Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 29 Jun 2016

#SuamiIsteri Part Diktator Itu Kamu

Harga: RM21.00 / RM24.00

AKU campak beg ke atas meja kerjaku sebaik sahaja aku sampai di pejabat. Tak sempat nak jeling kiri kanan kerana perut yang sedang memulas ini perlu aku layan terlebih dahulu. Sejak dari dalam kereta tadi lagi aku kesakitan.
Nasib baiklah jalan tak sesak. Berjayalah juga aku memandu dengan laju seolah-olah aku ini isteri Michael Schumacher. Dan nasib baik juga encik bos belum sampai. Kalau dia dah ada di dalam bilik dan buatnya dia nampak aku tadi, jenuhlah aku nak tahan rasa sakit ini.
Okey, selesai. Alhamdulillah!
Aku atur langkah untuk ke meja kerjaku semula. Ada banyak yang perlu kubuat sebelum encik bos sampai. Kalau boleh, aku tak mahu bertembung dengan dia pagi ini. Aku bosan nak tengok muka lelaki itu yang asyik meroyan sekarang.
Dia sangat annoying. Kadang-kadang aku berasa seolah-olah dia seperti sengaja hendak menguji kesabaranku. Seolah-olah sengaja nak bagi darah aku naik hari-hari. Sengaja suka buat aku hangin dengan dia. Sekejap dia marah, sekejap dia tengking aku. Ada masa dia berbisik lembut, tapi selalunya dia lebih suka tinggikan suara.
Ini peristiwa dua hari lepas. Entah apa mimpinya, dia suruh aku pindah masuk duduk di dalam bilik dia. Katanya, senang dia nak suruh aku buat kerja. Sudah tentulah aku bantah. Tak pasal aku nak ikut perintah dia.
Apa masalahnya kalau aku duduk di tempat aku sekarang? Dah setahun aku duduk di luar biliknya. Tak pernah pula aku abaikan kerja yang dia beri. Kalau dia malas nak keluar bilik untuk berikan arahan secara berdepan, dia guna interkom untuk suruh aku buat itu ini. Rasanya, setakat ini kerja aku tip-top. Tak pernah dia terlepas janji temunya dengan klien. Tak pernah aku taip perkara yang tak sepatutnya.
Kerana aku degil dan tak mahu ikut kehendak dia, mulalah dia mengamuk. Ada saja yang tak kena. Ada saja yang hendak dileterinya. Aku simpan marah dalam hati. Aku pesan kepada diri supaya terus bersabar. Kalau ikutkan hati memang aku berasa seperti nak panggil doktor ke pejabat. Nak minta tolong doktor itu scan otak encik bos!
Sehingga waktu makan tengah hari tiba, kelibat encik bos tidak kelihatan. Aku relaks saja. Seronok dengan rasa damai yang sedang kunikmati ini. Kalau dia sudah berada di dalam bilik, biarkan saja dia terus bertapa di situ sampai lepas aku balik kerja nanti. Hehehe. Nakal tak aku?
Sedang aku bersiap-siap nak turun beli nasi bungkus, telefon atas mejaku berbunyi. Linda, si penyambut tetamu menelefonku.
“Cik Liana, ada orang nak jumpa cik di lobi.”
Siapa yang datang? Siapa yang nak jumpa aku? Mak? Tak mungkin. Mak di kampung. Lagipun kalau mak nak datang, mak mesti call aku lebih dulu. Orang lain? Emak-emak saudara? Sepupu sepapat? Kawan-kawan lama? Alahai, daripada asyik menyoal diri lebih baik aku tengok sendiri siapa orangnya.
Entah kenapa hari ini ramai pula orang yang naik turun lif. Dekat lima minit, aku ambil keputusan untuk turun guna tangga tingkat tiga. Jadi, aku sedikit mencungap ketika tiba di lobi. Aku pandang Linda, dia tunjuk ke kiri. Di atas sofa, ada seseorang sedang melayan telefon pintarnya. Dialah yang mahu jumpa denganku.
Hati berdebar dan tertanya-tanya siapakah dia. Namun, saat dia mendongak dan pandangan kami bersabung, aku terpegun. Bulat sepasang mataku. Bibir laju mengorak senyum. “Kau? Kau yang nak jumpa aku?” Hati tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh ada di sini. Yang paling penting, bagaimana dia boleh tahu ini tempat kerja aku?
Dia terus melarik senyum. Dia berdiri dan kini pantas gerakannya mendekat, menghentikan langkah yang kuatur. Kini dia berdiri betul-betul di hadapanku.
“Hai sayang. Missed me?”
Sapaannya sedikit mengejutkanku. Sayang? Dia panggil aku sayang?
“Gila ke apa panggil aku sayang?”
Seperti waktu-waktu dulu, sedikit pun dia tak terkesan dengan kemarahanku. Malah kini, dia sedang melambakkan tawanya.
“Jangan cakap kau tak rindukan aku, sayang!”
Eee, sayang lagi tu!
Stop! Jangan ngada-ngada nak panggil aku sayang, ya! Dan satu lagi, apasal pula aku nak rindukan kau?” marahku. Aku muncungkan mulut tanda geram kepada dia.
“Alah, sampai hati kau tak rindu pada aku?” Dia garu kulit kepala sambil pamer muka sedih.
“Alah!” Aku ajuk dia. Mukaku sengaja aku masamkan.
Dia ketawa. Ketawa yang berjangkit kepadaku. Yang mengingatkan aku pada masa-masa lalu kami berdua.
“Zakri?”
Suara keras itu buat aku terkejut kali kedua. Spontan aku pusing 180 darjah. Whoa, encik bos sedang cekak pinggang. Renungan mata dia tajam macam nak tikam pemilik nama Zakri itu. Tapi, bagaimana encik bos boleh ada di sini? Dia ikut aku ke tadi? 
Belum sempat aku nak cari jawapan untuk soalan itu, sekali lagi aku dikejutkan. Kali ini oleh tindakan Zakri yang selamba letak tangan dia atas bahu aku. Akibatnya, aku dongak dan tertengok muka encik bos. Dah tentulah muka ketat dia yang aku nampak.
“Turunkan tangan kamu tu, Zek.”
Arahan encik bos buat aku tersedar. Pantas saja tangan aku cuba menolak tangan Zakri, tapi kenapa pula tangan kawan baik aku masa belajar di UiTM Shah Alam dulu, dah jadi macam sotong kurita? Nampak macam nak kena karate dah ni!
“Sayang, kenapa macam tak biasa aje?” Zakri cakap kuat-kuat sambil sengih kepada aku.
“Kau ni dah kenapa, Zek? Kena rasuk? Macam tak tahu yang aku memang tak biasa, tak pernah dipegang-pegang macam ni. Cepat turunkan tangan kau kalau tak nak kena sepak dengan aku.” Aku jegilkan mata bersama amaran perlahan yang meniti bibir.
“Shhh! Relakslah. Sekejap aje.”
Aku tetap tolak tangan Zakri. Tetap tolak dia jauh-jauh. Mamat tak cukup akal betul dia tu. Berani dia pegang-pegang aku?
Tiba-tiba Encik Zariel tarik tangan aku supaya aku jauh daripada Zakri. Namun, matanya hanya kepada kawan baik aku itu. Isy, risau pula rasa. Buatnya dia hilang sabar dan pukul Zakri, macam mana?
“Apa hal kamu ni, Zek? Buat perangai tak senonoh di lobi ofis along? Nak malukan along ke?”
“Along?” Aku toleh tengok Zakri. Kemudian mataku tertancap kepada encik bos. Lama. Menanti jawapan mereka.
Yes, dear. Your boss is my along. Abang sulung aku ni.” Akhirnya Zakri yang membuka mulutnya.
“Aku tak tahu pun.” Aku mendesah.
What? Jangan bagi tahu aku yang bos kau ni tak pernah sebut nama aku depan kau?”
Aku geleng. “Tak pernah.”
Zakri pandang muka along dia. “Kenapa? Kan Zek suruh along beritahu Liana yang kita berdua adik-beradik?”
“Ini pejabat siapa?” Encik bos keluar suara tegas.
“Pejabat alonglah. Pejabat siapa lagi?” Zakri menjawab. Malas.
“Jadi, suka hati alonglah nak buat apa pun, kan?”
Zakri terdiam.
Aku juih bibir. Kepala kugeleng. Cis! Rupa-rupanya, selama ini encik bos tahu aku kawan baik Zakri, tapi dia sengaja tak beritahu aku hubungan mereka berdua. Kenapa? Rasa-rasanya aku tahu apa alasannya. Tentulah supaya dia boleh buli aku. Dia sengaja nak menganiaya kawan baik adik dia. Yang sadisnya, bila aku pandang muka dia, boleh pula dia angkat bahu? Lelaki hipokrit betul!
“Kamu datang sini sebab apa, Zek?” soal encik bos. Keras.
“Nak ajak along lunchlah!”
“Habis tu? Yang duk sembang tak berhenti-henti lagi tu pasal apa?”
“Sekejaplah, along. Zek baru jumpa budak ni balik. Rindu!”
Buntang mataku mendengar jawapan Zakri. Bersahaja dia cakap rindukan aku kepada encik bos. Dia tak nampak air muka encik bos dah berubah?
“Sampai bila nak bersembang? Tak lapar lagi ke?”
Encik bos tanya adik dia, tapi matanya tajam tengok aku. Apa ke halnya nak marah-marah? Memang aku tak faham betullah dengan perangai lelaki ini.
“Okey, okey! Jom, Na! Jom ikut kami.”
“Pergi mana?” Aku tanya Zakri.
Lunch.”
Jawapan Zakri menyebabkan aku dongak tengok muka encik bos. Mengharap dia juga turut mengajakku.
“Apa tengok-tengok?” Dia jegil mata kepadaku.
Aku buat muka tak tahu malu. “Bos nak ajak saya ikut sekali atau bos dengan Zakri aje?”
Kenalah tahu, kan? Nanti buatnya dia marah dan tuduh aku kacau daun, aku juga yang akan makan hati. Lagi satu, kalau dia sudi benarkan aku ikut, aku perlu tahu dia nak bawa kami makan di mana. Kalau di hotel lima bintang, aku tak nak pergi. Bukan apa, perangai encik bos ni aku tak boleh nak agak. Katalah dia suruh aku bayar harga makanan aku sendiri, mana aku nak cekau duit?
“Saya nak bawa Zakri ke Marriot.”
“Marriot, bos? Kalau macam tu, tak apalah. Saya tapau nasi bungkus kat gerai Mak Jah ajelah, bos.”
“Jangan mengada-ada. Ikut aje kita orang. Kalau along tak nak belanja, aku boleh bayarkan untuk kau. Dah, jangan banyak fikir. Jom!” Dengan kata-katanya itu, Zakri tarik tangan aku dan aku tak ada pilihan selain mengikut.
Menoleh ke belakang, aku dapat lihat muka masam encik bos. Dia marah ke?

NAK makan pun dah tak selera. Mana mungkin laju nak mengunyah kalau duduk depan encik bos yang serius mukanya. Sementara di sebelahku, encik selamba yang juga adik encik bos sedang buat perangai luar jangka. 
Memang janggal situasi ini. Zakri yang aku kenal dulu bukan begini perangainya. Ya, aku kawan baik dia. Namun, itulah saja hubungan kami. Aku tolong siapkan assignment dia. Aku tolong kenenkan dia kepada gadis-gadis yang dia berkenan. Aku tolong selesaikan masalah yang dia hadapi.
Dalam setiap keadaan aku hanyalah Liana, bukan sayang atau dear, istilah-istilah yang sedang meniti laju pada bibirnya sejak kami jumpa tadi. Apa dah jadi? Takkanlah Zakri anggap aku ini kekasih dia pula?
Dear, lepas ni aku hantar kau balik ya.”
Zakri buat lagi. Rasanya dah banyak kali dia panggil aku begitu dan setiap kali itulah Encik Zariel tengok aku macam nak telan. Macam sekarang. Rahangnya bergerak-gerak, weh! Dia sedang tahan marah, cuma aku tak faham kenapa dia marah. Mungkinkah dia tak sudi aku jadi adik iparnya? Aha, jom kita test tengok!
“Zek darling, kejap lagi pukul 2.00. Waktu kerja aku sampai ke pukul 5.00 petang nanti, tahu?” Sengaja suara kualun lembut dan manja.
“Alamak, lupa pula. Tak apa, kita balik pejabat dulu. Sementara tunggu kau, aku boleh tidur dalam ofis along.”
“Siapa izinkan?”
Tu dia! Encik bos dah nak naik hantu.
“Alah, along. Tak payah Zek nak minta izin. Along hutang setahun lebih dengan Zek sebab tak beritahu Liana yang along tu abang sulung Zek.”
Tak sempat encik bos nak jawab, aku laju mencelah. “Idea kau memang terbaiklah, Zek. Aku setuju sangat kalau kau tunggu aku. Nanti lepas habis kerja bolehlah kita jalan-jalan, ek.”
Set! Kau nak ke mana?” Zakri tanya aku.
“Kita lepak-lepak dekat Bukit Bintang, nak?” Mulut tanya Zakri, tapi mata tengok si dia di hadapan. Sukanya tengok muka kelat dia.
“Along, kenapa masam aje muka tu?”
“Tak ada apalah.”
Yalah tu. Tak ada apa-apa konon.
“Kalau along nak join kita orang sekali, jomlah. The more the merrier. Kan, Na?”
Yalah sangat. The more the merrier, konon. Zakri lupa gamaknya. Lagi ramai, lagi menyemak!
“Zek, tak naklah ajak bos. Kau ni saja tau nak spoilkan mood aku.” Aku harapkan encik bos dengar dan berasa kecil hati lantas menolak pelawaan adiknya. Malangnya, lain yang jadi.
“Okey, sebab kamu ajak along sekali, along benarkan kamu golek-golek dalam bilik along.”
“Err, bos. Bos nak ikut juga?”
Dia tengok aku kemudian dia senyum. Dia angguk, memberi isyarat bahawa dia nekad mahu bersama kami.
Eee, bencilah orang tua ni. Menyibuk sungguh! 
Yang hairannya, Encik Zariel tak pandu balik ke pejabat. Sebaliknya dia memandu masuk ke pusat bandar raya.
“Kita nak ke mana ni, along?” Zakri tanya.
“Kata nak lepak-lepak di KL? Jadi, along nak bawa kau orang ke KLCC. Along tak suka Bukit Bintang. Bising dan bingit. Cukuplah tiap-tiap hari along dengar suara orang tu asyik pot-pet, pot-pet kat ofis. Along nak suasana yang tenang sikit.”
Geramnya! Geram betul kepada dia. Sehari kalau dia tak kutuk aku, memang bukan encik bos akulah dia tu! Semakin menyakitkan hati apabila tengok Zakri bukan main seronok ketawakan aku.
Aku diam sepanjang perjalanan. Bukan apa, sebenarnya aku serba salah. Jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Kira ponteng dah ni. Nanti kalau dia potong gaji aku, macam mana?
“Bos...”
Dia tengok aku melalui cermin pandang belakang. 
“Saya ni tak dikira ponteng, kan? Sebab saya tengah entertain tetamu. Betul tak?”
Oh, shut up!” Encik Zariel ketap bibir lepas tengking aku.
Zakri menyengih. Suka tengok aku kena marah gamaknya.
Selepas lima minit encik bos kembali bersuara. “Hari ini aje. Lain kali saya potong gaji awak. 10 ringgit sejam.”
Bulat mata aku, namun aku diam, tak berani nak jawab. Bimbang kadar itu akan ditambah kalau aku dianggap melawannya. 

Sampai di KLCC, Encik Zariel hilang. Aku yakin dia ke surau sebab setahu aku dia seorang yang sentiasa solat di awal waktu. Sekarang pun dah kira lewat bagi dia. Aku? Aku uzur. Hari ini hari keempat. Tapi, kawan aku yang seorang ni? Takkan uzur juga kut?
“Zek, kau tak ikut along kau pergi solat ke?” tanyaku. Berpesan dan menegur demi kebaikan. 
“Kejap lagilah.”
Aku cebik. “Jangan cakap aku tak ingatkan kau.”
Zakri sengih. “Seronok kerja dengan abang aku?” 
Sengaja mengubah topiklah tu!
“Mestilah. Dia baik.” Mana boleh kutuk-kutuk encik bos. Berdosa.
“Baik? Bukan garang? Bukan macam singa lapar?”
Aku tergelak mendengar soalan Zakri. Tak payah sahut pun aku yakin dia mengerti dan dia tentu lebih kenal abangnya itu. 
“Kau kan adik dia? Macam tak tahu perangai abang sendiri,” komenku.
Zakri pula yang gelak. “Mesti kau selalu kena buli dengan dia, kan?”
“Tahu tak apa!”
Aku dah tersengih.
“Musykil betullah. Kenapa dia tak beritahu kau tentang aku?” Zakri dah mula garu kulit kepalanya. Berfikirlah konon!
“Kalau dia beritahu tentu dia tak boleh nak buli aku, Zek.”
Kepala Zakri terangguk-angguk. “Betullah tu agaknya.”
“Apa pula tak betulnya, Zek? Kau jangan nak bela along kau tu ya.”
Zakri mengekek. “Entah mengapa kan, Na. Aku rasa seronok tengok kau orang berdua. Along aku dengan kau, memang perangai lain sangat. Macam langit dengan bumi. Mungkin sebab perangai kau orang lain-lain, tu yang kau dengan along ada chemistry. Betul tak cakap aku?”
“Eee, jangan sebut macam tu ya! Ada chemistry apanya?” bentakku. Melampau betullah Zakri ni. Sampai hati dia cakap begitu tentang kami.
“Zek, kau ni pelik. Gaya cakap macam nak kenenkan aku dengan along kau, tapi tadi bukan main kau panggil aku sayanglah, dearlah. Siap pegang tangan aku lagi. Apa hal tu?” marahku.
Zakri tengok aku. Senyum. 
“Apa senyum-senyum?”
“Weh, jangan perasanlah. Aku cuma nak buat along cemburu aje.”
Dahiku sudah berkerut. “Cemburu? Pada siapa?”
“Cemburukan akulah.”
Lagilah aku tak faham. “Kenapa nak cemburukan kau?”
Zakri gelak. Bukan main kuat lagi. Dia sengaja membingungkan aku. “Shhh, along datang.”
Alahai, potong betullah. Kenapalah waktu aku mahukan jawapan daripada Zakri, masa ini juga dia sampai? Tak bolehkah dia duduk lama-lama sikit di dalam surau? Wirid kasi panjang! Tak boleh?
Aku pandang arah yang Zakri tunjuk. Tentulah mata melekat tak mahu kalih. Habis, kalau dah nampak spesies sempurna macam encik bos tu, gadis mana yang nak toleh ke lain? 
“Dia tu... Susah kan nak buat dia gelak?” 
Aku angguk. Setuju sangat dengan kata-kata Zakri.
“Dia selalu marah kau?”
Aku gelak. “Diktator tu?”
Kening Zakri terjongket. “Diktator?”
“Ya. Dia tu diktator. D.I.K.T.A.T.O.R. Diktator.” Aku siap eja sekali.
“Siapa diktator?” Ada suara yang lebih garau menyampuk.
Kerana aku terkejut dengar suara dia, laju dan melengking kuat aku beritahu semua orang. “Diktator itu kamu!”
What? Liana?”
Oh, Tuhan! Apa yang aku dah buat ni? Apa yang aku dah sebut? Dan, kenapa Zakri ketawa? Sungguh, aku tak berani nak tengok muka Encik Zariel dah. Kecut!

MATA ini tak mahu pejam. Aku pusing ke kanan, aku pusing ke kiri tetap juga mata ini enggan tutup. Otak pula masih lagi ingat pada kejadian yang memalukan siang tadi. Nampaknya, selagi aku tak tahu keadaan encik bos, tak tidurlah aku nanti. Jadi, aku harus tanyakan tentang dia kepada Zakri. 

Zek, abang kau okey tak? Dia marah lagi ke?

Dah hampir 10 minit selepas aku mesej dia, namun Zakri masih bisu. Lama betul nak tunggu jawapannya. Macam susah sangat nak cerita tentang keadaan abang dia. Bukannya aku suruh dia buat apa pun. Aku cuma nak minta tolong dia tengok apa yang diktator itu sedang buat sekarang. Tak pun, tolong dengar apa diktator itu merapu kepada dia.
Nak ulang tayang sekejap. Selepas aku melatah tadi, lelaki itu terus berpusing lalu meluru ke tempat parkir kereta. Jenuh aku dengan Zakri berlari mengekori dari belakang, bimbang dia tinggalkan kami terkontang-kanting berdua.
Sambil berlari sempat lagi Zakri gelakkan aku. Zakri cakap mulut aku celopar sangat. Berani benar kutuk-kutuk abang dia. Isy, aku tak kutuklah. Aku cuma sebut encik bos itu diktator. Takkan itu pun boleh buat Encik Zariel marah?
Di dalam kereta tadi, langsung dia tak pandang aku. Sampai depan rumah aku dan waktu aku turun, dia tetap tak toleh pun. Aku terasa hati jugalah, tapi nak buat macam mana. Memang aku nak minta maaf, tapi aku rasa lebih baik aku tunda dulu. Dengan muka tegang dia tu sudah tentu dia tak akan maafkan aku.
Lagipun, esok masih ada, kan? Kalau panjang umurlah. Kalau tidak kenalah aku wasiatkan kepada mak supaya mak berikan jurnal yang aku tulis kepada encik bos. Biar dia baca dan fahami kenapa aku gelar dia begitu.
Tiba-tiba telefon bergegar. Hah, baru dia nak mesej aku ya? Budak Zakri ni memang nak kena.

Esok pastikan semua fail ada atas meja saya sebelum pukul 7.30 pagi. Lewat aje, awak tahulah nasib awak nanti. - Diktator Zariel.

Seperti selalu, encik bos berjaya buat mataku terkebil-kebil. Berjaya buat hati aku macam nak melompat keluar. Berjaya buat aku rasa macam nak ambil MC esok.
 Uwaaa, dia lupa ke yang kereta aku ada di pejabat? Kan tadi dia yang hantar aku balik? Tak boleh jadi ni. Aku kena minta Zakri tolong aku. Jadi, laju jari-jemariku menekan aksara. Butang send aku tekan.

Zek, diktator Zariel meroyan kat aku. Dia nak buat sesuatu pada aku kalau aku tak sampai ofis pukul 7.30 pagi. Kau ambil aku eh!

Tak sempat nak kelipkan mata Zakri membalas.

Dia nak buat apa?

Alahai, slowlah kawan baik aku yang seorang ni. Tak apa, aku bagi statement dramatik sikit. 

Dia nak... rog... aku.

Kelakar, kan? Aku pun dah gelak besar ni. Tak sabar nak tunggu jawapan Zakri. Rasa-rasa, tentu dia pun tengah mengekek tu. Tapi, dekat 10 minit dah ni. Kenapa Zakri diam saja? Err, entah-entah dia pergi tumbuk abang dia tak?
Ketawaku semakin kuat. Tak boleh nak bayangkan Zakri tumbuk muka Encik Zariel. Tak tergambarkan bagaimana keadaan lelaki itu masuk ke pejabat dengan meletakkan sapu tangan pada muka untuk menutup bahagian-bahagian yang lebam.
Wah, kalau ada kesempatan bolehlah aku snap gambar encik bos. Boleh gelak-gelak bila tengok dengan Izi malam esok. 
Satu pesanan masuk. Teruja sungguh nak baca apa Zakri tulis.

Pastikan saya tak nampak kelibat awak esok. Kalau tidak saya tak janji yang saya tak akan, rog... awak. - Diktator Zariel yang sado.

Giler kentang! Kenapa dia yang balas mesej aku? Kenapa dia yang... 
Mak! Aku yang salah. Aku hantar mesej kepada dia, bukan kepada Zakri. Oh, Tuhan, tolong aku. Tolong!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan