Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 8

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


“ATUK mana?” tanya Zul kepada neneknya sebaik menghampiri meja makan.
Seperti biasa, sarapan pagi sudah terhidang di atas meja. Cuma yang pelik, datuknya tidak kelihatan di situ. Selalunya datuknya sudah berada di meja makan sambil baca surat khabar pada waktu begini.
“Ada kat luar tu. Tengah buat senaman taici,” jawab Datin Halimah.
“Aik? Sejak bila atuk layan taici?”
“Sejak nak jadi muda baliklah tu.” Suara nenek macam tidak puas hati. Cemburu pun ada.
“Nenek cemburu ya?” usik Zul Zafri.
“Kalau nenek cemburu pun apa salahnya? Dia suami nenek. Dulu asyik kerja saja. Sekarang, bila dah cucu ambil alih, dia memang banyak masa terluang. Nenek bimbang, kalau tiba-tiba kamu dapat nenek tiri muda bergetah yang lebih muda daripada kamu.”
Zul Zafri ketawa terbahak-bahak. Sampai ke situ pula nenek berfikir. Atuk nak cari perempuan muda bergetah sebagai bini nombor dua? Itu bukan cara atuk. Dia kenal benar dengan atuknya. Jenis yang setia. Mungkin disebabkan itu, dia sebagai cucu setia menanti Nazurah.
Tapi bila tengok mereka berdua, dia rasa cemburu pula. Entah bilalah dia boleh rasa bahagia begitu. Terus dia teringatkan Nazurah. Entah bagaimana keadaan Nazurah sekarang. Rindu ke Nazurah kepadanya?
“Sabtu ni kamu free tak?” soal Datin Halimah.
Sudah! Nenek sudah mulakan mukadimah. Itu tak lain dan tak bukan mesti ada sesuatu yang telah dirancangnya. Tak perlu tanya, Zul Zafri sudah dapat agak. Apa lagi kalau bukan pasal jodoh. Tapi tak mengapa. Dia sudah sediakan senjatanya. Lisa!
“Mmm... tak pasti lagi. Zul kena tanya Lisa dulu.” Zul Zafri sengaja berikan alasan.
Padahal dia tahu sangat pada hari itu dia free sepanjang masa. Biasanya hari Sabtu dia akan bermain badminton dengan Nazri.
“Lisa? Siapa tu?” Datin Halimah terus menyoal. Pantang betul dengar nama perempuan.
“PA Zul. Baru saja Zul ambil dia kerja. Senang sikit nak urus jadual kerja Zul,” jawab Zul Zafri dengan harapan nenek tak bertanya lanjut tentang Lisa.
Nanti habis rahsianya. Lisa itu senjata barunya. Kalau nenek tahu memang hancur segala rancangannya.
“Oh, tak adalah. Nenek cadang nak kenalkan dengan seorang anak kawan nenek ni. Dia baru saja habis belajar medic di Mesir.”
Zul Zafri menggaru kepala. Anak kawan nenek. Kebanyakan kawan-kawan neneknya, ahli masjid. Belajar medic di Mesir. Zul Zafri sudah terbayangkan perempuan bertudung labuh dan sopan orangnya.
Kalau perempuan seperti Zara Alia yang mak ciknya bawa tempoh hari, bolehlah dia tolak mentah-mentah tapi kali ini memang payah sikit. Calon neneknya memang begitu sempurna. Sukar dia nak bagi alasan yang munasabah.
Oh, tak apa! Lisa ada!
“Okey, nanti Zul cuba adjust jadual,” jawabnya penuh yakin.

“SELAMAT pagi Kak Wahida. Saya ingat saya antara yang terawal datang,” sapa Lisa yang baru saja jejak ofis.
Dia ingatkan dia antara terawal hari ni. Rupanya Wahida lagi awal.
“Selamat pagi. Akak memang kena awal sebab nak hantar anak ke rumah mak akak. Takut jalan jem pula. Lisa pula? Kenapa awal sangat hari ni?” tanya Wahida.
“Suhaila kena teman Encik Hadi pergi meeting kat luar. Jadi, nak tak nak saya pun kena awal jugalah. Maklumlah, hidup menumpang orang.”
Wahida sekadar tersenyum. “Lisa, akak nak tanya sesuatu boleh?”
“Lain macam saja bunyinya...” Lisa sudah rasa lain macam. Ini macam mukadimah hendak korek rahsia seseorang sahaja.
“Akak bukannya nak busybody tapi bila dah ramai sangat yang tanya, akak pun rasa akak patut tanya Lisa dulu.”
Lisa menelan air liur. Ini mesti pasal...
“Lisa dengan bos ada apa-apa hubungan istimewa ke?”
Akhirnya, ada yang berani bertanya selain Suhaila! Hampir seminggu Lisa bekerja di situ dan dalam tempoh itu memang ada banyak gosip-gosip yang merapu tentang dirinya, terutama sekali apabila dikaitkan dengan bos.
Kebanyakan syak dia adalah kekasih rahsia bos. Disebabkan itu, banyak pekerja-pekerja yang kaki ampu orang, berbaik-baik dengannya. Menyampahlah pula. Memandangkan Wahida sudah bertanya, lebih baik dia jawab hal sebenar.
“Mmm... sebenarnya...” Lisa sengaja tunjuk suspens sikit.
Hidup takkan berwarna kalau tidak ada suspens. Seronok pula tengok Wahida tekun menunggu jawapan daripadanya.
“Sebenarnya tak ada apa-apa pun! Saya memang tak kenal bos langsung sebelum ni. Sumpah!” kata Lisa sambil angkat tangan kanan seakan berikar.
Semoga Wahida percaya dan selepas ini tak ada lagi gosip-gosip dia dengan big boss.
“Maaflah kalau akak bertanya.”
“Saya tahu, ramai sangat bercerita tentang saya ada hubungan sulit dengan bos, kan?”
Wahida tersengih lagi. “Sebab tulah akak nak tanya. Manalah tahu kan, akak terkasar bahasa dengan bakal isteri big boss.”
“Hisy, meremang bulu roma saya. Minta dijauhkan.” Lisa memeluk tubuhnya.
Sungguhpun dia seorang yang suka berangan-angan tapi belum pernah lagi sampai ke tahap itu. Bakal isteri big boss? Dapat kerja ini pun kira bernasib baik, apatah lagi hendak jadi isteri big boss. Bagai langit dengan bumi jaraknya!
“Kenapa? Akak tengok bos tu okey juga. Tak adalah macam anak orang kaya yang lain. Kerja mereka hanya tahu habiskan duit mak bapak saja. Kira bos ni akak tengok macam... lelaki Melayu terakhir.”
“Hah? Lelaki Melayu terakhir?” Lisa ketawa terbahak-bahak.
Gila punya lawak! Kalau bos dengar, gerenti gaji Wahida naik mendadak. Terus jadi pekerja tetap.
“Kenapa? Tak betul ke?”
“Betul. Betul. Betul!” Lisa mengiakan sahaja.
Takkan dia nak beritahu Wahida pasal perjanjian dia dengan bos? Kalau Wahida tahu, pasti Wahida pun tak percaya otak bos ada sedikit weng. Ada ke patut upah novelis untuk selesaikan masalah cintanya? Huh, tak pernah dibuat orang.
“Ah, perut saya dah berbunyi.” Lisa memegang perutnya yang langsung tidak jamah apa-apa lagi.
Selalunya awal-awal pagi dia akan bersarapan roti kering. Pagi tadi pun sudah kelam-kabut bersiap. Langsung tidak sempat hendak bancuh air kopi.
“Pergilah makan dulu kat kafeteria.”
“Malaslah nak turun ke bawah. Nak kena tunggu lif lagi...” keluh Lisa. Menyesal pula dia tidak terus ke kafeteria tadi.
“Kalau malas, makanlah biskut kering di pantri tu,” kata Wahidah.
“Hah! Sedap tu. Cicah dengan kopi lagi sedap! Tapi... saya tak ada cawanlah. Asyik lupa saja nak bawa cawan sendiri ke ofis.”
“Guna saja cawan dalam kabinet tu. Itu untuk kegunaan ofis juga,” kata Wahidah.
“Eh, ada cawan ya? Kenapa tak perasan pun? Okey, nak pergi buat kopi sekarang! Nanti, bos datang, langsung tak dapat makan pula.” Lisa segera berlalu ke pantri.
Rasanya dalam seminggu ini, hanya dua tiga kali dia pernah ke pantri. Sebabnya, dia memang jarang duduk di ofis. Kerja sebagai PA bos, memang selalu ikut buntut bos. Ke mana sahaja bos pergi dia mesti kena ikut. Tambahan pula bos belum lagi ada pemandu peribadi. Jadi, dialah yang kena bawa bos ke mana sahaja bos kena pergi untuk mesyuarat.
Masuk sahaja pantri, Lisa dongak pandang atas. Ini yang paling dia tak suka sekali. Nak buat Nescafe tapi tak ada cawan. Mahu guna cawan ofis, semuanya tersimpan dalam kabinet. Kabinet pula, nun jauh tinggi daripada ketinggiannya.
Orang kata perempuan kaki pendek itu memang comel. Tapi bab ambil barang di tempat tinggi, boleh hilang kecomelannya!
“Apa pasallah orang yang buat kabinet ni suka sangat buat kabinet tinggi-tinggi? Bertimbang rasalah sikit dengan orang pendek,” kata Lisa terpaksa tarik kerusi dan panjat.
Itu pun ketinggiannya tidak mencukupi. Terjengket-jengket kakinya sambil tangannya cuba mencapai sebuah cawan di dalamnya.
Tiba-tiba ada satu tangan mengambil cawan itu. Terkejut Lisa dibuatnya. Nasib baik itu tangan manusia. Kalau tangan hantu, memang boleh buat mati keras di situ. Lantas dia berpaling. Mahu tahu siapa gerangan orang yang lebih tinggi daripadanya itu.
Matanya seakan-akan terkunci tatkala bertentang mata dengan lelaki di sebelahnya itu. Jarak muka mereka berdua hanya dalam beberapa inci sahaja sehingga Lisa dapat mendengar nafas orang itu. Untuk beberapa minit, dia kaku memandang orang itu sehinggalah menyedari siapa gerangan orangnya.
“Bos!”
“Nak minum air apa?” tanya bos seperti mahu membancuhkan minuman untuknya.
“Err... Nescafe!” Laju saja Lisa menjawab seraya turun dari kerusi.
Zul Zafri terus mencapai paket Nescafe 3 in 1 dan mula bancuh manakala Lisa menunggu dengan penuh teruja. Rasa macam bermimpi pula bila tengok bos sendiri bancuhkan Nescafe untuknya. Baru hari inilah dia tengok mood bos agak baik sedikit. Kalau tidak, dalam seminggu ini, asyik terjerit-jerit memarahinya yang melakukan kesilapan.
“Lain kali kalau dah tahu kaki tu pendek, sediakan cawan sendiri. Kerusi tu untuk diduduk, bukan untuk dipijak. Faham?” Zul Zafri menegur setelah siap bancuh air Nescafe.
Laju sahaja Lisa mengangguk. Padahal dia langsung tidak ambil kisah pun dengan teguran itu. Faham pun tidak. Otaknya langsung tak boleh berfungsi tanpa kopi. Yang dia mahu sekarang adalah kopi, kopi dan kopi!
Baru Lisa ingin mengambil cawan dari tangan bosnya, dia terkejut apabila encik bos terus minum air Nescafe itu. Melopong mulutnya melihat tindakan bosnya. “Bos...”
“Apa?”
“Nescafe saya...”
“Siapa kata saya nak buat untuk awak? Perasan! Kaki pendek!” Bosnya terus melangkah pergi.
Tinggal Lisa seorang diri meneguk air liur.
“Cis! Aku doakan kau dapat isteri pendek baru tahu!” omel Lisa dalam geram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan