Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 6

Bab 6
Yang kau bagi tahu alamat rumah mak aku tu, kenapa?!
Dah dia kata nak bincang pasal wedding kau orang, aku bagilah. Alah, biarlah dia nak jumpa Mak Jemah. Kau nak kecoh kenapa?
Eee! Susahlah cakap dengan kau ni. Tunggu aku balik nanti. Siap kau!
Wafa balas WhatsApp Ika sambil gigit-gigit bibir. Geram! Rasa nak cekik-cekik saja Ika dengan Karl. Sepupu dua orang ni kan, sama saja perangai. Buat dia sakit hati!
iPhone dia letak ke tepi. Butang pada remote control TV ditekan-tekan. Nak cari cerita best. Akhirnya, dia berhenti pada siaran Fox Movie HD. Tengok cerita Hobbit ni lagi bagus. Tengah duduk landing-landing di atas sofa itu, Wafa terlihat Karl tengah datang ke arahnya. Muka lelaki itu tersengih-sengih. Dia baling dengan remote ni karang baru tau!
“Hai, sayang!” sapa Karl, sengaja cari pasal.
Wafa balas dengan jelingan maut. Sayang konon! Entah masa bila pula dia jadi sayang lelaki itu.
“Amboi! Garangnya mata. Tepi sikitlah, aku nak duduk ni.” Karl buat tangan gaya menghalau ayam ke arah Wafa.
Punya besar sofa panjang itu, di sebelah Wafa juga dia nak menyempit. Macam dia cakap mula-mula tadi. Saja nak cari pasal. Hahaha!
“Tengok cerita apa, weh?” Karl pandang Wafa sekilas. Kemudian, dia pandang TV.
“Bacalah sendiri tajuk dekat atas tu.” Wafa menjawab malas. Dia memang tengah tak ada mood sekarang ini.
“Alah... Tak nampaklah.” Karl saja buat-buat rabun jauh.
Wafa toleh ke sebelah.
“Awak memang sengaja nak makan remote ni, kan?!” Wafa acu Karl dengan remote control TV. Orang tengah angin ni, dia nak tambah lagi pula. Memang sajalah nak kena!
Karl terus diam dan pandang ke depan. Kepala dia dongak memandang TV yang tersangkut pada dinding itu. Tapi, mampu tahan sekejap saja. Dia menoleh pandang Wafa yang berada di sebelahnya semula. Mood menyakat dia datang balik.
“Ooo... Cerita Hobbit. Best tak?”
Wafa diam. Malas nak layan. Lagi sekali mamat ini bersuara, memang dia masukkan remote ke dalam mulut Karl. Tak percaya, bersuaralah.
“Weh...” Karl pusing badan hadap Wafa.
Dan, Wafa apa lagi? Remote control terus dia tonyoh-tonyohkan ke dalam mulut Karl. Geram! Hah, orang dah cakap tadi, kan? Kalau bersuara lagi, memang sengajalah nak kena!
“Eh, Wafa. Apa ni?!” Karl pegang kuat tangan Wafa. Tak sangka perempuan di depannya ini memang betul-betul nak bagi dia makan remote. Eh, janganlah. Dia kenyang lagi kut. Baru lepas makan tadi.
Wafa berhenti tonyoh mulut Karl. Tangan ditarik kasar daripada pegangan lelaki itu. Dia pandang ke depan. Berpeluk tubuh dan senyap. Cuba mengawal diri yang tengah marah.
Karl perhatikan saja Wafa ketika itu. Mulut yang hampir-hampir nak kena telan remote, dia gosok-gosok perlahan. Sakit kut! Wafa dijeling sekejap. Emmm, memang nampak perempuan itu tengah marah. Okeylah, dia berhenti kacau sekejap. Dah okey sikit nanti, baru dia kacau Wafa balik. Hihihi.
“Kau nak emo sangat ni kenapa?” Karl tanya lagi. Alah, dia tak boleh nak diamlah. Mesti nak buka mulut kacau Wafa juga. Macam dah jadi habit pula.
“Saya tak ada mood nak cakap dengan awak, Karl.”
“Kenapa?”
Wafa tayang muka menyampah. “Sebab awaklah!”
“Eh, aku buat apa aje dekat kau?”
“Awak buat saya sakit hati!” Wafa ubah gaya duduknya. Dia pusingkan badan dan duduk bersila menghadap Karl yang juga dah duduk bersila menghadap dia.
“Awak ni kenapa?!” soal Wafa, bengang.
“La, kenapa apanya?” jawab Karl dengan muka blur-blur. Langsung tak rasa bersalah lepas sakitkan hati orang.
“Apa motif awak datang sini sebenarnya?”
“La... Kan dah cakap tadi. Nak bincang wedding kita ni dengan mak kau.”
“Awak serius ke nak kahwin dengan saya ni?” Wafa pandang Karl lama, meminta jawapan.
“Seriuslah. Kalau aku tak serius, aku tak datang sini. Tak datang jumpa Mak Jemah kau tu.” Karl mula tayang muka serius. Nak sangat serius, kan?
“Lagipun, aku rasa seronoklah lepas kenal kau ni. Boleh buli-buli kau. Kan Wafa, kan?” sambung dia lagi.
Wafa kecilkan mata. Boleh buli-buli dia? Amboi!
“Kau sendiri tahu kenapa kita nak kahwin, kan? Masing-masing ada sebab masing-masing. So, kita teruskan ajelah.” Karl bersuara lagi.
“Memanglah. Tapi, kenapa awak setuju nak kahwin dengan saya?”
“Sebab kau ni spesial.” Karl berbisik perlahan. Niat nak menggoda. Nakal!
Wafa telan air liur. Dah lain macam pula mamat depan dia ini. Jangan nak mengada, Karl. Kita belum kahwin kut!
“Apa yang spesialnya?” tanya Wafa tanpa memandang mata Karl. Dia tak boleh tengok renungan lelaki itu. Hatinya mula rasa lain nanti.
“Spesiallah. Kat mana lagi aku nak jumpa perempuan desperate macam kau ni yang sibuk nak kahwin bila ex-lover dia nak kahwin? Kau ajelah satu-satunya.”
“Hah?” Terkejut Wafa mendengar jawapan lelaki itu.
Karl pula dah tergelak besar.
Wafa dah gigit bibir bila mula faham sindiran lelaki itu. Heh, hampeh punya bakal suami!

WAFA meniarap di atas katil sambil menonton filem pada skrin laptop. Bukan sebab bosan. Tapi, dah memang hobi dia tengok filem sebelum tidur kalau dia rasa tak mengantuk. Kalau dah namanya hantu filem, pagi petang siang malam pun dia sanggup hadap benda itu masa hari cuti begini.
Yalah, apa lagi yang dia boleh buat di kampung ni, kan?
Tengah dia fokus menonton, tiba-tiba iPhonenya berbunyi lagu Crazy In Love versi OST filem. Wafa capai iPhonenya. Rasa pelik bila tengok nama yang muncul pada skrin. Dah kenapa mamat ni telefon dia waktu sekarang? Dah nak pukul 2.00 pagi kut!
“Ha, kenapa?” jawab Wafa malas.
“Weh, aku sakit perutlah. Teman aku pergi toilet jom.”
“Eh, pergi sendirilah. Tak kuasalah pulak haih saya nak teman.” Wafa dah senyum-senyum jahat. Sakit perut, eh? Hah, pergilah berak dekat jamban yang tak berpintu tu. Hahaha!
“Weh, cepatlah! Aku tak tahan dah ni!” Suara Karl dalam talian makin mendesak. Dia betul-betul tengah sakit perut ni, hoi!
Baru saja Wafa nak membalas cakap Karl, tiba-tiba pintu bilik dia diketuk dari luar. Wafa terus matikan talian. Dia tahu dah siapa yang berada di depan biliknya itu. Siapa lagi? Orang yang dah nak terberak tulah!
Pintu bilik dibuka. Terpacak Karl dengan muka berkerut menahan sakit perut.
“Jom!” Tak sempat Wafa nak cakap apa, lelaki itu dah tarik tangannya supaya ikut.
Karl pegang lengan Wafa seperti tak mahu lepas. Laju kaki dia melangkah menuju ke jamban di belakang rumah Mak Jemah. Sudahlah hari gelap. Nasib baik bulan terang malam ini. Nampaklah juga sikit-sikit.
Perut yang sakit dia usap-usap. Hangin betul dia! Masa di kampung Wafa inilah baru dia nak sakit perut. Malam-malam pula tu. Ditambah pula dengan kondisi tandas yang dah tak ada rupa tandas itu. Macam nak roboh saja dia tengok. Haih, tak tahulah dia nak kata apa!
“Kau tunggu kat sini tau! Jaga kut-kut ada orang datang,” ucap Karl, titip pesan.
“Siapa ajelah yang nak datang tengok awak berak. Dah, dah, pi sana cepat.” Wafa tolak tubuh Karl ke depan. Nak berak pun suruh orang teman. Apalah!
“Kau stay kat sini! Pegang phone aku elok-elok. Jangan pergi mana-mana.” Karl serahkan iPhone miliknya kepada Wafa. Kemudian, dia berjalan pantas pergi ke tandas. Tapi, tiba-tiba dia berpatah balik.
“Lagi satu, kau pusing belakang. Jangan nak curi-curi intai aku pulak. Nanti dah kahwin, kalau kau nak tengok semua pun tak apa. Aku bagi free aje.”
“Euww, tak hengen punlah!” balas Wafa, sedikit malu.
Cepat-cepat dia pusing belakang. Tak nak dia tengok benda yang tak patut dia tengok sebelum tiba masanya. Tak pasal-pasal pengsan pula dia di belakang rumah ni. Jadi satu hal pula karang!
Karl masuk ke dalam jamban yang hanya muat-muat seorang manusia sahaja. Baru nak mencangkung, dia terperasan sesuatu.
“Hoi, Wafa! Tak ada pili air ke? Macam mana aku nak basuh nanti?” jeritnya dari dalam jamban. Rasa mencucuk-cucuk pada punggung, dia tahan. Aduh, tersembur juga ni karang!
“Dalam tu mana ada pili air. Awak kena ambik air dekat bilik air sebelah tu. Angkut guna baldi.”
What?!” jerit Karl dari dalam tandas.
Karl rasa macam nak menjerit sekuat hati saja sekarang ini. Sudahlah dia tengah sakit perut. Macam-macam hal pula yang tak kena. Nak tak nak, terpaksa juga dia ambil air di sebelah. Air kolah diisi ke dalam baldi. Dahlah air di dalam kolah itu sejuk. Naik menggigil dia dibuatnya.
Dah siap isi air, dia angkat baldi itu ke sebelah semula. Dah tak nak fikir apa, dia terus saja lunaskan hajat yang tertangguh. Dah lepaskan semuanya, barulah dia rasa lega sikit. Kalau tidak, sampai berpeluh-peluh dia dibuatnya. Menahan sakit perut punya pasal.
“Awak, lama lagi ke? Cepatlah sikit. Banyak nyamuk ni. Busuk pulak tu!” Leher baju dia tarik. Menutup lubang hidung. Boleh pengsan orang kalau terhidu lama sangat. Hailah...
Karl menjeling Wafa geram. Ingat di sana saja ke yang banyak nyamuk? Di dalam sini pun sama. Berdesing-desing bunyi nyamuk di kiri dan kanan telinganya. Itu belum lagi ditambah dengan rasa gatal dekat paha, kaki dan punggung dia. Mahu dah berbintat-bintat kulit dia sebab kena gigit nyamuk. Merenyam sangat rasa gatalnya!
“Dah, jom.”
“Berak batu ke apa? Lama betul.” Wafa mengerling Karl di sebelah. Tangan pula sibuk menggosok-gosok pipi yang gatal. Kena cium dengan nyamuk punya pasallah ni!
“Isy, diamlah!” Karl tutup mulut Wafa yang mengomel tak henti itu dengan tangan kirinya.
Laju Wafa menepis tangan itu.
“Tu tangan tu, dah basuh dengan sabun ke belum? Eeuuwww!” Wafa buat muka jijik dalam gelap. Mesti belum. Di dalam bilik air tu mana ada sabun. Yucks!
“Eee... dahlah!” balas Karl sambil tadah tangan “Bak sini phone aku.”
“Nah.” Wafa serahkan semula iPhone lelaki itu.
“Dah, jom masuk. Tidur.” Karl laju berjalan masuk rumah.
Dia tak mahu pandang Wafa dah. Malu kut! Dalam seumur hidup dia, inilah kali pertama dia berak tanpa tutup pintu. Habis jatuh terguling-guling kemacoannya. Wuarghhh, malu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan