Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 10

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

KEPALA dijenguk ke kiri dan ke kanan jalan. Mencari-cari Cik Seo Yeon yang sudah tak nampak bayang. Mana pula minah ni pergi? Tadi ada kat sini. Baru sahaja aku pergi tandas sekejap. Takkan dah hilang? Misteri betul pemandu pelancong aku ni. Hem.
“Aduh.” Dia memegang bahu yang tiba-tiba dilanggar orang.
Orang itu jelas seorang lelaki. Kemungkinan besar merupakan penduduk tempatan daripada gaya dan penampilannya. Lelaki itu menundukkan kepala tanda memohon maaf.
Syazrina angkat tangan kanan. Tanda dia tidak apa-apa. Lelaki itu terus melintas jalan sementelah lampu jalan masih berwarna hijau.
Syazrina menggigit bibir. Rasa geram mula menggigit-gigit hati. Mana Cik Seo Yeon ni? Tinggalkan aku seorang diri kat sini. Dia ingat aku tahu ke jalan sini? Jalan balik ke hotel pun aku tak ingat lagi. Waaa. Mana dia ni? rengek Syazrina dalam hati.
Tiba-tiba Syazrina terasa begnya diregut orang. Matanya terbeliak kerana terlalu terkejut.
“Hei, tolong. Tolong! Tolong!” Dia menjerit meminta tolong. Sambil-sambil kakinya melangkah mengejar si pencuri tersebut.
“Tolong. Ahhh.” Dia menutup mulut. Mana ada orang nak faham bahasa Melayu kat sini. “Help me. Please help me!”
Peragut itu makin menjauh daripadanya. Syazrina pula makin semput. Makin malang, dia tersadung kaki sendiri lalu terjatuh sendiri. Syazrina menangis sambil memegang kakinya.
“Kenapa ni cik?” tegur seseorang dalam bahasa Melayu.
Syazrina capat-cepat angkat kepala, tertarik dengan bahasa seseorang itu. Daripada suaranya Syazrina tahu, seseorang itu berjantina lelaki dan berbangsa Melayu. Namun, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu disebabkan mata yang berkaca dengan air mata.
“Ada orang ragut beg saya.” Jari telunjuknya ditala ke arah lorong di mana peragut itu melarikan begnya.
“Cik tunggu sini. Saya kejar dia.” Lelaki itu terus berlari pergi.
Syazrina sekadar mengangguk kepala berkali-kali. Terima kasih Allah. Saat getir begini Kau hadirkan seseorang untuk membantu. Syazrina membelek-belek kaki yang bersarung stoking. Nampak lebam. Mungkinkah terseliuh?
“Ni, beg awak.” Seseorang menghulurkan beg ke muka.
Syazrina angkat kepala. Pertama sekali, dia melihat beg tangan warna merah hati miliknya. Kedua-dua , barulah dia mengangkat kepala lebih tinggi, kepada seseorang yang telah menghulurkan beg tangan tersebut.
“Awak okey?” Lelaki itu melutut di hadapannya.
Syazrina angguk kepala. “Okey.” Beg tangan miliknya disambut lalu diletakkan ke tepi paha.
“Kaki awak bengkak. Mungkin awak terseliuh,” tegur lelaki itu kelihatan risau apabila terpandangkan kaki Syazrina. Spontan, dia cuba memegang kaki Syazrina.
Syazrina cepat-cepat menarik kakinya, tanda tak selesa bersentuhan dengan lelaki tersebut.
“Maafkan saya. Saya terlalu kaget tadi,” pohon lelaki itu, pandai berbahasa.
“Tak apa,” balas Syazrina. Dek rasa segan yang bersarang di hati, dia tidak dapat nak menatap wajah lelaki itu. Wajahnya ditundukkan.
“Awak tunggu sini. Saya cuba minta tolong orang lain angkat awak. Kita ke klinik. Saya takut nanti teruk kaki awak.” Terus lelaki itu bangun, mencari orang untuk meminta bantuan.

MEREKA berjalan keluar dari pintu automatik klinik. Syazrina berjalan tercapik-capik, beriringan dengan lelaki yang menjadi adiwira kepadanya hari ini.
“Macam mana? Dah okey?” soal lelaki itu. Rasa kasihannya tumpah melihatkan keadaan perempuan tersebut.
Syazrina angguk kepala sekali. “Okey. Tak ada apalah. Sikit aje ni. Kan doktor cakap tadi cuma lebam sikit. Esok okeylah ni.”
“Nasib baik tak terseliuh. Kalau tak lama lagi nak sembuh,” ujar lelaki itu, dengan riak yang masih kelihatan risau.
“Ya. Nasib baik. Nanti letak ubat okeylah ni. Jangan risau, okey?” balas Syazrina agak rimas dengan sikap ambil berat berlebihan lelaki itu.
Sikit sahaja, bang. Tak payahlah risau lebih-lebih macam awak tu suami saya, rungutnya sekadar dalam hati.
“Awak, jomlah. Kita duduk tepi kolam tu,” ajak lelaki itu seperti faham isi hati Syazrina yang tersirat.
Syazrina tanpa banyak soal terus mengikuti langkah lelaki itu. Mereka serentak melabuhkan punggung bersebelahan di sebuah kerusi panjang di tepi kolam yang dihias lampu-lampu cantik dan berwarna-warni tersebut.
Masing-masing diam sambil menikmati keindahan malam di tepian kolam. Masing-masing nampak serba tak kena. Mungkin kerana masing-masing masih berasa asing. Nama pun tak tahu lagi, tapi sudah duduk bersebelahan macam ni. Walaupun jarak di antara mereka jauh tapi segannya tetap ada.
Syazirna membisu sambil perhatiannya dilabuhkan pada pepohon pokok krismas di sekeliling kolam tersebut. Pokon krismas itu dipasang dengan lampu pelbagai bentuk. Ada bentuk hati dan bentuk bintang. Cantik dan berwarna-warni.
“Terima kasih ya. Awak susah-susah kejar peragut tu untuk saya,” cetus Syazrina setelah sekian lama mereka berdua membisu.
“Eh, tak ada apa-apalah. Kebetulan saya ada kat situ,” balas lelaki itu. Dia tak rasa pertolongannya terlalu besar untuk perempuan itu.
“Saya Syazrina. Awak boleh panggil saya Syaz.” Syazrina mengambil inisiatif memperkenalkan nama.
“Syazrina?” Nada suara lelaki itu seakan-akan terkejut saat mendengar nama itu disebut.
Syazrina terus memandang ke sebelah. Dia juga hairan dengan reaksi terkejut lelaki itu. “Ya. Syazrina. Kenapa?”
Spontan, lelaki itu bangun lalu berdiri berhadapan dengannya.
Syazrina angkat kepala. Terkebil-kebil memandang lelaki itu.
“Syazrina, SMK Bandar Putera, SPM tahun 2005, kan?” soal lelaki itu.
Dengan riak yang masih kabur, Syazrina angguk kepala. Dahinya berkerut seribu dek kehairanan. Bagaimana lelaki itu tahu latar belakang sekolah aku?
Lelaki itu tergelak kecil. Satu helaan nafas dilepaskan. “Oi, minah senget. Kau tak kenal aku ke?”
Dahi Syazrina makin berkerut berjuta. Minah senget? Hanya seorang manusia dalam dunia ni yang panggil dia minah senget. Tapi, takkan kut? Nakkan kepastian yang jelas, dia bangun lalu mendekatkan wajah ke wajah lelaki itu.
Saat mereka bertentang mata, giliran Syazrina tergelak besar. “Wei, Syakeef. Mamat poyo.”
“Ha. Kenal pun.”
Serentak, berderai tawa mereka.
“Apa kau buat kat sini, mamat poyo?” Syazrina kembali melabuhkan punggung. Suasana yang janggal tadi kini berubah 180 darjah.
“Aku ada kursus kat sini. Kau tu apa buat kat sini?” Syakeef juga kembali melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Panjang sangat nak cerita dengan kau.”
“Ceritalah. Aku nak dengar. Tak sangka betul aku boleh jumpa kau kat sini. Dah lain sangat kau. Sampai aku tak cam langsung. Nasib baik kau cakap nama kau tadi.” Syakeef masih beriak teruja.
“Kau pun, aku tak kenal langsung. Dah berubah sangat.” Syazrina juga menyatakan keterujaannya.

PEMANDANGAN seluruh bandar Seoul dapat dilihat dari arah balkoni tingkat 20 hotel yang disewa oleh agensi pelancongan kepada Syazrina. Memang cukup cantik dan berwarna-warni bandar Seoul pada waktu malam. Kesibukan dan kebisingan kota raya Seoul pula kedengaran menerjah cuping telinga.
Tiba-tiba Syazrina dapat melihat keping-keping salju turun daripada langit malam yang kelam. Wah, dia diisi perasaan teruja. Lantas tangannya dihulurkan ke luar, cuba menahan salji itu dengan tangannya.
“Kalaulah kau boleh tengok semua ni, Suha,” omel Syazrina tiba-tiba terasa sedih. Satu helaan nafas dilepas.
Serentak, kotak memori bertukar nama. Daripada nama Nasuha sahabatnya, kepada nama Syakeef, bekas rakan sekolahnya. Tiba-tiba sahaja lelaki itu muncul setelah sekian lama membuatkan hati dibuai perasaan aneh.
Sudah lain sangat dengan Syakeef yang dia kenal lapan tahun lalu. Lelaki itu sudah tampak matang, bukan lagi mamat poyo yang kebudak-budakan. Tutur katanya juga sudah banyak berubah. Tidak lagi menjengkelkan. Apatah lagi fizikal dia yang sudah berubah tinggi dan maco. Sudah sado, tak lagi kerempeng macam dulu-dulu.
“Kau masih marahkan aku?” soalan Syakeef masih terngiang di telinga.
“Marah?”
“Aku tahu aku banyak sangat main-mainkan kau. Terlalu banyak salah aku pada kau, Syaz.” Nada suara lelaki itu kedengaran kendur, bermaksud dia menyesal dengan salah silapnya selama ini.
Marah? Marahkah aku pada kau Syakeef? Kalau ikutkan, aku patut marah. Kau penghancur segala-galanya. Aku kehilangan maruah diri di sekolah sehingga tak sanggup nak mengangkat kepala. Juga kehilangan teman baik sendiri, Nora. Dipulau macam aku pesalah yang bakal dihukum penjara.
Aku malu Syakeef. Malu. Tapi, anehnya, marah itu sudah tidak menapak di hati ini. Mungkinkah kerana dimamah masa yang terlalu lama?
“Aku cari kau sejak lepas trial SPM. Kau terus menghilangkan diri. Aku dengar kau dah pindah lepas ayah dengan mak kau...”
“Hem. Aku pindah lepas ayah dengan mak aku meninggal,” pintas Syazrina cepat. Cepat sahaja kotak memori teringatkan peristiwa pada petang selepas selesai pengebumian mak dan ayahnya.
Mak Lang Suriati, adik emak, datang menjemput mereka adik-beradik untuk tinggal dengannya di Perak. Pada mulanya Syazrina keberatan kerana pusara emak dan ayah masih berbasah tanah merah. Dia juga terlalu berat hendak meninggalkan kampung halaman yang menjadi saksi kenangan pahit manis mereka bersama arwah emak dan ayah.
Tapi, jaminan Mak Lang Suriati untuk menanggung segala perbelanjaan sekolah dan kehidupan mereka adik-beradik menyebabkan Syazrina berfikir semula. Kalau dia masih berdegil hendak terus menetap di kampung, apa nasib adik-adiknya kelak?
“Maafkan aku, Syaz.” Ungkapan maaf Syakeef mengembalikan Syazrina ke alam nyata. “Kalaulah aku dapat undur masa. Aku...”
“Aku akui, aku cukup menderita dengan apa yang telah kau buat kat aku,” luah Syazrina tiba-tiba.
Syakeef telan air liur. Melihat wajah sayu Syazrina menyebabkan perasaan bersalah makin bertubi-tubi menghentam benak.
“Aku pernah salahkan kau. Dulu. Aku benci kau. Aku sakit hati dengan apa yang kau buat dengan aku. Aku marah sangat dengan kau.” Syazrina berjeda.
“Syaz, aku...”
“Tapi, macam aku cakap, itu dulu. Patutnya aku bersyukur kerana Allah hantarkan orang macam kau dalam hidup aku. Sekurang-kurangnya aku boleh hadapi apa sahaja hinaan dan cercaan orang, tanpa ada perasaan takut dan gentar. Kau banyak mengajar aku untuk jadi orang yang kuat,” sambung Syazrina sambil tersenyum nipis.
“Jadi, kau dah maafkan aku?”
Syazrina angguk kepala. Kali ini senyuman dia melebar. “Dah. Aku dah maafkan kau. Biarlah kisah silam itu terus menjadi kisah silam. Kita tak perlu lagi nak toleh ke belakang. Kira kita kosong-kosong ya?”
Kening Syakeef bercantum hairan. “Kosong-kosong?”
“Yalah, hari ni kan kau tolong aku. Kira macam balas baliklah hutang kau dengan aku yang dulu-dulu. Boleh kira macam tu?”
Syakeef tergelak kecil. Fahamlah dia maksud Syazrina. “Okey. Aku terima. Janji kau dah maafkan aku.”
Satu helaan nafas dilepaskan Syakeef. “Lega hati aku, Syaz. Terima kasih ya. Terima kasih sangat-sangat.”
Sama-sama, Syakeef. Syazrina kembali ke alam nyata. Terasa hatinya kini lega. Setidak-tidaknya kata maaf yang dia berikan kepada Syakeef menenangkan hati sendiri. Hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan dendam yang tidak berkesudahan. Akhirnya, yang rugi, diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan