Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 1

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SUASANA kelas 5SC2 bingit macam pekan hari. Mentang-mentanglah Cikgu Naemah, guru mata pelajaran bahasa Melayu baru dua hari bersalin, tak sempat nak dapat guru ganti, apalagi berjimba sakanlah budak-budak kelas yang terdiri daripada 19 orang budak perempuan dan 10 orang budak lelaki itu.
Di hujung kelas yang bercat hijau pokok pisang terdapat sekumpulan budak perempuan yang sedang tersengih-sengih menatap sesuatu di sebuah majalah. Masing-masing berangan sendiri.
“Kalaulah Tomok nak kat aku. Kan best. Timah, Tomok. Kan ngam tu,” ujar seorang budak perempuan berkaca mata, berjerawat batu bernama Fatimah sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Hei, Tomok tu aku punya okey. Kau jangan nak perasan sangat. Aku dengan dia baru ngam.” Majalah yang dipegang Fatimah dirampas si budak kecil molek dan comel. Shila namanya.
Ditatap gambar Tomok yang sedang bergambar di kolam renang bersama ahli kumpulan New Boyz yang lain. Aduh, handsomenya mamat ni. Giliran dia pula berangan sampai ke langit ketujuh.
“Aku tak minat Tomok. Syuk lagi handsome, okey!” sampuk budak perempuan yang berbadan tembam. Cik Ah namanya. Majalah Mangga itu bertukar tangan sekali lagi.
“Eleh, kau orang ni. Tomoklah, Syuklah, macamlah dia orang kenal kau orang. Macamlah dia orang nak sangat kat kau orang. Jangan mimpilah!” Kali ini si kurus kering berkaca mata, Nora, menyampuk sambil buat muka menyampah.
Sumpah! Dia tak minat langsung dengan mana-mana kumpulan yang menjadi kegilaan rakan-rakannya yang lain. New Boyzlah, Spinlah, Boboylah. Eee. Tolonglah. Balik ke alam nyata, tolong! Ergh.
“Amboi, mulut kau, Nora. Nak aku cili-cilikan tak?” balas Cik Ah sudah dihurung rasa bengang. Tak boleh jadi ni bila artis kesayangan dijentik. Berbulu pula rasa telinga.
Nora terus tersengih macam kerang busuk. Tiba-tiba meremang bulu roma apabila melihatkan muka Cik Ah yang sudah merah padam. Marah sungguh tu.
“Syaz, kau tengok Cik Ah tu.” Nora menyiku lengan Syazrina di sebelah, cuba mencari back up apabila peminat-peminat New Boyz kini nak menghentamnya.
“Wei,” panggil Nora sekali lagi apabila tak ada respons balas daripada Syazrina.
Lantas, dia berpaling ke arah kawan baiknya itu. Lor, patutlah pun. Rupanya Syazrina asyik duk temenung. Termenung apa pula? Nora berkerut hairan. Fokus sungguh dia melihat kawan baiknya itu merenung ke hadapan.
“Oh...” Membulat mulut Nora tanda dia mulai faham. Satu senyuman jahat terukir di bibir. Tak menunggu lama, dia terus mendekatkan bibir ke telinga Syazrina.
“Oi. Takkan tengok muka mamat tu sampai nak terjatuh bebola mata?” bisik Nora perlahan tapi agak tajam menusuk ke jantung hati Syazrina.
Apalagi, tersentaklah si Syazrina. Gelabah tertangkap basah, dia pura-pura buat-buat sibuk. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 5 dari bawah meja dikeluarkan. Lalu dibelek-belek tak ketahuan. “Apa kau merepek ni?”
Nora mencebik. “Tak payahlah kau nak cover dengan aku. Aku taulah hati kau tu tengah duk angau dengan si Syakeef tu.”
Bibir Nora terjuih-juih menunjuk ke arah lelaki bernama Syakeef itu.
Syazrina menjeling Nora. Dahinya dikerut seribu.
“Bila masa pula aku duk angau dengan dia tu? Merapulah kau ni,” sangkalnya, agak meninggi.
“Habis tu kau buat apa? Bukan kau tengah tenung...”
“Esh, dahlah, jangan nak merepek,” pintas Syazrina sebelum Nora melalut lebih panjang.
Tetapi, diam-diam ekor matanya masih melirik Syakeef yang sedang sibuk bermain singkong dengan kawan-kawan kelas yang lain. Lelaki kurus tinggi itu diperhatikan sambil berfikir-fikir.
Betul ke aku minat mamat poyo tu? Esh! Tak boleh, tak boleh. Dia tu jahat sangat. Asyik nak cari pasal dengan aku. Satu helaan nafas terus dilepas. Tapi, kenapa mata aku ni asyik-asyik nak tengok dia? Muka dia, senyum dia yang manis sangat macam gula-gula kapas tu? Aisy, boleh buat tidur malam aku tak lena.
Cis! Tiba-tiba terjiwang pula aku ni. Tanpa sedar, dia tersengih sendiri.

LANGKAH kakinya lambat-lambat menuju ke meja kelas. Kedua-dua -dua tangannya memaut tali beg sekolah sambil fikirannya kusut mengenangkan keadaan di rumah. Bila dihitung-hitung, sudah hampir seminggu ayah tak balik rumah. Ke mana agaknya ayah pergi?
Mak pula hanya membisu. Bila ditanya, katanya ayah ke Perak, ke rumah kawan ayah. Tapi, takkanlah sampai seminggu. Buat apa ke rumah kawan? Lama sangat.
Sampai di tempat duduknya di dalam kelas itu, kerusi kayu bercat biru ditarik lalu dia melabuhkan punggung. Tanpa membuang beg, dia menongkat dagu di atas meja. Sambil-sambil matanya meliar memandang sekeliling kelas yang masih kosong dan sunyi.
Setiap hari pun beginilah. Dia merupakan orang pertama yang akan sampai ke kelas. Semuanya gara-gara Pak Mie bas yang setiap pagi datangnya awal. Terpisat-pisat mata nak kena bangun seawal 5.00 pagi, nak bersiap ke sekolah. Pukul 6.15 bas dah datang. Kalau terlepas, alamatnya tak ke sekolahlah hari tu.
Layangan perasaan Syazrina terbantut saat terdengar suara bising di luar kelas. Nampaknya, rakan-rakan kelasnya yang lain sudah mulai hendak masuk ke dalam kelas.
“Esh,” keluh Syazrina apabila matanya tertancap sesusuk tubuh yang masuk melalui pintu belakang kelas.
Dengan pantas dia buat-buat sibuk mencari sesuatu di dalam beg sekolah. Malas hendak melayan mereka.
“Wei, minah senget! Kau buat apa?” Kedengaran kerusi ditarik lalu si penegur bernama Syakeef itu melabuhkan punggung berdepan dengan Syazrina.
“Suka hati akulah nak buat apa. Kau sibuk kenapa?” sembur Syazrina, sambil-sambil dia membuka buku latihan sejarah yang sudah dikeluarkan dari beg.
“Amboi, sopan jawapan kau ya,” balas Syakeef yang sudah pun naik hantu.
Syazrina malas nak melayan ‘naik hantu’ si Syakeef. Dia berpura-pura menulis sesuatu di buku latihan Sejarah di atas meja. Kalau diikutkan logik, patutnya dia yang naik hantu. Mamat poyo tu yang suka nak memula sengketa. Tak habis-habis mengacau dia. Memang dia tak boleh ingat dengan tragedi atas bas tadi. Mulalah hatinya menggelegak bengang.
“Kau buat apa ni? Kerja sekolah ke?” Buku latihan sejarah milik Syazrina itu Syakeef regut, lalu dibelek-belek kasar.
“Wei. Janganlah kacau.” Syazrina cuba merampas kembali buku latihan yang sudah di tangan Syakeef.
Tapi sayang, mamat poyo itu lebih pantas bangun. Tangannya diangkat tinggi bagi menghalang Syazrina mendapatkan kembali bukunya.
“Baklah balik,” rayu Syazrina, terkial-kial dia cuba mendapatkan buku latihan itu.
Hee. Tinggi betul mamat poyo ni. Aku ni dahlah rendah. Setakat dada dia sahaja. Memang taklah nak dapat balik buku tu!
“Jangan harap! Zarith!” Buku yang dipegang dibaling ke arah Zarith, kawan baiknya yang sedang berdiri di hujung kelas.
Dengan senang hati Zarith menyambut buku itu. Giliran dia pula mempermain-mainkan Syazrina.
Syazrina melangkah ke arah Zarith. “Bak balik buku aku!”
Zarith buat muka jahat. “Tak nak.”
Buku latihan itu dibaling semula kepada Syakeef.
Hati Syazrina semakin sakit dengan kelakuan Syakeef dan Zarith. Tubuhnya bergetar menahan bengang yang teramat. Terus ingatannya mengimbas kembali tragedi di dalam bas tadi. Tengah dia melayan perasaan sambil berhimpit-himpit di atas bas, tiba-tiba ada tangan jahat menarik tudungnya dari belakang. Terteleng kepalanya ke belakang. Sampai terkeluar anak tudung.
Berdekah-dekah si Syakeef gelak sakan macam orang tak buat salah. Semua orang atas bas, okey! Semua orang pun turut gelakkan dia. Malu tau tak, malu! Sekarang? Nak cari pasal lagi! Air mata bengang tiba-tiba merembes keluar.
“Bak balik buku aku!” Syazrina membentak keras. Dia melangkah laju menuju ke arah Syakeef semula.
Mata Syakeef terkebil-kebil apabila terlihatkan air mata Syazrina yang sudah menderu laju. Spontan, dia membaling buku itu di atas meja yang berdepan dengannya. “Nah! Ambillah balik.”
Syazrina dengan muka mencuka mengambil buku tersebut kasar lalu mengangkat kaki keluar daripada kelas 5SC2.

KAFETERIA bingit macam pekan hari. Masing-masing membeli makanan untuk mengisi perut sebelum sesi pembelajaran bermula semula. Kelihatan dua orang pelajar sekolah baru keluar daripada puluhan pelajar lain seusai membeli makanan mereka.
Mereka beriringan ke meja kafeteria. Pinggan nasi lemak diletakkan di atas meja tersebut. Kemudian, mereka serentak melabuhkan punggung di atas kerusi lalu mereka menjamu selera.
“Kau ni kenapa benci sangat dengan minah senget tu? Sampai menangis-nangis kau kerjakan dia tadi?” cetus Zarith tiba-tiba.
Dah lama sebenarnya dia nak tanya Syakeef soalan itu tetapi tak tertanya. Nasib baik hari ini boleh juga dia luahkan perasaan ingin tahunya itu.
Syakeef yang sedang rancak menjamu selera mengangkat kepala Dia memandang sahabat yang duduk setentang itu dengan mata yang terkebil-kebil. Memikirkan jawapan yang sesuai, mungkin. Beberapa ketika bahu dijongket sekali.
“Entah. Aku memang benci dia. Sejak sekolah rendah lagi. Lepas tu, satu sekolah menengah dengan aku pula. Lagi malang, form 4 form 5 boleh pula sekelas dengan aku. Sekampung lagi. Naik menyampah aku tengok muka dia.” Syakeef meneruskan makan seusai memberikan jawapan kepada persoalan Zarith.
Zarith berkerut hairan. “La. Pasal tu aje kau benci dia? Tak faham aku dengan kau ni.”
“Hei, tak payah kau nak faham sangat. Sekarang ni kau makan cepat. Aku ada misi lain nak kenakan dia. Cepat-cepat sebelum orang lain masuk kelas.” Syakeef cepat-cepat menyumbat nasi ke dalam mulut.
“Apa lagi kau ni? Apa pula kau nak kenakan minah tu kali ni?” Zarith hanya sekadar mampu menggeleng kepala dengan perangai mengusik Syakeef terhadap Syazrina. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan