Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 1

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

BUNYI deringan telefon berulang kali membuatkan sepasang mata itu terkedip-kedip dalam cahaya lampu bilik yang terang-benderang. Tangannya mencapai telefon yang terletak di atas meja di tepi katil.
“Helo?” sapanya dalam serak suara yang lemah. Mengantuk.
“Helo, angah! Ini along ni,” jawab si pemanggil.
“Apa hal ni along? Pukul berapa ni? Kau tak tidur ke?” soalnya dengan mata yang masih tertutup rapat. Sesekali, dia menguap luas.
“Angah, kau kena tolong along kali ni. Along ada masalah besar ni. Kalau kau tak tolong, matilah along!”
Ameer Hayyad tersentak. Matanya terus terbuka dan dia bangun duduk menegak sambil menenyeh-nenyeh matanya. “Kenapa ni along? Kau ada kat mana ni? Ada orang nak pukul kau ke?”
“Along tak boleh cerita dalam telefon. Kau kena datang rumah sewa along sekarang juga. Kalau tidak, esok kau, ibu dengan adik tunggu aje van jenazah hantar mayat along ke rumah.” Suara Ammar Yasser kedengaran risau dan terisi dengan gementar.
Hayyad terpisat-pisat sendirian sambil melirik ke arah jam pada dinding. Pukul 1.00 pagi! Apa hal dengan along ni?
“Along, kau tak apa-apa ke? Kau janganlah buat aku risau.” Hayyad mula gusar.
Abangnya memang selalu minta tolong dengannya, tapi tak pernah pula dia minta tolong dalam waktu begini.
“Cepatlah angah! Kau datang sekarang juga. Along tunggu kau. Kau aje harapan yang along ada. Kau tak sayangkan along ke angah?” Ammar menambahkan lagi unsur-unsur dramatik dalam bicaranya, membuatkan Hayyad menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“Ialah along. Kau tunggu aku datang!”
“Okey, along tunggu! Terima kasih, angah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab Hayyad dan telefon diletakkan di atas katil setelah Ammar memutuskan talian.
Hayyad menghela nafas dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Dalam kepalanya, dia cuma terfikirkan Ammar. Apa agaknya masalah abangnya kali ini? Hayyad bingkas bangun. Dia mahu bersiap untuk bertolak ke Kuala Lumpur.
Siap berpakaian ala kadar, dia keluar dari bilik dan menghampiri pintu bilik ibunya, Mak Siti. Sebelum pintu diketuk dia menadah tangan dahulu. Berdoa. Takut ibunya berleter. Mak Siti kalau dah mula berleter, boleh menggelegak tahi telinga orang yang mendengar.
“Ibu... Ibu!” Hayyad mengetuk pintu yang berlangsir biru itu beberapa kali.
“Siapa tu?” Terdengar suara ibunya menjawab dari dalam.
“Ibu, angah ni. Buka pintu kejap ibu. Angah ada hal nak cakap ni.”
“Hal apa pukul 1.00 pagi ni? Kalau nak buang air besar, angah pergi kejutkan adik, temankan angah.”
Hayyad tepuk dahi. Ke situ pula ibu ni. Mentang-mentanglah dia takut gelap! Asal ketuk pintu tengah malam saja mesti itu yang ibu fikir.
“Bukan nak buang air besarlah ibu. Angah ada hal lain nak beritahu ibu ni. Keluarlah kejap ibu.” Hayyad ketuk lagi pintu itu.
Ketukan bertalu-talu itu membuatkan daun pintu dikuak dari dalam. Wajah kusut-masai ibunya muncul sambil menguap macam lembu kekenyangan. Hayyad mengucap panjang melihat keadaan ibunya yang tidak kurang macam puntianak harum yang tak berapa nak sundal. Dengan kain batik yang diselit di dada, tidak berbaju dan rambutnya menggerbang macam hantu Kak Limah. Siap bertempek bedak sejuk lagi!
“Ada hal apa angah? Ibu baru aje nak mimpi Zul Ariffin dengan Aaron Aziz tahu tak? Kacau daun betullah,” rungut Mak Siti tidak puas hati. Rambutnya yang kerinting halus itu digaru-garu kasar.
“Aaron Aziz dengan Zul Ariffin pulak ibu ni! Kalau dia orang tengok ibu macam ni, confirm dia orang lari tak cukup tanah, tahu tak?” Hayyad tergelak kerana dia sudah membayangkan situasi itu betul-betul berlaku. Ketawanya terhenti bila kepalanya ditunjal kasar oleh ibunya.
“Angah tahu tak dulu ibu ni ratu kebaya peringkat daerah tahun 1979 tau? Kalau ibu ni tak cantik angah ingat muka angah nak jadi handsome macam Zul Ariffin ke?” tukas Mak Siti bersungguh-sungguh. Dia mengirai rambut kerintingnya dan disanggul tinggi.
Hayyad ketawa terbahak-bahak. Ibu dah mula lagi. Sikit-sikit Zul Ariffin. Tak pun Aaron Aziz. Padahal, mukanya langsung tidak sama dengan pelakon-pelakon itu. Ibu memang suka lebih-lebih.
“Cakaplah apa hal angah kejutkan ibu. Mengantuk ni!”
“Angah nak pergi rumah sewa along. Along telefon tadi. Dia cakap dia ada masalah,” jawab Hayyad dan dia sudah dapat mengagak reaksi yang bakal ditunjukkan oleh ibunya.
“Pergi rumah sewa along? Sekarang? Nak buat apa? Apa yang penting sangat sampai tak boleh tunggu siang? Along kau memang macam tu. Asyik fikir dia punya susah aje. Kita punya susah ni bukan dia nak fikir. Angah telefon along sekarang, biar ibu cakap dengan dia sendiri. Suka-suka aje suruh angah pergi rumah sewa dia malam-malam buta macam ni. Kenapa tak dia aje yang balik rumah?”
Hayyad menyeringai sambil menggosok belakang lehernya. Mak Siti dah mulakan sesi leterannya yang tidak berbayar. “Along ada masalah besar tu ibu. Kalau tidak, takkanlah along nak suruh angah pergi rumah sewa dia, kan? Risau juga angah dengar suara along tadi.”
“Angah jangan beri muka sangat dengan along tu. Sikit-sikit telefon angah! Bergaduh dengan jiran pasal berebut stoking pun telefon angah. Kena marah dengan bos kat tempat kerja pun telefon angah. Ibu rasa, kali ni mesti bergaduh dengan gepren dia. Itu yang dah tak boleh nak tunggu matahari naik dulu tu.” Mak Siti membuat tekaan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku dulu.
“Ibu, bukan geprenlah. Girl... friend! Itulah, banyak sangat makan belacan sebab tu lidah ibu keras macam batu,” seloroh Hayyad.
Lucu dengan cara ibunya menyebut perkataan girlfriend tadi. Gepren? Nampak sangat lidah orang kampung.
“Dengan belacan tulah angah boleh besar macam ni tahu tak?”
“Eh, angah tak makan belacan! Ibu jangan nak reka-reka cerita pulak.”
“Memang masa angah dah besar ni angah tak makan belacan. Tapi, dulu masa angah kecil, angah kan minum susu ibu sampai umur angah empat tahun setengah! Ibu makan belacan jadinya angah pun makan belacan jugaklah. Faham?” kata Mak Siti lagi sambil tersenyum sumbing. Berlagak tak makan belacan konon!
“Ialah, ibu menang! Dah lambat ni. Angah pergi dulu, ibu. Nanti along tertunggu-tunggu pula.” Hayyad mengalah sahaja.
Kalau nak bertengkar dengan ibunya tiga hari tiga malam pun belum tentu boleh menang. Ada sahaja ideanya. Mungkin sebab itu ibunya terkenal di kampung ni dengan gelaran YB Mak Siti. Gayanya bercakap mengalahkan wakil rakyat.
“Ialah. Angah nak pergi seorang diri ke? Tak bawa peneman? Jauh juga nak sampai KL tu.” Mak Siti mengekori Hayyad yang sudah duduk di atas sofa untuk memakai stoking.
“Angah dah telefon Rizman ajak dia temankan angah. Dia kata boleh. Ibu jangan risaulah. Bukan jauh sangat pun. Dari sini nak sampai KL dalam dua jam aje, ibu,” ujar Hayyad.
Dia dah biasa ulang-alik dari kampungnya ke KL kerana masalah-masalah alongnya yang tidak pernah habis.
“Rizman?” Mak Siti tunjuk muka kurang suka dengan kawan Hayyad itu.
“Ia. Dahlah tu ibu. Yang bermusuh ibu dengan emak dia. Angah dengan Riz tu kawan sampai mati, tau,” kata Hayyad sambil menggelengkan kepala.
Dia faham dengan reaksi yang ditunjukkan oleh ibunya. Tidak suka!
Mak Siti cuma diam. Tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang perkara itu.
Hayyad bangun dan bergerak ke pintu. Kunci pintu dibuka dan daun pintu dibuka. Jaket kulit berwarna hitam yang dipegang sejak tadi disarungkan ke badannya yang sasa. Terasa sejuk sebaik sahaja pintu dibuka.
“Angah pergi dulu, ibu. Pagi esok suruh adik tumpang kereta Aisyah pergi sekolah. Angah dah hantar SMS beritahu Aisyah dah. Ibu kuncilah pintu ni. Assalamualaikum.” Hayyad menuruni tangga selepas bersalaman dengan ibunya.
Mak Siti menjawab dalam hati dan dia memerhatikan anaknya berjalan menuju ke garaj kereta yang terletak di sebelah kiri halaman rumah. Seketika kemudian, terdengar bunyi enjin kereta pacuan empat roda milik Hayyad sebelum meluncur pergi meninggalkan pekarangan rumah batu itu.
Mak Siti menutup pintu setelah kereta Hayyad menghilang ditelan kepekatan malam. Dia berdoa semoga Hayyad akan selamat pergi dan selamat balik. Hayyad memang jenis yang tidak reti berkira. Lebih-lebih lagi dengan adik-beradiknya. Mintalah tolong apa sahaja pasti dia akan tolong tanpa berfikir dua kali. Ammar anak sulung, tapi semua perkara bergantung kepada Hayyad.

HAYYAD memberhentikan keretanya di hadapan pagar rumah Rizman. Dia mahu menunggu di luar sahaja. Tidak mahu mengganggu lena ahli keluarga Rizman. Kotak rokok diambil dari poket jaketnya dan rokok itu dikepitkan di bibirnya tanpa dinyalakan.
Dia menyanyi perlahan sambil menunggu Rizman keluar. Jam di pergelangan tangan dikerling. Sudah pukul 1.30 pagi!
Selang beberapa minit, dia nampak kelibat Rizman terkocoh-kocoh keluar menghala ke arah keretanya. Hayyad ketawa sendiri melihat Rizman yang kelam-kabut itu.
Sorry, bro! Aku lambat. Susah nak kejutkan mak aku tu,” kata Rizman sambil tayang muka bersalah.
“Tak apa, Riz. Aku yang kena minta maaf dengan kau sebab susahkan kau malam-malam macam ni.”
“Hal kecil aje, bro! Along kau ada masalah lagi ke?” tebak Rizman seakan-akan tahu tentang perkara itu.
Hubungan mereka yang rapat sejak kecil itu membuatkan mereka berkongsi apa sahaja perkara.
“Biasalah, Riz. Along aku tu, asal ada masalah aje mesti nak aku pergi jumpa dia. Tapi, kali ni macam lain sikit suara dia. Mungkin masalah besar.” Hayyad terus menyuakan kotak rokok kepada Rizman.
Lelaki itu mengambil dan mengeluarkan sebatang rokok. Terus dinyalakan rokok itu sebelum dikepitkan di bibir. Berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya selepas menyedut rokok yang menyala itu.
“Kau ni kenapa bro? Kau cakap nak berhenti merokok, tapi ada lagi kotak rokok dalam poket baju. Yang kau kepit rokok tak menyala tu, apa hal?” Rizman ketawa terbahak-bahak dengan telatah Hayyad.
“Aku tengah cuba berhentilah ni. Ibu aku tu bising suruh aku berhenti merokok. Bukan senang nak lupa. Itu yang aku kepit aje, tapi tak cucuh api. Nak lepaskan rindu.” Hayyad melawak dan ketika itu keretanya sudah mula bergerak meninggalkan Kampung Haji Rashid.
“Macam-macam hallah kau ni! Berapa hari kau nak pergi KL ni? Sebab aku tak bawa baju salin pun.”
“Esok kita baliklah! Pasal baju kau tak perlu risau. Sampai sana nanti kita suruh aje along aku tu belikan baju baru untuk kita. Dia kan kerja di syarikat besar. Mestilah dia banyak duit. Bila lagi kita nak rasa duit dia, kan?” Ujar Hayyad selamba.
Kata-katanya disambut hilai ketawa Rizman. Dia ikut ketawa. Sebab itu dia ajak Rizman. Boleh berbual dan hilangkan mengantuk ketika memandu. Rizman adalah teman sepermainannya dan mereka membesar bersama-sama. Dari kecil hingga masing-masing sudah berumur 28 tahun dan persahabatan mereka bertambah utuh seiring dengan waktu yang berlalu.
Mereka terus berborak dan ketawa sehinggalah ternampak papan tanda di bahu jalan yang tertulis Kuala Lumpur dua kilometer. Kurang daripada setengah jam lagi mereka akan sampai di kota raya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan