Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Prolog

ALFIRA memandang board di depannya. Pesawat Sufi sudah pun mendarat. Tidak lama selepas itu dia ternampak Sufi berjalan ke arahnya. Tersenyum dari jauh. Sesampainya Sufi di sisi Alfira, dia tidak tunggu lama. Terus sahaja memeluk sahabat lama yang sudah lama dia tidak ketemu. Erat pelukan mereka berdua. Alfira menangis saat mereka melepaskan pelukan.
“Kau nampak makin berisilah, Sufi,” tegur Alfira.
Sufi ketawa. Meskipun tanpa arwah suaminya, dia memang bahagia hidupnya di London sana. Ditemani anak tersayangnya.
“Adif tak ikut sekali ke?” tanya Alfira. Semasa memberitahu mahu pulang ke Malaysia hari itu, katanya Adif Ashman mahu ikut sekali.
“Tak jadi Fira, katanya dia lebih senang habiskan cuti di London. Nak ke Jerman, main ski dengan kawan-kawan Inggerisnya. Berlagak sikit anak teruna aku tu,” kata Sufi sambil tergelak.
“Hah! Kau ni mengata anak sendiri,” kata Alfira ketawa kecil.
Disambut Sufi. Puas sudah dia memujuk anaknya untuk pulang ke Malaysia bersamanya, tetapi anaknya itu tetap dengan keputusannya mahu bermain ski di Jerman.
“Mananya Ara dan Haris? Rindu betul nak tengok Ara tu. Selalu tengok gambar sahaja,” katanya sambil mereka berjalan keluar dari lobi lapangan terbang.
“Ada, dia orang tunggu kat kereta,” beritahunya sambil memimpin tangan Sufi.
Si gadis manis Ara Adalea itu segera melompat keluar dari kereta abahnya. Dia menghampiri umi dan kawan uminya itu.
“Dah besar rupanya anak mama ni,” kata Sufi sambil memeluk Ara Adalea yang baru menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
Ara Adalea hanya tersenyum.
“Senyuman pun cantik, Fira. Nanti ada peluang nak jadi rebutan ramai ni,” kata Sufi sambil gelak.
Alfira ketawa, disambut juga oleh Haris. Melangkah masuk ke dalam kereta, mereka masih lagi berbual-bual kisah lampau. Yang paling mahu didengar adalah kisah Sufi yang tinggal dia luar negara.

Apabila Ara Adalea sudah tiada di situ mereka bersembang pula tentang kisah bonda. Bonda yang Ara Adalea tidak tahu akan kewujudannya.
“Hmm... Kau tak nak kembali ke rumah bonda, Fira?” tanya Sufi.
“Amboi, kau beragaklah sikit bonda tu. Kau tahu dia macam mana, kan? Sekali dia tolak, selamanya dia akan menolak. Aku dah putus asa, sebab itulah aku tak pernah cakap apa-apa pada Ara,” katanya.
“Rindunya aku kat bonda. Waktu aku tiada siapa-siapa, dia hulurkan kasih sayang dia. Anggap aku macam anak sendiri,” kata Sufi sambil mengesat air matanya.
Tiba-tiba sahaja kedua-dua sahabat baik itu meraung sambil berpelukan.
Ara Adalea yang sedang menonton menjenguk kepala ke ruang tamu kedua rumah uminya itu.
“Abah, kenapa dengan umi dan mama tu?” tanya Ara Adalea hairan.
“Dia orang tu sejak dahulu lagi macam tu. Ada sahaja perkara sedih, meraunglah kedua-duanya,” kata abahnya.
Ara Adalea senyum. Dia memang tak faham dengan orang-orang dewasa. Banyak sangat masalahnya.

“Fira, apa kata nanti bila anak-anak kita dah besar dan boleh berumah tangga, kita jodohkan mereka berdua,” usul Sufi. Dia benar-benar jatuh cinta dengan Ara Adalea.
“Kau ni memang melampau. Anak-anak kita tu nanti bila dah besar tentulah ada pilihan masing-masing. Takkanlah kita nak bagi mereka makan hati nanti jika kita jodohkan mereka?” kata Alfira.
“Alah... Bolehlah Fira. Tak ada salahnya kita berjanji. Tapi, kalau benar mereka ada pilihan sendiri kita tak payah cakap apa-apa.” Sufi merayu pula.
“Kau ni memang, suka buat aku ikut cakap kau,” rungut Alfira.
Sufi gelak jahat.
Alfira banyak menolongnya sejak perkenalan mereka di tingkatan satu ketika bersekolah. Sejak itulah mereka baik sampai sekarang. Dan, kerana Alfira yang terlampau suka menghabiskan masa bersama Sufi, Sufi diambil menjadi anak angkat bonda Alfira. Sejak itulah bermulanya kehidupan mereka sebagai adik-beradik angkat. Bonda Puan Waifa Rahbi tak pernah membahagi kasih sayang. Jika salah dimarahi sama rata.
Walaupun tanpa ikatan darah sekalipun, hubungan mereka tetap terjalin. Malah, lebih erat barangkali daripada ikatan darah. Berkongsi segala duka dan gembira.
“Adif sekarang tentu makin handsome, kan?” kata Alfira.
Dia mencicah buah jambu air ke dalam garam belacan. Mengunyahnya perlahan-lahan. Sufi juga berbuat demikian. Sungguh dia amat merindui rasa begini ketika di luar negara.
“Yalah... Memang padan kalau digandingkan dengan Ara Adalea. Sudahlah pangkal nama pun huruf A kedua-duanya,” kata Sufi sambil tersenyum. Perkara benar, buat apa mahu menidakkannya?
“Dah lama ke kau rancang semua ni?” tanya Alfira.
“Rancang apa?” tanya Sufi.
“Rancang nak jadi besan aku?” tanya Alfira lagi.
Sufi ketawa kecil. Memang sudah lama dia merancang sendiri. Sekarang baru berpeluang untuk memberitahu sendiri. Dia tidak memaksa untuk Alfira menerimanya.
“Aku nak berdoa banyak-banyak agar Allah makbulkan doa aku,” ujarnya lagi.
“Aku tak berani nak cakap apalah. Takdir Allah kita tak tahu, Sufi. Segalanya tersembunyi. Tak sampai masa tak jadi, Sufi,” kata Alfira.
“Insya-Allah...” kata Sufi sambil memeluk bahu Alfira.
Alfira risau juga. Bimbang kisah cinta lamanya berlaku kepada anaknya pula. Tidak mahu Ara Adalea terluka dengan apa yang akan mereka tunaikan itu. Bezanya dia melarikan diri daripada hidup bonda. Sudahnya sekarang walaupun dia terlalu rindu dia tidak dapat kembali lagi kepada bondanya. Tetapi, dia bahagia dengan kehidupan sekarang.
Dia tidak mahu Ara Adalea melarikan diri daripadanya sebab itulah dia tidak akan berjanji apa-apa pun. Sebab itulah sebelum pulang ke London, Sufi menghadiahkan rantai dihiasi dengan huruf A. Mewakili anak-anak mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan