Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 2

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


“DAH lama mak cik tak nampak awak makan kat sini lagi. Sibuk ke?” tanya Mak Cik Zainab, pemilik kedai makan itu. Air jus oren yang dipesannya tadi diletakkan di atas meja.
“Sibuklah jugak,” jawab Lisa tersengih-sengih.
Padahal bukanlah sibuk sangat. Dahulu, gerai makan inilah menjadi tempat pertemuan antara dia dengan Farid. Tapi sejak Farid memutuskan untuk kembali kepada Aisyah, dia sudah tidak lalu hendak datang ke sini lagi.
Hampir setahun dia ditinggalkan. Hampir berbulan juga dia cuba merawat hatinya yang sakit dilukai orang yang dicintainya sepenuh hati. Disebabkan itu, kerja-kerja menulis langsung tidak menjadi. Pendek kata dia langsung tiada mood hendak menulis.
Sampailah Suhaila bersuara, “Kau tu penulis novel. Kerja tulis novel. Bukannya novel sastera yang banyak falsafah tapi novel cinta! Takkan hal putus cinta pun kau tak boleh nak handle? Aku ingat setiap penulis novel ni reti nak kawal perasaan. Move on!”
Jadi, sejak itu dia cuba untuk move on! Memang perit. Macam mayat hidup pada awalnya tapi lama-lama dia sudah boleh tersenyum. Cuma kadangkala perasaan rindu kepada Farid tetap ada. Macam sekarang. Bila tengok Farid mesej, terus melonjak bahagia. Memang hatinya masih ada kepada Farid lagi.
Tapi pelik. Apa hal Farid tiba-tiba bagi mesej hendak jumpa? Hampir setahun mereka tak bersua. Memang masa putus itu, mereka putus terus. Memang dia geram sangat. Lain yang dirancang, lain yang jadi. Sungguh dia tak sangka mereka berdua akan kembali bersama semula. Kemudian, langsung tak fikirkan perasaannya.
“Yang kau tu pun satu hal, ada ke patut rancang benda yang pelik-pelik? Langsung tak terfikir ke yang Farid tu akan kembali pada Aisyah? Kalau nak suruh Farid support kerjaya kau sebagai penulis, berterus teranglah dengan dia. Sendiri cari pasal!” kata Suhaila selepas Lisa mengadu tentang hubungannya dengan Farid sudah putus.
Ya, memang salahnya. Pada awalnya, masalah ini memang rumit. Dipendekkan cerita, Farid memang anti dengan novel. Pernah sekali Lisa baca novel, Farid ambil novel itu dan buang ke dalam tong sampah! Kalau baca novel pun Farid sudah buat begitu, macam mana dia hendak berterus terang dengan Farid bahawa dia juga adalah penulis novel!
Waktu itu, identitinya sebagai penulis novel masih tidak diketahui oleh sesiapa. Hanya Suhaila yang tahu. Itu pun sebab duduk satu rumah dengan Suhaila. Lagipun Lisa tidak nampak kenapa dia perlu beritahu dunia bahawa dia penulis novel.
Setelah tahu Farid bermusuhan dengan novel, lagilah dia takut hendak beritahu dunia. Jadi, dia terus jadi anonymous writer. Tapi dalam masa yang sama dia cuba pujuk Farid supaya terima kehadiran novel antara mereka.
Malangnya tidak berjaya!
Hati Farid keras macam kayu. Benci Farid terhadap novel memang kronik sampai boleh bermasam muka. Itu bukan benci yang normal bagi seorang lelaki. Jadi, dia mencari punca sebenar Farid bencikan novel. Akhirnya dia dapat tahu Farid pernah bercinta dengan seorang penulis novel. Mereka berpisah sebab perempuan itu memilih kerjaya berbanding Farid.
Lebih mengejutkan bekas teman wanita Farid ialah Aisyah, seorang penulis novel yang terkenal. Sebut sahaja nama dia dalam kalangan peminat novel, mesti mereka kenal. Lisa fikir, dia kena lakukan sesuatu supaya Farid boleh terima hobinya yang suka baca novel dan kerjayanya sebagai penulis novel.
Dipendekkan cerita, dia membawa Farid ke pesta buku. Sengaja beli novel Aisyah dan minta tandatangan. Waktu itulah Farid dan Aisyah bertemu semula. Lisa masih ingat lagi saat mereka berdua bertentang mata. Langsung tak berkelip. Macam baru pertama kali berjumpa dan jatuh cinta.
Selepas itu, dia dengan Farid bergaduh. Lama juga. Hampir dua minggu. Bila sudah berbaik, Farid nampak lain. Orang tanya sepatah, dia jawab sepatah. Bila tengah dating, dia asyik mengelamun. Lisa pula jenis yang sabar dan sentiasa positif. Dia fikir Farid ada masalah di tempat kerja.
Malangnya, satu hari dia ternampak Farid dengan Aisyah sedang berbual-bual dengan mesra di depan panggung wayang. Bila sudah kantoi barulah Farid mengaku yang dia dengan Aisyah sudah kembali bersama. Sakitnya duhai hati. Lagi sakit apabila Farid mengucapkan terima kasih kerana temukan mereka semula.
Sakit hatinya. Patah hatinya. Dengan senang sahaja Farid mengkhianati cintanya. Dengan senang juga Farid terima Aisyah semula. Kemudian, dengan senang Farid melafazkan kata putus. Tanpa rasa bersalah langsung. Sekarang, setelah hampir setahun lebih berpisah Farid hendak jumpa pula.
“Eh, betullah. Apa hal pula dia nak jumpa? Dan apa hal pula aku beria-ia nak jumpa dia semula? Dia dah sakitkan hati aku. Dah buat hidup aku tak tentu arah berbulan-bulan lama tapi boleh pula aku setuju nak jumpa dia? Ah, Lisa! Apa dah jadi dengan kau ni!” keluh Lisa sendirian.
Lisa lihat jam tangannya. Sudah setengah jam berlalu tapi batang hidung Farid masih tidak kelihatan. Janji pukul 2.00 petang tapi sekarang sudah 2.30 petang. Yang dia pula duduk tercongok di situ menunggu orang yang sudah melukakan hatinya. Memang tak patut!
Baik berambus dari sini! Dia nekad. Lalu dia minum air jus oren sampai habis. Baru dia hendak bangun, tiba-tiba ada lelaki datang menyapa.
Sorry lambat,” sapa Farid.
Kaget. Mata Lisa tidak berkelip pandang Farid dengan siap mulut ternganga lagi. Setahun tak jumpa, Farid semakin handsome. Dulu rambut Farid berserabai macam sarang burung. Menyampah Lisa melihatnya dulu. Tapi sekarang, rasa nyaman mata memandang.
Badan Farid juga nampak sedikit berisi sekali pandang. Dua kali pandang, nampak macam lelaki keluar masuk gim. Tegap badannya. Otot-otot lengannya sudah berbentuk sedikit.
“Kau apa khabar?” tanya Farid.
Kau! Dia guna kata ganti kau!
Dulu, Farid memanggilnya dengan kata ganti awak tapi sekarang sudah macam kawan-kawan pula. Lisa mula rasa tidak sedap hati. Berjumpa dengan Farid hari ini merupakan satu kesilapan besar!
“Baik,” jawab Lisa lambat-lambat.
“Aku tengok kau makin berisi pula,” tambah Farid lagi.
Mulut! Memang tak ada insurans ke?
Lisa memang pantang bila ada orang tegur dia semakin berisi. Memang dia semakin berisi tapi janganlah sebut perkara yang sensitif itu. Bukan kemahuannya pun. Apa boleh buat, kalau asyik bekerja keras mencari duit untuk sara diri sendiri sampai lupa hendak manjakan bentuk badan.
Tapi Lisa hanya tersenyum walaupun dalam hati penuh dengan sumpah seranah tak puas hati. Kalau diikutkan hati memang dia bangun dan tinggalkan Farid saja. Dulu sakitkan hati orang, minta maaf macam tak ikhlas. Sekarang juga sama.
Pelik. Kenapalah hatinya masih terpaut suka dengan Farid? Sungguh, dia sendiri tidak faham.
“Kenapa kau nak jumpa? Tiba-tiba pula...” tanya Lisa.
Kalau Farid sudah guna kata ganti nama aku, takkanlah dia masih hendak berawak dengan Farid lagi. Biar Farid tahu, dia bukan perempuan lemah. Kalau Farid merayu nak kembali kepadanya, dia akan berpura-pura jual mahal. Bukan ke itu yang heroin dalam novel selalu buat?
“Kejap. Tunggu Aisyah. Tadi dia pergi kedai. Stok kopi sudah habis. Dia tu kalau nak menulis kena ada kopi baru lancar,” kata Farid.
Tak tanya pun! Tapi Lisa hanya tersenyum. Jadi, Farid masih lagi dengan Aisyah? Mereka tidak bergaduh? Tapi apa hal mereka hendak jumpa? Takkan nak minta maaf lagi kut. Atau...
Sorry terlambat,” sapa Aisyah tiba-tiba muncul dari belakangnya.
Lalu tanpa dipelawa Aisyah duduk di sebelah Farid.
Cemburu. Aisyah semakin cantik dan kurus juga. Dulu dia tidak memakai tudung tapi setelah kembali bersama Farid, Aisyah mula menyarung tudung. Nampak comel dan manis. Kalau hendak dibandingkan dengan Lisa, bagaikan langit dengan bumi.
“Lisa, kan?” tegur Aisyah. Tersengih lebar dia.
Lisa angguk. Menyampah pula. Sendiri yang hendak jumpa, sendiri tanya gerangan orangnya. Takkanlah Lisa tiba-tiba boleh jadi Siti Nurhaliza?
“Maaflah ganggu Lisa. Tak kerja ke hari ni?” tanya Aisyah.
Lisa geleng. Takkanlah dia hendak beritahu yang dia baru saja habis temu duga tadi? Rasanya tak patut kut. Lagipun, mereka nampak macam tidak peduli sangat. Soalan tadi macam soalan panaskan enjin. Poin sebenar nanti akan muncul selepas ini.
“Ada apa nak jumpa tiba-tiba?” tanya Lisa sudah tak sabar hendak angkat buntut pergi dari situ. Tak tahan. Cemburu mula menguasai diri.
“Sebenarnya, kami nak serahkan ini.” Aisyah memberikan sekeping kad kepadanya.
Tidak payah tengok apa yang tertulis dalam kad itu pun Lisa sudah tahu. Itu pasti kad kahwin mereka berdua.
Kad kahwin sudah bertukar tangan. Perlahan-lahan Lisa menarik nafas panjang. Dia cuba bertenang. Kalau dia tidak bertenang sekarang, keberangkalian dia akan hambur dengan kata-kata kesat kepada mereka berdua amatlah tinggi.
Hampir setahun lebih tak jumpa. Tiba-tiba hendak jumpa semata-mata mahu bagi kad kahwin? Memang layak kena habuan kata-kata kesat. Sudahlah sakitkan hati orang. Sekarang, sekali lagi hendak sakitkan hati.
“Akak rasa bersalah sebenarnya. Kalau tak disebabkan Lisa, mungkin akak dengan Farid masih tak berjumpa lagi. Akak tahu, akak dah curi Farid daripada Lisa. Dah lebih setahun, rasanya. Lisa pun dah boleh terima kami berdua. Jadi, akak fikir tak eloklah kalau akak tak jemput Lisa ke majlis perkahwinan kami,” Aisyah menutur kata dengan penuh sopan.
Lisa cuba berlagak tenang. Dia berpura-pura mengukir senyuman. Sabarlah wahai hati!

LISA merenung kad kahwin Farid dan Aisyah. Sejak dia balik ke rumah, kad itulah yang dia tenung dengan perasaan tak puas hati.
“Aku tak faham. Kau seorang penulis novel. Terkenal lagi tapi kau tak alert dengan perasaan orang. Aku ni mangsa keadaan tau. Sudahlah kau rampas boyfriend aku. Lepas tu boleh kau kata aku dah boleh terima kau orang berdua? Mabuk apa?” marah Lisa kepada Aisyah.
Akhirnya kad kahwin mereka jadi mangsa.
“Farid, kau pun satu hal. Takkan kau tak ada perasaan kesian dengan aku? Kau pun pernah jatuh cinta kan dan pernah ditinggalkan sebab Aisyah pilih kerjaya dia berbanding kau? Sampaikan aku baca novel pun kau campak novel tu dalam tong sampah. Aku ingat bila aku nak kau tengok dunia novel dari sudut yang lain, kau akan terima hobi aku dan pekerjaan aku tapi boleh pula kau kembali pada Aisyah. Aku, kau tinggalkan macam sampah. Setahun kemudian, mesej aku kata nak jumpa untuk bagi kad kahwin! Tak ke bodoh namanya?”
“Dahlah tu. Dari tadi asyik marah-marah kad kahwin tu. Kad kahwin tu tak bersalah. Yang bersalah sekarang dua manusia tu. Pergilah marah dia orang!” tegur Suhaila yang baru sahaja selesai mandi.
“Aku malas nak cari gaduh dengan orang. Kalau diikutkan hati memang aku nak marah dia orang depan-depan. Ada ke patut bagi kad kahwin lepas rampas hak orang. Kononnya rasa bersalah. Kalau bersalah, pulangkan Farid pada aku semula!” balas Lisa masih tak puas hati.
“Kalau boleh pulangkan. Tapi masalahnya sekarang Farid tetap nak Aisyah, nak buat macam mana? Hati orang ni bukan macam bola. Boleh sepak ke sana sini sesuka hati. Kau pun penulis novel, takkan kau tak tahu,” balas Suhaila lagi.
Lisa mengeluh. Apa yang Suhaila kata memang betul. Hati orang bukan macam bola. Farid sudah pilih Aisyah. Harapannya untuk pikat Farid langsung dah tak ada lagi.
“Kenapalah aku selalu ditimpa nasib malang? Pergi interviu tak lulus. Tadi editor aku call, manuskrip aku kena reject. Kurang menyengat katanya. Kemudian, dapat kad kahwin Farid pula!” keluh Lisa.
“Oh ya, pasal jawatan setiausaha tu, aku dengar keputusan dah keluar. Kau ada dapat call tak?” tanya Suhaila.
“Kalau aku dapat call, Cinderella gerenti dah kena letak jawatan,” jeling Lisa.
“Tak apalah. Mungkin bukan rezeki kau. Tapi kalau kau dapat kerja tu, seronoknya!” kata Suhaila.
“Apa hal pula?” Lisa pelik.
“Mestilah aku seronok sebab pagi-pagi kau akan bersiap pergi kerja. Tak adalah aku sakit hati tengok kau terbongkang tidur depan ruang tamu ni.”
“Pulak! Kau tak payah sakit hatilah dengan penulis miskin macam aku ni,” jeling Lisa.
“Jadi, aku kena berusaha carikan kau kerja! Err... Jadi tukang bancuh kopi kau terima tak?”
Sekali lagi Lisa menjeling tajam. Ada pula yang nak kena campak ke luar tingkap ni!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan