Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 18 Julai 2016

Curi Hati Awak, Boleh? - Prolog

CURI HATI AWAK, BOLEH?
RM26 (Sem. Malaysia)
RM29 (Sabah/Sarawak)

AZRA cuba menahan tangisnya. Permintaan daripada Firdaus terlalu besar untuk dia tunaikan. Tidak mudah untuk dia melepaskan begitu sahaja jika mahu hubungan ini diteruskan. Tak akan diabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan buatnya begitu sahaja.
Hatinya kini berbelah bagi. Sama ada mengikut kata Firdaus melepaskan begitu sahaja atau putuskan hubungan ini. Dia sayangkan hubungan yang telah terbina selama tiga tahun ini. Mengikut rancangan tahun ini mereka akan disatukan. Tapi, dia juga tidak mampu untuk menghampakan harapan kakaknya, Rasyiqah.
“Kalau betul awak masih nak ambil tanggungjawab ini terpulang. Tapi, saya memang tak boleh terima. Saya tak nak susahkan diri saya di kemudian hari,” ujar Firdaus. Puas dipujuk, namun itu juga keputusannya.
“Jadi, awak nak putuskan sahaja hubungan ini?” soal Azra. Langsung tidak menyangka pertemuan ini bakal menentukan arah tuju hubungan mereka.
Firdaus memandang Azra dan dia menjongketkan bahunya. Dia tidak sesekali berganjak dengan keputusannya. Tidak perlu dia susahkan diri dia untuk menjaga seseorang yang bukan darah dagingnya.
“Kalau awak masih dengan keputusan awak mahu menjaga budak ni. Saya tak nak.” Firdaus tetap berkeras.
“Mana awak letak hati nurani dan belas kasihan awak, Daus? Saya tak sangka awak boleh buat keputusan yang macam ni.” Azra menggelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak menyangka Firdaus akan membuat keputusan ini.
“Tak apalah, Azra. Saya rasa lebih baik kita putuskan sahaja hubungan ini kalau awak tetap dengan keputusan awak. Kita batalkan sahaja rancangan untuk berkahwin tahun ini. Saya tetap dengan keputusan saya. Kalau awak nak kita teruskan hubungan ini ikut seperti yang saya cadangkan tadi. Hantarkan sahaja ke rumah anak yatim. Tidak perlu kita susahkan diri untuk jaga dia.” Firdaus seolah-olah mengugut.
Azra menekan dadanya. Sakit bila Firdaus berkata begitu. Dia tidak minta semua ini terjadi. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia mengharapkan Firdauslah tempatnya untuk menumpang kasih selepas apa yang terjadi, tapi ternyata dia salah. Salah dia juga. Terlalu tinggi meletak harapan.
“Keras sungguh hati awak, Daus. Saya sangkakan awak akan faham saya. Awak akan sama-sama dengan saya, tapi saya ni bodoh. Terlalu berharap sangat. Padan muka sayakan,” luah Azra tersekat-sekat. Air mata yang mengalir disapu dengan belakang tangan. Dia tidak mahu terlalu menunjukkan kelemahan dia. Dia kena kuat.
“Saya faham awak, Azra. Tapi, saya tak boleh terima kalau awak masih nak jaga budak tu. Kalau macam kanak-kanak lain tak apa, tapi masalahnya... Entahlah. Awak faham kan maksud saya?”
Azra menarik nafas dalam dan melepaskan perlahan-lahan. Dulu dia sangat menghormati sikap Firdaus, tapi ternyata itu semua palsu. Hanya rekaan semata-mata. Persepsi dia terus berubah sekarang ini. Firdaus sekarang ini bukan lagi Firdaus yang dia kenal dulu. Semuanya hilang.
“Tak apa, Daus. Saya faham. Saya tak akan terima cadangan awak tu. Saya rela untuk lepaskan hubungan ini. Saya anggap antara kita tiada jodoh. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya akan tetap jaga amanah ini sampai bila-bila. Terima kasih sebab sudi bagi kebahagiaan selama tiga tahun ini. Saya memang mengharapkan hubungan ini akan berakhir dengan perkahwinan, tapi Allah tak izinkan. Semoga awak bahagia dengan orang baru selepas ini, Daus. Terima kasih atas segalanya.”
Ketika mahu beredar dari situ Azra menoleh. Dia memandang Firdaus dan bibirnya mengukirkan senyuman nipis walaupun hatinya sakit sangat.
“Pesan saya satu sahaja Daus. Andai kata selepas ini awak berkahwin dan dikurniakan anak istimewa janganlah awak abaikan dia. Dia amanah yang Allah bagi kepada awak. Anak istimewa inilah yang akan menjadi tiket untuk awak ke syurga nanti.”
Terus Azra mengangkat kaki meninggalkan Firdaus yang diam berdiri di situ. Tanpa dipinta, air mata mengalir laju membasahi pipinya. Dia kecewa. Terlalu kecewa. Tapi mungkin ada sesuatu yang diatur buatnya. Azra reda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan