tegak. Wajah cuba dimaniskan.
“Yang kamu berdiri tu kenapa? Duduk!” Mak Jemah mengeluarkan suara sambil duduk di depan lelaki muda itu.
Dia tayang muka ketat. Lelaki yang tiba-tiba datang dan mengaku sebagai bakal menantunya itu dipandang lama. Boleh tahan. Kacak dan tinggi orangnya.
“Errr, ya, mak cik.” Karl duduk sambil menelan air liur. Dia cuak!
Wafa letakkan minuman di atas meja kopi. Segelas air Sunquick sejuk diletak di depan Karl. Lalu, dia duduk di satu sofa panjang yang sama dengan Karl. Karl di hujung kanan, dia di hujung kiri. Di tengah-tengah, kosong.
“Kamu cakap tadi kamu bakal menantu mak cik ya?” Mak Jemah perhatikan dua orang manusia itu.
Karl nampak dah tenang sikit. Anaknya pula, tak payah cakap. Kalut memanjang. Macamlah dia tak nampak.
“Saya sebenarnya...”
“Hah, sebenarnya apa?!” ucap Mak Jemah dengan mata terjegil. Laju dia memotong ayat anak muda itu. Sampai terangkat bahu Karl dia buat. Terkejutlah tu.
“Errr, saya nak kahwin dengan Wafa!” Dengan sekali nafas, Karl habiskan ayat itu. Apa lagi, berubahlah reaksi Mak Jemah yang duduk di depannya.
“Kahwin?! Apasal pulak kamu yang nak kahwin dengan Wafa? Selama ni, si Wafa ni bagai nak rak bercinta dengan Idham. Tiba-tiba, kamu pulak yang nak kahwin dengan dia. Kamu dah buat apa dekat anak aku, hah?” Mak Jemah bulatkan mata memandang Karl dan Wafa.
“Eh, mak ni! Mana ada kita orang buat apa-apalah!” Wafa nafikan tuduhan keras maknya itu. Macamlah dia tak tahu apa yang dah maknya itu fikirkan.
Mak Jemah pandang muka Wafa. “Dah tu, yang kamu nak kahwin dengan si Karl ni kenapa? Idham mana?”
“Idham dah ada perempuan lainlah, mak. Dia dah nak kahwin dah pun.”
“Pulak? Ha, itulah. Awal-awal lagi mak dah cakap. Cepat-cepat kahwin dengan si Idham tu dulu. Tapi, tak nak. Ni lima tahun kamu tunggu, satu habuk pun tak ada. Padanlah muka!” Mak Jemah kerling geram anak tunggalnya itu.
Itulah, degil tak nak dengar cakap orang tua. Kan masin mulut tua dia ini. Idham dah lari pergi kepada perempuan lain.
Wafa hanya mencebik mendengar bebelan Mak Jemah. Nak buat macam mana, mampu tadah telinga sajalah dia. Huhuhu.
Karl pula hanya diam dan terus diam. Takut dia nak mencelah dalam perbualan dua beranak itu. Tak pasal-pasal dia pula yang kena nanti. Dahlah Mak Jemah ini menakutkan orangnya. Haih, seram betul bakal mak mertua dia ni!
“Hah, bila kamu cadang nak kahwin dengan Wafa?”
Kejung Karl sekejap apabila kena sergah begitu tiba-tiba dengan Mak Jemah. Sampai tergagap-gagap dia dibuatnya. “Errr, tahun depan, mak cik! Eh, bukan, bukan. Bulan depan, mak cik.”
“Hah, bulan depan?!” Serentak Wafa dan Mak Jemah bersuara.
Terteleng kepala Wafa pandang Karl. Masa bila pula dia orang bincang kata nak kahwin bulan depan? Eh, ni siapa yang desperate sangat ni?
“Bulan depan?! Baik kau orang berdua cakap dengan aku. Si Wafa ni mengandung ke apa sampai cepat sangat kau orang nak kahwin. Baik kau orang cakap!” Mak Jemah dah mula menyingsing lengan baju kurung dan buat gaya nak mendebik.
Karl dan Wafa pula sibuk buat gaya nak mengelak.
“Tak, mak cik. Saya tak usik pun Wafa ni. Saya cuma nak cepatkan benda yang elok aje. Mak cik jugak yang tadi cakap tak elok nak tunggu lama-lama. Lagipun, ni kan benda baik.” Berdesup Karl keluarkan ayat. Lambat cakap karang, tak pasal-pasal lebam biji mata kena debik. Adeh...
Mak Jemah diam. Betul juga apa yang budak Karl ini cakap. Anaknya itu kalau bercinta bukannya tahu sekejap. Tunggu sampai bertahun-tahun baru nak kahwin. Ini, dah ada lelaki yang nak, biar dia kahwinkan saja. Lagipun, nak menjaga anak dara ini bukannya senang. Lagi senang menjaga lembu satu kandang.
“Baik, mak cik setuju. Hujung minggu ni suruh wakil kamu datang. Merisik dan bertunang terus. Dah, minum air tu.”
Karl mengangguk laju. Dia kerling sekejap Wafa yang nampak cuak juga. Terketar-ketar dia mengambil minuman di atas meja. Buat pertama kali dalam seumur hidup, dia rasa cuak sangat-sangat. Nak buat presentation depan ahli Lembaga Pengarah pun tak ketaq sampai macam ini. Haih, garang sangat Mak Jemah ni. Seram!

“APASAL mak kau tu garang sangat, hah? Seram gila aku tengok.”
Wafa kerling Karl dengan pandangan tajam. Eee, rasa nak kokak-kokak saja mamat di sebelah dia ni!
“Apasal awak datang tak bagi tahu saya dulu? Ni, mana awak dapat alamat rumah mak saya ni?” Wafa hentak-hentak parang kecil pada kepala ikan puyu. Habis sampai lunyai kepala ikan itu dia buat. Geram punya pasal!
“Ika.”
Wafa gigit bibir. Dah sah-sah memang Ika! Siapa lagi yang tahu alamat rumah kampungnya ini selain daripada kawannya itu? Kalau Ika ada di sebelahnya sekarang ini, memang dia dah gigit-gigit. Suka hati perempuan itu saja main bagi alamatnya kepada Karl. Heh!
Karl ikut mencangkung di sebelah Wafa yang dah duduk bersila. Dia tengokkan saja gadis itu menyiang ikan. Boleh tahan pandai juga. Tengok gaya siang ikan pun dah nampak expert, kalau masak mesti terror. Baguslah macam itu kan. Tak adalah dia kebulur lepas kahwin dengan perempuan ini nanti.
“Awak buat apa datang sini?” Dingin soalan Wafa.
“Datang nak buat apa lagi? Datang nak bincang pasal wedding kita dengan mak kau tulah. Kata nak kahwin sangat, kan?”
“Eh, awak tu yang nak kahwin sangat ya! Kalau ya pun, sabarlah sikit. Bagi saya bincang dengan mak saya dulu. Ni awak datang, main terjah macam ni dah kenapa?! Nasib baik tak mengamuk Mak Jemah dekat depan tu tau tak!” Wafa hentak parang kuat. Kali ini bukan lunyai kepala ikan dia buat. Hancur terus!
“Eh, relakslah weh. Tak payahlah marah-marah.” Risau pula Karl bila tengok Wafa marah begitu. Tak pasal-pasal karang dia pula yang kena parang. Tak sempat nak kahwin.
Eh, nak kahwin juga ke? Haruslah nak. Hahaha!
“Mahunya saya tak marah. Awak tak kenal lagi Mak Jemah tu macam mana.”
“Macam mana apa pulak?” Karl kerut kening.
Dia tengok Mak Jemah okey saja tadi. Walaupun dia hampir-hampir nak kena debik. Tapi, kena debik lagi okey kut daripada kena parang. Kan?
“Yalah. Nasib dia tak marah sangat. Awak datang-datang terus mengaku bakal menantu dia. Saya ni tak sempat lagi nak cakap dengan dia pasal awak. Saya baru aje nak cakap tadi. Dah awak muncul. Spoillah awak ni!”
Karl mengangguk-anggukkan kepala. Iakan sajalah apa yang bakal isterinya itu cakap.
“Lagi satu, masa bila pulak saya kata saya nak kahwin bulan depan? Pandai-pandai aje awak ni, kan?!” soal Wafa tak puas hati.
Suka hati saja si Karl ini buat keputusan sendiri. Yang tak boleh blah tu, maknya pun main setuju saja. Tak bincang dengan dia pun. Dia ke maknya itu yang nak kahwin sekarang ni?
“La, lagi cepat lagilah bagus. Ika cakap dengan aku yang Idham tu kahwin bulan depan. So, biarlah kita kahwin sama-sama dengan dia orang. Lepas tu, bolehlah kau terus move on. Bagi kau sedar sikit yang bekas kekasih kau tu dah jadi laki orang. Dan, kau pun dah jadi bini orang masa tu. Hati tu jaga sikit ya. Ada faham?”
Wafa menjeling. “Ya, faham.”
Good girl!” Karl usap-usap kepala Wafa macam budak kecil. Jelingan perempuan itu dia buat tak endah. Biarlah, bakal bini dia. Suka hati dialah nak buat apa.
“Ni... awak nak balik bila ni?”
“Aku tidur sini malam ni. Ahad, aku balik sekali dengan kau.”
“Hah?!” Wafa rasa kepala dan dada dia macam dah nak meletup sekarang ini. Lelaki itu nak tidur di sini? Dua malam pula tu!
“Eh, tak payah, tak payah! Jangan mengada nak tidur sini. Lepas bincang, awak balik. Faham?!”
“Tak faham.” Karl menjawab selamba.
Serius, Wafa rasa nak ketuk-ketuk saja kepala Karl dengan lesung batu. Geramnya dia dengan lelaki ini!
Dalam melayan rasa sakit hati, mulalah mulutnya membebel itu ini. Sampai tak sedar semua ikan puyu, dia dah siap siang. Sisa-sisa ikan, dia kemas dan masukkan ke dalam plastik untuk dibuang. Dia bangun sambil mengangkat bekas yang berisi ikan dan dia letak dekat singki. Ikan puyu, dia rendam dengan asam jawa dan limau nipis bagi menghilangkan bau hanyir.
 Tangan yang melekat dengan darah dan sisik ikan pula dia sental sampai bersih. Kemudian, dia pusing ke belakang dan bercekak pinggang memandang Karl yang masih tercegat di situ. Yang sedari tadi tak henti-henti memerhatikan dia.
“Saya nak pergi mandi. Dan, saya belum habis lagi dengan awak, Karl!” Tepat jari telunjuk Wafa terarah kepada Karl.
Karl terkebil-kebil tengok Wafa yang dah keluar dari dapur. Tengok gaya marah gadis itu, wau! Boleh tahan garang. Tapi, tak apa. Tengok lepas kahwin nanti. Berani tak agaknya perempuan itu nak garang begitu dengannya. Hahaha!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan