Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 18 Julai 2016

#Suami Isteri Part Isteri Untuk Abang Long

Harga: RM21.00 / RM24.00

“HABIS tu sampai bila mak nak biarkan abang long macam tu? Orang sekeliling pun dah mula cakap pasal dia,” soal kak ngah kepada maknya, Cik Esah.
“Entah, betul tu. Adik bukan apa mak, abang long tu dah banyak berkorban untuk kita. Lepas abah meninggal abang long sanggup berhenti belajar, kerja untuk sara kita sampailah kak ngah dengan adik kahwin. Hari tu mak jatuh sakit pun abang long yang sanggup tak pergi kerja jaga mak. Sampai bila abang long tu nak berkorban untuk kita, mak? Dah sampai masa dia fokus kat diri dia pulak,” sokong adik dengan hujahannya.
Mungkin juga sebab sudah lama dipendam, itu yang panjang bukan main.
Abang long di luar rumah hanya mendengar. Reaksinya tentu saja dengan senyum senget. Adiknya yang berdua itu baru saja diatur untuk naik pelamin serentak bulan lepas atas kehendak adik-adiknya sendiri. Tapi, bulan ini dia pula yang hendak diaturkan tanpa meminta kebenarannya.
“Mak ni bukannya apa, kak ngah dengan adik pun kenal perangai abang long tu macam mana, kan?” Ternyata Cik Esah sangat memahami abang long. Mungkin juga kerana sifat abang long itu banyak mengikut arwah suaminya.
“Gengster sangat. Sebab tu tak ada orang nak kat dia,” sokong kak ngah tidak semena-mena.
“Isy, kau ni kak ngah...” marah adik. Orang nak berbincang, dia nak menghangatkan suasana pula.
“Betullah aku cakap. Kau dah lupa macam mana dia nak belasah Abang Din? Nasib baiklah dapat jugak aku kahwin dengan dia.”
“Tu penyakit cari sendiri. Sapa suruh kau tipu abang long pergi dating dengan Abang Din tu. Dah kantoi, memang mendapatlah.” Dijeling kakaknya sebelum menyambung lagi dengan nada yang tidak segarang tadi untuk Cik Esah.
“Abang long tu memanglah garang sikit mak, tapi kalau dengan mak mesti tak punya. Apa mak cakap semua dia ikut, kan?”
Cik Esah pandang kak ngah dan adik di depannya. Keluhan dilepaskan. Serba salah jadinya.
“Assalamualaikum...”
Semua mata di dalam rumah memandang abang long yang melangkah masuk ke dalam rumah dengan wajah bengisnya walaupun baru lepas memberi salam. Itu memang wajahnya. Ketat. Tak pandai senyum. Tapi, kalau sekali senyum jangan tanya kenapa anak dara boleh sampai terjatuh lombong.
“Waalaikumussalam. Bila masa abang long balik? Tak dengar bunyi kereta pun?” soal Cik Esah.
“Macam mana nak dengar mak, kalau rancak sangat bergosip.” Nah, sedas!
Kak ngah yang terasa seolah-olah pandangan abang long menikamnya cepat saja senggol-senggolan cubit-cubitan dengan adik, mengajak pulang.
“Okeylah mak, kak ngah dengan adik balik dulu.” Kak ngah terus salam dan cium tangan Cik Esah dan menarik adiknya keluar selepas melakukan perkara yang sama.
Abang long hanya perhatikan saja.

ABANG LONG pandang Cik Esah yang duduk bertentangan dengannya. Dari tadi lagi dia perasan maknya hanya menguis-uis nasi di dalam pinggan. Suap pun hanya beberapa suap sahaja.
“Mak nak abang long kahwin ke?”
Terpanggung kepala Cik Esah memandang anak sulungnya itu. Abang long memang begitu. Bukan cakap tak berlapik, tapi terus pada topik utama. Tak suka berkias dan berlapik-lapik.
“Abang long dah ada calon ke?” soal Cik Esah sambil senyum lembut penuh keibuan.
Sejujurnya, selama ini dia tidak pernah bertanya pun bila anaknya mahu berkahwin. Malah, dia tidak pernah tahu pun status anaknya, sama ada sedang bercinta atau sedang kecewa. Anak sulungnya ini seorang yang pandai menyimpan rahsia dan jarang bawa masalah ke rumah. Semua masalah diselesaikan sendiri.
“Tak ada.”
Cik Esah terdiam seketika. Terkebil-kebil kelopak matanya cuba mencari ayat. “Mak bukannya nak paksa abang long kahwin. Cuma kalau boleh mak nak sangat tengok anak lelaki mak ni kahwin...”
“Mak carikan ajelah,” potong abang long kerana dia tahu kata-kata maknya itu lahir daripada hati yang paling dalam.
Tambahan bila dilihatnya ada cecair yang mula hendak bersinar dalam kelopak mata maknya.

KAK ngah dan adik terpacak di rumah Cik Esah 15 minit selepas mereka mendapat panggilan daripada Cik Esah. Lagipun rumah mereka dengan Cik Esah bukannya jauh sangat. Masih dalam kawasan yang sama.
“Tak sangka kan, muka gangster, tapi bila nak kahwin mintak mak carikan,” seloroh kak ngah yang terasa geli hati.
“Isy, kau ni kak ngah, cuba dengar dulu apa yang mak nak cakap,” marah adik.
Memang selalu pun kak ngah dimarahi adik. Adik lebih matang berbanding kak ngah, sebab itu juga dia naik pelamin cepat.
“Abang long mintak mak carikan sebab dia nak menantu mak tu boleh jaga mak. Tinggal serumah dengan mak. Boleh tolong mak kat rumah ni.”
“Ada lagi ke orang macam tu, mak? Adik pun kalau setakat jaga mak mertua tu boleh lagi, tapi kalau nak duk serumah... Isy, tak kut. Rasa macam tak bebas.”
“Ha, itulah kau orang berdua ni. Entah kat mana salah aku besarkan kau orang berdua pun aku tak tau. Tak macam abang long tu langsung. Bertanggungjawab, dengar cakap, hormat orang tua. Kau orang tau tak syurga laki kau orang tu masih kat bawah tapak kaki mak mertua kau orang? Sebab tu abang long kau orang nak bakal bini yang bukan saja boleh terima dia, tapi boleh hidup sama-sama dengan mak jugak.”
Cik Esah mula memetir. Kalau dengan anak yang berdua ini, memang tak pernah dia tak membebel.
“Isy, mak ni. Orang tengah bincang pasal abang long kan, yang mak nak membebel kat kak ngah dengan adik ni kenapa pulak? Masalahnya sekarang ni mak, siapa calon yang sesuai untuk abang long tu? Ada ke orang nak kat dia yang gengster tu?”
“Kalau Kak Lia anak pak ngah arwah abah tu macam mana?” Adik terus memberi cadangan. Malas dia nak melayan kak ngahnya yang lebih menggunakan mulut daripada otak.
“Isy, kau ni adik. Agak-agaklah sikit. Kak Lia tu janda kut,” pangkah kak ngah.
“Apa salahnya kalau Miss J pun?” Berlapik sikit kata adik.
Kak ngah tarik nafas hendak menjawab persoalan adiknya yang dirasakan bebal itu. Sekali dia terpandang bola mata Cik Esah mencerlungnya. Terus dia terkulat-kulat senyum.
“Apa kau ingat janda ni tak laku ke? Mak ni kalau jadi janda berhias, bukan setakat pak cik-pak cik yang melepak kat warung tu aje pandang, tok imam surau kampung kita pun boleh goyah iman tau.”
“Amboi, mak... Kita nak carikan isteri untuk abang long ke bakal bapak tiri untuk kita orang?” sakat kak ngah.
Adik memberi cadangan lagi. “Kalau Syuhada anak Pak Akob macam mana? Alah, yang sekelas dengan adik masa sekolah dulu tu.”
“Isy, kau ni. Sebelum cakap tu boleh tak fikir dulu. Syuhada tu kerja kat KL, gaji besar, belajar pun tinggi, takkanlah dia nak balik duduk sini lepas kahwin dengan abang long,” pangkah kak ngah lagi.
“Ada beza ke kerja kat KL dengan kerja kat Johor ni? Duit sama aje kut.”
“Kau ni memang blur kan, dik. Haaa...” Terjerit kak ngah tiba-tiba dan terus berdiri, berjalan di hadapan adik dan Cik Esah.
“Kak ngah ada idea, kak ngah ada idea. Kita kena cari orang yang blur ke bimbo ke untuk abang long. Orang macam ni aje yang boleh tahan dengan perangai abang long yang gengster tu.” Kak ngah berhenti melangkah ke kiri dan kanan menerangkan idea yang dirasakannya bernas itu.
Tapi, bila langkahnya terhenti menghadap Cik Esah dapat dilihat wajah marah maknya itu. Terkulat-kulat dia duduk semula.
“Okey, apa kata Lisa? Lisa kawan tempat kerja lama adik tu. Yang jadi pengapit adik masa kahwin hari tu?”
“Elok jugak budak tu mak tengok. Lembut, sopan santun...”
“Eii... Lisa tu bajet cun kut. Kau tak ingat masa atas pelamin hari tu dia yang melebih. Tak payahlah, orang macam tu tak sesuai nak jadi kakak ipar kita.”
“Isy, kak ngah ni dari tadi asyik nak bangkang aje. Kak ngah ada cadangan ke?” tanya adik kepada kak ngah.
“Ada,” balas kak ngah sepatah dengan wajah berlagaknya itu. 

ANA gentel hujung rambutnya dengan jari, pandang abang long yang memandu di sebelah.
“Kita nak makan kat mana ni?” soal abang long, tenang memandu, terus pandang ke depan.
Langsung tidak ditoleh melihat wajah di sebelahnya itu. Baru pertama kali jumpa, dah minta ambil sampai depan pintu rumah. Lepas tu nak menggedik bermanja pula. Kalau adik dia, dah lama dia sepak. Nasib baik juga anak orang.
“Ikut abanglah.”
Abang long terus tekan pedal minyak, memandu dan berhenti di depan sebuah restoran.
Dari dalam kereta Ana terintai-intai keluar. “Kita nak makan dekat sini ke?”
“Yalah. Kenapa?”
“Takkanlah frist date kat kedai mamak kut.”
Abang long hanya pandang Ana yang berwajah cemberut. Mengada minta dipujuk pula. “Jadi, sekarang ni kau nak makan apa?”
“Tak kisahlah apa pun.”
Keluhan dilepaskan. Makin tegang wajah abang long. “Aku nak mintak tolong sikit boleh tak?”
Ana pandang abang long sambil menyoal. Masih dengan gaya patah lehernya itu. “Tolong apa tu?”
“Tolong keluar dari kereta aku sekarang.”
Tercengang Ana dengan permintaan itu.

“YA Allah mak... Malu adik mak. Mana adik nak letak muka ni? Lisa tu dahlah baik, banyak tolong adik dari zaman kerja sampai nak kahwin. Sanggup abang long buat dia macam tu,” bebel adik melangkah masuk ke dalam rumah dengan kak ngah, terus berkelahi di ruang tamu.
“Eh, kalau nak ikutkan aku ni lagi malu dengan Ana tu tau. Boleh abang long suruh dia keluar dari kereta, lepas tu tinggalkan dia depan kedai mamak tu,” pangkah kak ngah tak mahu kalah.
“Memang patut pun abang long buat Ana tu macam tu. Kalau adik, tepi highway tu adik tinggalkan dia. Orang tanya nak makan apa, makan kat mana pun susah nak jawab. Dah abang long pilih tempat, banyak songeh pulak,” cebik adik.
“Padanlah jugak muka Lisa tu. Dah orang janji pukul 2.00, kenalah sampai pukul 2.00. Lembap sangat, sibuk mekaplah tu. Bajet cantik. Memang patut pun abang long tinggalkan dia.”
“Eh, dia cuma lambat 10 minit aje pun. Bukannya sampai berjam-jam. Abang long pun ada lagi masa tu tunggu dia. Elok dia duduk terus abang long bangun blah. Kau rasa?”
“Nak rasa apa lagi? Memang buku bertemu ruaslah,” balas kak ngah bersahaja.
“Eii... Kau orang berdua ni bukan anak dara lagi tau. Dah jadi bini orang. Boleh tak ubah sikit perangai tu? Masuk rumah orang tak bagi salam, tahu-tahu aje memekak. Sampai ke dapur tu mak boleh dengar tau,” marah Cik Esah melangkah masuk ke ruang tamu.
“Eh, apa mak ni cakap macam tu? Ni rumah mak, rumah kita orang jugaklah,” balas kak ngah.
“Aku belum buat wasiat lagi, kau tak payah nak berangan ni rumah kau.” Ha, kan dah kena dengan Cik Esah.
Kak ngah buat muka sentap.
“Abang long tulah, mak... Kita dah tolong carikan jodoh untuk dia, orang yang baik-baik pulak tu, tak boleh ke dia rendahkan sikit ego dia tu. Dia yang mintak kita carikan, bukannya kita paksa dia. Malu tau adik dengan Lisa tu.”
“Entah... Kalau macam ni, kak ngah malas nak masuk campurlah. Suka hati dialah nak kahwin ke tak. Hidup dia.”
Ewah-ewah, kau ni kak ngah. Suka hati dia ya? Abang long tu dah banyak berkorban untuk kita tau. Nak membesarkan kau, nak layan kerenah kau aje dah habis duit gaji dia tau,” bebel Cik Esah lagi.
“Tahulah. Kak ngah nak balas jasa abang longlah ni. Tapi tengoklah, bukannya dia nak hargai.”
“Kau ingat soal jodoh ni benda buat main ke, kak ngah? Kau nak pilih baju kahwin dulu pun 13 kali masuk keluar butik sampai naik bengkak kaki mak ni. Inikan pula soal hidup.”
“Isy, mak ni... Kalau kak ngah cakap sikit aje pasal abang long tu, mesti mak membebel lebih-lebih, kan?”
“Dah... Kau tak payah nak pening kepala fikir pasal jodoh abang long tu, kak ngah. Kau jaga aje laki kau kat rumah.” Cik Esah makin menembak kak ngah.
Adik tersenyum melihat wajah masam kak ngah. “Abang long mana, mak? Hari ni kan cuti? Takkan dia kerja jugak?”
“Dia keluar pergi jumpa calon pilihan mak...”
“Ha? Siapa dia mak?” Teruja kak ngah hendak tahu. Terus dia lupa segala marah tadi.
Memang itu kak ngah. Marah sekejap-sekejap saja.
“Adalah... Dah, kau orang berdua pergi balik,” balas Cik Esah.
“Eh, mak ni, macam menghalau aje ni,” ujar Adik.
“Memanglah. Kau orang berdua tu dah kahwin. Pergilah balik jaga laki masing-masing. Kang orang kata aku ni kerja bergosip anak-beranak sampaikan kau orang lupakan laki. Walaupun kau orang ni bukan menantu 15 ribu.”
“Pandai bergurau nampak mak sekarang ni? Alah, cepatlah bagi tahu siapa, mak?” desak kak ngah lagi.
“Isy, kan mak dah cakap, adalah...”
“Yalah, adalah tu siapa? Adalah binti apa?”
“Mak tak kesian ke kat perempuan tu nanti, mak? Abang long tu dahlah gengster,” sampuk kak ngah, belum pun sempat Cik Esah menjawab soalan adik.
“Eh, anak aku, aku taulah nak cari calon macam mana untuk dia. Dah, kau orang pergi balik, buat anak lepas tu carikan jodoh untuk anak kau orang sendiri.”
“Amboi, mak, macam yakin aje pilihan mak tu tepat. Jangan yakin sangat mak,” ujar kak ngah cuba menggoyahkan pendirian Cik Esah.
Ternyata Cik Esah bukan seorang yang mudah goyah. Status ibu tunggalnya itu lebih banyak menguatkannya dalam setiap pendiriannya. Dia hanya senyum sindir buat kedua-dua orang anak perempuannya itu dengan penuh berlagak.

DIAN duduk menegak menghadap lelaki di hadapannya itu. Sejak lima minit lepas lelaki itu sampai duduk di depannya, lelaki itu hanya diam membisu merenungnya dengan wajah ketat. Dian cuba untuk senyum, tapi wajah lelaki itu tetap seperti itu juga. Diamati rupa lelaki itu. Kalau senyum mungkin lebih kacak.
“Abang long nak minum apa? Biar Dian pesankan,” soal Dian cuba mengalih perhatian lelaki itu.
Entah apa yang direnung sampaikan sekelat itu wajahnya. Ke dia terpaksa jumpa aku? Dian masih bersoal jawab dengan diri sendiri.
“Tak apa, aku boleh oder sendiri.”
Dian terdiam. Jujur cakap dia terkejut bila abang long membahasakan diri aku dengan nada jantannya.
Selepas pelayan yang mengambil pesanan itu pergi, Dian perasan abang long memandang sekeliling seolah-olah mencari seseorang.
“Abang long cari siapa?” soal Dian perlahan.
Teragak-agak sebenarnya. Tapi, dia masih cuba untuk meneruskan bunga perbualan. Mereka baru bertemu kurang 10 minit. Belum ada rentak lagi.
“Kau datang dengan siapa?”
“Seorang,” jawab Dian teragak-agak kenapa disoal seperti itu.
“Beraninya kau datang sorang-sorang jumpa aku.”
“Kenapa? Abang long makan orang ke?”
Terjongket kening abang long dengan persoalan itu.
“Kau tak tau ke yang aku ni ketua gengster?” tanya abang long sambil mematah-matahkan jarinya, mengeluarkan bunyi.
Dian hanya diam. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Matanya hanya memandang batang tubuh di depannya. Berkulit hitam manis, agak tinggi dan sasa.
“Kau kenal aku ke tak sebenarnya ni?”
Dian geleng perlahan.
“Habis tu, kenapa kau panggil aku abang long? Biasanya anak-anak buah aku aje yang panggil macam tu.”
Anak buah yang cuba dimaksudkan abang long adalah budak-budah di bawahnya dan Dian faham maksud itu. Dia tengok filem Gengster kut.
“Mak yang sebut nama abang long, abang long. Mak kata masa kecik-kecik dulu pun Dian panggil abang long, abang long. Bukan Abang Fadhil atau abang long Fadhil.”
Abang long cerun Dian lagi sampaikan Dian terasa seperti hendak masukkan kepalanya dalam baju saja.
“Kau cakap kau tak kenal aku tadi, ni kau cakap kau pernah jumpa aku masa kecik pulak. Kau ni, yang mana satu betul ni? Kau jangan nak main-main dengan aku. Aku kalau tau orang tipu aku, memang aku potong tangan dia.” Diambil garpu atas meja sambil diputar-putarkan.
“Dian tak ingat sebenarnya. Mak yang cakap. Takkan abang long pun tak ingat jugak? Masa tu kan abang long dah besar? Dian kecik lagi.”
Abang long pandang gadis di depannya. Boleh pula dia menjawab dengan selambanya. Langsung tak terlihat wajah takut walaupun diugut potong tangan. “Apa lagi yang mak kau cakap pasal aku?”
“Mak cakap abang long ni anak arwah Pak Hashim, cucu menantu arwah atuk belah ayah yang kahwin dengan Cik Esah jiran mak.”
Abang long mengangguk walaupun sebenarnya dia tak faham. Saja buat muka jawapan Dian itu betul. Padahal yang dia tahu dia dengan Dian hanya ada pertalian saudara jauh yang semakin menjauh. Tak perlu nak kusutkan dengan cucu menantu jiran semua itu.
“Dian pun tak faham sangat. Tapi dah mak yang suruh Dian jumpa abang long, Dian ikut ajelah. Lagipun kalau apa-apa jadi kepada Dian, kena potong tangan ke, kaki ke, mak tahu yang Dian dengan abang long,” tokok Dian lagi.
Tiba-tiba Dian terasa panahan mata abang long makin menikamnya. Nasib baik juga waktu itu pelayan datang menghantar makanan yang dipesan. Kalau tak rasanya mungkin tangannya sudah dicucuk dengan garpu yang sedang menjadi mainan abang long. Tapi, memang betul pun jawapan dia.
“Ya ke kau jumpa aku sebab mak kau? Bukan sebab kau dah gatal nak kahwin ke?”
Tercengang Dian dengan persoalan abang long. Langsung tidak menjaga hati.
“Dah, tak payah buat muka macam tu. Aku tanya aje. Kalau malu nak jawab tak payah jawab. Makan.”
Walaupun abang long sebenarnya tengah memujuk, tapi Dian langsung tak terasa dipujuk. Keras saja intonasi itu.
Dian pandang abang long yang sedang tadah tangan untuk membaca doa makan kerana itu memang kebiasaan abang long tak kira di rumah atau di luar. Dian ikut angkat tangan sekali dengan wajah teragak-agak. Abang long perasan jenis pandangan itu.
“Apa, kau ingat gengster tak reti baca doa makan ke?”
Dian diam tidak menjawab. Hanya mengaminkan saja doa abang long.
Beberapa detik mereka diam menikmati hidangan masing-masing.
Abang long pandang pinggan Dian. Licin. Langsung tak cover-cover makan seperti perempuan lain, terutamanya untuk first date seperti ini. “Kau lapar sangat ke?”
Dian tercengang. Geleng.
“Habis tu licin aje pinggan tu aku tengok. Kalau tak cukup aku punya tak habis ni.”
“Tak baik membazir. Tu kan amalan syaitan.”
Abang long pandang Dian. Dia tak tahu kenapa gadis di depannya ini lain macam. Tak takut dengannya atau pura-pura berani? Lepas ni mesti terus block nombor telefon dia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan