Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 2

DERUMAN enjin kenderaan berkuasa tinggi semakin kedengaran saat Irdina Wira memulas pendikit motosikal. Semakin kuat suara Emir Farith berulang di gegendang telinga, semakin ligat gadis itu mencelah segala ruang yang ada. Meskipun banyak kenderaan yang berada di atas jalan raya, semua itu tidak mampu menghalang kelincahan Irdina Wira sewaktu menunggang motosikal.
Memang benar, suatu ketika dahulu dia buta. Bukan buta pada penglihatan, tetapi buta kerana rasa cinta. Dia begitu menyayangi Emir Farith. Bagi Irdina Wira, Emir Farith adalah manusia yang paling menyayanginya di dunia ini. Walaupun ada sahaja berita kecurangan Emir Farith yang disampaikan oleh rakan sekuliah, semua itu tidak mampu melunturkan rasa sayangnya terhadap lelaki tersebut.
Namun, perangai buaya Emir Farith akhirnya terbukti dengan jelas lagi nyata saat Irdina Wira berangkat semula ke Perth untuk menyelesaikan beberapa perkara setelah kematian ayahnya, Idrus Wira.
“Lelaki tak guna!” jerit gadis itu. Suaranya ditenggelami hiruk-pikuk bunyi yang ada.
Dia mengambil keputusan untuk menukar arah ke lorong kiri. Pemandangan di hadapan kosong, tiada kenderaan. Irdina Wira memperlahankan kelajuan. Suara garau Emir Farith terus berputar di ingatan umpama pita rakaman. Setiap suku kata yang terbit daripada bibir itu menghiris jiwanya. Manik jernih itu gugur lagi.
“Tak guna! Kenapa kau nak nangis, Ird?!” laung Irdina Wira lagi meskipun wajahnya ditutupi dengan topi keledar muka penuh.
Irdina Wira tidak suka dengan keadaan dirinya ketika ini. Baginya, air mata lambang kelemahan seorang wanita. Dia tidak suka tampak lemah. Malangnya, dia sendiri tidak pasti mengapa dia harus menangis. Dia tidak tahu atas dasar apa air matanya mengalir. Marah, sedih atau menyesal?
Tangan kanannya memulas pendikit yang mengawal kelajuan. Baru sahaja dia mahu memecut laju, tiba-tiba ada kereta yang berada di lorong kanan menukar lorong ke kiri dengan tergesa-gesa tanpa memberikan isyarat lampu. Dengan tindakan pantas, Irdina Wira menekan brek untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Mujur dia mampu mengawal motosikalnya.
Tanpa berlengah, ibu jari Irdina Wira menekan hon. Visor gelap topi keledar diangkat. Kenderaan beroda empat itu dipandang. Kereta tersebut beransur perlahan dan lama-kelamaan berhenti di bahu jalan. Tanpa membuang masa Irdina Wira turut memberhentikan motosikalnya di hadapan kereta. Perasaan marah kepada Emir Farith tidak semena-mena beralih kepada pemilik kenderaan berwarna hitam itu. 

DERINGAN telefon bimbit mencelah tumpuan Zulqadree yang sedang memandu. Tangan kiri mencapai gadget tersebut yang terletak di tempat duduk sebelah pemandu. Zulqadree memperlahan sedikit kelajuan kereta. Dia memandang sekilas skrin telefon pintarnya. Gelaran baba untuk Tuan Zulqahiri tertera.
Memandangkan dia sedang memandu, Zulqadree mahu mengenakan handsfree untuk menjawab panggilan tersebut. Walau bagaimanapun, teknologi kecil itu tidak pasti diletakkan di mana. Mahu mencapai dan mencari alat tersebut di laci dashboard, dirasakan tidak sempat. Sudahnya, Zulqadree mengambil keputusan untuk terus menjawab.
“Ya, baba?” ungkap Zulqadree memulakan perbualan. Dia berusaha untuk fokus dengan pemanduannya.
“Projek majalah sekolah swasta yang mana satu?” soal lelaki itu setelah mendengar pertanyaan pengarah urusan Sapphire Creative Sdn Bhd. Dia cuba untuk mengingati segala butiran kerja yang tersimpan dalam fikiran.
Perbincangan yang lebih serius menyebabkan Zulqadree mahu fokusnya lebih tertumpu pada telefon. Dia memandang sekejap cermin pandang sisi di bahagian kiri dan tiada kenderaan yang terpampang. Namun, tanpa lelaki itu sedari, pada bahagian titik butanya ada satu motosikal mahu memecut laju.
Zulqadree menggerakkan sedikit stereng kereta lantas mengubah haluan kenderaan ke lorong kiri. Selang beberapa saat, bunyi hon yang panjang dan begitu hampir menusuk ke pendengaran. Kaki kanan menekan brek. Zulqadree terkejut dan menjadi panik. Malah, bukan lelaki itu sahaja yang terperanjat, si pemanggil turut tempias sama. Suara Tuan Zulqhairi kedengaran, menanyakan apa yang sedang berlaku di hujung talian.
“Tak ada apa-apa, baba. Qadree okey. Tak pun, nanti Qadree telefon baba balik,” ucapnya sebagai tanda memutuskan perbualan dan dalam masa yang sama Zulqadree memandang cermin pandang belakang. Pantulan kelibat motosikal dan penunggang kelihatan.
“Aku dah langgar motor tu ke?” Darah yang mengalir tersirap. Perasaan gusar dan risau menjalar ke seluruh jiwa.
Seingatnya, tidak dengar pula sebarang dentuman atau bunyi pelanggaran sebentar tadi. Untuk menjawab segala persoalan yang bermain di minda, Zulqadree mengambil keputusan untuk berhenti di tepi jalan.
“Motor ni...” Dahi yang rata terus berkerut tatkala melihat motosikal Kawasaki ER6F berwarna hitam itu berhenti di hadapan keretanya.
Ya, kenderaan tersebut seakan-akan tidak asing. Dia pernah melihat motosikal itu sebelum ini. Ketukan bertalu-talu di cermin tingkap menghentikan lamunan Zulqadree. Lelaki itu keluar. Hanya mata dan bahagian hidung sahaja yang kelihatan kerana si penunggang masih mengenakan topi keledar.
“Nak tukar lorong, signal mana?” tanya Irdina Wira.
Zulqadree tidak berniat untuk menjawab. Hati pula membisikkan sesuatu. Suara halus manusia tersebut menyentuh pendengarannya dengan nada yang tegas.
“Encik tak nampak ke ada motor kat sebelah kiri? Nak tukar lorong bukan main terjah aje. Kena tengok cermin sisi dengan cermin pandang belakang sekali. Bukan ikut rasa hati.”
Bebelan Irdina Wira langsung tidak menerjah ke ruang minda.
“Tahu ke tak kereta memang ada signal ke kiri dan kanan? Kereta buatan Malaysia pun ada, takkan kereta import mahal macam ni tak ada signal? Encik tahu gunakan ke tak signal tu?”
Berdas-das tembakan soalan dilemparkan. Satu pun tidak disahut Zulqadree.
“Nasib baik saya tak beberapa nak laju. Sempat saya tekan brek. Kalau tak, encik dah langgar saya. Kat jalan raya ni bukan kena fikir diri sendiri aje, kena fikir orang lain juga. Jangan pentingkan diri sendiri,” leter gadis berusia 25 tahun itu.
Ceramah akan keselamatan jalan raya yang diberikan secara percuma langsung tidak diendahkan. Zulqadree lebih tertarik untuk mengetahui identiti insan itu. Renungannya bertemu dengan mata coklat hazel yang sedikit sembap.
“Encik?!”
Lambaian tangan Irdina Wira menerpa ke pandangan Zulqadree. Lelaki tersebut sedikit tersentak. Bebola matanya bergerak. Zulqadree memandang motosikal berwarna hitam itu. Motor dengan orang macam sama. Dia ni... perempuan kat restoran tadi ke? bisik hati kecil Zulqadree. Dia merasakan firasatnya benar.
“Yang bersuara marahkan encik, ada kat depan mata ni. Bukan motor yang memang sejak azali tak mampu bercakap tu. Ke encik risau saya minta ganti rugi untuk motor saya?” teka Irdina Wira. Dia agak hairan melihat reaksi Zulqadree. Wajah pemuda itu seperti tertanya-tanya.
Zulqadree pula terus mencari jawapan menerusi raut yang hanya kelihatan sedikit itu.
“Encik!” Kali ini Irdina Wira tidak mampu bersabar.
Sejak tadi lelaki tersebut langsung tidak berbicara. Marah yang berhimpun di dada semakin menggunung. Rasa tidak puas hati kian membuak-buak. “Encik pandu kereta ni guna lesen terbang ke lesen encik ke laut?”
Zulqadree masih tidak mengatur lidah. Mahu sahaja dia meminta perempuan itu menanggalkan apa yang tersemat di kepala.
Irdina Wira melepaskan keluhan. Dia tertunduk seketika sambil mencekak sebelah pinggang. Sakit hatinya terus bertimpa-timpa. Tadi, kemalangan yang tidak diingini hampir berlaku. Kini, insan tersebut langsung tidak menjawab segala pertanyaan yang telah terpacul. Pertimbangan yang cuba diterapkan dalam sanubari sedikit demi sedikit hilang. Mengapa dalam masa satu hari sahaja, ada dua orang lelaki yang mampu membangkitkan amarahnya? Irdina Wira menanggalkan topi keledar.
Mata Zulqadree segera merakam raut yang sudah terdedah itu. Ternyata, memang benar gerak hati yang terbit sebentar tadi. Baru sahaja Zulqadree mahu bersuara untuk menzahirkan maaf, Irdina Wira beralih tempat.
Dia melangkah ke bahagian hadapan kereta. Objek untuk melindungi kepala diayunkan ke bahagian lampu signal untuk ke kiri. Bunyi kaca pecah dan berderai menerjah.
Zulqadree membeliakkan mata. Rahangnya terjatuh.
“Cik!” Spontan sahaja suara Zulqadree meninggi. Sama sekali tidak meramal sejauh itu tindakan Irdina Wira. Memang nyata lagi bersuluh Irdina Wira sengaja melakukan hal itu.
“Ha! Ada suara pun. Ingatkan tengah bercakap dengan orang yang tak bisu, tapi berpura-pura pekak.”
Zulqadree meluru ke sisi Irdina Wira. Pandangannya berlabuh ke bahagian yang pecah itu. Zulqadree meraup rambut ke belakang. Tangannya lama singgah di bahagian dahi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. “Cik sedar tak apa yang cik dah buat ni?”
“Sedar. Cukup sedar.”
“Kalau cik sedar, kenapa cik buat kerja gila ni?”
“Biar buat kerja gila, jangan jadi orang yang buatkan orang lain rasa dirinya gila. Habis tu, dari tadi saya bercakap macam orang gila tu dengan siapa? Bila dah kena macam ni, baru nak cakap?”
Sekali lagi Zulqadree membisu. Kata-kata Irdina Wira memang penuh dengan makna. Hatinya disuntik dengan satu rasa.
“Lain kali, tolong hati-hati bila pandu kereta. Nak tukar lorong, nak belok, nak tukar arah, kena bagi signal. Orang kat dalam dunia ni tak mampu nak baca apa yang ada kat fikiran encik. Sebab tu signal tu penting. Isyarat yang bisu, tapi mampu beritahu apa yang pemandu nak buat.”
“Kalau cik dah pecahkan signal kereta ni, macam mana saya nak bagi isyarat untuk ke kiri?
“Bila dah tak ada, barulah nak guna? Kenapa bila masih ada tadi tak nak guna?”
Setiap butir kata yang diluahkan menghambat jiwa Zulqadree. Bicara Irdina Wira memang berbisa. “Saya tak perasan ada motor cik kat belah kiri.”
“Tak perasan tu satu hal. Tukar lorong main masuk macam tu aje?”
Zulqadree menelan air liur. Halkumnya bergerak. Memang benar itu silapnya. Dia tidak mampu menegakkan benang yang sudah basah.
“Saya minta maaf.” Tenang dan lembut sahaja lelaki itu menuturkan tiga patah perkataan tersebut. Jika yang lain, pasti sudah mengamuk.
Kali ini giliran Irdina Wira pula yang mendiamkan diri. Tidak semena-mena dia merasakan perbuatannya tidak patut. Wajah Zulqadree ditatap. Zulqadree punya kumis yang nipis dan janggut menghiasi dagu gaya Van Dyke. Pemuda itu tampak kemas dan bergaya dengan kemeja biru gelap jenis slim fit. Lengan kemeja pula dilipat menghampiri siku. Jam digital jenama Nixon menghiasi pergelangan tangan kanan. Baik juga lelaki ni. Aku dah pecahkan lampu kereta dia pun dia masih nak minta maaf. Sempat lagi Irdina memuji Zulqadree dalam hati.
“Apa yang jadi masalah sekarang ni, macam mana saya nak bagi isyarat ke kiri? Kalau orang dari belakang boleh nampak. Kalau orang dari arah depan macam mana pula?”
“Macam tulah manusia. Lebih menghargai bila dah tak memiliki. Apa susah, pergi workshop, betulkan lampu tu.”
“Memang betul. Tapi, dalam perjalanan nak ke workshop tu ada arah yang perlu saya belok ke kiri. Nak tukar lorong pun kena pakai signal, kan?” Zulqadree sengaja memulangkan paku buah keras kepada Irdina Wira.
Gadis itu mengukir raut bengang. “Guna isyarat tangan. Masa pergi kelas memandu, kan dapat buku. Dalam buku tu ada beritahu. Tak baca ke?”
Zulqadree tersenyum. Lucu mendengar jawapan tersebut. Apa yang diluahkan dari bibir itu memang tidak sama seperti gadis yang lain.
“Eh? Senyum pula. Tangan kanan hulur kat tingkap. Kalau nak ke kanan, tangan tu tunjuk ke kanan. Kalau nak ke kiri, tangan tu buat putaran macam ni. Faham?” aju Irdina Wira diiringi tingkah seperti yang ditutur.
Anggukan kepala disulami renungan pula sebagai balasan. Bibir Zulqadree terus meleret senyuman.
Entah mengapa, Irdina Wira merasa segan tatkala terus ditatap dengan cara begitu. Untuk mengelakkan canggung menguasai suasana, Irdina Wira mengatur kaki ke motosikal. Tidak sampai lima langkah, perempuan itu berpatah balik. Dia mengeluarkan dompet.
“Tadah tangan,” arah Irdina Wira.
“Kenapa?” Anak sulung Tuan Zulqhairi itu terpinga-pinga.
“Tadah ajelah.”
Kali ini Zulqadree tidak menyoal. Dia menjadi pak turut. Kepingan wang kertas not RM100 sebanyak tiga helai berpindah tangan.
Sorry pasal lampu tu,” ungkap Irdina Wira. Dia memandang sekali imbas wajah itu sebelum kembali menuju ke motosikalnya.
Perempuan ni memang berani. Kat restoran tadi dah siram air. Lepas tu menangis. Sekejap tadi marah siap mengamuk lagi. Sekarang ni, minta maaf pula? Tak sampai setengah hari, berapa banyak emosi yang dia ni ada?
Kepala Zulqadree bergerak ke kiri lalu ke kanan berulang kali. Zulqadree tidak mengerti mengapa ada satu perasaan lain yang hadir. Susuk tubuh dari belakang itu diperhati. Irdina Wira sedang mengangkat topi keledarnya. Dia mahu menyarung objek tersebut ke kepala.
“Cik Signal Kiri?” panggil Zulqadree.
Tekapan kaki Irdina Wira terus terhenti. Aneh dan pelik pula dengan gelaran itu. Namun, Irdina Wira tahu lelaki tersebut memanggil dirinya. Perbuatannya terhenti. Dia berpaling semula. “Encik nak apa? Tak cukup ke duit tu?”
Zulqadree menggeleng.
“Bukan,” ungkapnya sambil menyimpan duit yang berada di tangan ke dalam poket.
“Habis tu?”
“Signal nak ke kiri dan kanan awak dah beritahu. Tapi, ada satu lagi signal yang perlu saya tahu.”
“Signal nak ke mana lagi? Signal kenderaan memang ada kiri dan kanan aje.”
“Signal nak ke hati awak macam mana pula?”
Mulut Irdina Wira lantas ternganga. Zulqadree benar-benar berjaya membuat lidahnya terkelu. Lengkungan bibir yang manis terus terpamer. Irdina Wira berusaha mencari sesuatu di sebalik senyuman itu.
“Hari ni memang hari tak waras sedunia ke? Ke manusia normal makin pupus kat bumi ni?” balas gadis itu dengan serius. Dia mengenakan semula topi keledarnya lalu memecut laju meninggalkan lelaki tersebut.
Mungkin, saya mula jadi orang tak waras sebab awak, Cik Signal Kiri, monolog Zulqadree diiringi pandangan ke bahagian lampu yang pecah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan