Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 7

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


HUH, selesai segala urusan!
Hampir seharian di Perak, petang itu mereka kembali ke Kuala Lumpur. Lisa juga yang kena pandu kereta. Memang sehari ini dia menjadi pemandu peribadi untuk bosnya itu. Apa boleh buat, inilah realitinya kalau makan gaji.
Semasa memandu pulang, macam-macam hal difikirnya. Terutamanya tentang perbualannya dengan Suhaila tengah hari tadi. Sekarang sudah kecoh satu ofis tentang berita yang pelik.
Dia ada hubungan dengan big boss?
Ini memang gila. Macam manalah mereka boleh berfikir sampai ke situ? Lisa sendiri tidak faham. Dia dapat panggilan jam 12.00 tengah malam pun boleh tersebar meluas. Dengan mudah saja mereka buat kesimpulan yang tak masuk akal.
Lisa memandang cermin pandang belakang. Dia ada skandal dengan lelaki ini? Bagaikan langit dengan bumi. Lelaki seperti ini tak akan lihatnya sebagai perempuan tapi sebagai kuli. Inilah realiti!
“Bos, boleh tanya tak?” tanya Lisa takut-takut.
“Awak rasa saya ni kaunter pertanyaan ke?” tanya Zul dengan suara kereknya.
Lisa garu kepalanya. Hisy, kerek juga big boss ni. Nak tanya soalan pun tak boleh? Tapi ada aku peduli?
“Tapi saya nak tanya jugak, bos. Orang kata, kalau malu bertanya sesat jalan,” tegas Lisa.
“Hah? Sesat jalan? Macam mana boleh sesat jalan? Awak tak reti tengok signboard ke?” Zul Zafri melilau pandang ke luar tingkap kereta yang dipandu oleh setiausaha barunya itu.
Melalui cermin pandang belakang, Lisa melihat bosnya menggelabah semacam.
“Cepat buat U-turn!”
“Hah?” Terkejut Lisa dibuatnya. “Kita ni kat highway, mana boleh buat U-turn tiba-tiba? Itu dah lawan arus dah namanya.”
“Saya tak suruh awak lawan arus. Cepat cari jalan keluar!” arah Zul Zafri.
Lisa menggaru kepala. “Bukanlah bos. Kita tak sesat.”
“Habis, tadi awak kata...”
“Itu kan perumpamaan bahasa Melayu. Bos tak belajar ke masa kat sekolah dulu? Malu bertanya sesat jalan. Saya ada hal nak tanya. Penting.” Lisa sound direct saja.
“Lain kali awak nak tanya, tanya sajalah!” marah Zul Zafri menahan malu. Tak pasal-pasal fobianya kembali.
“Hehehe. Tapi saya rasa saya dah tahu kenapa bos suruh saya jadi driver hari ni. Hehehe. Bos mesti pernah sesat sebelum ni, sebab tulah bos menggelabah semacam.” Lisa tidak dapat menahan diri daripada ketawa.
“Awak diam! Zip mulut tu!” marah Zul Zafri.
Zul Zafri marah bukan sebab Lisa ketawakan dia tapi apa yang Lisa teka tadi memang betul. Sejak dia pernah sesat di dalam hutan dulu, sejak itulah dia fobia bila orang sebut pasal sesat. Sebab itulah juga dia tidak berani memandu sendirian bila terpaksa ke tempat yang dia jarang pergi.

TEPAT jam 6.00 petang, mereka sudah sampai di ofis. Selepas parkir kereta di basement atas arahan big boss, Lisa bersiap-siap untuk balik rumah.
“Bos, saya balik dulu tau.” Lisa minta diri.
Waktu bekerja sudah habis, jadi apa tunggu lagi? Baliklah! Lagipun Suhaila sedang menunggunya di lobi. Kunci diserahkan kepada big boss.
“Siapa benarkan awak balik?”
“Bukan ke dah habis waktu kerja?” Lisa tunjuk jamnya. Mana tahu kan jam bosnya rosak.
“Jadi, awak ingat kalau waktu kerja dah habis, awak boleh terus balik ke?”
“Err... tentulah tak!” jawab Lisa.
“Masuk ofis jap. Ada perkara saya nak cakap dengan awak,” kata Zul Zafri dengan muka tidak puas hati.
Apalah pulak ni? Aku ada kacau periuk api dia ke? Tertanya-tanya Lisa dalam hati.
Nak tak nak Lisa terpaksa mengekori bos naik ke pejabat. Jejak sahaja kaki masuk ke dalam pejabat, Lisa sudah rasa tubuhnya seram sejuk. Sah, ini pasti ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin sebab prestasinya hari ini tidak beberapa baik atau dia telah buat bosnya itu tak puas hati dengan hasil kerjanya.
“Awak tahu kenapa saya panggil awak kerja?” tanya Zul Zafri.
Lisa geleng perlahan-lahan. Manalah dia tahu langsung! Kalau dia tahu pun, dia tentu akan buat-buat tidak tahu. Biar saja big boss bersuara. Kalau dia bersuara dengan teori-teori seorang novelis nanti, lain pula jadinya. Lebih baik buat-buat bodoh.
“Semalam, di kafeteria... awak langgar saya,” tambah Zul Zafri sambil bagi isyarat menunjuk ke arah kepalanya.
“Semalam? Kafeteria?” Lisa geledah memorinya semula.
Alamak! Baru dia teringat. Semalam dia ada langgar kepala seorang lelaki. Dia tidak ingat langsung muka lelaki itu tapi rasa-rasa macam...
“Baru ingat?” perli Zul Zafri.
“Err... saya minta maaf. Saya tak sengaja waktu tu. Nak cepat sangat.” Lisa segera minta maaf.
Patutlah bosnya itu layannya macam dia pernah buat salah saja. Memang dia pernah buat salah pun! Siap kutuk syarikat ini lagi! Aduhai...
Tapi... takkan pasal itu bos nak ambil aku kerja? Atau dia sengaja nak ambil aku kerja sebab dia boleh buli aku? Huh, dia ingat aku ni senang dibuli ke? bisik hati Lisa cuba berikan dia semangat.
“Ini pasti awak punya, bukan?” tanya Zul Zafri sambil tunjuk sebuah buku pink.
“Ah, nyawa saya!” Serta-merta Lisa melompat untuk mengambilnya daripada bosnya tapi bosnya bertindak lagi cepat menariknya semula.
Ketika itu barulah Lisa dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena. Jangan-jangan, bos sudah baca kandungan buku tu! Malu wei!
“Jadi, awak betul-betul penulis novel?”
Lisa angguk dalam keterpaksaan. Kalau boleh dia tidak mahu mengaku tapi bila buku itu ada pada bosnya, sudah tentulah bosnya akan membacanya. Jadi, memang tidak guna kalau dia cuba menafikannya.
“Awak dah dapat fikir kenapa saya panggil awak bekerja hari ni?” tanya bosnya lagi.
“Sebab... nak pulangkan buku tu pada saya?” jawab Lisa tersengih-sengih.
Padahal dia tahu sangat yang jawapannya itu memang salah. Ada banyak cara lagi untuk bosnya pulangkan buku tu. Dalam buku itu siap tercatat alamat dan nombor telefon lagi. Kalau bosnya itu betul-betul nak pulangkan hartanya itu, sudah lama dia pulangkan. Tak perlu buat panggilan jam 12.00 tengah malam dan suruh dia masuk kerja hari ini.
“Awak ni pandai buat lawaklah...” Zul Zafri tersengih juga.
“Bos, beritahu sajalah apa yang bos nak. Otak novelis macam saya ni hanya suka selesaikan teka-teki dunia ciptaan saya,” keluh Lisa. Malas nak main sorok-sorok dengan lelaki itu.
“Awak memang bijak.”
“Saya paling tak suka bila orang puji saya macam tu...” Lisa sudah mula tak sedap hati. Entah apa yang bosnya mahu daripadanya.
“Saya buat keputusan untuk lantik awak jadi setiausaha sulit saya, bukan kerana saya kagum dengan resume awak.”
Dah agak dah! Bos gila saja yang akan kagum dengan resume yang kosong.
“Sebab saya seorang novelis?” tanya Lisa.
Zul Zafri tersenyum lagi.
“Bos nak buka syarikat penerbitan ke?” soal Lisa teruja.
Apa lagi yang boleh diharapkan oleh seorang novelis? Kalau bosnya yang ada bermacam-macam business ini perlukan seorang novelis, sudah tentulah nak buka syarikat penerbitan!
“Bukan.”
“Hah? Habis tu?” Lisa kecewa.
“Saya nak otak awak.”
“Hah? Otak saya?” Lisa mula menjarakkan diri. Kanibal apa bos aku ni!
“Bos... otak saya bukan genius sangat pun. Malah tak sedap pun. Kalau bos nak makan otak, saya cadangkan bos makan otak-otak. Itu gerenti sedap!”
Zul Zafri mengeluh kecil. Loyar buruk pula setiausaha barunya ini. “Siapa kata saya nak makan otak awak!”
Lisa terkejut tiba-tiba bosnya tinggikan suara. Muka pun sudah macam orang harimau yang kelaparan. Kecut perutnya.
“Habis tu?” Lisa beranikan diri bertanya.
“Maksud saya, saya inginkan khidmat otak novelis awak tu.”
“Hah?”
“Novelis cinta macam awak ni gerenti banyak idea macam mana nak selesaikan masalah cinta, kahwin dan sewaktu dengannya, bukan?”
Lisa garu kepala lagi. Dia cuba fikirkan apa yang bos inginkan. “Saya tak fahamlah bos...”
“Pendek kata, saya nak awak jadi penyelamat saya daripada kena kahwin dengan pilihan nenek. Awak kena fikirkan masalah saya dan cari jalan keluar sehingga nenek saya berhenti carikan saya calon isteri.”
“Hah?” Terkejut Lisa mendengarnya. Gila apa!
“Bos, saya cuma seorang penulis novel cinta dan bukannya Tuhan yang boleh rancang takdir seseorang!”
“Saya tak suruh awak jadi Tuhan. Saya suruh awak jadi seseorang yang boleh selesaikan masalah saya. Penulis macam awak ni mesti banyak idea, bukan? Awak cipta satu plot cinta untuk saya supaya nenek saya berhenti carikan calon isteri untuk saya.”
Lisa menggaru kepala. Tension! Kalau dia tahu inilah yang bakal dia lalui sebaik sahaja menerima pekerjaan ini, memang dia tak rela! Suruh cipta plot cinta. Tak pernah dibuat orang. Novelis lain pun akan fikir banyak kali untuk terima job sebegini.
“Awak setuju ke tak?”
“Saya kena setuju ke?” Lisa tanya kembali. Memang berat dia hendak bersetuju. Gila apa!
“Kalau awak tak setuju terpaksalah saya buat sesuatu supaya awak bersetuju.”
“Buat apa?”
Zul Zafri mengangkat buku nota sambil tersenyum-senyum. Lisa pandang dia semacam. Senyuman lelaki itu macam hendak bakar buku nota itu.
“Bos nak bakar buku tu ke? Bakarlah. Saya tak kisah pun. Idea tu datang daripada Allah. Insya-Allah, dengan izin-Nya saya akan dapat ingat balik apa yang saya tulis,” jawab Lisa begitu yakin.
“Saya tak kata saya nak bakar buku nota ni.”
“Habis tu?”
“Mmm... Saya ada siasat yang awak seorang anonymous writer.”
Lisa menelan air liur. Dia mula rasa kurang selesa dengan kata-kata itu. Apalah rancangan jahat yang difikirkan oleh bosnya? Orang kaya bukan boleh dibuat main. Orang kaya ada duit untuk buat apa yang mereka mahukan.
“Bos nak buat apa?” tanya Lisa.
Aku kena berhati-hati. Jangan sampai masuk perangkap dia! bisik hati Lisa.
“Agak-agak apa yang akan berlaku kalau semua orang tahu siapa penulis yang bernama Juwita?”
Tersengih-sengih bosnya, bagaikan meraikan kemenangannya. Tersembur tawa Lisa sebaik sahaja terdengar ugutan bosnya itu. Ingatkan apalah yang akan diugutnya tadi.
“Awak ingat saya bergurau ke?” Bengang Zul Zafri bila diketawakan kembali.
Lisa ketawa lagi. Sakit perut dia ketawa.
“Bos, walaupun bos upah orang untuk siasat pasal saya tapi bos tak kenal dunia penulisan. Memanglah saya ni anonymous writer tapi saya bukannya penulis popular macam A. Samad Said tu. Kalau bos nak sebarkan, tak ada siapa pun yang peduli kecuali pembaca setia saya dan saya tak kisah pun,” jawab Lisa masih dengan saki-baki tawanya.
“Kalau awak tak kisah kenapa awak tak nak dikenali?” soal Zul Zafri.
“Sebab...” Lisa terdiam. Baru dia teringat!
Alamak! Memang aku tak kisah pun kalau orang lain tahu tapi aku tak nak Farid tahu. Kalau dia tahu aku ni penulis novel... Eh, bukan ke Farid dah nak kahwin? Apa dia peduli kalau aku penulis novel tapi... Mesti dia akan ketawakan aku!
“Kahkahkah! Kau penulis novel? Patutlah semua novel-novel kau tak laku. Perempuan tiga suku macam kau ni memang tak layak jadi penulis tau tak!”
Lisa terbayangkan Farid sedang ketawakannya bersama-sama Aisyah. Hisy! Tak boleh jadi! Dia tak mahu diketawakan begitu.
Lisa pandang lelaki di hadapannya. Bos barunya itu tersenyum. Ini tak boleh jadi! Dia tidak akan mengaku kalah. Dia perlu cari idea segera untuk tidak menerima cadangan bosnya itu. Tapi, sekarang ni otaknya tengah stres. Langsung tak boleh berfikir.
“Err... boleh tak kalau bagi saya masa untuk fikirkan?” tanya Lisa.
Kalau bos bagi aku masa, inilah peluang untuk fikirkan jalan keluar. Walau apa pun aku takkan setuju dengan cadangan gila dia tu. Ada ke patut aku fikirkan plot cinta dia. Jadi, dengan masa itulah aku akan gunakan untuk cipta jalan keluar! Yeah, Lisa, kau memang cerdik!
“Kalau saya bagi awak masa untuk fikirkan, awak tentu akan cari jalan keluar, bukan?”
Opocot kau! Lisa tersentap. Macam mana bos tahu? Bos boleh baca fikiran orang ke?
“Walaupun saya tak pernah baca novel cinta awak yang geli-geleman tu tapi saya boleh agak. Penulis macam awak, tentu akan fikirkan jalan keluar. Jadi, jangan harap saya akan bagi awak masa untuk berfikir. Saya nak keputusan awak sekarang juga.”
Cis! Tak ada cara lain lagi.
“Bos, tolonglah jangan buat saya macam ni. Saya ni cuma penulis novel cinta yang tak popular. Sudahlah royalti novel pun cukup makan. Janganlah halang saya nak cari rezeki yang halal.”
“Ada ke saya suruh awak jadi pelacur?”
Lisa geleng. “Memanglah tak ada tapi permintaan bos tadi agak melampau.”
“Baiklah... Lima ribu.”
“Hah? Apa Lima ribu?”
“Gaji awak, saya bagi lima ribu sebulan.”
Lisa terkejut. Biar betul. Itu gaji dah taraf eksekutif dah tu. Tapi nak tinggi lagi daripada itu boleh tak?
“Bos, janganlah buat saya macam ni...” Lisa sudah keliru.
Kalau lima ribu sebulan boleh langsai hutang-hutangnya dalam masa kurang setahun. Silap hari bulan, cukup lima tahun, dia sudah boleh beli rumah sebiji!
“Dan tambah 10 ribu bagi setiap idea yang awak rancang menjadi.”
Lisa menelan air liur. Aduh, dia menjadi lemah. Dia bukannya mata duitan tapi bila hutang sudah duduk di keliling pinggang, beginilah jadinya. Nak terima, serba salah. Kalau tidak terima, matilah dia hendak membayar hutang-hutangnya nanti.
“Macam mana?” Bosnya itu tersenyum-senyum.
“Oh stres!”
Inilah dunia sekarang. Orang kaya memang suka membuli orang miskin tak berduit sepertinya. Apalah nasib badan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan