Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 1

ALFIRA tenang memerhatikan suami dan anak gadis kesayangannya yang sedang membasuh kereta. Sesekali Alfira tersenyum melihat telatah mereka. Kedua-dua beranak itu memang amat rapat antara satu sama lain.
“Sudahlah tu, mari makan. Dah sejuk pun cucur cempedak ni,” panggil Alfira kepada suami dan anak gadisnya.
Merekalah permata hatinya. Seorang amat dicintai dan seorang lagi amat dikasihinya.
“Kejaplah umi...” Manja suara itu menjawab.
Anak gadis yang diberi nama Ara Adalea itu lantas membasuh tangan. Mengambil tempat di sisi uminya. Dia mencubit sedikit cucur cempedak itu. Ermm, sedap, desis hatinya. Laju sahaja mulutnya mengunyah. Selepas satu ulas, satu ulas cucur cempedak itu memasuki mulutnya.
Haris dan Alfira senyum memandang telatah satu-satunya permata hati mereka.
“Sedaplah sayang,” puji Haris kepada isterinya. Menghadiahkan senyuman kepada Alfira.
Alfira membalasnya.
“Gelilah... Nak beromantik pula kat sini. Sedar sikit anak dara sunti umi dengan abah ada kat depan ni,” kata Ara Adalea sambil mencebikkan bibir.
Dia bangun, melangkah masuk ke dalam rumah. Memberi peluang kepada umi dan abahnya bermesra. Ara Adalea menghempas badan kecilnya di atas tilam, mahu melayan tidur.

“FIRA tak rindu dengan bonda ke?” tanya Haris tiba-tiba. Itu pun setelah dia memastikan Ara Adalea sudah menghilang ke dalam rumah. Haris merenung kasih ke arah Alfira.
“Anak mana yang tak ingat bondanya? Tapi, bonda dah buang Fira. Nak buat macam mana. Tak apalah, mungkin suatu hari nanti bonda dapat memaafkan kesalahan kita kepada dia.” Sayu Alfira bersuara.
Dia pasrah andai sampai bila-bila bonda tidak dapat memaafkan dia. Allah itu Maha Kuasa. Demi sebuah kehidupan yang Alfira pasti bahagia, dia rela dibenci bonda. Maaf bonda, andai anakmu ini menderhaka, desis hatinya.
Tapi, anakmu ini pasti dengan pilihannya. Buktinya sudah 21 tahun dia melayari perkahwinan. Namun, mungkin Allah sudah membalas atas perbuatannya kepada bonda kerana baru 14 tahun merasa nikmat menjadi ibu. Alhamdulillah Ara Adalea anak yang baik.
Alfira mengesat air mata yang menitis. Haris menarik jemari Alfira lantas menciuminya.
“Fira nak balik jumpa bonda?” tanya Haris lagi.
Dia juga ingin memohon ampun atas semua yang berlaku. Sedar akan kekhilafan mereka membelakangkan orang tua hanya kerana cinta.
“Eh, boleh ke? Abang tak takut kita kena halau lagi ke?” tanyanya hairan.
Haris mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Belum cuba belum tahu. Ahad depan kita balik Penang,” usul Haris.
Dia mengukirkan senyuman lagi kepada isterinya. Dia tahu walau sekeras mana pun hati seorang ibu, tentu tidak sanggup membuang anaknya.
“Tapi, Ara tak boleh ikutlah. Dia kena berlatih debat. Next month dah competition,” balas Alfira agak kecewa.
Dia mahu Ara Adalea mengenali siapa datuk dan neneknya. Siapa keturunannya. Kalau boleh dia memang mahu mereka semua tahu kewujudan Ara Adalea.
“Tak apa, kita balik dulu tengok macam mana penerimaan bonda. Nanti kalau apa-apa yang terjadi, tak adalah Ara terkejut. Sudahlah sebelum ini dia tahu dia punya nenek,” kata Haris.
Terangguk-angguk Alfira dengan kata-kata suaminya. Bonda, Fira dan Haris mahu pulang bertemu bonda. Hatinya berlagu gembira. Sudah terbayang di depan mata wajah bonda dan abah. Rindunya...

“PELIKLAH. Kenapa Ara tengok umi dengan abah teruja semacam aje? Macam nak pergi dating,” kata Ara Adalea hairan.
Ketika itu mereka baru tiba di sekolah. Ara Adalea sudah menggalas beg di belakangnya.
“Rahsia. Malam nanti baru tahu,” bisik Haris di telinga Ara Adalea ketika Ara Adalea sudah mencium tangannya.
“Ha... ha... Nak dapat adik baru...” Ara Adalea sudah terjerit-jerit.
Tergeleng kepala Alfira dan Haris melihat Ara Adalea segembira itu. Malam nanti baru berita gembira itu akan diberitahu. Insya-Allah.
Lama ketiga-tiga beranak itu berpelukan. Pipi anak gadis kesayangan dikucup lama.
“Ara sayang umi dan abah,” kata Ara Adalea sambil mengucup pipi kedua-duanya berselang-seli. Begitulah dia setiap hari.
“Umi dengan abah tahu,” kata Alfira lagi sambil merenung anaknya itu.
“Tapi, Ara nak cakap juga kat umi dengan abah. Ara tak akan jemu ucap Ara sayang umi dan abah,” katanya seraya mengukirkan senyuman manis.
“Yalah... Loves Ara too,” kata Haris pula.
Lama Ara Adalea memeluk kedua-dua orang tuanya, kemudian menghantar kereta Perodua Alza itu sehingga hilang daripada pandangan matanya. Lambaian tangan mereka dibalas gembira. Dia segera melangkah ke dalam kawasan sekolahnya. Kelihatan dua tiga orang kawan debatnya sudah menanti. Mereka terus berjalan menuju ke bilik guru.
Apa agaknya berita gembira itu? Jauh di sudut hati, Ara Adalea agak tekaannya sebentar tadi benar. Sudah terbayang di depan mata ada adik kecil yang berlarian, tak kira lelaki atau perempuan. Ada juga teman untuk bermain. Dia cemburu melihat teman-teman lain yang sentiasa bercerita tentang adik-adik mereka.

SELESAI berlatih Ara Adalea pulang ke rumah dengan menaiki bas. Rumah yang masih berkunci menandakan umi dan abahnya belum pulang. Ke mana agaknya mereka? Ah! Nanti tentu mereka akan pulang. Yang penting layan tidur dulu. Nantilah telefon mereka, desis hati kecilnya.
Baru sahaja ingin melayari mimpi dia dikejutkan dengan suara orang yang memberi salam. Bergegas Ara Adalea berlari keluar dari dalam biliknya. Kelihatan ada dua orang anggota polis dan jiran sebelah yang dikenali sebagai Pak Ahmad.
“Ada apa pak cik?” Bergetar suaranya bertanya. Hatinya sudah terasa ada sesuatu. Tambahan lagi dengan adanya pegawai polis di sisi Pak Ahmad.
“Adalea sabar ya... Umi dan abah Adalea kemalangan...” Terhenti kata-kata Pak Ahmad apabila melihat Ara Adalea sudah menangis. Dia terduduk di depan pagar rumah.
“Mereka meninggal dalam perjalanan ke hospital,” salah seorang anggota polis itu bersuara.
Ara Adalea yang sedang menangis tadi sudah diam tak bersuara. Pengsan.
Mujurlah Pak Ahmad sempat menyambut tubuh kecil Ara Adalea daripada terlentang. Isteri Pak Ahmad yang baru tiba segera menghampiri Ara Adalea dan suaminya. Mereka mengangkat tubuh kecil itu ke dalam rumah. Meletakkan Ara Adalea di atas kusyen di ruang depan rumah itu.

 SUARA orang membaca Surah Yasin mengejutkan Ara Adalea. Perlahan-lahan dia bangun, melangkah keluar dari biliknya. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh ada di dalam bilik. Ada seorang wanita menemaninya.
Ara Adalea tidak mahu mengambil tahu siapa wanita itu. Kerana dia memang tidak ingat siapakah mengenali wanita tersebut. Dia hanya ingin melihat jenazah kedua-dua orang tuanya. Dia memandang ke arah jenazah yang sudah siap dikafankan itu.
Semua yang sedang membaca Yasin memberi ruang kepada Ara Adalea mendekati jenazah umi dan abahnya. Perlahan-lahan Ara Adalea menunduk. Mencium pipi kedua-duanya. Wajah pucat kedua-duanya dipandang sayu. Umi dan abahnya bagaikan sedang tidur. Wajah mereka tidak terusik biarpun mereka meninggal kerana kemalangan kereta.
“Sabarlah ya, Ara... Allah lebih sayangkan mereka.” Seorang wanita separuh umur bersuara.
Ara Adalea kenal semua yang ada di dalam rumah itu.
“Ara dah hilang semuanya, mak cik. Ara dah tak ada siapa-siapa lagi.” Lirih Ara Adalea bersuara.
Semua yang mendengar mengalirkan air mata. Selama mengenali kedua-dua orang guru itu, tiada seorang pun saudara-mara melawat, biarpun musim perayaan. Mereka sebatang kara. Masing-masing anak yatim.
Ara Adalea mencapai Surah Yasin yang berada tidak jauh daripadanya. Ingin menghadiahkan ayat-ayat al-Quran itu untuk kedua-duanya. Semua orang di dalam rumah sedih mendengar bacaan Yasin Ara Adalea. Meruntun hati siapa sahaja yang mendengar bacaan yang diringi dengan esakan kecil itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan