Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 2

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

MUKA garang Ustaz Ismail yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mael itu buat pelajar-pelajar 5SC2 tak betah duduk. Habislah kalau ustaz mengamuk. Yang siap kerja sekolah terasalah sedikit lega, tapi kalau yang tak buat, memang rasa nak terkucil semua di dalam perut. Ketarnya, usah kata. Menggigil-gigil seluruh anggota.
“Keluarkan buku latihan semalam.” Suara garau Ustaz Mael bergempita di setiap sudut kelas.
Apalagi, bagai lipas kudung, masing-masing mengeluarkan buku latihan pendidikan Islam.
Di tengah-tengah kelas, kelihatan Syazrina tak betah duduk. Habis diselongkar setiap sudut di dalam beg sekolah. Dibelek-belek buku satu per satu. Semua buku ada, tapi buku latihan Ustaz Mael tak ada.
Habislah! Takkan tak bawa. Setahu aku buku latihan tu yang aku masukkan dulu dalam beg. Latihan pendidikan Islam yang aku siapkan dulu semalam. Mana pula buku ni? Syazrina bergetap bibir, sambil-sambil fikirannya dikerah menjawab misteri kehilangan buku latihannya.
“Ha!”
Sergahan bersama tepukan di meja kayu buat Syazrina terperanjat. Dia telan air liur saat melihat muka bengis Ustaz Mael sudah di depan mata. Misai tebal Ustaz Mael sudah terliuk-liuk tanda amarah yang sudah menjelma.
“Mana buku?” soal ustaz Mael persis peguamcara.
“Errr...” Syazrina hilang kata.
Nak jawab tak bawa buku, ustaz memang paling pantang alasan tersebut. Nak jawab apa ni? Dahinya bertaut kegelisahan.
“Tak buat?” tebak Ustaz Mael.
“Buat, tapi...” Syazrina cuba menyangkal tapi lidahnya kelu nak berikan alasan.
“Bangun.” Tanpa diberi peluang, Ustaz Mael terus buat keputusan. Budak ni tak buat kerja, apalagi, dendalah.
Syazrina akur. Tak ada guna dia nak membela diri. Lambat-lambat, dia berdiri.
Pap! Batang pembaris itu singgah di telapak tangan Syazrina.
Aduh! Syazrina bergetap bibir menahan sakit. Tak lama, telapak tangannya berbirat merah.
Tangan yang berbirat diangkat bagai orang hendak berikrar. Tiga orang rakan sekelas yang lain yang tidak menyiapkan kerja sekolah, juga mengangkat tangan seperti Syazrina.
“Ikut apa yang ustaz cakap.” Ustaz Mael memberi arahan. “Kami berjanji...”
“Kami berjanji...” Bergema kelas dengan ikrar empat pesalah Ustaz Mael.
“Tidak akan sesekali...” sambung Ustaz Mael.
“Tidak akan sesekali...”
“Melanggar amanah yang telah diberikan oleh ustaz...”
“Melanggar amanah yang telah diberikan ustaz...”
“Kami akan menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah.”
“Kami akan menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah.”
Syazrina kembali ke tempat duduk usai lafaz ikrar selesai. Dia sempat melirik Syakeef yang duduk berselang dua meja dari tempat duduknya. Sakan betul mamat itu tersengih-sengih macam kerang busuk. Seronok sungguh gamaknya si mamat poyo ni boleh tengok aku kena denda. Memang dasar mamat tak ada perasaan! rengusnya geram.

“NAH! Buku kau.” Sebuah buku melayang ke arah meja Syazrina dari meja Syakeef.
Mata Syazrina membeliak memandang buku berkulit tebal itu melayang ke arahnya. Sepantas kilat, dia mengelak daripada buku itu terus terpelekuk melekat ke kepala. Huu. Nasib baik.
Buku yang mendarat elok di atas mejanya diambil lalu dibelek-belek. Macam kenal buku ni. Eh, buku aku! Lantas dia berpaling ke arah lelaki durjana yang telah membaling buku tersebut.
“Kenapa kau curi buku aku?” bentak Syazrina.
Syakeef tersenyum senget. Dengan riak tak bersalah dan mengejek, dia menjongket bahu. Memang sengaja dia nak mengapi-apikan sakit di hati Syazrina.
“Seronok kena dengan pembaris?” Satu hilaian tawa terus memenuhi ruang kelas.
“Kau ni memang tak ada kerja lain, kan? Apa masalah kau sebenarnya? Hah, mamat poyo tak sedar diri?” tempelak Syazrina agak kasar.
Syakeef menghentikan tawa. Dia mengerling tajam ke arah Syazrina. “Kau panggil aku mamat poyo? Hah? Minah senget?”
“Ya. Aku panggil kau mamat poyo. Kenapa? Kau tak puas hati?” tukas Syazrina mula hilang sabar. Sudah mula melawan lelaki tak reti serik tersebut.
Syakeef berdengus bengang. Dia bangun lalu mendekati Syazrina.
Syazrina turut bingkas bangun. Dia angkat kepala, tanda provokasi. “Kenapa? Kau nak pukul aku? Ha. Pukullah. Pukul. Aku dah lama sabar dengan kau.”
Syakeef angkat tangan. Hendak sahaja dia hadiahkan penampar di pipi Syazrina seperti yang dipinta perempuan itu.
“Wei! Sudahlah. Apa hal nak gaduh-gaduh ni?” Zarith cepat-cepat menjadi orang tengah, menghalang tangan itu daripada melayang ke pipi Syazrina.
“Kau jangan nak halang aku. Dia kurang ajar.” Syakeef sudah naik hantu. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Sudah ringan tangannya nak menghadiahkan penampar kepada si minah senget.
Tetapi, Syazrina bernasib baik kerana tubuh Zarith lagi besar daripada tubuh Syakeef. Oleh itu, Syakeef tidak mampu nak melepaskan pegangan si Zarith untuk mendekatinya.
“Kau yang cari pasal dulu. Dahlah, tak payah nak bergaduh. Perempuan kut.” Zarith cuba menenangkan keadaan.
“Dasar mamat poyo. Gila!” Syazrina terus-menerus mengapi-apikan Syakeef. Baru puas hati dia melihat api kemarahan si mamat poyo itu.
Syakeef apalagi, semakin kuat dia meronta untuk memberikan ‘hadiah’ atas sikap Syazrina yang dirasakan melampau-lampau.
“Dah! Sudah Syak! Kau, Syaz, keluar sekarang,” arah Zarith kepada Syazrina. Sambil tangannya terus kejap memeluk tubuh Syakeef yang makin kuat meronta-ronta.

SYAZRINA menggenggam kedua-dua penumbuk di singki tandas sekolah. Bengkeknya hati tak dapat nak digambar apabila terkenangkan perangai Syakeef yang tak pernah berhenti mengganggu hidupnya. Tak habis-habis.
“Apa masalah dia tu sebenarnya? Asyik nak kenakan kau aje?” soal Nora yang baru selesai melaksanakan hajat.
Dia mendekatkan diri ke arah Syazrina sambil membetul-betulkan kain yang senget. Syazrina menghela nafas berat.
“Masalahnya aku tak tahu. Aku tanya diri aku, apa salah yang aku dah buat kat dia, sampai dia asyik cari pasal dengan aku. Tapi, sampai sekarang aku tak ada jawapan.” Berkerut-kerut dahinya memberi penerangan kepada Nora.
Nora mengeluarkan bedak kompak dari poket baju sekolah.
“Aku rasa dia suka kat kaulah. Sebab tu dia asyik ganggu kau.” Sambil-sambil itu Nora menempek-nempek bedak ke muka.
Syazrina berdengus meluat. “Suka? Tak ada maknanya dia nak sukakan aku.”
Nora mencebik bibir. “Tapi, kau suka dia, kan?”
Lengan Syazrina disiku sambil dia tersengih macam kerang busuk.
“Entahlah. Menyesal aku cakap aku suka dia dulu. Harap muka aje handsome, tapi perangai... macam... Ah, malas aku nak cakap.”
“Ya? Kau tak nak dialah ni? Nak give up dah? Kalau macam tu bagi akulah mengurat dia pula. Okey?” Nora angkat kening dua tiga kali.
“Suka hati kaulah! Ambillah, aku bagi free of charges,” balas Syazrina. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan