Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 10

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

KEPALA dijenguk ke kiri dan ke kanan jalan. Mencari-cari Cik Seo Yeon yang sudah tak nampak bayang. Mana pula minah ni pergi? Tadi ada kat sini. Baru sahaja aku pergi tandas sekejap. Takkan dah hilang? Misteri betul pemandu pelancong aku ni. Hem.
“Aduh.” Dia memegang bahu yang tiba-tiba dilanggar orang.
Orang itu jelas seorang lelaki. Kemungkinan besar merupakan penduduk tempatan daripada gaya dan penampilannya. Lelaki itu menundukkan kepala tanda memohon maaf.
Syazrina angkat tangan kanan. Tanda dia tidak apa-apa. Lelaki itu terus melintas jalan sementelah lampu jalan masih berwarna hijau.
Syazrina menggigit bibir. Rasa geram mula menggigit-gigit hati. Mana Cik Seo Yeon ni? Tinggalkan aku seorang diri kat sini. Dia ingat aku tahu ke jalan sini? Jalan balik ke hotel pun aku tak ingat lagi. Waaa. Mana dia ni? rengek Syazrina dalam hati.
Tiba-tiba Syazrina terasa begnya diregut orang. Matanya terbeliak kerana terlalu terkejut.
“Hei, tolong. Tolong! Tolong!” Dia menjerit meminta tolong. Sambil-sambil kakinya melangkah mengejar si pencuri tersebut.
“Tolong. Ahhh.” Dia menutup mulut. Mana ada orang nak faham bahasa Melayu kat sini. “Help me. Please help me!”
Peragut itu makin menjauh daripadanya. Syazrina pula makin semput. Makin malang, dia tersadung kaki sendiri lalu terjatuh sendiri. Syazrina menangis sambil memegang kakinya.
“Kenapa ni cik?” tegur seseorang dalam bahasa Melayu.
Syazrina capat-cepat angkat kepala, tertarik dengan bahasa seseorang itu. Daripada suaranya Syazrina tahu, seseorang itu berjantina lelaki dan berbangsa Melayu. Namun, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu disebabkan mata yang berkaca dengan air mata.
“Ada orang ragut beg saya.” Jari telunjuknya ditala ke arah lorong di mana peragut itu melarikan begnya.
“Cik tunggu sini. Saya kejar dia.” Lelaki itu terus berlari pergi.
Syazrina sekadar mengangguk kepala berkali-kali. Terima kasih Allah. Saat getir begini Kau hadirkan seseorang untuk membantu. Syazrina membelek-belek kaki yang bersarung stoking. Nampak lebam. Mungkinkah terseliuh?
“Ni, beg awak.” Seseorang menghulurkan beg ke muka.
Syazrina angkat kepala. Pertama sekali, dia melihat beg tangan warna merah hati miliknya. Kedua-dua , barulah dia mengangkat kepala lebih tinggi, kepada seseorang yang telah menghulurkan beg tangan tersebut.
“Awak okey?” Lelaki itu melutut di hadapannya.
Syazrina angguk kepala. “Okey.” Beg tangan miliknya disambut lalu diletakkan ke tepi paha.
“Kaki awak bengkak. Mungkin awak terseliuh,” tegur lelaki itu kelihatan risau apabila terpandangkan kaki Syazrina. Spontan, dia cuba memegang kaki Syazrina.
Syazrina cepat-cepat menarik kakinya, tanda tak selesa bersentuhan dengan lelaki tersebut.
“Maafkan saya. Saya terlalu kaget tadi,” pohon lelaki itu, pandai berbahasa.
“Tak apa,” balas Syazrina. Dek rasa segan yang bersarang di hati, dia tidak dapat nak menatap wajah lelaki itu. Wajahnya ditundukkan.
“Awak tunggu sini. Saya cuba minta tolong orang lain angkat awak. Kita ke klinik. Saya takut nanti teruk kaki awak.” Terus lelaki itu bangun, mencari orang untuk meminta bantuan.

MEREKA berjalan keluar dari pintu automatik klinik. Syazrina berjalan tercapik-capik, beriringan dengan lelaki yang menjadi adiwira kepadanya hari ini.
“Macam mana? Dah okey?” soal lelaki itu. Rasa kasihannya tumpah melihatkan keadaan perempuan tersebut.
Syazrina angguk kepala sekali. “Okey. Tak ada apalah. Sikit aje ni. Kan doktor cakap tadi cuma lebam sikit. Esok okeylah ni.”
“Nasib baik tak terseliuh. Kalau tak lama lagi nak sembuh,” ujar lelaki itu, dengan riak yang masih kelihatan risau.
“Ya. Nasib baik. Nanti letak ubat okeylah ni. Jangan risau, okey?” balas Syazrina agak rimas dengan sikap ambil berat berlebihan lelaki itu.
Sikit sahaja, bang. Tak payahlah risau lebih-lebih macam awak tu suami saya, rungutnya sekadar dalam hati.
“Awak, jomlah. Kita duduk tepi kolam tu,” ajak lelaki itu seperti faham isi hati Syazrina yang tersirat.
Syazrina tanpa banyak soal terus mengikuti langkah lelaki itu. Mereka serentak melabuhkan punggung bersebelahan di sebuah kerusi panjang di tepi kolam yang dihias lampu-lampu cantik dan berwarna-warni tersebut.
Masing-masing diam sambil menikmati keindahan malam di tepian kolam. Masing-masing nampak serba tak kena. Mungkin kerana masing-masing masih berasa asing. Nama pun tak tahu lagi, tapi sudah duduk bersebelahan macam ni. Walaupun jarak di antara mereka jauh tapi segannya tetap ada.
Syazirna membisu sambil perhatiannya dilabuhkan pada pepohon pokok krismas di sekeliling kolam tersebut. Pokon krismas itu dipasang dengan lampu pelbagai bentuk. Ada bentuk hati dan bentuk bintang. Cantik dan berwarna-warni.
“Terima kasih ya. Awak susah-susah kejar peragut tu untuk saya,” cetus Syazrina setelah sekian lama mereka berdua membisu.
“Eh, tak ada apa-apalah. Kebetulan saya ada kat situ,” balas lelaki itu. Dia tak rasa pertolongannya terlalu besar untuk perempuan itu.
“Saya Syazrina. Awak boleh panggil saya Syaz.” Syazrina mengambil inisiatif memperkenalkan nama.
“Syazrina?” Nada suara lelaki itu seakan-akan terkejut saat mendengar nama itu disebut.
Syazrina terus memandang ke sebelah. Dia juga hairan dengan reaksi terkejut lelaki itu. “Ya. Syazrina. Kenapa?”
Spontan, lelaki itu bangun lalu berdiri berhadapan dengannya.
Syazrina angkat kepala. Terkebil-kebil memandang lelaki itu.
“Syazrina, SMK Bandar Putera, SPM tahun 2005, kan?” soal lelaki itu.
Dengan riak yang masih kabur, Syazrina angguk kepala. Dahinya berkerut seribu dek kehairanan. Bagaimana lelaki itu tahu latar belakang sekolah aku?
Lelaki itu tergelak kecil. Satu helaan nafas dilepaskan. “Oi, minah senget. Kau tak kenal aku ke?”
Dahi Syazrina makin berkerut berjuta. Minah senget? Hanya seorang manusia dalam dunia ni yang panggil dia minah senget. Tapi, takkan kut? Nakkan kepastian yang jelas, dia bangun lalu mendekatkan wajah ke wajah lelaki itu.
Saat mereka bertentang mata, giliran Syazrina tergelak besar. “Wei, Syakeef. Mamat poyo.”
“Ha. Kenal pun.”
Serentak, berderai tawa mereka.
“Apa kau buat kat sini, mamat poyo?” Syazrina kembali melabuhkan punggung. Suasana yang janggal tadi kini berubah 180 darjah.
“Aku ada kursus kat sini. Kau tu apa buat kat sini?” Syakeef juga kembali melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Panjang sangat nak cerita dengan kau.”
“Ceritalah. Aku nak dengar. Tak sangka betul aku boleh jumpa kau kat sini. Dah lain sangat kau. Sampai aku tak cam langsung. Nasib baik kau cakap nama kau tadi.” Syakeef masih beriak teruja.
“Kau pun, aku tak kenal langsung. Dah berubah sangat.” Syazrina juga menyatakan keterujaannya.

PEMANDANGAN seluruh bandar Seoul dapat dilihat dari arah balkoni tingkat 20 hotel yang disewa oleh agensi pelancongan kepada Syazrina. Memang cukup cantik dan berwarna-warni bandar Seoul pada waktu malam. Kesibukan dan kebisingan kota raya Seoul pula kedengaran menerjah cuping telinga.
Tiba-tiba Syazrina dapat melihat keping-keping salju turun daripada langit malam yang kelam. Wah, dia diisi perasaan teruja. Lantas tangannya dihulurkan ke luar, cuba menahan salji itu dengan tangannya.
“Kalaulah kau boleh tengok semua ni, Suha,” omel Syazrina tiba-tiba terasa sedih. Satu helaan nafas dilepas.
Serentak, kotak memori bertukar nama. Daripada nama Nasuha sahabatnya, kepada nama Syakeef, bekas rakan sekolahnya. Tiba-tiba sahaja lelaki itu muncul setelah sekian lama membuatkan hati dibuai perasaan aneh.
Sudah lain sangat dengan Syakeef yang dia kenal lapan tahun lalu. Lelaki itu sudah tampak matang, bukan lagi mamat poyo yang kebudak-budakan. Tutur katanya juga sudah banyak berubah. Tidak lagi menjengkelkan. Apatah lagi fizikal dia yang sudah berubah tinggi dan maco. Sudah sado, tak lagi kerempeng macam dulu-dulu.
“Kau masih marahkan aku?” soalan Syakeef masih terngiang di telinga.
“Marah?”
“Aku tahu aku banyak sangat main-mainkan kau. Terlalu banyak salah aku pada kau, Syaz.” Nada suara lelaki itu kedengaran kendur, bermaksud dia menyesal dengan salah silapnya selama ini.
Marah? Marahkah aku pada kau Syakeef? Kalau ikutkan, aku patut marah. Kau penghancur segala-galanya. Aku kehilangan maruah diri di sekolah sehingga tak sanggup nak mengangkat kepala. Juga kehilangan teman baik sendiri, Nora. Dipulau macam aku pesalah yang bakal dihukum penjara.
Aku malu Syakeef. Malu. Tapi, anehnya, marah itu sudah tidak menapak di hati ini. Mungkinkah kerana dimamah masa yang terlalu lama?
“Aku cari kau sejak lepas trial SPM. Kau terus menghilangkan diri. Aku dengar kau dah pindah lepas ayah dengan mak kau...”
“Hem. Aku pindah lepas ayah dengan mak aku meninggal,” pintas Syazrina cepat. Cepat sahaja kotak memori teringatkan peristiwa pada petang selepas selesai pengebumian mak dan ayahnya.
Mak Lang Suriati, adik emak, datang menjemput mereka adik-beradik untuk tinggal dengannya di Perak. Pada mulanya Syazrina keberatan kerana pusara emak dan ayah masih berbasah tanah merah. Dia juga terlalu berat hendak meninggalkan kampung halaman yang menjadi saksi kenangan pahit manis mereka bersama arwah emak dan ayah.
Tapi, jaminan Mak Lang Suriati untuk menanggung segala perbelanjaan sekolah dan kehidupan mereka adik-beradik menyebabkan Syazrina berfikir semula. Kalau dia masih berdegil hendak terus menetap di kampung, apa nasib adik-adiknya kelak?
“Maafkan aku, Syaz.” Ungkapan maaf Syakeef mengembalikan Syazrina ke alam nyata. “Kalaulah aku dapat undur masa. Aku...”
“Aku akui, aku cukup menderita dengan apa yang telah kau buat kat aku,” luah Syazrina tiba-tiba.
Syakeef telan air liur. Melihat wajah sayu Syazrina menyebabkan perasaan bersalah makin bertubi-tubi menghentam benak.
“Aku pernah salahkan kau. Dulu. Aku benci kau. Aku sakit hati dengan apa yang kau buat dengan aku. Aku marah sangat dengan kau.” Syazrina berjeda.
“Syaz, aku...”
“Tapi, macam aku cakap, itu dulu. Patutnya aku bersyukur kerana Allah hantarkan orang macam kau dalam hidup aku. Sekurang-kurangnya aku boleh hadapi apa sahaja hinaan dan cercaan orang, tanpa ada perasaan takut dan gentar. Kau banyak mengajar aku untuk jadi orang yang kuat,” sambung Syazrina sambil tersenyum nipis.
“Jadi, kau dah maafkan aku?”
Syazrina angguk kepala. Kali ini senyuman dia melebar. “Dah. Aku dah maafkan kau. Biarlah kisah silam itu terus menjadi kisah silam. Kita tak perlu lagi nak toleh ke belakang. Kira kita kosong-kosong ya?”
Kening Syakeef bercantum hairan. “Kosong-kosong?”
“Yalah, hari ni kan kau tolong aku. Kira macam balas baliklah hutang kau dengan aku yang dulu-dulu. Boleh kira macam tu?”
Syakeef tergelak kecil. Fahamlah dia maksud Syazrina. “Okey. Aku terima. Janji kau dah maafkan aku.”
Satu helaan nafas dilepaskan Syakeef. “Lega hati aku, Syaz. Terima kasih ya. Terima kasih sangat-sangat.”
Sama-sama, Syakeef. Syazrina kembali ke alam nyata. Terasa hatinya kini lega. Setidak-tidaknya kata maaf yang dia berikan kepada Syakeef menenangkan hati sendiri. Hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan dendam yang tidak berkesudahan. Akhirnya, yang rugi, diri sendiri.

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 9

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SYAZRINA termangu macam orang bodoh. Dia melihat sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang baru dijejak kaki buat kali pertama. Besarnya. Mana arah nak pergi ni? Nak ke kiri terasa salah jalan. Nak ke depan, takut sesat. Ah, pusing!
“Cik Seo Yeon? Mana nak cari ni?” Keningnya berkerut seribu. Mata melingas macam rusa masuk kampung. Di tempat asing ini satu apa pun dia tidak tahu. Kenal orang pun tidak.
Sambil-sambil Syazrina terjenguk-jenguk melihat gelagat daripada pelbagai jenis orang di situ. Ada yang sedang memeluk pasangan apabila bertemu. Ada yang bercium... Cium? Eeukkk. Macamlah tak boleh nak bercium kat tempat lain. Kepala digeleng jelik.
Syazrina mencari-cari orang yang boleh dijadikan mangsa untuk dijadikan kaunter pertanyaan, sekali gus membantunya mencari Cik Seo Yeon, pemandu pelancongnya sepanjang berada di sini. Sambil-sambil dia berdoa, ada orang Malaysia yang tersesat di sini macam dia. Seorang pun tak apa. Please!
“Aisy. Tak ada pula orang Malaysia. Muka mat salih aje semua.” Syazrina menggigit bibir. Dia makin tak betah berdiri.
Fon di tangan dihentak ke kepala. “Ouch. Sakitlah. Buat perangai betullah kau ni.”
Amarah dilepaskan pada telefon pintar yang entah kenapa hari ini nak buat perangai. Nak on tak boleh. Eee. Geramnya. Kalau tak boleh on, macam mana nak telefon Cik Seo Yeon tu? Pihak agensi pelancongan pun tak boleh nak berhubung. Sekarang macam mana?
Bersama helaan nafas yang berbaur penat dan lapar, Syazrina mendekati kerusi panjang di hujung tiang berdepan dengannya. Bagasi diletak ke tepi lalu dia melabuhkan punggung.
Tak tahu nak buat apa, Syazrina ternganga melihat sekeliling lapangan terbang entah ke berapa kali. Tiba-tiba dia sebik. Sedih sendiri dengan keadaan diri di tempat orang. Tak ada sesiapa nak bergantung harap. Air mata yang mengalir disapu dengan hujung tudung bawal warna ungu muda.
“Kenapa awak menangis?”
Sapaan daripada bahasa yang dapat dikenal pasti menyentakkan kesedihan Syazrina. Dia menoleh memandang seseorang di sebelah. Seorang lelaki. Syazrina mengesat sisa air mata yang mengalir di pipi.
“Awak orang Malaysia?” Teragak-agak dia bertanya.
“Ya. Saya orang Malaysia,” akui lelaki itu sambil menjenguk kepala ke wajah sugul Syazrina.
Syazrina cepat-cepat memeluk erat beg sandang. Bagasi di sebelah ditarik ke tepi paha. Dia rasa ada yang tak kena sahaja dengan lelaki ni. Tiba-tiba tegur aku. Kenapa?
“Awak bukan penculik, kan? Awak bukan sindiket pemerdagangan orang, kan?” soal Syazrina berbaur curiga.
Lelaki itu tergelak kecil. Dia melibas tangan kanannya. “Mana ada. Saya bukan penculik. Apa lagi sindiket pemerdagangan orang. Saya nampak awak kat sini dari tadi. Menangis. Jadi, saya terasa nak tegur. Salah ke?”
Syazrina mengecilkan anak mata memandang lelaki itu atas dan bawah. Masih ada bibit-bibit rasa curiga terhadap lelaki itu.
“Betul. Saya orang baik-baik. Jangan risau.” Lelaki itu menghulur senyum lebar. “Saya Farizuan. Awak boleh panggil saya Ari. Awak?”
“Saya... Syazrina.” Teragak-agak, Syazrina masih memperkenalkan diri.
“Ah. Syazrina. Saya Ari, awak Arina. Ari, Arina.” Lelaki itu ketawa lagi, menonjolkan lesung pipit di kedua-dua pipi.
Syazrina mencebik pelik. Dia ni macam orang kenal dia lama pula nak gurau macam tu. Psiko apa mamat ni?
“Awak tak jawab soalan saya lagi. Kenapa awak menangis?” soal Farizuan.
“Saya... Ah, macam-macamlah jadi kat saya. Panjang sangat nak cerita. Awak penat pula nak dengar nanti.”
“Ceritalah. Saya boleh dengar.”
“Saya datang sini dengan agensi pelancongan. Lepas tu fon saya buat perangai. Saya sepatutnya jumpa dengan pemandu pelancong saya saya kat sini. Cik So, Seo... Ah, apa entah nama dia. Tapi, masalahnya, fon saya buat perangai, jadi tak boleh nak berhubung dengan dia. So, saya tak tahu nak buat apa. Sebab tu menangis,” cerita Syazrina panjang lebar.
Farizuan tertewa kecil. Terasa kelakar melihat gelagat gadis comel itu bercerita kalut.
“Awak ingat kelakar ke?” sergah Syazrina. Mematikan tawa Farizuan.
“Saya nak tolong awak ni. Awak cakap dengan saya, agensi tu nama apa. Nanti saya bawa awak pergi sana,” pelawa Farizuan bersedia untuk menolong.
“Pergi dengan awak?” Syazrina berkerut dahi.
“Yalah. Dengan saya. Takkan dengan Pakistan kat belakang tu kut,” celoteh Farizuan sambil memuncung bibir ke arah lelaki berpakaian gamis kurta di belakang mereka.
“Eee. Tak nak saya. Kalau awak ni jahat macam mana? Nanti awak tangkap saya, jual kat sini, macam mana?” Syazrina masih berkeadaan berjaga-jaga.
“Okey. Kalau awak tak percayakan saya, kita naik bas pergi ke agensi. Selamat sikit, kan?” cadang Farizuan. Dia tidak tahu bagaimana cara lagi hendak meyakinkan gadis itu.
Syazrina berjeda sebentar. Membuat pertimbangan yang waras. Kalau tak ikut lelaki ini, ada lagi ke yang nak tolong aku? Emm. Baik aku ikut sahajalah! Terus dia bangun daripada duduk.
“Pergi mana?” soal Farizuan hairan dengan tindakan tiba-tiba gadis itu.
“Cakap nak pergi agensi. Jomlah,” ajak Syazrina selamba. Hilang terus rasa takutnya.

SYAZRINA memandang lelaki berjaket tebal warna hitam di sebelah. Hem. Handsome juga mamat ni. Baik pula tu. Sanggup tolong aku walaupun aku curiga dengan dia. Siap sanggup tinggalkan kereta dia, naik bas awam dengan aku. Siapa dia ni ya?
“Tak payahlah tengok saya sampai macam tu. Kalau awak nak tahu pasal saya, awak tanya sayalah,” sergah Farizuan tiba-tiba.
Syazrina berdeham. Dia buat-buat memandang ke luar tingkap bas. Mukanya berkerut beribu. Adoi. Malunya, dah kantoi aku tengok dia.
“Awak buat apa kat Korea ya?” Tiba-tiba Syazrina dapat idea untuk menghilangkan rasa kekok antara mereka.
“Ada hal kerja sikit kat sini,” jawab Farizuan ringkas.
“Yalah. Kerja apa?”
“Nak terang macam mana ya. Okey, macam ni. Saya datang melawat jurutera syarikat saya kat sini. Syarikat saya ada hantar beberapa orang jurutera untuk kursus kat sini. Pertukaran teknologi enjin kereta. Macam tulah,” terang Farizuan.
“Oh. Awak bos ke?”
“Eh, bukan bos. Saya dengan kawan saya ada tubuhkan sebuah syarikat kereta kecil-kecilan. Baru nak berkembang dalam industri automobil beberapa tahun ni.” Farizuan merendah diri.
“Kira macam bos jugalah tu, kan? Rakan kongsi.”
“Ha’ah. Lebih kuranglah.” Lelaki itu memegang belakang kepala.
“Habis tu apa awak buat kat airport hari ni?”
“Saya hantar kawan saya. Dia nak balik KL sebab ada kerja lain kat sana. So, sebab tu saya kat sana. Tak sangka nak jumpa awak.” Farizuan menghulur senyum sambil melabuhkan matanya ke anak mata Syazrina.
Syazrina cepat-cepat melarikan anak mata. Bab usyar-usyar mata ni, dia memang akan menyerah kalah awal. “Emm. Yalah tu, kut. By the way. Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kat awak. Kalau awak tak ada mungkin saya tengah meraung lagi kat airport tu.”
“Tak ada masalahlah. Kita orang Malaysia, mestilah bantu orang Malaysia. Eh. Dah sampai dah. Jom turun,” ajak Farizuan sambil mengangkat punggung.

“THANKS for bringing my client to the hotel. I don’t know what to do if I can’t find her. Thanks again.” Cik Seo Yeon bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih sedari tadi.
“It’s okay,” balas Farizuan sambil tersenyum lebar.
Syazrina yang berada di sebelah menghembus hidung. Aduh, mamat ni suka sangat tersenyum macam tu. Tak tahu ke awak tu comel sangat? Dengan lesung pipit kiri kanan. Tak tahan cik oi.
“Awak? Awak...” panggil Farizuan.
Panggilan itu mengejutkan lamunan Syazrina. Terbeliak kedua-dua bebola mata apabila melihat wajah Farizuan yang sudah mendekat ke wajahnya. Lelaki itu sedang tunduk ke arah tubuhnya.
“Kenapa awak senyum sorang-sorang?” soal Farizuan sambil kembali berdiri tegak. Dia memasukkan kedua-dua tangan yang bersarung tebal ke dalam poket jaket.
Syazrina memeluk tubuh yang kesejukan. Beberapa kali dia menggeleng kepala.
“Tak ada apa,” dalih Syazrina. “By the way, awak...”
“Ya...” sahut Farizuan panjang.
Syazrina rasa nak pitam. Suara serak-serak basah lelaki itu menusuk ke telinga. Tercair tak tersengaja rasanya. Adoyai.
“Aaa... Terima kasih sekali lagi. Sebab tolong saya hari ni. Menyusahkan awak pula. Dahlah saya curiga dengan awak, tuduh awak macam-macam.”
“Eh. Tak apalah. Saya okey. Mempertahankan diri itu perlu untuk seorang perempuan. Jangan terlalu percayakan orang yang awak baru kenal. Tu tabiat tak elok, tau,” nasihat Farizuan.
“Ooo. Jadi, awak pun saya tak boleh percayalah?” uji Syazrina sekadar hendak bergurau.
“Eh.” Farizuan tersengih lebar. “Saya lain sikit. Awak boleh percayakan saya.”
Mereka tertawa.
“So, moga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. Kalau ada masa terluang hubungi saya. Saya dah bagi nombor fon kan. Selamat melawat Korea. Assalamualaikum.” Farizuan angkat tangan, lalu menghilang ke dalam perut teksi.
“Waalaikumussalam,” balas Syazrina, kini sudah berterbangan di awangan.

SYAZRINA menghempaskan tubuh yang kelesuan ke atas katil bilik hotel yang telah sedia ditempah buatnya. Beralun-alun lembut tubuh kecil itu mengikut rentak alunan katil yang berbuai. Terasa hilang segala keletihan sepanjang hari. Kemudahan dan keselesaan bilik hotel ini memang tidak dapat disangkal. Terbaik.
“Ah.” Syazrina teringatkan sesuatu.
Dia bangun daripada baringan lalu menggapai beg yang tadi diletakkan di atas meja solek. Diselongkarnya beg itu mencari sesuatu. Pamphlet lawatan Korea yang disimpan di celah beg diambil lalu dia kembali membaringkan tubuh.
“Okey, mari kita tengok jadual perjalanan untuk esok.” Matanya membuntang saat melihat jadual yang terlampau padat. Dari pagi sampai ke malam dia akan sibuk melawat sekitar kawasan di ibu kota utama Korea ini.
“Alah, bosannya bercuti macam ni. Tak bebas nak berjalan-jalan sendiri. Kan best kalau datang dengan Suha. Bolehlah jalan-jalan dengan dia,” rungut Syazrina dengan hati yang ralat.
Kasihan pula dengan Nasuha. Nasuha yang beria-ia nak datang, tapi dia pula yang sampai dahulu.
Tiba-tiba wajah Farizuan muncul dalam kotak fikiran. Terus bibir mungil Syazrina terukir senyuman lebar. “Kalaulah dia boleh temankan aku jalan-jalan kat sini, seronok juga, kan? Aisy. Kau ni, Syaz. Berangan lebih. Entah-entah dia dah kahwin. Orang cakap, lelaki baik ni selalunya dah kahwin. Kalau dah kahwin, melepaslah kau Syaz...” 

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 8

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

Lapan tahun kemudian
“WEI, apa yang kau suka pasal Korea?”
Pertanyaan daripada Nasuha, kawan serumah, merangkap kawan baik sehidup sematinya itu buat Syazrina berhenti menaip. Kepala ditoleh mengarah ke sebelah kanan, ke arah Nasuha yang juga sedang menghadap komputer riba.
“Kau tahu kan, aku tak suka Korea. Aku lebih suka Spain, Perancis atau Dubai,” bidas Syazrina. Malas lagi hendak melayan pertanyaan Nasuha, dia kembali meneruskan kerja.
Nasuha menjuih bibir tanda merajuk. “Alah. Aku nak kau bagi sebab. Aku nak hantar penyertaan percutian ke Korea ni. Bukan untuk kau. Untuk aku. Tolong. Bagilah alasan yang relevan dan baik. Untung-untung aku boleh pergi sana. Percuma kut.”
Syazrina kembali memberikan fokus kepada Nasuha. Riak muka rajuk kawannya itu ditatap dalam. Syazrina mengangkat sebelah kening, tanda berfikir kononnya. “Emm...”
“Emm...” Nasuha tak sabar nakkan jawapan dari mulut Syazrina.
“Aaa. Aku nak pergi Korea sebab aku nak tengok setakat mana cantik sangat Korea tu sampai kawan aku ni tergila-gilakan sangat nak ke sana.” Syazrina tersengih lebar seusai menyatakan alasannya.
“Lor. Main-main.” Muncung Nasuha makin memanjang.
Syazrina tergelak terkekek-kekek. “Gurau sahajalah. Okey, sekarang serius.”
“Saya nak ke Korea kerana saya adalah orang yang paling layak untuk ke sana. Selain saya, siapa lagi yang tahu kebanyakan jenis makanan Korea? Saya lebih tahu budaya Korea daripada orang Korea itu sendiri. Tapi, saya belum berkesempatan untuk ke negara kegemaran saya itu. Jadi, saya hendak merasai sendiri kehidupan masyarakat di sana. Boleh bagi alasan macam tu?”
“Wah!” Nasuha angkat kedua-dua ibu jari, tanda dia teruja dengan jawapan Syazrina. Sepantas kilat, dia menaip ‘jawapan’ tersebut di papan kekunci komputer riba.
Syazrina hanya mampu menggeleng kepala dengan kegilaan sahabatnya itu. “Suha, Suha...”
Terus dia menyambung kerja semula.

“CIK, saya tak nak pergi Korea,” terang Syazrina.
“Kawan saya ni yang nak pergi. Bagi dialah,” pohon Syazrina bagi pihak Nasuha.
Dia tidak berpuas hati dengan kemenangan percutian ke Korea yang diberikan oleh pihak penganjur kepadanya.
“Maaf Cik Syazrina. Cik yang jadi pemenang untuk pertandingan ini. Jadi, cik yang kena pergi. Ini atas nama cik.” Pegawai pertandingan yang bernama Mastura itu menerangkan kepada mereka dengan wajah yang tenang serta tutur yang lembut.
Syazrina mengemam bibir. Dia mengetuk kepala beberapa kali sebelum memberi perhatian semula kepada Mastura. “Tapi, masalahnya kawan saya yang daftar penyertaan. Saya tak ada kena-mengena.”
Sambil-sambil itu dia menjeling Nasuha di sebelah. Geram betul dia dengan Nasuha. Pandai-pandai sangat gunakan namanya untuk hantar penyertaan kepada pihak penganjur.
Nasuha telan air liur melihat jelingan tajam Syazrina. Dia memandang Mastura. “Ha’ah. Cik, bolehlah. Cik tukar atas nama saya. Sebab hari tu saya hantar dua penyertaan atas nama saya dan nama dia. Dia tak nak pergi, gantilah dengan saya. Bolehlah, Cik Mastura.”
Kawannya itu separa merayu. Dia mesti membetulkan keadaan yang sudah kelang-kelibut dek sikap memandai-mandai.
“Maaf, cik. Tak boleh tukar. Semuanya dah didaftarkan atas nama Cik Syazrina. Mahu tak mahu Cik Syazrina kena juga pergi. Kalau tak dia kena tanggung kos ganti rugi sebanyak 10 ribu ringgit,” jelas Mastura.
“Apa? 10 ribu ringgit?” Syazrina ternganga tak percaya. Aduh, bala! Tak pasal-pasal teraniaya macam ni. Jelingannya kepada Nasuha makin menajam.
“Sorry.” Nasuha menjuih bibir dengan muka kasihan.
“Tak boleh nak buat apa-apalah ni?” Syazrina cuba lagi untuk berdiplomasi.
Mastura menggelengkan kepala. “Tak boleh, cik. Cik kena juga pergi pada tarikh yang dah tertera kat surat tu.”

“KAU ni kan. Pepandai letakkan nama aku kenapa?” leter Syazrina sambil langkahnya laju menuju ke tempat letak kereta.
Memang panas hati betul dengan Nasuha. Bertambah-tambah dengan keadaan cuaca yang sememangnya panas hari ini.
Nasuha terkedek-kedek membuntuti langkah Syazrina. “Wei, sorry. Aku tak sangka kau nak menang. Padahal, ayat yang aku tulis tu ayat main-main sahaja.”
Syazrina menekan butang penggera kereta. Pintu dibuka lalu dia meneroboskan diri ke dalam Myvi biru kesayangannya.
“Sorry, sorry. Dah tak ada makna sorry kau tu. Aku kena juga pergi Korea. Pasal kau. Kau faham tak?” Sayzrina menyambung leter. Sambil-sambil tangannya menarik tali pinggang keledar lalu dipasang ke tubuh.
Nasuha mencebik muka. Macam kanak-kanak dimarah ibu sahaja lagaknya. Sambil-sambil dia memasang tali pinggang keledar ke tubuh sendiri. “Aku...”
“Aku nak kau ganti buat kerja aku. Dengan nak menghadap Dato’ Shamsul tu nak ambil cuti. Seminggu lebih kut. Kau ingat senang ke? Dato’ cerewet tu nak bagi? Dengan kerja melambak-lambak kat pejabat. Sekarang ni siapa nak tanggung semua beban-beban ni? Hah?” pintas Syazrina, masih terus-menerus meluahkan rasa tak puas hatinya.
Nasuha angkat tangan. “Akulah buat semua. Salah aku.”
Antara rela dan tidak, dia menyatakan kesanggupan. 

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 7

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

BUNYI bising samasa ketiaadaan guru kelas menambahkan serabut di kepala Syazrina yang memang sudah sedia berserabut. Dia memegang kepala yang tiba-tiba berdenyut. Kejadian ayahnya ditangkap semalam masih bermain di kotak fikiran.
Berbagai perasaan berbaur mengacau jiwa yang sedia kacau. Marah, sedih, malu, kecewa semua bertaut jadi satu, menzahirkan perasaan yang tak keruan. Ah, kenapalah keadaannya mesti seperti ini? Ibarat dirobek dan dirobek perasaannya. Umpama dikhianati saja lagaknya.
Dia menyangka kisah hidup penuh liku ini hanya terzahir di kaca TV. Tapi sekarang... Siapa sangka? Dia salah satu watak cerita.
“Allah.” Hanya itu mampu terluah refleksi daripada kekacauan jiwa.
Perlahan-lahan, Syazrina bangun daripada duduk lalu lambat-lambat melangkah ke pintu belakang kelas. Dia nak mencari ketenangan hati. Ada di mana? Biar langkah ini membawa diri.
“Pergi mana, Minah?”
Sapaan satu suara yang amat-amat dikenalinya itu menyebabkan langkahnya terhenti. Sementelah pula mamat tu sedang mendepa tangan, menghalang tubuhnya di muka pintu.
“Kau nak apa?” Terus nada suara Syazrina menginjak tinggi.
“Dahlah, aku tak ada mood nak layan kau,” tuturnya agak lemah.
Syakeef tergelak sinis. “Kenapa tak ada mood?”
“Bukan masalah kau.” Syazrina cuba menerobos halangan Syakeef.
“Hei, hei...” Tapi lelaki itu lebih dahulu menghalang langkahnya.
Syazrina menghela nafas menyampah. Mamat ni! Ada juga nak makan penampar sulung aku ni.
“Bagi taulah aku. Kenapa kau tak ada mood? Ada masalah?”
Angin kus-kus Syazrina mula melonjak naik ke kepala.
“Esh, dia nilah. Macam orang bodoh aje. Tak faham orang cakap ke apa?” Nada suara kini menginjak tinggi. Kesabaran yang tinggal sedikit kini melayang pergi.
“Apa? Kau cakap aku bodoh?” Syakeef juga mulai naik hantu. Senang sungguh mulut mungil itu membodohkannya. Memang kurang ajar.
“Ya! Aku cakap kau bodoh. Tak faham bahasa aku. Kau tak puas hati?” Syazrina menyinga.
“Oh. Aku bodoh? Kau tu pandai sangatlah?” balas Syakeef, sinis.
“Pandailah sikit daripada kau,” bidas Syazrina tak mahu mengaku kalah.
Syakeef pantas angkat tangan. Ringan sahaja tangan itu nak melayangkan penampar ke muka Syazrina.
“Kau nak tampar aku? Tamparlah. Tampar!” cabar Syazrina sambil mendekatkan pipinya ke muka Syakeef.
“Woi, kau orang. Janganlah bergaduh.” Nora yang sedari tadi menjadi saksi pergaduhan cuba menenangkan keadaan.
Syakeef menurunkan tangan. Dia tiba-tiba tergelak sinis. “Sekurang-kurangnya aku bodoh aje. Tak macam kau. Ayah kau penagih dadah!”
Syazrina terpempan. Kelu lidahnya mendengar kata-kata hinaan daripada Syakeef. Bagai nak pitam di situ juga. Lagi-lagi apabila dia mendengar bisikan-bisikan daripada kawan-kawan kelas. Ekor matanya melihat riak jelek mereka semua.
“Hei, kawan-kawan. Untuk pengetahuan kau orang, ayah dia sebenarnya penagih dadah. Semalam baru kena tangkap dengan polis. Aku saksinya,” tambah Syakeef.
Tanpa sedar dia telah merobek-robek hati dan perasaan Syazrina.
“Huh. Anak penagih dadah ada hati...”
Pang! Satu tamparan kuat Syazrina hadiahkan buat Syakeef. Hampir-hampir lelaki itu tersembam ke meja kayu kerana kuatnya tamparan itu.
“Kau ni memang manusia tak ada hati perut!” jerit Syazrina melampias amarah yang meluap-luap.
Syakeef memegang pipinya yang kebas. Bebola matanya yang bernyala api kebencian meluap-luap merenung mata Syazrina.
“Memang, memang aku manusia tak ada hati perut. Sekurang-kurangnya aku tak macam bapak kau, tak ada akal. Bodoh, sebab memperhambakan diri dengan dadah!”
Syazrina mahu menampar Syakeef sekali lagi, tetapi...
“Apa yang kau orang bising-bising sampai ke luar dengar ni?” Tiba-tiba Cikgu Mohamad Awal, guru disiplin muncul dari belakang kelas.

PEN yang berwarna biru diletakkan di atas diari. Sudah diterjemahkan perasaan sedih dan pilu mengenai kisah hidup di atas lembaran diari tersebut. Sudah bertahun-tahun diari itu berjasa, berkongsi rasa suka dan duka.
Syazrina meletakkan diari itu di atas tilam. Dia menarik lutut ke dada, lalu dipeluk lutut sendiri. Air mata tiba-tiba mengalir di tubir mata. Setiap kali dia mengenangkan nasib diri, air mata ini tak dipinta, terus mengalir dan terus mengalir berantai di pipi.
Syazrina mengelap air mata yang mengalir dengan belakang tangan. Tangan kanan yang berbekas air mata dicerlung dalam. Kisah beberapa hari lalu kembali menjelma di ingatan. Inilah tangan yang sama yang telah menampar lelaki bernama Syakeef Akmal.
Jahat. Tuduhan ini memang layak dikalungkan ke hati manusia seperti Syakeef Akmal. Lelaki durjana itu sungguh dia sanggup menginjak derita orang lain sewenang-wenangnya tanpa sekelumit perasaan bersalah atau kasihan.
Malu, dia teramat malu. Kerana Syakeef Akmal, semua orang memandang jelek kepadanya. Mereka jijik hendak berkawan dengannya. Malah Nora, kawan baiknya sendiri juga sanggup angkat kaki.
Kerana mulut lelaki itu juga, semua orang menjatuhkan hukuman kepadanya seolah-olah dialah pesalah yang disabitkan kesalahan. Diari, salah akukah? Kalau ayah ditangkap polis, salah akukah? Kalau ayah terlibat dengan dadah, salah akukah?
Tubuhnya bergetar. Bagai hendak ditampar-tampar wajah lelaki itu sepuas-puas hatinya. Biar berbalas rasa sakit yang tak tertanggung ini. Aku benci kau, Syak! Benci!
Tok! Tok! Tok!
“Along,” panggil emaknya dari luar.
Panggilan itu mematikan layangan perasaan benci Syazrina terhadap Syakeef. Perlahan-lahan dia angkat kepala lalu melirik ke pintu bilik yang diperbuat daripada kayu. Dia diam. Tidak terniat di hatinya hendak menyahut panggilan emaknya itu.
“Along,” panggil Mak Cik Syihah sekali lagi selepas beberapa lama tidak bersahut.
Syazrina terus buat pekak, seolah-olah bunyi ketukan dan panggilan emaknya tidak langsung terdengar dek telinga.
“Along?”
Panggilan Mak Cik Syihah yang dah berpuluh kali masih tidak dihiraukan.
“Along, buka pintu ni.” Nada suara maknya itu kedengaran separa merayu.
Syazrina masih terus memandang pintu bilik yang hampir-hampir roboh dek ketukan Mak Cik Syihah dengan pandangan kosong.
Maafkan along, mak. Sungguh. Sungguh, along masih tidak punya kekuatan hendak membuka pintu itu. Hati ini ralat hendak menghadapi dunia di balik pintu tersebut. Biarlah along di bilik kecil ini. Biar along balut luka hati yang masih segar berdarah. Biarlah along rawat kekecewaan hati ini. Kebenaran ini terlalu perit hendak along tanggung.
Semuanya sebab ayah! Kerana ayah, masa depannya kini hancur. Kerana ayah melakukan kesilapan, dia yang terbeban dengan dosa tersebut.
Bagaimana hendak along hadap hari-hari yang berlalu ini? Bagaimana along nak angkat kepala memandang orang lain dengan wajah yang berlumuran dengan dosa-dosa ayah? Beritahu along, ayah, bagaimana?
Argh... Batinnya menjerit pilu. Air mata merembes semakin lama semakin laju. Siksanya menanggung perasaan malu ini, ya Allah.
“Along, mak nak pergi jumpa ayah kat balai ni. Along tak nak jumpa ayah ke? Sebelum ayah kena hantar pergi pusat. Ayah nak jumpa along dengan adik-adik. Jomlah ikut,” ajak emaknya, entah ke berapa belas kali.