Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 5

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


“PEREMPUAN ni.” Zul Zafri tunjuk gambar Lisa yang tertera pada resume itu.
“Kenapa dengan perempuan ni?” Nazri buat tidak peduli tapi terpaksa dia melayan.
“Aku nak dia jadi setiausaha aku.”
Nazri mengeluh panjang. Dia sudah agak! Malah dari awal lagi dia sudah agak. Mana tidaknya kalau malam-malam dipaksanya ke pejabat, ambil fail yang menyimpan resume yang datang ke temu duga tadi. Pastinya hal gila akan terjadi. Betul, memang tepat sangkaannya.
“Cuba kau beritahu aku, sekarang ni mental kau yang gila atau kau dah gila kuasa?” Nazri cuba kawal marahnya.
Tidak kisahlah siapa di hadapannya itu. Big boss atau kawan. Yang pasti, ada ke patut tak sampai satu hari keputusan dibuat, tiba-tiba mahu tukar keputusan!
“Kenapa?”
“Aku dah keluarkan surat pelantikan setiausaha kau siang tadi. Sudah call pun orangnya. Takkan kau nak suruh aku call dia balik dan beritahu dia tak berjaya dalam temu duga tadi. Kau jangan buat aku gila pula.”
“Mmm... kalau macam tu... Lantik perempuan ni jadi setiausaha sulit aku atau personal assistant aku.”
What?” Terkejut besar Nazri.
“Normallah kalau chairman ada dua setiausaha. Seorang untuk uruskan hal syarikat dan seorang lagi untuk uruskan berkaitan hal-hal sulit aku.”
“Contohnya belikan kau seluar dalam?” sindir Nazri.
“Kalau terpaksa...” jawab Zul Zafri melayan saja sindiran kawannya itu.
“Baiklah. Suka hati kaulah.” Nazri meneliti butiran perempuan yang berjaya buat kawannya gila kuasa.
“Nur Lisa... Mmm... Kalau tak silap dia ni lulus baca doa Qunut tapi aku tak yakin dengan kebolehan dia. Kau biar betul nak ambil dia jadi setiausaha sulit kau? Jangan-jangan kau ada hubungan sulit dengan dia tak?”
“Nanti kalau dia dah jadi setiausaha sulit aku, automatik hubungan kami bertukar jadi hubungan sulit,” jawab Zul Zafri berseloroh.
Nazri merenung tajam bosnya itu. Dia sudah berkawan lama dengan Zul Zafri. Dia kenal sangat dengan perangai rakannya itu. Zul Zafri bukan jenis kaki perempuan. Malah seorang yang setia lagi. Bukan juga jenis suka membuat keputusan yang terburu-buru. Setiap keputusannya mesti ada sebab.
Tapi kali ini memang pelik. Macam ada sesuatu yang sedang dirancang oleh kawannya itu.
“Tak payah nak tenung aku macam tu. Kau buat sajalah kerja kau. Telefon perempuan tu sekarang dan suruh dia masuk kerja esok,” tegur Zul Zafri terasa macam orang bersalah pula.
“Sekarang?” tanya Nazri sekali lagi terkejut.
“Ya. Sekarang,” tegas Zul Zafri.
Big boss, sekarang dah pukul 12.00 tengah malam. Gerenti dia sudah masuk tidur,” kata Nazri sambil tunjukkan jam di tangannya. Mana tahu kan bosnya itu guna jam ikut masa London.
“Dia tak tidur lagi. Orang macam dia mesti tengah jadi burung hantu sekarang. Kau telefon sajalah. Gerenti dia jawab punya,” balas Zul Zafri.
“Mana kau tahu dia belum tidur lagi?” tanya Nazri sekali lagi pandang Zul Zafri semacam.
Sah! Mesti Nur Lisa ini ada hubungan sulit dengan bosnya.
“Aku tahulah.” Rimas pula Zul Zafri terpaksa melayan soalan demi soalan. Macam dia penjenayah pula.
“Mentang-mentanglah Nazurah pergi Korea untuk dua minggu... Oh, ini kerja kau ya? Dah pandai nak main kayu tiga?”
“Nazurah pergi Korea?” tanya Zul Zafri semula. Dia tak pernah dengar berita itu.
“Jangan buat-buat tak tahu.”
“Mana kau dapat tahu?”
“Kau betul-betul tak tahu ke?” Cuak pula Nazri melihat reaksi kawannya itu.
Zul Zafri mengeluh berat. “Kami bertengkar beberapa hari lepas.”
So?”
“Apa lagi kalau dah berperang. Aku call pun dia tak jawab. Mesej pun tak balas. Akhirnya dapat tahu dari mulut kau dia ada di Korea. Kau pula mana tahu?”
“Facebook. Official fan pages dia ada update gambar-gambar event kosmetik terbaru dia di sana. Takkan kau tak tahu dia dah berjaya bawa jenama kosmetiknya tembusi pasaran Korea?” soal Nazri lagi.
Pelik betul mereka berdua. Nama saja pasangan bercinta tapi langsung tidak tahu-menahu apa yang masing-masing buat.
“Manalah aku tahu. Bila aku tanya khabar pasal business dia, dia anggap macam aku ni nak lingkupkan business dia. Dia memang berahsia sangat kalau pasal business walaupun dengan boyfriend sendiri. Sebab tulah aku malas nak tanya hal business dia lagi,” jawab Zul Zafri terasa bengang dengan perangai teman wanitanya itu.
“Macam nilah. Aku nak bagi nasihat sikit. Apa kata kalau kau main kayu tiga saja?” cadang Nazri tanpa rasa bersalah.
Wajahnya serius. Langsung tiada tanda-tanda dia sedang bergurau dengan cadangan baiknya itu.
“Itu bukan nasihat. Itu saja nak bagi aku masalah,” jeling Zul Zafri.
“Dia belum jadi isteri kau. Apa salahnya kalau main kayu tiga sekarang? Lagipun bukan aku suruh kau jadi buaya darat. Just for fun.”
“Terima kasih sajalah. Simpan sajalah cadangan kau tu untuk bakal anak-anak kau nanti.”
“Kalau tiba-tiba suatu hari nanti kau tukar fikiran, beritahu sajalah aku. Jangan malu-malu. Aku ada banyak kenalan perempuan yang dahagakan duit kau dalam telefon aku ni,” kata Nazri sambil tunjuk handsetnya.
“Daripada kau buang masa carikan aku perempuan pisau cukur, lebih baik kau telefon perempuan tu sekarang!” arah Zul Zafri. Kali ini tegas.
“Apalah yang ada pada si Nur Lisa ni sampai bos aku jadi gila kuasa tiba-tiba,” keluh Nazri sambil mendail nombor telefon Lisa yang tertera pada resume itu.
Zul Zafri tersenyum. Lantaklah kalau orang mengata dia gila kuasa. Dia tidak peduli. Yang penting, novelis itu ada sesuatu yang dia inginkan.

“SUDAHLAH tu. Kalau dah tak ada, nak buat macam mana lagi?” pujuk Suhaila.
Tension juga dia. Disebabkan buku nota Lisa hilang, dia pula yang tidak boleh tidur. Mana tidaknya kalau Lisa asyik meracau-racau macam orang gila dalam rumah itu? Itu baru buku nota, kalau manuskrip dalam laptop itu hilang, agaknya satu taman tidak boleh tidur!
“Buku tu... buku tu dah jadi nyawa kedua aku tau. Jenuh aku perah idea dan catat dalam buku tu. Kalau nak ingat semula semua tu... parah kepala otak aku nanti!” Tersedu-sedu Lisa menahan tangisan. Satu lagi tisu diambil untuk kesat air matanya.
“Sejak bila kau jadi anak murid Voldemort ni? Pandai simpan nyawa pada benda yang pelik-pelik?” tanya Suhaila.
“Benda pelik-pelik? Buku nota tu bukan benda pelik-pelik! Itu nyawa seorang penulis selepas laptop tau! Kalau hilang, umpama badan tanpa kepala. Buku tulah punca segala memori yang overload dalam kepala otak ni!”
Opocot kau! Terkejut Suhaila apabila kena hambur begitu. Lupa pula yang novelis ni memang sensitif banyak kalau bergurau dalam bab-bab begini.
“Sekarang... dah hilang...” Lisa terus menangis.
Suhaila menggaru kepalanya yang tak gatal. Dia pula yang stres! Sudahlah esok pagi kena bangun pergi kerja. Tapi kalau dia biarkan, tak sampai hati pula. “Cuba kau ingat betul-betul kali terakhir kau pegang buku tu.”
“Aku letak dalam beg saja. Mana ada keluarkan. Takkanlah ada orang nak curi buku pink tu dalam beg aku... Ah! Aku baru teringat. Tadi masa tuan editor call, aku ada keluarkan buku tu.”
“Masa tu kau dekat mana?”
“Kat kafeteria ofis kau!”
“Lepas tu?”
“Lepas tu...” Dia cuba ingat. “Mmm... rasanya aku ada masukkan balik.”
“Rasanya?”
“Habislah! Macam mana kalau aku tak masukkan balik buku tu? Ah, aku tak ingat dah apa yang berlaku selepas tu sebab Farid mesej aku nak jumpa. Aku pun bergegas keluar dari situ...”
“Dan tinggalkan nyawa kau di situ?” Suhaila bagaikan nak terkam orang.
Lisa menggigit jari. Rasanya...
“Kau ni kan! Langsung tak hargai nyawa sendiri. Boleh pula kau lari tinggalkan nyawa kau semata-mata disebabkan Farid? Kau dah lupa apa Farid dah buat pada kau sebelum ni?” hambur Suhaila pula.
Kali ini Lisa pula terkejut mendengarnya. Kecut perutnya seketika.
“Aku tahu aku salah tapi... tolonglah Su. Jom kita pergi kafeteria cari buku tu sekarang.”
“Kau dah gila? Sekarang dah pukul 12.00 tengah malam. Ofis aku pun dah tutup. Hantu pun tengah standby nak main ping pong dalam tu.”
“Kau ni...” Lisa mencebik.
“Esok sajalah aku tengokkan.”
“Tapi nyawa aku tu...”
“Itu nyawa kedua kau. Sekarang kau kena jaga nyawa pertama kau tu. Takut nanti Harry Potter datang nak musnahkan nyawa pertama kau.”
“Mulut!” Seram pula dia dengar.
Laptop tu kalau rosak, meraung tak berlagu jawabnya!
Tiba-tiba telefon bimbitnya bunyi. Tanpa berlengah lagi Lisa segera melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali.
“Kenapa tak jawab?” tanya Suhaila.
“Tak kenal nombor siapa. Entah-entah orang tengah gersang kut.”
Deringan itu berhenti. Tapi sekejap sahaja. Beberapa saat kemudian, berdering lagi. Nombor yang sama. Seram pula dibuatnya.
“Jawab sajalah. Mana tahu kan ada hal penting,” paksa Suhaila.
“Hal penting apa malam-malam buta ni?”
“Biar aku jawab.” Suhaila segera ambil telefon bimbit itu dan menjawabnya. “Helo? Ya, ini telefon Nur Lisa... Siapa tu?”
Tiba-tiba Suhaila berdiri macam batu. Kaku. Lisa yang tengok pun jadi seram. Jangan-jangan panggilan itu dibuat oleh hantu kut sebab itu Suhaila nampak macam batu bernyawa.
“Kenapa? Siapa? Dia nak apa?” tanya Lisa apabila Suhaila meletak telefon bimbitnya kembali.
“Encik Nazri.”
“Siapa tu?”
Manager human resources tempat kerja aku.”
“Oh...” Lisa mengangguk.
“Eh? Tapi kenapa dia call handset aku? Kau ada bagi contact info aku pada dia ke sampai dia cari kau dengan telefon handset aku?” Lisa pelik.
“Tak. Dia cari kau. Dia kata... kau kena datang kerja esok!”
Kali ini Lisa pula kaku macam batu. Dia gunakan otak berfikir betul-betul. Encik Nazri, manager human resources Dinasti Group suruh datang kerja esok? Telefon pula pukul 12.00 tengah malam? Macam ada sesuatu tidak kena saja. Hantu kut!
“Su, jangan-jangan hantu kat ofis kau tu dah pandai main telefon tak?” tanya Lisa sekali dengan bulu romanya naik.
“Tak. Tengok. Ini memang nombor telefon Encik Nazri.” Suhaila tunjuk nombor yang dia jawab tadi.
Dia kenal sangat nombor Encik Nazri sebabkan nombor itu kadang-kadang muncul pada skrin telefon bimbitnya dan sebagai setiausaha yang telah lama bekerja di situ, dia mestilah tahu nombor-nombor telefon peribadi semua manager yang ada di situ.
“Lisa, kau diterima kerja. Yahu!!!” jerit Suhaila bersorak gembira sambil memeluk Lisa yang masih tak percaya.
“Apa yang dah berlaku ni?” Kepalanya digaru sampai kusut rambutnya. Blur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan