Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 6

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SYAZRINA hairan saat menapak ke dalam kelas. Semua orang terlampau fokus membaca sesuatu dengan pelbagai gaya. Ada yang menyandar di kerusi, ada yang baca berdiri, ada yang membaca secara berkumpulan, ada yang baca berseorangan.
Hari ni ada peperiksaan ke? Ke ujian? Ada ke? Tak tahu pula. Emm. Bersama dengan perasaan hairan, perlahan-lahan Syazrina berjalan ke arah meja sendiri. Nora, teman sebelahnya, membulat mata. Bagai ternampak hantu apabila melihat Syazrina.
Kenapa Nora ni? Cuak semacam? Syazrina makin bingung.
“Kau baca apa?” Syazrina juga tertarik pada sehelai kertas yang dipegang Nora. Punggung dilabuhkan di kerusi kayu.
“Tak ada apa.” Cepat-cepat Nora melipat kertas tersebut dan bagai lipas kudung, kertas tersebut dicampak masuk ke bawah meja.
“Kenapa?” Syazrina berkerut pelik dengan sikap Nora. Dia memandang ke sekeliling kelas. Semua orang sedang memandangnya dengan pandangan yang semacam.
Tiba-tiba Syakeef berjalan masuk ke dalam kelas melalui pintu hadapan.
“Hai, Minah,” sapa Syakeef sambil mengangkat tangan. Satu senyuman lain macam dihadiahkan buat Syazrina.
Mata Syazrina terkelip-kelip. Dia curiga dengan gerak laku Syakeef yang tiba-tiba. Apa hal duk tersenyum-senyum? Rasanya mereka belum menamatkan perjanjian jarak 30 meter mereka lagi.
“Dengar ya, kawan-kawan.” Syakeef meminta perhatian rakan sekelas.
Syazrina melihat sekeliling kelas. Ajaib! Semua orang memberikan perhatian kepada Syakeef yang sedang berdiri di hadapan persis pengetua hendak menyampaikan ucapan.
“Ha’ah. Saya rasa saya sukakan dia.” Syakeef membaca sesuatu di atas kertas yang dipegang.
Syazrina telan air liur. Kenapa dengan mamat poyo ni? Nak buat pengakuan sukakan aku ke? Biar betul.
“Saya sukakan dia sebab dia handsome, dia comel walaupun dia jahat, dia suka sakat saya. Kadang-kadang saya benci dia. Kadang-kadang saya suka dia. Perasaan saya kat dia, tak boleh saya terangkan dengan kata-kata.”
Syazrina mulai berubah tak keruan. Punggungnya tiba-tiba terasa panas. Jantung pula terasa makin berdegup kencang. Ayat yang Syakeef baca itu...
“Tapi, disebabkan perjanjian jarak 30 meter saya dengan dia, kami dah makin jauh. Dia dengan hal dia, saya dengan hal saya dan jujurnya saya tak suka keadaan macam ni. Kalau boleh saya nak dia kacau saya. Macam selalu. Macam bodoh, kan? Bodohnya saya sebab sukakan dia. Walaupun saya tahu saya bertepuk sebelah tangan.”
Syazrina pejam mata. Kesejukan mula menjalar di setiap urat nadi. Itu perbualan dia dengan...
“Apa khabar bawang merah aka Nur Syazrina?” sapa Syakeef yang mendekatkan jarak ke arah Syazrina.
Syazrina angkat kepala melihat Syakeef yang kini berdiri di hadapan. Mamat poyo itu selamba menghulurkan tangan ke muka Syazrina.
 “Saya jejaka jerung aka Syakeef Akmal!” Syakeef menekankan suara ketika menyebut nama sebenarnya. Matanya terbeliak sinis membenam ke anak mata Syazrina.
Bam! Bagaikan halilintar, perkenalan itu membelah benak Syazrina. Matanya membulat kerana terlalu terkejut. Tak terduga, Syakeef dan jejaka jerung ialah orang yang sama!
“Aku cakap kau bodoh, kau marah. Tapi, kau memang betul bodoh. Langsung tak perasan yang shark, jerung, Syakeef orang yang sama. Kenapa kau bodoh sangat? Hah?” Bentakan Syakeef menyebabkan Syazrina makin terkesima.
“Kau suka aku? Hei! Apa level kau Minah nak sukakan aku? Dahlah senget! Tak sedar diri!” hambur Syakeef, dengan riak meluat terlampau. Menggeletik badannya mengenangkan ketidaksudian kepada rasa ‘suka’ perempuan itu.
Hamburan berbaur penghinaan itu menyebabkan Syazrina berdiri lalu dia menyinga memandang ke anak mata Syakeef.
“Apa? Huh? Dasar perempuan tak sedar diri.” Syakeef makin galak merobek-robek perasaan Syazrina. Sedikit pun dia tidak hairankan perasaan perempuan yang mengaku menyukainya itu.
“Aku menyesal cakap yang aku pernah sukakan kau! Ya, aku memang bodoh! Sangat bodoh!” tempik Syazrina dengan linangan air mata yang tertahan-tahan.
Badannya bergetar kerana menahan perasaan marah yang terlampau. Juga malu yang teramat-amat dengan rakan sekelas yang memandang. Hari ini Syakeef makin melampau.
“Wei, cikgu!” sampuk Shila yang sedari tadi menjadi saksi pergaduhan antara anjing dan kucing aka Syakeef dan Syazrina.
Syazrina berpaling ke luar, melihat kepada Cikgu Faezah, guru mata pelajaran sejarah yang sudah berjalan menghampiri pintu hadapan kelas. Syazrina bertindak pantas. Dia berlari keluar mengikut pintu belakang kelas.
“Pergi mana tu?” soal Cikgu Faezah hairan. Hailah anak murid. Aku masuk pintu hadapan, kau keluar pintu belakang.
“Tandas. Dia sakit perut, cikgu.” Spontan Nora memberikan alasan.

SYAZRINA menyapu air mata yang turun macam hujan.
Ya Allah! Sakitnya hati. Hanya Kau sahaja yang tahu. Kenapalah ada orang macam dia kat dunia ni? Kenapa? Aku benci Syakeef! Benci!

“MAK kau mana?” soal Pak Su Ayub, jiran sebelah rumahnya dari atas motosikal honda C70 warna hitam.
Lelaki itu masih berpakaian menorehnya. Bau getah masih terlekat di baju.
“Ada kat dalam. Kenapa, pak cik?” soal Syazrina semula. Pelik melihat kepada wajah Pak Su Ayub yang tak keruan, risau semacam.
“Ayah kau, kena tangkap polis. Kat jalan luar tu. Pergi tengok,” beritahu Pak Su Ayub.
Syazrina terkejut besar.
“Polis? Kenapa?” soalnya terketar-ketar. Berderau darah mendengar khabar berita daripada Pak Su Ayub.
“Pergi tengok sebelum terlambat.” Pak Su Ayub terus menghidupkan enjin motosikal.
“Mak, mak!” Syazrina kembali ke dalam rumah.
“Kenapa?” soal Mak Cik Syihah terkocoh-kocoh dari bilik air.
“Ayah kena tangkap polis.”
Dengan hanya berkaki ayam, Syazrina menghidupkan enjin motosikal. Maknya membonceng di belakang. Dia memecut laju, mengekori motosikal Pak Su Ayub yang sudah menghilang.
Bagai nak luluh jantung Syazrina saat melihat ayahnya melutut, digari bersama beberapa orang lagi orang kampung. Ada beberapa orang lelaki berpakaian polis mengelilingi ayahnya. Kenapa ayah ditahan polis? Apa salah ayah?
“Encik, kenapa encik gari ayah saya?” soal Syazrina kepada seorang anggota polis yang sedang berdiri berhampiran dengannya.
Syazrina memandang ayahnya yang tunduk melihat tanah, sedikit pun tidak menatap wajahnya.
“Tak ada apa-apa yang boleh kami cakap sekarang. Kita jumpa kat balai nanti.” Sekadar itu jawapan yang diberikan anggota polis itu kepada Syazrina.
Syazrina pandang maknya di sebelah. “Mak? Mak tak nak buat apa-apa ke? Polis nak bawa ayah pergi balai!”
Wajah Mak Cik Syihah kelihatan tenang, tak seperti Syazrina yang sudah macam orang gila meroyan. Langkah mayat dia dulu kalau nak bawa ayahnya ke balai!
“Bangun!” arah pegawai polis itu kepada ayahnya dan beberapa orang kampung yang lain.
Mereka semua mengikut arahan. Syazrina meluru ke arah ayahnya tetapi dia ditahan oleh seorang anggota polis.
“Encik tak boleh macam ni! Apa salah ayah saya!” jerkah Syazrina garang.
“Along, sini!” panggil Mak Cik Syihah sambil menarik lengan anak sulungnya itu.
Syazrina bertindak kasar. Dia menarik lengannya daripada pegangan mak. Dia kembali menyerang anggota polis yang menghalangnya sebentar tadi tetapi badan lelaki itu lebih besar dan kuat berbanding kudrat Syazrina. Dia jatuh terduduk.
Hanya dengan linangan air mata, dia mengiringi langkah ayahnya yang dibawa dengan trak polis.

SYAZRINA mundar-mandir di hadapan Mak Cik Syihah yang sedang duduk tenang di kerusi rotan di tengah-tengah ruang tamu.
“Mak, kenapa mak biar polis tangkap ayah? Apa salah ayah?” soal Syazrina dengan suara yang bergetar. Dia masih tidak percaya maknya sanggup membiarkan ayahnya ditangkap polis begitu sahaja.
Mak Cik Shihah menarik tangan anak gadisnya supaya duduk di sebelah. Kedua-dua -dua tangan lembut itu digenggam erat. Matanya menatap dalam-dalam anak mata resah Syazrina.
“Dengar sini mak nak cakap, polis tangkap ayah sebab ayah...” Mak Cik Syihah menghentikan kata. Satu helaan nafas kedengaran.
“Kenapa mak?” Nada suara Syazrina kedengaran sayu. Wajahnya belas meminta pengertian.
“Ayah terlibat dengan dadah. Sebab tu polis tangkap ayah.” Dengan riak dan nada suara yang tenang, Mak Cik Syihah mengungkapkan kebenaran.
Bam! Bagai halilintar ungkapan maknya menghentam sanubari Syazrina. “Dadah?”
Mak Cik Syihah sekadar mengangguk kepala.
Syazrina menggeleng-gelengkan kepalanya. “Mak tipu along.”
Nyata Syazrina tak percaya.
“Mak tak tipu along. Itulah realitinya. Kalau tak kenapa polis nak tangkap ayah?”
“Ayah along baik. Ayah along tak mungkin akan terlibat dengan dadah.” Syazrina menggelengkan kepala tanda tak percaya. Air mata mula keluar dari pelupuk mata.
“Ayah memang baik. Tapi, ayah telah buat kesilapan masa mudanya. Sebab tu jadi macam ni.” Suara Mak Cik Syihah lembut memujuk hati si anak.
“Arghhh...” Sayzrina meraung. Dia terduduk di atas lantai ruang tamu. Kepala digeleng beberapa kali. “Tak mungkin, mak. Tak mungkin.”
Dia bangun daripada duduk lalu berlari keluar menuju ke motosikal yang diparkir di bawah rumah. Dia menghidupkan motosikal lalu memulas minyak, membawa hatinya yang sedang lara. Entah hendak dia bawa ke mana. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan