Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 1

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


LISA keluar dari bilik temu duga dengan perasaan hampa. Dia sudah agak dari awal lagi bahawa dia pasti tidak akan berjaya dalam temu duga itu. Masuk sahaja ke dalam bilik temu duga, badannya sudah diserang seram sejuk. Itu belum lagi bertentang mata dengan tiga orang panel yang menemuduganya.
Ada seorang lelaki dan dua orang perempuan. Lelaki yang menemu duga itu memperkenalkan diri sebagai pengurus sumber manusia. Sekali tengok memang sukar hendak percaya sebab orangnya muda lagi. Mungkin dalam lingkungan umur 30-an. Kacak dan tidak lekang dengan senyuman. Masa tu, perasaan seram takut lenyap tiba-tiba.
Tapi perasaan itu datang kembali apabila ditegur oleh salah seorang perempuan. Ada dua orang perempuan di dalam itu. Seorang agak muda dan nampak gaya macam pekerja biasa dan seorang lagi agak berumur. Muka pun macam singa tidak cukup makan. Masam memanjang. Dialah yang banyak tanya soalan yang susah. Dia jugalah yang buat Lisa tergagap-gagap apabila menjawab soalan.
Kesudahannya, dia kata, “Baiklah Lisa. Sampai sini saja pertemuan kita hari ini. Kami akan hubungi awak nanti. Terima kasih.”
Ini bukan kali pertama Lisa menghadiri temu duga. Dulu, masa tamat belajar di universiti, sebelum jadi graduan lagi dia sudah masuk bertempur di medan mencari kerja. Macam-macam temu duga dia pergi. Semuanya tidak berjaya. Lebih-lebih lagi syarikat besar seperti ini. Baru sahaja jejak kaki, hilang segala persediaan yang dipraktikkan.
Semuanya sebab dia tiada keyakinan diri. Dia cuba untuk perangi masalah ini sejak dulu lagi tapi tiap kali dia cuba untuk percayakan diri sendiri, ada sahaja yang berlaku sehingga melemahkan semangatnya. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk menjadi penulis novel. Pada awalnya dia ingat kerja menulis hanya berangan dan tulis angan-angan tapi jangkaannya meleset sama sekali.
Hai, apalah nak jadi dengan masa depan aku ni? Dari dulu sampai sekarang tak pernah lulus temu duga. Agaknya aku kena mandi bunga kut, barulah masalah ni hilang.
Lisa jeling tengok jam tangannya. Ada setengah jam lagi untuk rehat. Dia teringat pesanan Suhaila malam tadi.
“Kalau kau dah habis interviu, tunggu aku tau. Kita rehat sama-sama.” Lantas dia keluarkan telefon bimbit dan memberikan mesej kepada Suhaila.

Aku dah habis interview. Sekarang on the way ke kafeteria.

Send! Tanpa berlengah lagi dia terus menapak ke kafeteria yang terletak di tingkat bawah bangunan itu.
Kafeteria pada waktu ini agak lengang sedikit. Belum tiba waktu rehat lagi agaknya. Hanya ada beberapa orang yang sedang makan di sana. Tanpa berlengah lagi, Lisa terus ambil sepinggan nasi dan capai beberapa jenis lauk. Nak tunggu Suhaila turun lambat lagi. Lebih baik dia capai makanan dulu.
Kalau tiba waktu rehat, mungkin kafeteria ini akan penuh dengan orang. Sudahlah dia mudah stres dengan orang ramai.
Selepas bayar, dia terus duduk di meja yang kosong. Bila sudah duduk barulah dia perasan ada seorang lelaki yang memakai baju-T dan berseluar jean duduk di hujung meja itu. Mata bertentang mata. Mata lelaki itu meliar tengok dia macam orang tak puas hati.
Apa? Salah ke duduk sini? Macamlah kafeteria ni bapak kau yang punya! gertak Lisa dalam hati. Lantaklah. Dia tidak peduli. Dia sudah terduduk di meja itu. Lagipun jauh benar mereka berdua.
Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Panggilan daripada Suhaila. Tanpa buang masa dia menjawab panggilan itu.
So macam mana dengan interviu tu?” tanya Suhaila tanpa beri salam terlebih dahulu. Dia pula yang terlebih teruja.
“Kau rehat nanti aku cerita,” kata Lisa sambil jeling tengok jam. Ada dalam 15 minit lagi.
“Aku tak dapat turun rehat kut.”
“Hah? Kenapa kau tak beritahu awal-awal?”
“Tulah sebab aku telefon kau. Bos aku belum keluar dari meeting lagi. Selagi dia tak habis meeting, selagi tulah aku tak boleh nak ke mana-mana.”
“Kau ni memanglah. Kalau aku tahu tadi, dah lama aku blah dari tempat ni!” Lisa geram.
“Hehehe. Sorry. So, berjaya tak dengan interviu tadi?” Suhaila tak sabar-sabar ingin tahu.
“Entahlah. Macam tak ada harapan aje,” jawab Lisa tak ada keyakinan.
“Kenapa?”
“Mak singa yang kelaparan tulah! Dia punya soalan macam nak bagi orang tercekik air liur.”
“Mak singa? Datin Azizah?” teka Suhaila.
“Datin ke? Badan dia gemuk-gemuk sikit. Pakai gincu merah menyala.”
“Yalah tu. Datin Azizah. Dia tu memang ada masalah mental. Tapi apa pula dia buat kat situ? Bukan kerja dia interviu orang.”
“Manalah aku tahu. Semua soalan dia, semua aku tak boleh nak jawab.”
“Dia tanya soalan apa?” soal Suhaila.
“Banyak tentang sejarah Dinasti Group.”
“La... Kau tak buat homework ke? Bukan ke tu soalan basic yang akan ditanya masa temu duga? Mana-mana syarikat pun akan tanya soalan ni tau.”
“Dah. Aku dah buat homework tapi masalahnya dia tak puas hati dengan jawapan aku.”
“Tak puas hati? Macam mana?”
“Aku jawab apa yang aku baca dalam laman web dan Wikipedia. Tapi mak singa tu, boleh tanya projek-projek dia orang yang lepas. Siapa yang uruskan? Tahun bila mula dan siap? Lepas tu dia suruh aku senaraikan 10 projek yang dia orang pernah uruskan mengikut urutan tahun. Gila tak?”
“Mak ai!” Suhaila pun terkejut dengar. “Kenapa gila sangat soalan dia tu? Jawatan setiausaha aje pun.”
“Entahlah,” Lisa mengeluh.
“Tapi tengok gaya ramai calon yang keluar muka ketat macam tak puas hati saja. Aku syak dia dah ada calon yang sesuai sebab tulah dia tanya soalan macam orang gila talak. Yang temu duga ni sebagai syarat saja. Betul-betul buang masa aku. Kalau aku tahu, lebih baik aku duduk rumah dan perah idea untuk novel seterusnya!”
“Takkan mak singa tu saja yang tanya? Encik Nazri, dia tak tanya apa-apa ke?”
“Yang handsome tu? Dia tu sama gila.”
“Hah? Kenapa?”
“Ada ke patut dia suruh aku baca doa Qunut! Dah macam nak cari calon isteri pulak!”
“Hah?” Suhaila terkejut lagi. “Kau biar betul!”
Dalam pada itu, dia perasan lelaki tak jauh daripadanya itu tersedak air kopi. Cis, tak guna betul! Ada pula dia curi dengar perbualan orang. Lisa menjeling tajam.
“Betullah. Buat apa aku nak tipu,” jawab Lisa.
Stres pula dia teringatkan peristiwa kena baca doa Qunut. Nasib baiklah itu bacaan ketika solat. Tahulah dia menjawabnya. Kalau orang tu suruh baca mana-mana surah dalam al-Quran, memang boleh pengsan dia di situ.
“Su, kenapa kau boleh tahan kerja kat company yang gila macam ni ya? Kau tak takut ke suatu hari nanti kau jadi gila?” tanya Lisa.
“Amboi, mulut! Kalau tak dapat jawab soalan tu, jangan kutuk company aku ya!”
“Bukan kutuk, ini kenyataan. Kalau setakat kena baca doa Qunut tu aku boleh tahan lagi tapi aku bengang sungguh dengan mak singa tu.”
“Anggaplah kau tak ada rezeki. Sorrylah, aku dah susahkan kau. Tak sangka pula mak singa tu ada sekali. Okey, aku letak telefon dulu. Sorry tak dapat temankan kau makan,” kata Suhaila sebelum meletakkan telefon.
Lisa mengeluh. Nasib malang makin menjadi-jadi. Tiba-tiba sekali lagi telefon bimbitnya kedengaran lagi. Dia menjeling tengok nama yang tertera pada skrin. Tuan Editor!
Nampak sahaja nama itu, laju sahaja tangannya menekan butang hijau. Sambil itu tangan kirinya menggagau mencari sesuatu dalam beg tangannya. Sebuah buku warna pink dikeluarkan.
“Juwita?” Tuan editor panggil nama penanya.
“Ya, tuan editor!” Bersemangat betul Lisa dengar suara editor bagi novelnya.
Ini tak lain dan tak bukan mesti hendak beritahu pasal manuskrip yang dihantarnya beberapa bulan yang lepas.
“I baru saja habis baca manuskrip you...”
Lisa dengar dengan penuh teruja. Dia tak sabar nak dengar berita baik. Tiba-tiba dia dengar tuan editor mengeluh.
“Kenapa? Ada yang tak kena ke?” soal Lisa takut-takut.
“Entahlah. I rasa kali ni kurang menyengat.”
Kepala Lisa hampir terhantuk meja makan. Lemah semangatnya.
So, I sudah e-melkan kepada you apa yang tak kena dalam cerita tu. I juga ada highlight beberapa perkara yang you perlu take note. Terpulanglah pada you sama ada nak ikut idea I atau you fikirkan idea lagi. Okey?”
Lisa mengangguk. “Okey. Terima kasih.”
“Sama-sama. Usaha lagi ya,” kata tuan editor sebelum letak telefon.
“Nak tulis cerita apa lagi yang boleh menyengat orang sampai koma?” keluh Lisa langsung tak bersemangat.
Makanan di hadapannya hanya dapat ditenungnya. Selera makan terus hilang macam orang putus cinta.
Sekali lagi telefon bimbitnya terima satu lagi deringan. Kali ini mesej. Lisa pun segera membacanya.

Boleh kita berjumpa? - Farid.

Baca sahaja mesej daripada Farid membuatkan Lisa bagaikan berpijak di dunia lain. Fikirannya tiba-tiba jadi bercelaru. Dia dengan Farid sudah lama berpisah. Tapi orang kata, cinta pertama memang susah hendak lupa.
Apa hal Farid mesej? Jangan-jangan dia dah berpisah dengan Aisyah lagi!

Boleh. Bila?

Mesej send! Tanpa teragak-agak. Hatinya kembali berbunga-bunga.

Sekarang. Boleh? Jumpa di tempat biasa. - Farid
Okey.

Mesej send! Wah, Farid masih ingat lagi tempat yang biasa mereka dating! Bahagianya hidup!
Tanpa berlengah lagi, dia segera makan beberapa sudu, minum air sikit, capai beg dan terus bergerak. Tergopoh-gapah dia mengatur langkah sampai begnya terlanggar kepala lelaki yang duduk tidak jauh daripadanya tadi.
“Adui!” marah lelaki itu.
Sorry,” ucapnya dan menyambung langkah.

“ADUI!” Zul Zafri terasa kepalanya dilanggar oleh sesuatu dari belakang.
Dia berpaling sambil menggosok kepalanya yang bagaikan dilanggar besi keras. Gila punya keras. Entah apa yang dibawa oleh gadis itu dalam beg. Agaknya, besi untuk pukul orang kut. Perempuan sekarang memang ganas-ganas!
Sorry,” ucap gadis yang duduk tidak jauh daripadanya tadi.
Selepas ucap sorry, gadis itu terus melangkah pergi.
Cis! Tak ada adab langsung! Perempuan macam ni ada hati nak jadi setiausaha? Reject! dengusnya. Dia kembali meneguk air kopi yang tinggal sedikit. Dihabiskan terus. Dia jeling tengok jam tangannya. Sudah masuk waktu rehat. Patutlah orang ramai mula membanjiri kafeteria.
Dia berlalu bangun. Baru sahaja memulakan langkah, kakinya tersepak sesuatu. Sebuah buku nota berwarna pink meluncur laju di hadapan. Zul Zafri mengambil buku itu dan memandang sekeliling. Tak ada pun yang macam kehilangan buku nota. Semua macam sibuk dengan makanan.
Mungkin perempuan tadi kut, fikirnya.
Tiba-tiba telefon bimbit di kocek seluarnya bergetar. Dia segera menjawab panggilan itu.
“Dengar kata kau ada kat kafeteria sekarang.” Suara Nazri kedengaran.
“Mmm... Kenapa?” Terus dia mengaku.
Tak ada gunanya lagi dia menafikan. Mata-mata yang mengenalinya begitu banyak di sini. Bodohlah kalau dia berbohong.
“Ada masa tak? Yang ni pasal interviu tadi.”
Jap. Aku naik.” Perbualan ditamatkan begitu. Langkahnya diatur laju keluar dari kafeteria itu. Tanpa sedar dia membawa buku nota yang dijumpainya tadi.
Sampai sahaja di pejabatnya, kelihatan Nazri sudah menunggu di ruang menunggu. Suasana di pejabatnya memang sunyi. Walaupun ruangnya agak besar tapi tidak banyak meja kerja di situ. Hanya ada sebuah meja untuk setiausaha yang akan dilantiknya.
So, macam mana? Berapa ramai yang lulus baca doa Qunut?” soal Zul Zafri sambil melangkah masuk ke pejabatnya.
“Daripada 10 orang yang aku interviu, hanya tiga orang yang boleh baca dengan betul. Yang lain semua fail,” jawab Nazri sambil menghulurkan dua helai kertas yang mewakili dua orang calon.
“Kenapa dua? Kau kata ada tiga orang?”
“Yang satu lagi, aku tak nampak dia ada keyakinan boleh handle kerja ni. Jadi, aku cadangkan dua orang ni. Tapi... mak saudara kau tu, bagi markah penuh pada calon ni.” Nazri memberikan sehelai lagi kertas markah.
“Pedulikan mak singa tu. Aku dah tahu sangat plot drama dia. Perempuan tu, anak saudara dia. Sebab tulah dia nak sangat jadi panel untuk interviu kali ni,” jawab Zul Zafri.
Dia juga sudah terikut-ikut berikan gelaran mak singa kepada Datin Azizah, mak saudaranya itu.
“Sebab tulah kau minta aku suruh soal pasal doa Qunut?” soal Nazri. Barulah dia faham kenapa bosnya itu bagi arahan yang pelik-pelik pagi tadi.
Zul Zafri ketawa.
“Kau ni nak cari setiausaha atau nak cari isteri sebenarnya?” tanya Nazri dengan syak wasangka.
“Setiausaha umpama isteri di pejabat. Dia yang akan tentukan semua agenda aku. Dah tentulah aku nak cari yang terbaik. Yang penting, mesti jaga solat. Kalau dia pandai jaga solat, gerenti dia pandai jaga syarikat dan aku sebagai bos. Faham?”
Nazri angguk faham. Cerewet juga kawannya ini. Patutlah sampai sekarang susah betul nak keluar dengan perempuan. Memilih sampai tak ingat dunia.
“Antara dua ni, kau pilihkan untuk aku.”
“Pulak,” keluh Nazri. “Kaulah pilih. Setiausaha ni untuk kau.”
“Sebab aku tahu, kau tentu tahu apa yang aku suka dan sesuai untuk aku,” jawab Zul Zafri.
“Mmm... Okey, aku pilih calon janda anak satu tu.”
Zul Zafri pandang Nazri semacam. Ini macam ada rancangan nak jadikan dia sebagai bapa tiri sahaja.
“Apa? Suami dia baru saja meninggal. Dia perlukan duit untuk jaga, besarkan anak dia.” Nazri memberikan hujahnya.
“Syarikat atuk aku ni bukan jabatan kebajikan, Nazri.”
“Dia satu-satunya calon yang sesuai. Walaupun dia dah lima tahun tak bekerja tapi dia ada pengalaman lima tahun kerja sebagai setiausaha. Apa salahnya bagi dia peluang?”
Zul Zafri mengeluh panjang. “Okey, bagi dia peluang.”
Malas dia nak fikir lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan