Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Bab 9

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


HARI ini aman sedikit. Big boss yang selalu cari pasal tiada di ofis sejak jam 10.00 pagi tadi. Ada meeting katanya.
Huh, nak tipu pun janganlah nak menipu PA sendiri. Mana ada meeting dalam tempoh itu? Semua jadual aktiviti bosnya, dia yang uruskan. Dalam tempoh itu, jadual memang sengaja dikosongkan. Entah macam mana pula tiba-tiba boleh ada meeting.
Tambah lagi, kali ini bosnya tak suruh dia ikut. Biasanya, kalau nak pergi ke bangunan sebelah untuk meeting pun pasti dia akan ditarik. Tapi kali ini memang pelik. Baru pertama kali dia diarah duduk diam-diam dalam ofis.
Jangan-jangan bos ada kekasih rahsia? teka Lisa. Tapi kalau bos ada kekasih, kenapa tidak terus terang sahaja dengan neneknya? Bukan ke senang? Bukan payah pun. Mungkin ada sebab lain. Contohnya, kekasih rahsia bos itu tidak diiktiraf nenek dia kut. Percintaan terhalang!
Mmm... macam best aje idea ini. Kisah percintaan terhalang. Selalunya kalau situasi begini mesti nenek bos macam watak antagonis yang lain. Nenek bos sudah ada calon menantu yang dia suka sebab calon nenek dia itu jenis yang gedik-gedik.
Atau... girlfriend bos yang gedik? Mungkin juga. Lelaki sekarang kebanyakan pandang rupa paras. Tambah pula orang kaya macam bosnya. Sudahlah kaya. Ada empayar perniagaan yang besar. Handsome pula. Cukup pakej. Perempuan pisau cukur plus gedik pasti keliling pinggang!
“Lisa!” panggil Wahida.
Yes!” Lisa terkejut apabila Wahida berdiri di hadapannya. Lama benar agaknya dia mengelamun sampai tidak perasan langsung Wahida menghampirinya.
“Mengelamun apa tadi?” tanya Wahidah dengan pandangan ‘ini mesti tengah mengelamun fikirkan pasal big boss’.
“Kenapa Kak Wahida?” tanya Lisa sudah tak tahan lagi bila dipandang sebegitu.
“Tak turun rehat ke?” tanya Wahida.
“Hah? Dah rehat ke?” Lisa tengok jam pada komputernya.
Sudah pukul 12.00 tengah hari. Memang sudah masuk waktu rehat. Patutlah dia rasa lapar semacam.
“Ini kunci bilik bos. Kalau Lisa turun rehat, pastikan pintu bilik bos sudah berkunci tau,” pesan Wahida.
“Eh, Kak Wahida nak ke mana? Jomlah rehat sama. Hari ni saya tak ada kawanlah. Suhaila pula tak balik ofis lagi...”
“Maaflah. Anak akak tak beberapa sihat. Demam. Sekarang akak nak bawa dia ke klinik. Kita rehat lain kali ya.” Wahida terus serahkan kunci sebelum berlalu pergi.
Tinggallah Lisa seorang diri. “Ah, rehat seorang dirilah aku hari ni.”
Selepas kunci pintu bilik bos, dia menapak keluar. Perut sudah berbunyi. Kalau dulu, dia tidak kisah bila-bila pun dia boleh makan tapi sejak bekerja, perutnya sudah pandai set masa makan. Tepat jam 12.00 tengah hari, mesti meragam. Lagi satu, tepat jam 4.00 petang. Gerenti mahu kunyah-kunyah.
“Selamat tengah hari Encik Nazri,” ucap Lisa apabila masuk ke dalam lif.
Encik Nazri berada di dalamnya. Tapi ucapannya langsung tidak diendahkan oleh lelaki itu. Senyum pun tak ada.
Lisa berasa pelik. Suhaila kata Encik Nazri memang terkenal dengan sikap ramahnya dengan pekerja perempuan. Pernah juga dia lihat lelaki itu bergaul mesra bergelak ketawa dengan pekerja perempuan yang lain. Tapi bila dia tegur, lelaki itu buat muka sombong melangit. Macam tadi. Langsung tidak senyum. Period ke apa!
Bila Encik Nazri tidak mahu melayan, dia pun malas malu melayan. Agaknya, orang macam Encik Nazri hanya melayan perempuan-perempuan yang cantik kut. Lelaki...
Lif berhenti di tingkat 14. Encik Nazri berlalu keluar. Tapi bila pintu lif hendak tertutup, tangan Encik Nazri menahannya. Terkejut Lisa dibuatnya.
“Saya nak nasihatkan awak. Tak kira siapa pun awak, jangan hancurkan kebahagiaan orang. Ingat tu!” Garau suara Encik Nazri umpama memberikan amaran.
Pintu lif kembali tertutup.
Lisa masih kaget sambil otaknya cuba memproses nasihat yang dia terima tadi. Siapa yang hancurkan kebahagiaan siapa? Aku? Selama ni aku tak pernah terfikir nak menghancurkan kebahagiaan orang melainkan watak-watak ciptaan aku! Jangan-jangan dia marah sebab dia tahu aku novelis dan dia baca novel aku. Lepas tu dia suka sangat dengan satu watak tu, sampai dia bencikan penulisnya?
Ah... tak mungkin! Tak logik.
Lisa buntu. Agaknya, Encik Nazri mesti sudah salah faham kut. Suhaila kata, Encik Nazri merupakan kawan baik bos. Agaknya, Encik Nazri pun sudah salah faham dengannya tentang gosip yang melanda ofis ini. Mesti punya!
Tapi... hancurkan kebahagiaan orang lain? Mmm... bunyi macam bos ada kekasih sahaja. Jadi, Encik Nazri cuba bagi amaran supaya dia tak hancurkan hubungan itu? Oh my... Bos betul-betul ada kekasih rahsia ke?
Lamunannya terhenti apabila lif berhenti di tingkat 10. Beberapa orang pekerja perempuan melangkah masuk ke dalam. Setiap seorang, memegang beg duit yang bermacam-macam jenama dan warna.
Boleh tahan juga orang yang kerja di sini. Itu baru beg duit. Belum lagi baju, kasut, tudung, minyak wangi, mekap... Pendek kata, barangan yang mereka pakai bukan jenama pasar malam punya!
“Eh... Lisa?” Salah seorang daripada mereka teruja menegurnya.
Habis, siapa pula mereka ni? Lisa blur kerana langsung tidak kenal siapa mereka. Namun, dia tetap mengukir senyuman. Buat-buat kenal saja. Itulah rahsia nak hidup dalam company ini, pesan Suhaila.
Walaupun sudah seminggu dia bekerja di situ tetapi dia belum lagi dapat kenal pekerja-pekerja di situ. Setakat ini, dia hanya kenal beberapa orang penting. Bukan mahu kata mereka semua tidak penting, tapi dia jarang berurusan dengan mereka.
“Rehat seorang saja ke? Suhaila tak ada?” tanya seorang lagi.
“Ya. Seorang saja. Su belum balik lagi,” jawab Lisa.
“Oh, kalau macam tu, jomlah makan sama-sama dengan kami. Hari ni kami nak makan Sushi King. Jomlah!” ajak seorang lagi.
Dengar sahaja Sushi King, Lisa sudah telah air liur. Sudah bertahun lama dia tidak makan Sushi King gara-gara kena berjimat cermat. Bila dengar mereka pelawa, memang rasa teruja tapi bila teringatkan duit dalam beg duitnya... Sedih!
“Mmm... tak apalah.” Lisa terpaksa tolak perlawaan mereka.
“Jomlah. I belanja you makan.”
“Hah? Belanja?” Sekali lagi Lisa telan air liur. Ini peluang yang bagus dan tidak patut dilepaskan. Tapi... dia tetap berasa tak sedap hati.
“Tak payah fikir-fikir lagi. Ikut saja kami.” Perempuan itu terus menariknya keluar apabila lif sudah sampai ke tingkat satu.
Lisa pun tak berani nak menolak lagi. Ikut sajalah. Janji dapat makan free!

ZUL ZAFRI melihat jam tangannya. Ini sudah beberapa kali dia melihat jam tangan. Semakin dilihat, semakin buat mentalnya stres. Mana tidaknya kalau orang yang ditunggu-tunggu tidak datang-datang lagi.
Makanan sudah lama terhidang di atas meja. Sudah sejuk pun. Perutnya sudah lama berjoget-joget tetapi diabaikannya. Dia cuba menahan lapar. Demi seseorang. Seseorang yang amat penting buatnya. Namun, sudah satu jam berlalu. Batang hidung orang itu langsung tak kelihatan. Kalau ikut barannya, sudah lama dia bakar restoran mewah ini.
Dia terus keluarkan telefon bimbit dan menghubungi Nazurah. Manalah tahu kalau-kalau Nazurah terlupa dengan temu janji mereka tengah hari ini. Bukan tidak pernah terjadi. Sudah banyak kali.
Banyak kali dia telefon, banyak kali panggilannya terputus. Macam Nazurah sengaja putuskan panggilannya itu. Tak lama kemudian, dia terima mesej daripada Nazurah.

Kenapa? I tengah lunch dengan customer ni.

Menyirap darahnya apabila baca mesej itu. Lunch dengan customer? Ya, dia patut bakar restoran ini. Punyalah lama dia menunggu, alih-alih dapat mesej yang menyakitkan hati ini. Digenggam kuat telefon bimbitnya.
Tapi, dia cuba tenangkan diri. Tarik nafas panjang-panjang dan hembus secara perlahan-lahan. Setelah tenang seketika, dia membalas mesej itu.

You dah lupa ke date kita hari ni? Dah satu jam I tunggu.

Mesej send! Marahnya tetap ada. Tak lama kemudian, satu mesej masuk.

I tak kata I setuju pun. You jangan nak salahkan I pula.

Sekali lagi dia menyirap membaca mesej itu. Nazurah betul-betul sudah melampau. Baru dia hendak membalas, Nazurah terlebih dahulu hantar mesej kepadanya.

I tengah busy layan customer. Kita talk lain kali.

Kali ini dia hampir hendak baling telefom bimbitnya. Geram sangat dengan Nazurah. Semakin hari Nazurah seakan-akan jauh daripadanya. Tidak lagi seperti dulu.
Kalau dulu, setiap minggu pasti dua tiga kali mereka akan lunch bersama-sama tapi sejak Nazurah lancarkan jenama sendiri dan sibuk dengan perniagaan, mereka tidak lagi seperti dulu. Hendak jumpa sebulan sekali pun payah!
Zul Zafri melihat makanan yang terhidang di atas mejanya. Nampaknya, dia sahajalah makan semuanya. Tiba-tiba satu lagi mesej masuk. Mesej daripada neneknya.

Jangan lupa clearkan jadual hari Sabtu nanti.

Terus dia teringat rancangan neneknya pagi tadi. Ini satu lagi masalah. Dia rasa terhimpit dengan mereka berdua. Dia mengejar kekasihnya. Neneknya pula mengejarnya suruh kahwin cepat. Dia jadi mangsa di tengah-tengah.
Tapi sebelum dia menjadi mangsa, lebih baik dia pasang strategi. Lisa! Dia terus menghubungi Lisa. Selepas dua deringan, suara Lisa kedengaran.
Yes bosss!”
“Awak buat apa?” tanya Zul Zafri sebagai mukadimah.
“Makan.”
“Awak ingat lagi restoran yang selalu saya pergi?”
“Ingat.”
“Datang ke sini sekarang.”
“Hah? Sekarang? Tapi... saya baru nak makan...”
“Sekarang! Saya bagi masa 10 minit. Kalau awak tak datang, siaplah!” gertak Zul Zafri lalu tamatkan panggilan.
Nasib kaulah Lisa. Kaum kau juga yang buat aku sakit hati hari ni.

“ERR... maafkan saya. Saya terpaksa pergi dulu sebab bos panggil,” kata Lisa yang selesai jawab panggilan daripada bos.
Kalau dia tahu, memang dia takkan angkat panggilan itu. Tapi, apakan dayanya. Kalau dia tak jawab, dia juga kena habuannya nanti.
Big boss ke?” tanya perempuan yang perkenalkan diri sebagai Jeje tadi.
Itu nama manjanya. Nama betul, tak pula dia beritahu.
Lisa angguk saja. Mestilah big boss! Siapa lagi yang berani beri arahan kepadanya?
“Kalau macam tu lebih baik you pergi cepat.” Yati pula bersuara.
Sorry tau. Lain kali kita makan bersama lagi ya,” balas Lisa segera melangkah pergi.
Tapi dalam hati, memang dia takkan makan bersama mereka lagi. Bukan apa. Mereka adalah golongan pembodek. Kaki ampu, kaki gosip dan kaki tabur fitnah. Memang dia anti dengan golongan seperti ini.
Baru dua minit duduk dengan mereka, macam-macam berita dan gosip-gosip terkini dia tahu. Tambah lagi, novelis sepertinya yang selalu mengkaji watak seseorang sudah boleh baca perangai mereka melalui tingkah laku dan perangai mereka. Golongan seperti inilah dia perlu jauhkan diri.

“Bos...” Tercungap-cungap Lisa menghampiri bosnya.
Huh, jarak lokasi restoran Sushi King tidak jauh dengan lokasi restoran yang bosnya suruh datang.
“Awak lambat lima minit.” Zul Zafri memandangnya sambil memeluk tubuh. Suara pula garau semacam.
Siapa pula yang buat big boss ni baran tiba-tiba? Aku juga yang kena, bisik hati Lisa sambil sumpah seranah orang itu.
“Mmm... Kenapa bos panggil saya ke sini?” tanya Lisa tersengih-sengih.
Perutnya sudah berlagu apabila dia melihat makanan yang terhidang di hadapannya. Apatah lagi dia belum lagi menjamah apa-apa lagi. Tadi, masa nak suap masuk sushi dalam mulut, big boss sudah telefon.
Tiba-tiba telefon bimbitnya terima mesej. Lisa mendapati dia terima WhatsApp daripada bosnya.
“Itu homework pertama awak,” katanya.
Lisa segera buka WhatsApp. Ada gambar seorang wanita Muslimah yang bertudung labuh dan manis orangnya. Homework pertama? Jangan-jangan...
Lisa pandang bos. “Siapa ni bos?”
“Calon nenek sayalah.”
“Hah? Perempuan macam ni bos tak nak ke? Rugilah bos. Saya ingat, nenek bos tu akan pilih calon yang gedik-gedik yang seksi. Ini dah kira baik dah ni.” Lisa garu kepala. Kalau dia lelaki, memang dia on saja!
“Suka hati sayalah nak perempuan macam mana pun. Nenek dah arrange meeting dengan dia pada hari Sabtu ni. Tugas awak, kena fikirkan macam mana saya nak elak daripada kena kahwin dengan dia.”
Gila! Lisa pandang bos, kemudian pandang gambar itu. Kemudian, dia pandang lagi bos. Ini memang gila! Kalau perempuan gedik memang senang dia bagi idea tapi perempuan ini... Tengok gambar sahaja sudah buat dia buntu. Idea apa lagi mahu difikir? Kahwin sajalah!
“Bos, apa kata... Kalau saya cadangkan... bos kahwin saja dengan calon nenek bos ni?” Terus terang Lisa bersuara.
Big boss jeling tajam. Kecut perut Lisa dibuatnya.
“Ramai tau lelaki inginkan calon seperti dia ni sebagai isteri. Tengok muka dia. Putih berseri. Orang macam ni, dia tak perlukan barang kosmetik untuk kelihatan cantik macam ni. Tengoklah, tak ada pun celak mahupun gincu. Ini muka tanpa mekap. Ini menunjukkan dia seorang yang warak...”
“Saya tengok pun saya tahulah dia seorang yang warak tapi saya tak nak perempuan sembarangan jadi isteri saya. Awak faham tak? Sebab tulah saya nak awak fikirkan cara macam mana nak elak semua ni,” tekan Zul Zafri.
“Perempuan sembarangan? Saya tak rasa dia macam perempuan sembarangan...” Sekali lagi Lisa pandang bosnya. Kalau perempuan seperti ini ditolak oleh bosnya, ini bermakna...
Lisa pandang meja makan yang sudah terhidang makanan di atasnya. Dia perhatikan kedudukan meja makan mereka. Jauh daripada pandangan orang ramai. Tempatnya agak tersorok sedikit. Di situ dia sudah buat kesimpulan.
“Jangan-jangan bos memang dah ada kekasih rahsia!” tekanya.
Zul Zafri diam sahaja. Tiada sebarang reaksi pun dengan kata-katanya tadi.
Lisa pandang makanan yang terhidang. Nampak macam sudah lama dihidangkan. Satu lagi kesimpulan dia dapat.
“Kekasih bos tak dapat datang, bukan? Sebab tulah bos panggil saya datang ke restoran mewah ni. Makanan ni dah sejuk. bos dah lama tunggu dia ke? Oh, sweetnya...”
Shut up!” tegas Zul Zafri.
“Okey! Okey!” Terkejut Lisa dibuatnya. Langsung tak boleh dibuat bergurau.
“Okey, itu saja saya nak kata.” Big boss segera bangun.
Lagi lama dia berada di situ, makin banyak rahsianya dikorek. Bekerja dengan novelis cinta macam Lisa ni dia kena banyak berhati-hati. Nanti tiba-tiba dia boleh jadi watak dalam novel cik novelis ini. Lebih teruk lagi, semua orang akan tahu kisah hidupnya dengan Nazurah.
“Bos nak ke mana?” tanya Lisa.
“Balik ofislah. Nak buat apa duduk kat sini lagi?”
“Hah? Habis, makanan ni siapa nak makan?” Lisa tunjuk kedua-dua pinggan yang masih belum terusik.
“Saya belum makan lagi...” Dia buat muka kesian.
Zul Zafri kembali duduk DI kerusinya. Bukan dia kesian dengan muka kesian Lisa tapi tiba-tiba sahaja perutnya kembali berjoget.
“Makanlah...” Zul Zafri berikan arahan.
“Terima kasih bos!” Laju sahaja Lisa capai pisau dan garpu.
“Makanlah perlahan-lahan. Macam tak pernah makan sebulan aje saya tengok,” tegur bosnya.
Lisa tersengih. “Sorry bos. Lapar sangat dah!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan