Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 3

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

MASUK sahaja ke dalam rumah separa papan, separa batu itu, Syazrina meliar mencari kelibat ayah. Mana agaknya ayah? Kasut ada, tapi tuannya tiada. Dia mendekati emak yang baru keluar dari bilik air.
“Mak, ayah mana?” Terus dia menyoal.
“Kat dalam tandas,” balas maknya, Mak Cik Syihah.
Syazrina membulat bibir. “Bila ayah balik?”
“Pagi tadi.” Mak Cik Syihah berjalan menuju ke bilik tidur yang terletak di sebelah dapur, bertentang dengan bilik air.
Syazrina membuntuti langkah maknya. “Ayah balik naik apa? Siapa hantar? Lepas ni pergi lagi tak?”
“Esh. Banyak tanyalah along ni. Ayah keluar nanti tanya ayah. Mak nak pakai baju ni. Keluar.” Tubuh Syazrina ditolak keluar dari bilik lalu pintu ditutup rapat.

“STUDI ke?” sapa Pak Cik Ibrahim saat melihat anak gadisnya sedang berteleku di atas meja belajar.
Syazrina berpaling wajah melihat ayahnya. Satu senyuman terukir di bibir. “Belum studi. Lambat lagi nak exam. Buat kerja sekolah.”
Bahu anak gadisnya itu terus ditepuk-tepuk.
“Belajar rajin-rajin. Jangan jadi macam ayah. Belajar malas. Sekarang kerja tak tentu. Tak boleh nak senangkan keluarga kita.” Nada suara ayahnya kendur, penuh dengan kesalan yang memberat.
“Yalah. Ayah jangan risau. Along janji along belajar rajin-rajin. Nanti, ayah dengan mak tak payah susah-susah lagi,” ikrar Syazrina bersama senyuman yang tak putus.
“Ayah dengan mak nak along berjaya. Biar along senang. Mak dengan ayah tak apa macam mana pun,” tukas Pak Cik Ibrahim.
“Apa ayah cakap macam tu? Kalau along senang mestilah ayah pun senang. Mestilah mak pun senang,” sangkal Syazrina sambil memuncung bibir. Tanda dia sentap dengan pernyataan ayahnya.
Pak Cik Ibrahim tersengih menampakkan gigi yang sudah beberapa batang rompong dek faktor usia yang makin melanjut. Sambil-sambil dia menyambar jaket hijau tua yang tersangkut di paku dinding belakang meja belajar Syazrina lalu disarungkan ke tubuh kurus keringnya.
“Nak pergi mana, ayah?” Kepala Syazrina tertoleh mengikuti langkah Pak Cik Ibrahim.
“Nak keluar jumpa kawan ayah,” jawab orang tua itu sambil langkah kakinya diatur meninggalkan Syazrina keseorangan.

BERPELUH-PELUH kebasahan baju sekolah Syazrina dan Nora kerana terpaksa berjalan kaki ke pekan yang jauhnya dua kilometer hari ini. Semuanya disebabkan kelas tuisyen subjek kimia.
Syazrina terlepas bas Pak Mie. Dah terlepas, terpaksalah dia ke stesen bas di pekan untuk naik bas MARA. Bas Pak Mie memang taklah akan menunggu dia hingga ke petang. Aduhai. Penat, penat, bebelnya dalam hati.
“Wei, kita singgah CC tu dulu,” ajak Nora tiba-tiba.
Langkahnya dihentikan betul-betul menghadap bangunan bercat biru yang lebih kurang 50 meter dari tempat mereka berdiri.
Syazrina mengalih pandang, memberi fokus ke arah bangunan yang dikatakan. Belum sempat dia memberikan sebarang respons pada ajakan Nora, sahabatnya itu terlebih dahulu menyeretnya ke bangunan tersebut.
“Wei, nak buat apa pergi cyber cafe tu?” soal Syazrina tak faham motif Nora.
Soalan Syazrina tidak diendahkan Nora. Sebaliknya, dia terus menyeret Syazrina ke arah pintu CS Cyber Cafe. Hendak ataupun tidak, Syazrina mengikut langkah Nora.
“Cepat buka kasut. Jom masuk.” Nora terus menolak daun pintu selepas kasut sekolahnya disusun di atas rak kasut.
Tak mahu bertelagah apa-apa, Syazrina menurut sahaja.
“Best tau Yahoo Messenger ni. Kau boleh kenal semua orang, tak kiralah kat mana dia berada. Tak kisahlah dalam negara ke, luar negara ke,” kata Nora sambil tangannya ligat menaip sesuatu di skrin komputer.
“Ya ke? Mana kau belajar main ni?” Syazrina nyata berminat apabila mendengar penjelasan Nora.
“Kakak aku ajarkan. Aku dah daftar nama kau ni. Kau nak guna Yahoo ID apa?”
“Yahoo ID?” Syazrina berkerut dahi. Apa tu? Yahoo ID?
“Yahoo ID ni macam nama glamor yang kau nak guna dalam messenger kau. Kalau kau nak guna nama betul pun boleh, nak guna nama selain nama kau pun boleh. Ikut kaulah,” terang Nora.
Syazrina membulat bibir. Kini dia tahu apa itu Yahoo ID. “Kau guna ID apa?”
“Aku, bora_tora.” Nora tersengih, menunjukkan gigi tindannya.
“Bora_tora. Ermm... Aku nak namakan apa ya?” Syazrina memegang belakang kepala. Sambil-sambil fikirannya ligat memikirkan nama yang sesuai.
“Ha.” Nora tiba-tiba memetik jari mematikan cetusan idea Syazrina.
“Nama apa?” Syazrina teruja hendak tahu idea nama yang bakal keluar dari mulut Nora.
“Aku tak tahu,” balas Nora selamba.
“Kau fikirlah sendiri. Aku nak chat dengan pakwe handsome ni.” Dia terus kembali menghadap skrin komputer.
“La...” Syazrina dicuit rasa geram. Main-mainkan aku pula budak Nora ni.
“Ha. Kalau aku nak namakan aku bawang underscore merah, okey tak?” cetus Syazrina setelah sekian lama kembali berfikir.
“Bawang underscore merah?” Dahi Nora terus bertaut rapat. “Kau pasti ni? Tak rasa macam kampung sangat ke?”
“Kampung pula. Tapi, bolehlah daripada tak ada. Malas nak fikir lagi. Bukan penting pun, kan?” Syazrina sudah berputus asa.
“Okeylah. Suka hati kaulah.” Tanpa banyak bunyi, Nora terus membuat pendaftaran atas nama bawang underscore merah seperti diminta Syazrina.
“Selesai pendaftaran kau. Sekarang, kau dah boleh chat dengan semua orang dalam chat room ni. Welcome to the Yahoo club!” Nora mendepakan kedua-dua tangan sambil tersengih comel.

“BANGUN.” Zamri, ketua tingkatan 5SC2 memandang sekeliling makmal sains itu. Dia mahu memastikan semua rakan sekelasnya bangun memberi hormat kepada guru mata pelajaran kimia, Cikgu Saleha.
“Assalamualaikum, cikgu,” sapa Zamri. Salam itu diringi oleh rakan sekelasnya yang lain.
“Waalaikumussalam. Duduk.” Suara dan riak wajah Cikgu Saleha kelihatan tidak begitu baik. Ketat sahaja.
“Sebelum cikgu mulakan pengajaran hari ini, cikgu nak tanya satu kelas ni,” ujar Cikgu Saleha.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Cikgu nak tanya apa? Terpamer persoalan itu di riak wajah masing-masing.
“Siapa yang conteng meja kat hujung sana?” Batang pen marker ditala ke meja di hujung makmal.
Semua perhatian tertala ke meja yang diperkatakan oleh Cikgu Saleha.
“Sekolah sediakan kemudahan makmal ni bukan untuk kamu conteng. Semua orang nak guna, daripada kamu, kepada murid-murid selepas kamu. Kenapa ada yang tidak bertanggungjawab yang sanggup merosakkan harta benda sekolah?” Cikgu Saleha mula berceramah dengan nada yang agak tegas dan sedikit marah.
Keadaan makmal yang tadinya berbunyi, kini senyap sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas berpusing.
“Sekarang, cikgu nak kamu mengaku. Siapa yang conteng?” soal Cikgu Saleha. Kali ini suaranya makin meninggi.
Semua murid diam. Mereka menundukkan wajah, tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Saleha.
“Tak ada orang nak mengaku?” soal guru kimia itu lagi.
“Baik, kalau tak ada orang yang nak mengaku bertanggungjawab, dengar sini baik-baik. Cikgu takkan maafkan sesiapa sahaja yang buat. Sampai bila-bila, selagi dia tak buat pengakuan salah, meminta maaf dan memperbaiki kesilapan yang dibuat. Cikgu doakan, sesiapa yang tidak meminta maaf itu tidak akan mendapat zuriat sehingga tujuh keturunan. Selagi tidak meminta maaf. Boleh macam tu?”
Para pelajar kini berpandangan sesama sendiri. Tujuh keturunan tidak dapat zuriat? Memang marah betul Cikgu Saleha ni. Mereka mula berbisik-bisik, bergosip-gosip sesama sendiri.
“Memang cikgu marah,” balas Cikgu Saleha, bagaikan mendengar soalan yang terbuku di hati anak-anak didiknya.
“Dua tiga kali cikgu tengok kamu conteng meja dengan liquid, dengan pen. Ada yang toreh dengan pisau. Kamu tahu tak, cikgu dengan pembantu makmal yang padam, yang perbaiki balik vandalisme yang kamu dah buat. Tak serik, kamu buat balik. Cikgu tak kira, kalau tak ada sesiapa mengaku, cikgu takkan maafkan. Kali ini kamu betul-betul dah melampau.”

SEPULUH orang pelajar lelaki, menundukkan kepala memandang lantai. Semuanya bagai pesalah dihadap ke muka pengadilan, menanti masa diadilkan. Masing-masing dengan muka penuh sesalan, sedar akan kesalahan diri sendiri.
“Saya yang conteng dengan liquid dan saya yang ukir meja dengan pisau. Saya minta maaf cikgu,” pohon Syakeef, tidak mampu memandang wajah garang guru kimia itu.
Walaupun dia nampak samseng, tapi dia tetap hormatkan cikgu. Tidak sesekali dia meninggi suara kepada insan yang menjadi ibu kedua-dua buatnya di sekolah itu.
“Lain?”
“Saya pun conteng dan ukir perkataan punk, cikgu,” akui Zarith seusai mengangkat tangan.
“Punk? Kamu ni, Zarith. Apa dah jadi dengan kamu? Kamu terlibat dengan budak-budak punk ke?”
“Tak cikgu, saya cuma tak tahu apa nak buat,” sangkal Zarith, sedikit kendur.
“Ingatlah anak-anak cikgu. Kamu akan menduduki SPM tahun ini. Janganlah kamu terlibat dengan gejala tak sihat. Cikgu sedih tengok anak-anak muda sekarang. Berpeleseran di mall, berpakaian yang tak menunjukkan budaya ketimuran. Malu, tahu, malu.” Cikgu Saleha sempat memberikan nasihat kepada mereka.
“Cikgu, kami janji tak terlibat gejala punk ke, skin head ke, black metal ke. Kami memang tak terlibat langsung. Tapi, boleh ke cikgu maafkan kami? Kami tak sanggup kalau-kalau doa cikgu termakbul, kami tak dapat zuriat tujuh keturunan.” Zarith memohon belas gurunya itu.
Mukanya yang sedikit berjerawat batu itu kelihatan sangat sadis. Takut sungguh dia tak berzuriat nanti.
Cikgu Saleha hampir nak terhambur ketawa melihat reaksi Zarith. Rupanya ugutan ‘tujuh keturunan tak ada zuriat’ yang berjaya menyebabkan kesemua pesalah-pesalah ini mengakui kesalahan diri. Memang hebat penangan ugutan itu rupanya.
“Baik, cikgu akan maafkan kamu. Tapi, macam cikgu cakap, pulihkan semula apa yang kamu dah buat. Cat balik meja makmal tu. Selesai, semua sumpahan kamu berakhir. Boleh buat?”
“Boleh, cikgu,” sahut mereka semua serentak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan