Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 7

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

“AWAK memang tinggal atas rumah kedai tu ke?” soal Rizz Fahim apabila mereka sudah meneruskan perjalanan ke Melaka.
“Aha...”
Bauan Hugo Boss yang dipakai Rizz Fahim menusuk ke dalam lubang hidung Che Hannah. Bergetar juga naluri wanitanya. Bertambah lagi apabila Rizz Fahim mengenakan Ray Ban berwarna coklat. Rasa macam tak padan pula dia untuk digandingkan dengan Rizz Fahim. Lelaki ini sudahlah pakai kereta besar. Doktor pula tu. Aku apa yang ada? Che Hannah bermonolog sendirian.
           
Ladki badi anjaani hai
Sapna hai sach hai kahaani hai

Che Hannah berpaling ke arah Rizz Fahim yang sedang menyanyi mengikut rentak lagu yang ke udara di radio Hot FM.
“Awak ni mesti minat cerita Hindustan, kan?” tegur Che Hannah berpaling sekilas ke arah Rizz Fahim.
Rizz Fahim yang sedang menyanyi terhenti lalu berpaling ke arah Che Hannah. Dia tersengih sambil meneruskan pemanduannya.
“Tak minat mana. Kebetulan lagu ni ke udara, saya ikut menyanyi. Tapi, kalau suatu hari saya dah jatuh cinta dengan awak, saya akan nyanyi lagu Hindustan. Dan awak kena faham maksud isyarat ni.”
Kata-kata Rizz Fahim membuatkan Che Hannah tercekik. Baru semalam setuju nak jumpa keluarga Rizz Fahim, dah bagi isyarat cinta. Apa hal dia ni? Tak senang Che Hannah duduk dibuatnya.
“Kalau awak dah jatuh cinta dengan saya, awak nak bagi isyarat apa?” Separuh berbisik Rizz Fahim bersuara.
Buat Che Hannah hampir nak tidur saja dengar suara romantik lelaki ini.
“Entah, tak tahu!” balas Che Hannah dengan nada geram.
“Tak apa, awak fikirkan kemudian. Lepas akad nikah nanti awak beritahu,” usik Rizz Fahim nakal.
Che Hannah diam membisu. Malas hendak membalas kata-kata lelaki itu.
Sekilas Rizz Fahim mengerling Che Hannah. Dia berharap keluarganya akan menerima baik kedatangan Che Hannah nanti. Dia berjanji akan berusaha untuk menyayangi gadis yang baru dikenalinya. Dan dia yakin Che Hannah adalah pilihan yang tepat.
Entah kenapa balik sahaja daripada pengisian mencari jodoh dia teringatkan Che Hannah. Dia hanya nampak bayangan Che Hannah selepas melakukan solat ishtikarah. Ya Allah, yakinlah hatiku jika dia adalah jodohku, bisik hati kecilnya.

“AWAK, nenek saya tegas sikit. Kalau dia tanya awak jangan main jawab aje. Cakap aje kita dah kenal dua bulan,” pesan Rizz Fahim sewaktu keretanya membelok masuk ke kampungnya.
Tersentak Che Hannah yang sedang mengelamun.
“Kenapa? Nenek awak garang sangat ke? Kenapa tak cakap awal-awal supaya saya boleh bersedia?” soal Che Hannah yang sudah kalut.
Rizz Fahim tersenyum.
“Tak adalah garang mana,” ujar Rizz Fahim meyakinkan gadis di sebelahnya.
Dalam masa yang sama Rizz Fahim takut juga mahu berhadapan dengan neneknya nanti. Yalah, sebelum ini dia memberitahu kekasihnya adalah seorang doktor sepertinya. Balik ke kampung sahaja dia selalu bercerita tentang Asmidar kepada Nek Yam dan Puan Mahana. Alih-alih perempuan lain yang dibawanya balik untuk dijadikan isteri. Bagaimanalah penerimaan Nek Yam nanti?
Dengan uminya, Puan Mahana, dia tidak kisah sangat. Wanita itu sentiasa menyokongnya, asalkan tindakannya tidak bertentangan dengan agama. Salah satu sebab mengapa dia senang bercerita dengan uminya.
Kereta Rizz Fahim berhenti di hadapan sebuah rumah ukiran kayu tradisional yang sangat cantik dengan halaman yang sangat luas. Terpegun Che Hannah memandang rumah kayu yang begitu cantik dengan ukiran tradisional yang menarik. Rizz Fahim turun untuk membuka pintu pagar.
Sebaik sahaja kereta Rizz Fahim masuk ke pekarangan rumah, seorang wanita yang berwajah lembut yang berada di beranda rumah tersenyum ke arah mereka.
“Siapa tu?” soal Che Hannah sebaik sahaja kereta Rizz Fahim sudah masuk ke garaj.
“Itu umi saya. Jomlah,” kata Rizz Fahim.
Dada Che Hannah sudah berdebar-debar. Sukar untuk dia gambarkan perasaan ini. Semalam pukul 4.00 pagi baru dia terlelap. Sudahlah dengan usikan Suraya yang merapu yang membuatkan dia bengang, ditambah lagi debaran untuk berjumpa dengan keluarga Rizz Fahim.
Wanita berumur pertengahan 50-an itu menuruni anak tangga lalu mendapatkan Rizz Fahim dan Che Hannah. Berdebar-debar Che Hannah yang turun dari kereta.
“Umi, ni Hannah,” beritahu Rizz Fahim.
Sejenak Puan Mahana terkaku. Hannah? Setahu dia sebelum ini anaknya memberitahu kekasihnya adalah Asmidar. Kenapa Hannah pula? Dia keliru.
Che Hannah mendapatkan Puan Mahana dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan wanita itu.
Puan Mahana yang tersedar daripada lamunannya segera menyambut huluran gadis kecil itu. Sempat dia merenung wajah Che Hannah. Dia memerhatikan Che Hannah yang begitu manis dengan baju kurung tradisional Melayu. Orangnya kecil molek, cukup lembut dan manis.
Gementar juga Che Hannah sewaktu mencium tangan Puan Mahana. Entah betul ataupun tidak tindakannya untuk menjadi isteri Rizz Fahim. Tiba-tiba sahaja hatinya mahu pulang dan membatalkan niatnya untuk menjadi isteri lelaki ini. Dia mula terasa tidak selesa dengan situasi begini. 
Terkejut Che Hannah sebaik Puan Mahana memeluk dan mencium pipinya. Nampaknya kedatangannya disambut baik oleh keluarga Rizz Fahim.
“Umi, nenek mana?” soal Rizz Fahim yang mula mencari kelibat neneknya.
“Ada kat dapur tu. Tengah kukus lepat pisang,” beritahu Puan Mahana.
“Wau, sedap tu. Tak sabar nak makan lepat pisang nenek,” kata Rizz Fahim lalu bergegas naik ke rumah.
“Eh, Rizz. Ya Allah budak ni. Boleh tinggalkan tetamu macam ni aje,” bebel Puan Mahana.
Lalu dia berkalih ke arah Che Hannah yang kelihatan kekok. Sama seperti dirinya ketika pertama kali berjumpa dengan keluarga mertuanya dahulu. Masih dia ingat pertama kali dia diperkenalkan kepada Nek Yam oleh suaminya. Berpeluh juga dia apabila wanita itu sering mengajukan soalan kepadanya.
Kata suaminya, Encik Iswadi, bukan senang hendak menjadi menantu Nek Yam kalau tidak lulus ujian. Hatinya berdoa, berharap Che Hannah tidak akan terkena sepertinya. Kasihan budak ini nanti.
“Mari Hannah kita naik. Rizz memang macam tu. Kalau dah teringin sangat nak makan lepat pisang neneknya, apa pun dah tak ingat. Hailaaa... budak ni,” keluh Puan Mahana.
“Tak apalah, mak cik. Dia seronok tu dapat balik kampung,” ujar Che Hannah lembut.
Dalam masa yang sama sakit juga hatinya ditinggalkan oleh Rizz Fahim begitu saja. Sudahlah dia baru hendak kenal keluarga ini. Segan dia dibuatnya. Entah apalah yang dia hendak bualkan dengan Puan Mahana ini nanti.
Che Hannah mengekori Puan Mahana naik ke rumah. Sempat dia memerhatikan kawasan rumah kayu yang cantik ini. Hatinya memuji.

“ASSALAMUALAIKUM nenek. Sedapnya bau lepat pisang,” tegur Rizz Fahim lalu duduk di sebelah Nek Yam yang sedang meletakkan lepat pisang yang siap dikukus di dalam pinggan.
“Waalaikumusalam. Mana bakal cucu menantu nenek?”
Rizz Fahim yang baru hendak menyentuh lepat pisang yang masih panas tidak menjadi. Dia hanya memandang neneknya yang meletakkan lepat pisang ke dalam kukusan yang lain untuk dikukus semula.
“Isy, nenek tanya ni. Kenapa diam?”
“Ada dengan umi. Bagilah dia selesa dulu nek. Takkan nenek nak suruh dia buat lepat pisang kut,” gurau Rizz Fahim. Dia tahu sangat perangai Nek Yam yang suka menguji setiap bakal menantu atau cucu menantu perempuan.
“Apa salahnya? Dah ini kuih kegemaran cucu nenek. Kuih ni dia wajib pandai buat. Panggil dia ke dapur, nenek nak jumpa dia sekarang.” Tegas kedengaran suara Nek Yam.
“Nenek...”
Nek Yam hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
Rizz Fahim mengeluh lalu masuk ke dalam rumah, mencari umi dan Che Hannah. Hatinya gusar jika Che Hannah tidak dapat menjawab pertanyaan neneknya nanti. Eh, pandai masak ke tak si Hannah ni? Dia sendiri lupa hendak bertanya terlebih dahulu. Kalau Che Hannah tak lulus ujian nenek macam mana? Tak kahwinkah dia nanti? Bagaimana pula dengan gadis itu yang sudah berjanji dengan ibunya untuk dikenalkan dengannya?
Bermacam-macam soalan berlegar-legar di ruang fikirannya. Hatinya mulai tidak tenang.
Kedengaran suara gelak halus di ruang tamu mencuit hati Rizz Fahim. Pertama kali dia mendengar Che Hannah ketawa manja begitu. Ingatkan orangnya garang sewaktu dia dan Che Hannah berlanggar tanpa sengaja dahulu.
“Umi dengan Hannah ketawa pasal apa ni?” tegur Rizz Fahim.
“Cuma cerita tentang Rizz masa kecil-kecil dulu,” balas Puan Mahana yang sedang tersenyum lebar.
“Malulah Rizz dekat calon isteri. Umi ni pandai-pandai aje cerita yang bukan-bukan,” kata Rizz Fahim. Matanya dilirikkan ke arah Che Hannah yang begitu ayu dengan baju kurungnya warna merah jambu.
Che Hannah yang perasan dengan pandangan Rizz Fahim segera tertunduk malu.
“Nenek nak jumpa Hannah sekarang. Macam mana ni umi?” soal Rizz Fahim gusar.
Puan Mahana hanya tersenyum. Walaupun hatinya gusar seperti Rizz Fahim, dia hanya berlagak bersahaja. Dia tidak mahu Che Hannah takut untuk berhadapan dengan Nek Yam nanti. Dia berharap sangat Che Hannah lulus ujian yang akan dibuat oleh ibu mertuanya. Dari tadi dia terfikir-fikir apalah agaknya ujian yang Nek Yam mahu lakukan untuk Che Hannah.
“Mari Hannah, kita ke dapur. Jumpa nenek Rizz,” ajak Puan Mahana. Segera dia bangkit daripada duduknya.
Che Hannah hanya mengangguk. Awal-awal tadi dia sudah diingatkan oleh Rizz Fahim bahawa Nek Yam itu seorang yang tegas. Tegas macam mana dia sendiri tidak tahu selagi dia belum berjumpa dengan wanita tua itu.
Rizz Fahim hanya memerhati Che Hannah dan Puan Mahana yang sudah melangkah ke dapur. Saat ini dia semakin gelisah. Terlepaskah Che Hannah dengan ujian yang diberikan oleh Nek Yam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan