Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 3

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


ZUL ZAFRI mematikan enjin keretanya sebaik sahaja tiba di pekarangan rumah yang reka bentuknya berkonsepkan seni bina China namun digabungkan dengan konsep barat.
Datuknya seorang mualaf dari China yang datang ke Malaysia untuk berniaga manakala neneknya pula kacukan Melayu-Inggeris yang dibesarkan di England sebelum menetap di Malaysia. Bila dua budaya bertembung, rumah inilah hasilnya.
Walaupun nampak pelik di mata orang tapi rumah inilah tempat dia dibesarkan sejak dia kehilangan ibu dan ayahnya semasa kecil. Dia tidak pernah kenal siapa ibunya. Ibunya meninggal dunia sebaik sahaja melahirkannya manakala papanya pula meninggal dunia semasa dia berumur dua tahun kerana dilanggar pemandu mabuk.
Dia hanya ada sedikit memori bersama papanya. Bagaimanapun dia tidak merasa sedih pun kerana hubungannya dengan papanya tidaklah baik sangat. Tambahan pula dia tidak tinggal dengan papanya. Boleh dikatakan sejak lahir lagi dia sudah dijaga oleh datuk dan neneknya. Sehinggalah sekarang, dia masih menetap di rumah itu.
Melangkah sahaja ke pintu rumahnya, Mak Esah, yang bekerja di rumah itu sejak dia masih kecil lagi, sudah berdiri di hadapan pintu masuk.
“Ehem... Datin Azizah ada di dalam tu. Dia bawa seorang lagi calon,” lapor Mak Esah berbisik-bisik.
Seperti biasa, Mak Esah akan bertindak sebagai perisik dalam rumah ini sepanjang ketiadaannya. Jadi, senanglah dia nak berhadapan dengan masalah, terutamanya bila neneknya sudah mulakan misi mencari bakal isteri untuknya.
“Bilalah dia orang ni nak bertaubat,” keluhnya. Dia keluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Kain penutup hidung dan mulut.
Pagi tadi memang dia rasa tidak sihat. Neneknya pula, bila nampak mukanya pucat semacam, terus sorok semua kunci kereta dan larang dia pergi kerja. Tapi dia ni jenis yang tak suka duduk rumah. Nasib baiklah dia ada buat kunci pendua untuk keretanya. Apa lagi. Bila nenek tengah sibuk jawab panggilan telefon, dia terus cabut lari.
Mujurlah dia cabut lari awal-awal. Kalau tidak, satu hal lagi kena layan tetamu nenek. Masuk ke dalam dia sudah dengar gelak ketawa ibu saudaranya, Datin Azizah. Tiba di ruang tamu dia ditegur oleh mak ciknya.
“Eh, Zul, baru balik?” tegur Datin Azizah. Nampak gembira daripada biasa.
Zul Zafri sekadar tersenyum. Mestilah baru balik. Apa punya soalanlah.
“Ni mak cik nak kenalkan, anak saudara mak cik. Zara Alia.” Laju saja Datin Azizah perkenalkan seorang lagi tetamu yang bertudung litup.
Tetamu itu berpaling dan menguntumkan senyuman manis. Memang manis. Mana-mana lelaki pun akan cair bila tengok perempuan macam ini tapi mata Zul Zafri tidak pernah silap. Inilah calon yang temu duga untuk jadi setiausahanya tadi tapi telah direject awal-awal oleh Nazri sebab tidak lulus baca doa Qunut.
Eh, tiba-tiba sudah pakai tudung? Gambar temu duga punyalah seksi sampai nampak lurah dendam. Pakai mekap berinci-inci. Bibir merah menyala. Tiba-tiba bertukar jadi perempuan alim. Nak tergelak dia di situ.
Dia tahu sangat dengan permainan mak ciknya itu. Neneknya ada cita rasa yang tinggi untuk calon menantunya tapi selalu dikaburi oleh penampilan seseorang. Dia ingat bila perempuan pakai tudung dan pakai sopan-sopan, itu dah boleh buat menantu. Tapi sebenarnya neneknya memang kena tipu hidup-hidup.
“Eh, kita pernah berjumpa sebelum ni?” tanya Zul Zafri menghampiri Zara Alia. Sengaja dia mulakan dengan ayat lapuk lelaki zaman dulu untuk pikat perempuan.
“Err... Ya ke? Saya rasa ini kali pertama saya jumpa awak.” Meliang liuk tubuh Zara Alia menjawab soalan tadi. Dah macam lalang ditiup angin.
Zul Zafri perasan Datin Azizah dah senyum-senyum. Dia ingat rancangan dia dah berjaya. Neneknya pula turut senyum-senyum. Aduhai, kesian betul dengan nenek. Mudah sangat masuk perangkap. Tak apa, hero memang selalu selamatkan perempuan berumur.
“Mmm... nanti kejap saya fikir.” Dia berpura-pura berfikir. “Hah, you yang tak pas baca doa Qunut masa interviu tadi, kan?”
Zara Alia terkejut. Kalau tadi tubuhnya meliang liuk bagaikan ditiup angin, tetapi kini berdiri keras macam batu.
Senyuman Datin Azizah juga mati di situ.
“Apa kamu merepek ni?” tanya neneknya, Datin Halimah.
“Nenek tanyalah sendiri. Malas Zul nak layan.” Zul segera mengangkat kaki.
“Oh ya, jangan lupa soal dia baca doa Qunut,” pesannya lagi.
“Apa hal ni Zizah?” Suara nenek dah naik. “Anak saudara kau tak reti baca doa Qunut? Dia reti sembahyang ke tak?”
“Err... Aunty, ni semua salah faham.” Datin Azizah tergagap-gagap menjawabnya.
“Cuba baca doa Qunut. Nenek nak dengar,” arah Datin Halimah.
“Err... saya tak boleh baca... Sebab period.” Zara Alia bagi alasan.
Period? Apa hal pula period tiba-tiba sedangkan tadi boleh aje kau sembahyang,” tanya nenek tak puas hati. “Ke kau pura-pura sembayang? Bacaan apa yang kau baca masa sembahyang tadi?”
“Itu tadi. Sekarang period.” Datin Azizah cuba back up anak buahnya.
“Kau jangan nak kelentong aku. Kau nampak tongkat aku ni? Ramai yang dah jadi mangsa tongkat aku ni.” Nenek dah mula mengamuk.
Zul Zafri melihat drama itu dari atas. Terkekek-kekek dia menahan ketawa. Kesian. Dia tidak bermaksud mahu merendahkan gadis itu tapi ini berkenaan dengan hidupnya. Buatnya nenek berkenan dengan Zara Alia, satu masalah lagi dia nak selesaikan. Parah!
Orang kata lebih baik mencegah dulu daripada melarat jadi penyakit bahaya. Zara Alia tu spesies yang agak bahaya juga. Nasib baiklah nenek ni jenis orang yang tegas sikit. Bukan main sapu mana-mana perempuan untuk dijadikan calon isterinya. Huh, lega!

“GAGAL interviu, anggap sajalah tak ada rezeki lagi. Manuskrip kena reject, masih boleh diperbaiki lagi. Ex-boyfriend dah nak kahwin, time to move on! Jadi, mari move on sekali lagi. Move on cara paling berkesan sekali bagi seorang novelis ialah cipta cerita cinta baru!” kata Lisa memberikan semangat kepada diri sendiri.
Tepat pukul 8.00 malam, menjadi rutin hariannya on laptop. Laptop yang hampir berusia lima tahun itu masih mampu berkhidmat untuknya lagi. Alhamdulillah. Nasib baiklah laptopnya itu jarang meragam. Kalau tidak payah dia nak mencari sesuap nasi.
Sebelum menulis, biasanya dia akan menjelajah masuk ke dunia tanpa sempadan. Pertama sekali, dia baca e-mel yang dihantar oleh tuan editor. Macam yang diberitahu siang tadi, e-mel itu ada disertakan cadangan untuk mantapkan lagi isi manuskripnya.
“Ini dah macam suruh tukar keseluruhan cerita.” Lisa mengeluh sebaik sahaja membaca keseluruhan e-mel. “Ah, tak mengapalah. Aku tak ada mood nak ubah lagi. Biarlah jadi projek terbengkalai. Tunggu mood datang barulah aku tukar jalan cerita.”
Selepas membaca e-mel, tiba masa untuk menjelajah masuk ke dunia Facebook. Seperti selalu, tak ada satu pun mesej atau komen yang diterima. Cuma banyak notification daripada orang yang main game dan orang yang tag nama untuk minta like gambar pertandingan.
“Memang forever alone...” Lisa mengeluh lagi.
Scroll punya scroll, Lisa ternampak gambar kad kahwin Aisyah. Gambar Aisyah dan Farid juga ada pada kad kahwin itu. Banyak komen mengucapkan tahniah. Ada juga yang mengusik dengan kata-kata pujian yang mengatakan Farid handsome.
Memang tak dinafikan Farid dah semakin handsome. Dulu Farid jenis tidak menjaga penampilan. Kalau keluar dating, rambut Farid mesti berserabai dibiarkan tidak bersikat, pakai seluar jean koyak di lutut dan baju kameja yang nampak lusuh. Kalau Lisa tayang wajah Farid sebelum ini mesti ramai tidak sudi cakap dia handsome.
Tapi bak kata Suhaila, “Yang lepas tu biarlah lepas. Kau doakan saja dia orang berdua hidup berbahagia. Allah itu Maha Adil. Mungkin dia sengaja tak nak bagi Farid pada kau sebab dia dah rancang yang terbaik untuk kau.”
Sekali lagi Lisa mengeluh. Walaupun kata-kata Suhaila itu sengaja hendak memujuknya untuk terima kenyataan tapi ada kebenarannya juga. Mana tahu nasibnya akan berubah selepas ini. Contohnya, dilamar oleh lelaki hebat macam Lee Min Ho!
“Okey, tutup buku lama, buka buku baru. Jom mulakan manuskrip baru!” kata Lisa sambil tutup Facebook.
Kalau lama-lama bergayut di dunia tanpa sempadan ini, memang tak siaplah kerjanya.
Lisa meletupkan jari-jemarinya dan melakukan senaman untuk jari-jarinya. Ini penting supaya 10 jarinya mampu menaip dalam masa agak lama. Selepas senaman jari dilakukan, dia mencapai helmet hitam lalu menyarung helmet itu pada kepalanya.
“Rasanya kaulah satu-satunya novelis yang menulis pakai helmet,” ejek Suhaila waktu pertama kali menyoal keperluan helmet itu.
Lantaklah apa orang hendak kata. Memakai helmet memang sudah menjadi tabiatnya ketika ingin menulis. Lagi-lagi bila dilanda writer’s block yang selalu dialami semasa di pertengahan manuskrip. Helmet itu bagaikan menyekat idea-idea itu keluar tanpa kembali lagi ke kepalanya.
Baru dia hendak memulakan ayat pertama, dia perasan, satu lagi nyawanya tak ada. Buku pink. Buku itulah yang menyimpan plot-plot dan jalan cerita untuk manuskrip yang dia ingin mulakan ini.
Lalu dia mengambil begnya. Buku itu memang sentiasa dibawa ke mana-mana. Senang nak catat idea yang suka keluar tiba-tiba.
Ehhh?” Lisa melihat beg yang digunakannya siang tadi. Tiada buku pink. “Mana aku letak? Kalau tak silap aku ada bawa buku ni tadi.”
Dia terdiam sejenak. Sambil itu matanya turut bekerjasama mencari di setiap ruang dalam biliknya itu. Tak ada. Tak puas dengan itu, dia segera berlalu ke luar. Dia mencari di tempat-tempat yang menjadi tempat dia menulis.
Meja makan. Tak ada.
Ruang tamu. Tak ada.
Dapur. Tak ada.
Tandas. Lagilah mustahil. Belum pernah lagi dia menulis dalam tandas.
Lalu dia kembali mencari dalam biliknya. Mana tahu kan terjatuh di mana-mana. Dia jenguk bawah katil. Wah, entah berapa lama dia tak sapu bawah katil. Penuh dengan habuk! Gerenti tak ada. Dicarinya pula di rak bukunya. Tak ada.
“Mana ni? Janganlah hilang. Jenuh nak perah idea tu balik. Tolonglah. Tolonglah kembali kepadaku. Oh my baby... please come to mummy...” Lisa semakin menjadi tak keruan.
Dia kembali semula memeriksa beg yang digunakan tadi.
“Tak ada.” Lisa jenguk ke dalam.
“Tak ada,” katanya sambil terbalikkan begnya.
Semua isi-isi yang ada di dalam beg itu bertabur di atas meja tulisnya. Buku yang dicari langsung tidak kelihatan. Digoncang-goncang begnya. Mana tahu kan bukunya main sorok-sorok dengannya malam-malam buta tapi tak ada apa yang keluar lagi.
“Habislah... Nyawa kedua aku... dah tak ada. Tak ada!!!” jeritnya penuh perasaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan