Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 15 Julai 2016

#SuamiIsteri Part Suami Selepas Deadline

Harga: RM21.00 / RM24.00

“DAH tu, terima ajelah. Apa yang opah mintak tu bukan tak boleh pun kau nak buat, kan? Pejam mata aje boleh terima apa.” Hafidz kemudian gelak-gelak perlahan dengan kata-katanya. Tambah bila Seri jegilkan mata macam nak terkeluar kepadanya atas pilihan ayatnya tadi.
“Nak kena sekeh jugak kau ni kan. Kahwin tu perkara pejam mata aje boleh terima ke?” Seri bersuara geram.
Hafidz ni kalau bercakap, mulut lupa tol! Aci langgar aje tanpa bayar. Nasiblah Genelia tahan.
Hafidz gelak lagi. Puas gelak, dia seriuskan pula muka. “Okeylah, bukan pejam mata aje boleh terima. Tapi, bukak hati aje mesti boleh terima punya. Kau aje yang tak nak bukak. Tutup. Mangga. Gari. Macam mana hati tu nak bukak?”
Seri diamkan diri kali ini. Bila cakap pasal hati yang tak terbuka-buka, macam inilah dia selalunya. Sebab dengan berdiam diri dia lebih selamat.
“Eloklah. Tutup mulut tu macam kau tutup hati kau. Orang nasihat, tak pernah nak dengar. Tu pasal opah merajuk. Dah nak masuk dua minggu ni, alang-alang kau biar ajelah sampai dua bulan. Tak pun dua tahun. Tutup sekali hati kau tu daripada kesiankan orang tua yang entah lama mana aje akan hidup tu,” sembur Hafidz, selamba. Gaya manusia tak ada perasaan pun ada.
Tapi, nak diapakan, kan? Dia tengah cakap dengan manusia tak berperasaan juga. Barulah kena.
“Kau ni kan. Mulut tu makin tua makin tak ada brek. Main taram aje. Semua kau hentam.” Seri marah.
Takkanlah nak suka hati bila Hafidz macam mendoakan ketidaksejahteraan neneknya?
“Aku kerjakan mulut tu baru tau!” ugut Seri sambil acah nak cucuk muka Hafidz yang duduk di depannya dengan pensel yang baru diasah tajam. Memang tercacak eloklah kalau dia cucuk.
“Terima kasih banyak. Tak payah, okey. Bini aku boleh kerjakan mulut aku ni. Macam dia selalu buat.”
Gelak ada makna plus pandangan ada maksud yang Hafidz sampaikan bila tutur kata itu buat Seri yang tak berapa nak faham mulanya, jadi faham. Merenyam betullah Hafidz ni! Tahulah dah kahwin. Asal bercakap saja, mesti nak ada dua makna. 10 tahun jadi suami orang buatkan Hafidz jadi gatal bukan main.
“Kau ni kan! Tak malu ke cakap macam tu dekat aku? Aku tak kahwin lagi, okey. Tak patut sungguh dengar ayat lucah kau tu!” Sengaja Seri hentam Hafidz begitu.
Kemudian gertak pula. “Aku ngadu dengan Lia baru tau!”
Hafidz cebik mulut dan muka.
“Sikit pun tak takut. Lia tu...” Hafidz tak habis cakap, tunjuk gigi.
Sorry. Tak boleh cakap sebab kau tu anak dara lagi, belum kahwin lagi.” Hafidz terus sengih. Nampak sangat apa dia nak cakapkan tadi sebenarnya ada sedikit unsur kelamin.
Muka Seri berubah sikit dengar apa Hafidz kata. Namun, dia sekolahkan balik mukanya ke muka biasa. Muka lali dengan kerenah Hafidz yang makin macam-macam sekarang. Tambah pula lepas dah beranak tiga kini.
Hafidz masih kawan rapat dia sampai sekarang. Kadang, hal dalam kelambu pun Hafidz terlepas cerita dekat dia. Yang paling tak boleh Seri lupa hal Hafidz dan Genelia jumpa doktor kesuburan. Sebiji-sebiji apa doktor itu buat ke atas Hafidz dan Genelia dicerita. Sampaikan muka Seri jadi berwarna-warna dengar cerita itu dan hanya dihentikan selepas Genelia berjaya tutup mulut Hafidz. Kalau tak, entah bilalah Hafidz yang dah tak tahu malu ini akan berhenti.
“Terimalah pinangan tu, Seri.” Dah puas menakal, Hafidz balik pada topik asal yang menimbulkan semua rapuannya sejak tadi.
Pasal Opah Chik yang merajuk sebab Seri tak nak terima pinangan yang diterima kali ini.
Seri diam, main cucuk-cucuk jari dengan mata pensel yang tajam di tangan. Dia tak tahu nak cakap apa, apatah pula macam mana. Jadi, baik tutup mulut saja.
Its been nine years, Seri. Stop pining on him. Stop hoping for him.” Terus Hafidz sentuh topik yang sekian lama dia dan Opah Chik cuba elak daripada cakapkan. Semuanya demi nak jaga hati Seri.
Tapi, kalau dah selama ini dan sampai macam ini Seri punya degil dan tak nak faham, lagi baik dia sentuh kaw-kaw punya. Lantaklah kalau hati Seri rasa sakit atau luka hati. Memang patut pun!
Terus Seri tengok Hafidz dengan garang, tanda sedang marah.
Im not pining on him or hoping for him, Fidz. Its done. Its over. Aku dengan dia dah lama...” Seri geleng kepala tanda dah tak ada apa-apa dengan si dia itu.
“Habis tu, kenapa buat opah merajuk? Kenapa tak nak terima pinangan ketujuh ni?” Hafidz sambung sembur. “Tahun ni kita 35 kut. Kau nak kahwin bila dah menopaus?”
“Eii... mulut kau ni kan!” Geram sangat punya pasal, di luar kawalan diri, Seri campak pensel tajam ke depannya. Aci campak tanpa sempat fikir lanjut.
Tapi, mujur Hafidz sempat fikir kejadian itu mungkin boleh berlaku. Sebab dari tadi Seri duk main-main dengan pensel tajam tersebut. Jadi, terfikir jugalah kemungkinan Seri akan campak ke arahnya sebab geram amat. Sebab itulah Hafidz yang sengetkan badan dan muka sekali gus sempat elak mukanya daripada terkenanya, apabila pensel itu melayang ke situ, melepasi kepala kerusi dia duduki.
Mata Seri yang mulanya terarah ke depan, kepada Hafidz, ikut lepasi kepala kerusi apabila badan Hafidz menyenget ke kanan. Nak elak serangannya. Mujurlah Hafidz cekap. Kalau tak, mahu Hafidz jadi lanun bermata satu. Dan dia pun kenalah soal jawab dengan Genelia, tiga anak mereka dan Opah Chik.
Melepasi kepala kerusi di depannya, mata Seri terus nampak kemeja warna putih dengan padanan blazer royal blue. Dan pensel bermata tajam itu tercucuk ke bahagian perut yang dari sini pun Seri boleh nampak berpetak-petak.
Tercacak elok saja pada abdomen pemilik kemeja putih blazer royal blue itu. Dan, warna merah pun perlahan-lahan mula nampak.
Seri yang tersentak tengok darah mula kelihatan pada abdomen berpetak itu, terhela nafas sendiri tanpa lepas. Apabila dia angkat muka nak tengok siapa yang jadi mangsa pensel tajamnya, dengan sendirinya nafas Seri terlepas diikuti dengan jeritan paling nyaring isi pejabatnya pernah dengar.
Sebab yang sedang berdiri di depannya, berkemeja putih bertompok merah pada perut ketaknya adalah Za’ba Mohd Said!

YES. You hurt me, so you have to nurse me. Takkanlah Hafidz kut!” kata Za’ba selamba sambil buka blazer royal blue pada badan, penuh hati-hati. Mukanya sekejap-sekejap berkerut tanda sedang tahan sakit.
Tapi, Seri yang tengok terasa sungguh suka bila nampak setiap kerut pada muka Za’ba. Dia rasa senang hati sangat. Tapi, senang hati itu terus jadi susah hati bila Seri tengok Za’ba dengan selamba tak malunya duduk di atas sofa tiga rangkai di dalam bilik pengarah kewangan itu dan mula buka butang kemeja putihnya. Satu per satu. Dari atas ke bawah.
Wait! Wait!” Seri halang, siap dengan kedua-dua tangan dikedepankan penuh semangat. Tak bagi Za’ba teruskan apa dia sedang buat.
Za’ba berhenti buka butang kemejanya, sandar badan pada sofa sambil angkat muka tengok Seri dengan sebelah kening terjongket. Ngam-ngam jarinya henti pada butang kemeja keempat.
Seri tengok muka Za’ba. Kemudian mata turun sikit pula, tertengok secara sengaja dada Za’ba yang terbuka tiga butang atasnya. Dan, tiba-tiba jari Za’ba pada butang baju keempat itu mula bergerak nak cabut butang itu juga.
“You buat apa tu?” Spontan Seri terjerit dan tersedar apa dia buat tadi. Tengok dada lelaki bukan muhrim tanpa malu!
“Bukak butang baju untuk sedarkan you yang tengah tengok dada I. I taulah dada I seksi. Tapi, tolong jaga pandangan, okey.” Za’ba kutuk terus. Kemudian terus pula dia buka butang kemejanya serupa itu bukanlah satu kesalahan.
Seri sakit jiwa. Sudahlah dia disuruh jaga pandangan, lepas itu Za’ba dengan gaya tak ada hallah sambung buka butang kemeja semacamlah kalau dia buat begitu Seri boleh nak jaga pandangan. Ternoda dan tergoda pandangan lagi adalah!
“Berhenti nak menyeksikan diri boleh tak?” Seri jerit geram.
Dia palingkan muka ke pintu bilik pengarah kewangan yang sudah pun bertutup elok selepas Hafidz keluar sebab hendak ambil peti kecemasan. Malu nak tengok terus Za’ba yang sikit pun tak malu, buka setiap butang bajunya sampai bawah. Kemudian siap selak baju ke kanan dan kiri lagi, menampakkan bahagian dada dan perut yang fit itu.
Macam mana Seri tahu? Sebab dalam paling-palingkan muka pun Seri curi-curi tengok juga. Serius tak nak sebenarnya tapi ‘ter’ juga. Macam ada magnet saja buat dia tertengok. Hisy!
“Tak payahlah nak buat-buat macam tak pernah tengok, Seri...” ujar Za’ba sambil gelak-gelak, tapi seterusnya mendesah sebab gelaknya menyakitkan perutnya yang ada luka itu.
Ada lubang besar mata pensel kut di situ. Mana tak sakit.
Dengar saja Za’ba cakap begitu terus Seri palingkan muka dan pandang Za’ba dengan muka garang. Rasa nak lempang saja perut Za’ba tepat-tepat pada bahagian lukanya bila dengar lelaki itu cakap tak berlapik macam itu. Mukanya pasti merah. Sebab marah campur malu. Walaupun tak nak rasa malu, tapi Seri tetap terasa. Kalau Za’ba tak lupa, dia apatah lagi!
Namun, Seri sekolahkan mukanya dan pandang tajam lelaki itu, yang tengok dia dengan muka tak bersalah. Macamlah baru cerita pasal dia suka minum kopi satu sudu teh gula saja. Dan, bukan pasal dada dan perutnya yang fit itu.
Bila Seri diam tak balas cakapnya, Za’ba senyum. Dia tahu Seri tak suka dengar apa dia ujarkan tadi. Tapi, suka dialah nak sebut. Dia cakap benda betul kut. Bukan Seri tak pernah tengok dia tanpa baju, inikan pula dia yang begini. Cumanya, mungkin Seri dah lupa.
Namun, bila Za’ba perasankan muka merah yang cuba Seri neutralkan, Za’ba yakin Seri tak lupa. Sebagaimana dia. Walaupun lepas sembilan tahun lebih, mereka masih ingat!
Baru Za’ba nak buka mulut untuk sakat Seri lagi, biar muka itu lagi-lagi merah, ia tak terlaksana apabila tiba-tiba saja pintu bilik pejabat itu dibuka dari luar. Lalu, tubuh lampai Hafidz melangkah masuk sambil bimbit peti kecemasan.
“Dah jumpa.” Hafidz angkat sikit kotak peti kecemasan di tangan kemudian bergerak mendekati sofa tiga rangkai yang Za’ba duduki.
What are you doing?” Za’ba terus tanya bila Hafidz buka peti kecemasan dan ada tanda-tanda nak jadi jururawatnya.
“Nak letak ubat kat luka tulah.” Hafidz kekeliruan. “Ke luka tu dah baik sendiri?”
Perlian Hafidz buat Za’ba merengus. “Kau ingat luka ni sekali Seri tiup boleh terus baik?”
Hafidz tunjuk gigi dengan perlian balik Za’ba. Sebenarnya dia tahu apa Za’ba nak. “Biar aku yang buat.”
“Biar Seri buat. Dia yang buat aku luka macam ni, dialah letak ubat.”
“Aku takut luka kau ni makin teruk dia kerjakan aje. Mana tau dia nak balas dendam sembilan tahun. Bulat kecik ni jadi bulat besar pulak.”
Za’ba tunjuk gigi. Malah, Hafidz pun sama.
Seri yang dari tadi jadi tukang perhati mula hangat hati. Dah macam pasangan kekasih baru jumpa lepas terpisah pula dua makhluk Allah ni. Eii, geli!
“Helo! Dia ada kat sini, okey. Berhenti cakap pasal dia macam dia tak ada kat sini!” Seri hentam dua lelaki itu.
Za’ba alih pandangan, tengok Seri. Tunak dan tajam. “Come here.”
“Memang taklah!” tegas Seri. “You yang tiba-tiba masuk bilik I tanpa ketuk pintu atau bagi salam. Kalau you tak tiba-tiba masuk, pensel tu akan kena pintu dan bukan perut you. So, its not my fault. And, Im not nursing you!”
Za’ba pandang Seri lama dengan serius. Kemudiannya, tiba-tiba dia senyum jongket sebelah. “Kalau macam tu, I akan biarkan luka ni. Kalau tiba-tiba kena infection, jadi makin teruk sampai lagi teruk sakit I, I saman ajelah you.”
Fine. Kalau you pilih untuk mati kena infection pada luka tak seberapa tu... Up to you!” Seri buat muka ada-I-kisah!
Seri terus bangun dari kerusi empuk tetamu di meja kerja di dalam bilik itu, mahu tinggalkan Za’ba. Ingat dia akan kisah pada gertakan Za’ba? Memang Za’ba silap orang!
“Kesian anak I... jadi anak yatim bila I mati sebab kena infection kat luka ni.”
Langkah yang baru Seri nak atur termati setempat mendengar kata-kata itu. Za’ba ada anak? Za’ba sudah berkahwin? Spontan dadanya berdenyut lain macam. Dia tak rasa ia serangan jantung. Tapi, serangan hati. Sakitnya di situ. Tak tertahan rasanya.
Seri sentuh dada sendiri, tarik nafas sambil lepas dengan mata terpejam. Dua kali buat begitu, akhirnya Seri boleh bertenang. Walaupun sakit di situ ada lagi, tapi dia boleh buat biasa apabila alih badan dan tengok Za’ba kembali dengan senyuman paling manis.
“Jangan risau. I akan pastikan dia cepat-cepat dapat ayah baru bila you mampus!” Bercakap begitu, terus Seri kalih badan dan teruskan langkah yang tergendala tadi.
Laju saja Seri keluar dari bilik itu tanpa tunggu respons daripada Za’ba.
Za’ba terlambat bagi respons. Sebabnya ada dua. Satu, dia dah terkejut maut bila lihat senyuman manis Seri. Senyum yang paling menangkap mata dan hatinya. Dulu dan kini masih sama aura senyuman itu. Dan dua, apa yang Seri katakan. Nak cari ayah baru untuk anaknya? Seri memang nak tengok dia mati cepat nampaknya!
So, kau ada anak?”
Pertanyaan Hafidz diiring dengan sentuhan kapas basah pada bahagian perutnya menyedarkan Za’ba. Dia angguk dan terpaksa gigit bibir bawah, tahan sakit bila Hafidz macam sengaja menekan lukanya dengan kapas.
“Berapa?” Hafidz sambung tanya. Kali ini mencuci luka Za’ba dengan Dettol pula. Saja-saja ditekap sungguh-sungguh pada luka Za’ba.
Bila Za’ba tunjuk muka geram nak mengamuk kepadanya, Hafidz angkat dua-dua bahu dan ucap, “Aku tak naklah ada infection. Nanti kena saman bagai pulak.”
Za’ba gigit saja bibir bawah tahan hati. Dia tahu Hafidz sedang balas dendam sembilan tahun bagi pihak Seri. Memang dasar kawan rapat!
“Sorang. Dah masuk darjah satu.” Za’ba jawab juga soalan Hafidz.
“Mmm... Aku dah tiga.” Lepas dah puas godek-godek luka Za’ba dan balutkannya, Hafidz beritahu.
Za’ba angguk. Juga sebagai tanda terima kasih kepada Hafidz.
“Kalau kau kahwin dengan Seri sembilan tahun dulu, mesti anak kau pun tersusun macam aku. Tapi, nasiblah kan. Orang kuat cemburu buta memang selalu melepas!” Hafidz tutup peti kecemasan dengan kuat.
Za’ba kacing gigi. Bergerak-gerak tulang pipinya tanda geram, namun terpaksa sabar. Sebab apa Hafidz cakap ada betulnya. Dia memang lelaki baran yang kuat cemburu buta!
“Jangan kacau Seri kalau kau dah kahwin. Jangan ada cita-cita nak tambah kuota.” Hafidz paut kuat bahu kiri Za’ba yang duduk berjarak di sebelahnya. Bagi amaran.
“Aku tak ada isteri.” Za’ba jongketkan bahunya dengan kasar, menyentak tangan Hafidz dari situ dengan cara itu.
Hafidz angguk. “Seri dah nak bertunang.”
Muka Za’ba berubah. Tunak dia tengok Hafidz. Lelaki itu tergelak.
“Aku tak ada masa nak tipu kau.” Hafidz bangun sambil bimbit peti kecemasan. “Kau dah sia-siakan dia untuk lebih sembilan tahun. Jangan tambah lagi kalau tak nak aku bagi Seri capai apa dia cakap tadi.”
Kali ini Za’ba kerut dahi tanda kurang jelas, ikut berdiri.
“Tolong dia pastikan anak kau dapat ayah baru!” Bernada amaran, Hafidz backhand perut Za’ba tanpa rasa bersalah dan kata, “Chiao!”
Za’ba pegang lukanya yang rasa sakit dan perutnya juga rasa senak akibat pukulan jantan Hafidz. Memang Umar bakal dapat ayah barulah kalau Seri dan Hafidz bekerjasama memastikan kependekan hayatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan