Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 7

ARA ADALEA berlari keluar dari biliknya dengan membawa kotak kasut berwarna coklat itu, berjenama Bonia, mencari mamanya. Sufi ketika itu sedang membancuh minuman.
“Terima kasih mama sebab bagi kasut ni. Tapi, birthday Ara dua hari lagi. Awal sangatlah mama,” ucap Ara Adalea memeluk kasut itu. Dia memang berkenankan kasut itu.
Sufi pula terpinga-pinga. Bila masa pula dia bagi hadiah? Tahun ini memang dia tak akan memberi hadiah. Hadiah tahun ini adalah yang paling hebat antara semua hadiah. Dia akan menyerahkan amanah yang dijaga sejak sekian lama. Dia rasa tidak sabar.
“Mama tak beli pun,” nafi Sufi. Bersungguh-sungguh.
“Mama tipu Ara. Ara dah tengok kasut ni. Mahal sangat, sebab tu Ara tak beli,” kata Ara Adalea sambil tangannya masih membelek-belek kasut itu. Dia memang suka dengan rekaan kasut ini. Tidak terlalu tinggi tumitnya.
“Betul, sayang, mama tak beli,” katanya lagi. Dia juga tidak tahu apa-apa. Dia hanya memandang sahaja kasut yang ditunjukkan oleh Ara Adalea.
Ara Adalea melihat kesungguhan yang ada pada wajah Sufi. Isy... takkanlah. Telefon Ery dulu, desis hatinya. Nombor Hairi ditekan. Dia terus bertanya apabila Hairi sudah menjawab panggilannya.
“Kau ada hadiahkan aku kasut ke?” Ara Adalea berharap benar. Walaupun dia tahu Hairi mana mahu membeli hadiah semahal ini.
“Taklah. Birthday sayang kan lagi dua hari. Lagipun rasanya tahun ni tak nak bagi present. Kan dah beli sandal dua minggu lepas? Jadilah tu.” Sudah terang-terang bukan Hairi yang hadiahkan.
“Saja aje tanya. Tak apalah kalau macam tu. Chow,” kata Ara Adalea, menggaru kepalanya. Mana mungkin?
Ara Adalea meletakkan telefon di atas meja makan. Dengan pantas dia melangkah keluar dari dapur. Melangkaui tiga anak tangga sekali gus. Dah sah memang si tenuk. Dua minggu lepas mereka bergaduh pasal kasut dan jika dia tidak silap dia ada mendengar Adif Ashman mahu membelikannya kasut. Sebab kasut yang dibeli Hairi katanya murah.
Entah mengapa Ara Adalea menjadi marah. Pintu bilik Adif Ashman ditolak kasar.
Adif Ashman yang baru keluar dari bilik air memandang terkejut. Tak semena-mena Ara Adalea ada di dalam biliknya. Apa hal pula ni? Dengan muka selamba Adif Ashman bergerak ke arah Ara Adalea.
Ara Adalea menelan liur. Terkejut kerana Adif Ashman cuma bertuala. Cepat-cepat pula Ara Adalea memusingkan badan, memandang ke arah dinding di tepinya. Malu melihat Adif Ashman yang tidak berbaju.
Adif Ashman senyum nakal. Tahu pula malu tengok dia tidak berbaju. Menyerbu masuk bilik orang tak malu pula.
“Ni kau yang bagi ke?” Ara Adalea menunjukkan kotak kasut. Wajahnya masih menghadap dinding.
“Yalah... Kan aku dah janji nak belikan kasut untuk kau? Cantik kan choice aku?” kata Adif Ashman mula menghampiri Ara Adalea yang kelihatan gugup. Ingin mengusik.
Kalau bergaduh, suara bagai halilintar tak malu pula. Suara pun aurat perempuan. Tapi, bila baju pun tak cukup kain, nak aurat apa lagi suaranya itu?
“Aku tak... tak nak.” Tergagap-gagap Ara Adalea bersuara.
Aroma wangian mandian Adif Ashman semakin dekat. Ara Adalea memejamkan mata. Takut diperlakukan sesuatu. Adif Ashman yang sudah hampir menggeselkan bahu di pipi Ara Adalea. Ara Adalea menggigil. Mahu melarikan diri, tapi dia tidak tahu arah mana. Hendak membuka mata, takut pula.
Lantas dia berlari secara rambang, matanya masih dipejam. Buk!!! Tubuh kecil Ara Adalea tersungkur menyembah karpet buatan mana entah. Lembut sangat. Kepalanya terlanggar tiang katil. Dia membuka mata. Aduh! Macam mana boleh lari ke sini pula? Dah makin jauh dari pintu.
Adif Ashman melambakkan tawanya. Menekan-nekan perut. Tak tertahan kelucuan. Ada benda yang ditakuti rupanya.
Habislah kosong perangai singa aku, gerutu hati Ara Adalea. Dia menggosokkan keningnya. Macam manalah aku boleh dapat idea nak lari sambil pejam mata? Bodohnya aku.
“Sakit?” tanya Adif Ashman dengan tawa yang masih bersisa. Dia cuba menolong Ara Adalea untuk bangun, tapi tangannya ditepis kasar.
“Kasarnya. Nak lagi?” Adif Ashman mengunjukkan bahunya sambil tersenyum sinis.
Ara Adalea terus bangun, ingin segera keluar dari bilik yang nyata amat panas baginya. Aircond di dalam bilik itu tidak mampu menyejukkan dirinya. Kotak dan kasut yang berselerak ditinggalkan.
Adif Ashman ketawa lagi dengan sikap kelam-kabut Ara Adalea. Kotak dan kasut itu diambil. Dimasukkan semula kasut itu ke dalam kotak tersebut dan diletakkan di atas katil.
Selepas pulang dari tempat kerja tadi, dia ke Pacific untuk membeli kasut jenama Bonia itu. Dia terasa ingin menghadiahkan Ara Adalea kasut. Tanpa ada makna yang tersirat.

Adif Ashman mengenakan T-shirt Polo merah hati dan dipadankan dengan seluar khaki separas lutut. Dia melangkah turun dari atas sambil membawa kotak kasut tadi.
“Mama, anak manja mama mana?” tanya Adif Ashman ketika melabuhkan punggung di atas kerusi di dapur.
Sufi menoleh terkejut dengan pertanyaan itu. Nak bergaduh lagi ke?
“Dalam bilik kut,” jawab Sufi. Matanya terpandangkan kotak kasut yang berwarna coklat itu.
“Eh, kenapa kotak kasut tu...?” Soalannya terhenti di situ. Hairan.
“Adif saja beli sebab rasa nak membeli.”
Pelik jawapan daripada Adif Ashman. Memang benar dia terasa mahu membeli kasut itu untuk Ara Adalea. Mama selalu merungut dia tidak ambil kisah dengan hadiah hari jadi Ara Adalea.
“Hairan bin ajaib... Kau orang berdua pantang bertemu, tapi boleh pula beri hadiah?” Sufi menggelengkan kepalanya. Aneh betul.
“Alah... Mama juga selalu merungut Adif tak pernah beli hadiah untuk dia. Ni Adif beli dah, mama bising juga,” ujarnya.
“Mama bukan apa Adif... Mama nak anak-anak mama berbaik. Allah tak suruh kita bergaduh. Malah, kita dikehendaki berbaik-baik dengan musuh. Nanti bila mama dah pergi, tak tenang mama di sana.”
Sedih pula kata-kata Sufi menyapa telinga Adif Ashman.
“Janganlah cakap pelik-pelik mama. One day, nanti mungkin kami akan berbaik sampai tak boleh nak berpisah langsung. Ha... Waktu tu mama boleh senyum sampai ke telinga.” Lembut bicara Adif Ashman memujuk mamanya.
“Amin...” Sufi menadah tangan. Senyum.
“Nanti mama bagi kasut ni kat dia ya?” Adif Ashman menepuk-nepuk kotak itu.
“Yalah... Tu nak ke mana pula tu?” Sufi bertanya apabila melihat Adif Ashman sudah bangun.
“Nak keluar jumpa Fiya, mama. Dah lama tak jumpa dia. Selalu telefon aje. Dia baru balik dari Dubai,” beritahu Adif Ashman. Ingin segera berlalu.
“Kirim salam mama untuk Fiya. Ajak-ajaklah dia ke sini,” pesan Sufi.
“Insya-Allah, mama,” kata Adif Ashman.
Dia mengangkat tangan kepada mamanya sebelum masuk ke dalam kereta. Kereta segera dihidupkan. Tidak sabar mahu bertemu dengan Alfiya.

ARA ADALEA menyilangkan kakinya. Bibir mungilnya pula menyedut jus epal di dalam gelas. Matanya mengerling ke tangan kirinya. Jarum jam Guessnya sudah menunjukkan pukul 4.00. Sudah satu jam dia di situ. Kelibat Hairi dan Jaslia masih belum kelihatan.
Dia mengubah silangan kakinya. Tanda dia sudah bosan di situ. Rambut yang berjuraian dikuak dan diselit ke telinga. Hati Ara Adalea semakin membara dengan kedua-dua sahabatnya. Bagi Ara Adalea, kalau sudah berjanji tak perlu lagi dia bertanya jadi ataupun tidak. Jaslia dan Hairi tahu itu semua.
“Sayang?”
Panggilan sayang itu mengejutkan Ara Adalea yang sememangnya sedang melayan hatinya yang berbara. Tangannya segera dilayangkan ke lengan Hairi.
“Aduh! Sorrylah, Sayang, lambat sikit,” Hairi memujuk. Sedar akan kesalahan sendiri.
“Banyaklah kau punya lambat. Hampir meletup aku kat sini!” jerkah Ara Adalea. Dia cepat tersedar, Jaslia tiada di situ.
“Mana Jas?” tanya Ara Adalea.
“Aku tunggu dia, sebab tu lambat. Mulanya kita orang dah keluar dari rumah dia. Belum pun sampai ke jalan utama dia dah menjerit, sakit perut. Cirit pula tu.” Hairi memohon simpati.
Ara Adalea menggeleng. Nasib baik lava dah beku. Kalau tak, mahu masak seratus peratus tadi.
Hairi menghela nafas perlahan.
“Sayang oderlah nak makan apa. Ery belanja sempena lambat dan untuk birthday yang tersayang ni,” kata Hairi tersenyum.
Ara Adalea menjeling, tajam sekali. Hairi cepat-cepat menoleh ke arah lain. Takut disembur lagi. Ara Adalea menahan ketawa dengan tingkah Hairi. Tahu pula dia menikus. Tangan dilambai ke arah pelayan perempuan di situ.
“Nasi goreng ayam dua, jus epal tiga,” kata Ara Adalea kepada pelayan yang sudah berada di depannya.
“Untuk siapa satu lagi tu?” tanya Hairi.
“Kaulah... Peluh semacam aje. Panas dan takut.” Ara Adalea menekankan perkataan takut itu.
Hairi menyengih. Betul. Dia memang tak sanggup dengan rajuk Ara Adalea atau Jaslia. Ara Adalea rajuknya suka memukul. Baginya mereka berdua ibarat aur dan tebingnya. Andai salah satu hilang, maka pincanglah hidupnya. Mungkin kerana Hairi tiada adik-beradik perempuan. Dia mempunyai lima orang saudara lelaki. Sebab itulah dia melayan Ara Adalea dan Jaslia bagaikan adik-beradiknya.
Nasi goreng ayam yang baru diletak segera ditarik. Perutnya sudah betul-betul lapar. Dia keluar dengan perasaan marah kepada Adif Ashman. Makanan yang dimasak mama ditinggalkan begitu sahaja.
“Bencinya,” jerit Ara Adalea. Ketika makan pun ingat Adif Ashman.
Hairi yang sedang menjamah nasi tersentak dek jeritan itu. Semua pelanggan memandang kedua-duanya.
“Kenapa, sayang?” tanya Hairi perlahan. Takkanlah masih marah pasal dia yang terlebih lambat tadi?
“Tak ada apa-apalah. Marah kat orang lain. Tenuk yang buat aku marah,” balas Ara Adalea.
“Dia buat apa pula kali ni?” tanya Hairi yang sudah sedia maklum akan kebencian Ara Adalea kepada Adif Ashman.
Terkumat-kamit mulut Ara Adalea bercerita. Hairi setia mendengar. Biarpun dia tidak mengenali orangnya. Tidak pernah sekali pun dia melihat empunya wajah yang dibenci Ara Adalea itu.
“Pasal kasut aje?!” Hampir tercekik Hairi mendengar alasan Ara Adalea.
“Yalah, tak kisahlah remeh pun. Tapi, aku tetap tak puas hati!” kata Ara Adalea sambil menggenggam penumbuk. Dia memang mendendami Adif Ashman kerana dia kerap sangat terkena dengannya.
Hairi menggelengkan kepala. Pasal kasut pun boleh jadi perang. Rambut yang berjuntaian di depan muka gadis itu disauk Hairi dan diselitkan di telinga Ara Adalea. Ara Adalea berterima kasih dengan senyuman kepada Hairi.

Beg tangan Ara Adalea digalas bahu kanan Hairi. Tiba-tiba Ara Adalea menarik T-shirt Hairi kerana kakinya tersadung di kaki meja. Cepat-cepat Hairi memeluk lengan Ara Adalea.
“Cemerkaplah sayang ni,” bisik Hairi.
“Dah tersangkut kat situ, nak buat macam mana?” Terjerit kecil Ara Adalea dengan bisikan cemerkap itu.
Hairi senyum apabila Ara Adalea menghentakkan kakinya ketika berjalan pergi. Hisy... Manja sungguh anak Sufi ni, desis hati Hairi. Akhirnya dia pula yang terkocoh-kocoh mendapatkan Ara Adalea yang sudah bercekak pinggang di sisi keretanya.
Aksi-aksi romantik itu sebenarnya dilihat oleh seseorang. Siapa lagi kalau bukan Adif Ashman?

Dengan muka sememeh Jaslia mengadu ketika Ara Adalea dan Hairi ke rumahnya selepas membeli ubat. Macamlah tak pernah kena cirit-birit. Manja saja lebih. Siap buat muka kesian lagi. Ara Adalea mencebikkan bibir.
Hairilah yang akan memujuk, usap kepala dan bahu. Dia, jangan harap mahu melayan.
“Kau ni gatal juga ya, Jas,” ejek Ara Adalea.
“Ery, tengok Ara ni... Dia kata Jas gatal. Tak patut betul,” adu Jaslia. Siap buat muka manja lagi.
“Sudahlah tu. Sayang ni, marah tadi tak habis lagi ke?” tanya Hairi.
Ara Adalea memberikan jelingan maut kepada Hairi.
Aisy, gatal mulut sungguh, desis hati Hairi. Nanti tak pasal-pasal dia declare perang lagi. Perang merajuk yang dia tak boleh tahan. Habis sakit satu badan. Kalau boleh dipujuk dengan barangan tak apa. Ini tak, badan kena tahan dengan pukulan.
Setelah penat melihat aksi manja Jaslia kepada Hairi, Ara Adalea mengajak Hairi menghantarnya. Sakit sikit saja, tapi buat sakit itu yang lebih. Yang hairannya Hairi melayan juga. Mereka berdua memang ada rasa cinta, tetapi yang Ara Adalea pelik, mereka tidak melafazkan apa yang mereka rasai.
Biarlah mereka. Itu hak mereka berdua.

ADIF ASHMAN menyelak langsir. Kebetulan pula ketika itu Ara Adalea baru sahaja tiba di rumah. Dihantar oleh lelaki yang sama.
Apa punya lelaki takut perempuan? Tadi tergocoh-gocoh, sekarang pun masih sama. Kali ini tergocoh-gocoh membuka pintu pula untuk Ara Adalea. Kuat juga budak berhingus ni merajuk. Lelaki itu masih mempamerkan kesedihan. Tapi, tidak dipedulikan oleh Ara Adalea. Nasib kaulah labu, dapat perempuan kuat merajuk macam budak berhingus itu.
Adif Ashman berlari turun. Sudah sampai masa untuk menyakitkan hati Ara Adalea. Dia terus bersandar pada muka pintu. Bagi menghalang Ara Adalea masuk ke dalam rumah.
Best dating?” Soalan pertama yang keluar dari mulut Adif Ashman. Dia mengenyitkan mata.
“Apa hal ni! Dating apa?” jerkah Ara Adalea. Bukan boleh bagi muka sangat dengan si tenuk ni, gerutu Ara Adalea dalam hati.
“Tu... Jantan yang hantar kau balik bukan ke boyfriend kau?” kata Adif Ashman dengan kasar.
Ara Adalea mencebikkan bibir. Benci.
“Jantan tu ada nama. Kau pun jantan jugak, kan?” Ara Adalea memulangkan paku buah keras.
“Memanglah jantan juga. Sejati. Tak adalah takut dengan perempuan. Lembik!” ejek Adif Ashman lagi.
Panas hatinya apabila lelaki sebaik Hairi dipanggil jantan. Ada panggilan yang lebih sopan andai kita tidak mengenali seseorang itu. Lelaki. Ara Adalea menolak tubuh Adif Ashman. Kaku.
Tersenyum-senyum Adif Ashman. Gadis yang hanya setinggi dadanya itu, mana mampu menolak tubuh sasanya.
Ara Adalea berusaha menolak tubuh Adif Ashman. Lagi pula tangannya memegang tepi pintu. Air matanya sudah mengalir. Aedih diperlakukan begitu.
“Ya Allah, Adif, Ara. Buat apa ni?” jerit Sufi apabila terpandang mereka berdua seperti mahu bertumbuk.
Adif Ashman menoleh, terkejut ditegur mamanya. Ara Adalea pula sudah mengambil lajak lantas tubuh Adif Ashman ditolak.    Kerana tidak bersedia, kedua-duanya terjatuh bak nangka busuk. Yang tak bagusnya, Ara Adalealah. Tersembam ke dada Adif Ashman. Bukan setakat tersembam, malah tercium dada Adif Ashman, tetapi dilapisi baju.
“Mama! Tolong Ara!” jerit Ara Adalea.
Terkekeh-kekeh Sufi gelakkan adegan sebabak itu. Baru padan dengan mereka yang asyik bergaduh sahaja. Sekarang baru tahu sakit dua-dua.
“Tak padan dengan kecik, tapi beratnya mengalahkan gajah,” omel Adif Ashman menyapu belakang badannya. Bau harum daripada rambut Ara Adalea masih terlekat di hidungnya.
Ara Adalea sudah menghentakkan kaki tanda protes. Tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya.
“Hmm... Tak tahulah mama, dalam suka bergaduh boleh pula jatuh sekali.” Sufi bagaikan menambah asam pada luka.
“Mama ni, menyampah! Anak dengan ibu sama sahaja!” Ara Adalea sudah menangis.
Entah mengapa dia benar-benar sedih dengan kejadian tadi. Agaknya sebab terjatuh di atas tubuh lelaki yang paling dibenci. Hatinya juga sakit. Dia lantas mahu pergi dari situ.
Sufi dan Adif Ashman tersenyum sambil menjongketkan bahu. Manja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan