Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 2 Februari 2016

Tak Sangka Jatuh Cinta - Bab 7

“BETUL ke Karz dah setuju nak kahwin dengan Hannah?” Datin Mazwin seakan-akan tidak percaya.
Karzrin angguk perlahan. Ada sesuatu yang perlu dia buktikan kepada Hannah. Sebab itu dia setuju.
Datin Mazwin tersengih sampai telinga. Akhirnya, tercapai juga hasratnya nak tengok Karzrin naik pelamin. Nampaknya rancangan memaksa mereka berdua ke kedai pagi semalam membuahkan hasil.
“Tapi, ada syarat. Mama kena setuju dengan semua syarat Karz dulu. Kalau tidak Karz tarik balik...”
“Okey, mama setuju,” sampuk Datin Mazwin sebelum sempat Karzrin menghabiskan kata-katanya.
Tak kira apa pun syaratnya, dia akan setuju! Asalkan anak terunanya bebas daripada tuduhan gay. Datin Mazwin sudah mengengsot dan memaut lengan anaknya.
Karzrin mengerutkan dahi. Amboi, belum apa-apa dah setuju? Memang mamanya dah kemaruk sangat nak bermenantukan Hannah. Dia meliarkan matanya ke sekitar rumah batu itu. Tidak mahu sesiapa mendengar syarat-syaratnya, terutama pak su dengan mak su.
“Mak su dengan pak su pergi mana, mama?” soalnya ingin tahu.
“Pak su ke mana lagi. Ke kolam ikan dialah. Papa pun asyik mengekor aje. Mak su dengan Hannah pergi ambil Hannan dengan Hadziq di sekolah. Kenapa? Rindukan Hannah ke?” giat Datin Mazwin.
Senang betul hatinya. Tak payah fikir kemungkinan Karzrin akan lari pada hari pernikahan mereka nanti. Sebelum ini, itulah yang dirisaukannya. Takut Karzrin larikan diri. Nasib baik dia dah setuju.
Karzrin mencebik. Rindu? Huh! Buang karan saja nak rindukan budak pembuli tu.
“Syarat-syaratnya... Pertama, Karz nak bawa Hannah tinggal berasingan dengan mama dan papa.”
Datin Mazwin mahu membantah, tapi niatnya terbantut apabila jari Karzrin melekat di bibirnya.
“Jangan menyampuk!”
Datin Mazwin mengangguk laju. Patuh dengan arahan anaknya.
“Kedua, Karz tak nak sesiapa pun tahu pasal perkahwinan ni. Karz tak nak kawan-kawan Karz, kawan-kawan papa termasuk kawan-kawan mama juga tahu pasal Hannah. Faham? Ketiga, Karz tak nak mama dengan papa masuk campur dalam hal rumah tangga Karz nanti. Boleh?”
“Boleh! Boleh! Syarat pertama dengan syarat ketiga mama setuju. Tapi, syarat kedua tu, macam tak bolehlah. Sebab mama nak Tengku Mariah tahu yang Karz dah kahwin. Mama nak dia tahu yang anak mama ni lelaki sejati!” Datin Mazwin tayang muka sedih.
Rugilah kalau dia tak boleh beritahu Tengku Mariah pasal hal itu. Selama ini pun, Tengku Mariah memang banyak prejudis terhadap Karzrin. Dia mahu membersihkah imej Karzrin yang sudah dicemari oleh mulut Tengku Mariah.
“Mama nak tak Karz kahwin?”
“Nak! Tapi...”
“Kalau nak, tak ada tapi-tapi lagi. Mama kena setuju dengan syarat-syarat Karz,” tegas Karzrin muktamad.
Lama juga Datin Mazwin terdiam. Berfikir. Perlahan-lahan dia mengangguk juga. Kalau itu yang Karzrin mahu, dia ikut saja. Nampak sangat yang Karzrin tak ikhlas. Hati Datin Mazwin rasa tak sedap pula. Kalau Karzrin lari tinggalkan Hannah nanti macam mana? Aduh, kusut!
“Okey mama setuju dengan semua syarat Karz tu. Tapi, mama pun ada syarat juga.”
“Apa dia?”
“Karz kena janji dengan mama yang Karz takkan lari tinggalkan Hannah. Maksud mama, Karz kena ada masa hari nikah nanti. Janji?”
“Mama ni... Banyak sangat tengok drama Melayu tau. Karz takkan lari. Ingat Karz ni pengecut ke? Ini Karzrin Bin Datuk Hamka tau! Gentleman!” ujar Karzrin sambil tersengih. Wajah mamanya betul-betul nampak risau.
Hai, takkanlah dia nak lari pula? Agak-agaklah!
“Janji?” Datin Mazwin masih tidak percaya.
“Karz janji!” Karzrin memaut bahu mamanya erat. Mahu mamanya percaya yang dia tidak berbohong.
Walaupun dia tak suka dengan Hannah, tak adalah sampai nak lari masa hari nikah. Mama, mama... Sayang sangat dengan si Hannah tu. Karzrin tersenyum. Hannah, kau tengok sendiri nanti! Lembik atau keras! Huh, getus Karzrin dalam hati.
Seketika kemudian, terdengar suara motosikal dan kereta memasuki pekarangan halaman rumah. Karzrin melepaskan pautan di bahu mamanya. Terus sahaja matanya terpaku kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi itu. Dia mengerutkan dahi, menggosok matanya berkali-kali. Matanya seakan-akan tidak percaya melihat gadis memakai T-shirt Muslimah dan berseluar trek itu yang sedang menunggang motosikal itu.
“Han... Hannah?” Sebaris nama itu meluncur dari mulut Karzrin dan Datin Mazwin serentak.
Hannah tunggang motor besar? Terjegil mata mereka dua beranak.
“Mak long!” laung gadis Hannah dari atas motosikal itu. Dia melambai-lambai ke arah Datin Mazwin.
Datin Mazwin mengangkat tangannya dan lambat-lambat membalas lambaian itu. Terkejut sungguh!
Karzrin meluru ke pintu dan menyarung kasut. Cepat-cepat dia menghampiri Hannah yang terkial-kial mahu turun dari motosikal itu. Motosikal besar, mestilah berat!
“Kau ni tak sayang nyawa ke? Macamlah dah pandai sangat naik motor. Kau ada lesen ke? Kalau jatuh, siapa yang susah, hah?” Karzrin menyoal bertalu-talu. Dia membantu Hannah turun dari motosikal itu. Entah motosikal siapa yang dirompaknya.
“Bukan Hannah merempit pun. Dah lama Hannah tak tunggang motor besar ni. Seronok tau tunggang motor besar macam ni. Vrooom! Vrooom!” balas Hannah selamba sambil membuat aksi tunggangan ala-ala penunggang profesional.
Karzrin mengetap bibir. Geram dengan tingkah bakal isterinya itu. Dia risau tengok Hannah naik motosikal besar macam itu. Entah spesies apa budak ni!
“Mak su dah banyak kali larang dah, Karz. Tapi, Hannah ni degil. Pantang nampak motor Muaz ni mulalah merengek nak tunggang.” Hajah Hayati yang baru turun dari kereta Mitsubishi Triton itu mengadu hal.
Tadi dia dengan Hannah pergi ambil Hannan dan Hadziq di sekolah. Dalam perjalanan balik, mereka terserempak dengan Muaz di simpang jalan depan tu. Apalagi, Hannah terus berhentikan kereta dan merengek-rengek mahu menunggang motosikal Muaz. Muaz pula ikut saja kehendak Hannah. Hajah Hayati tidak menyertai mereka sebaliknya dia terus membawa anak-anak kembarnya ke dalam rumah.
Muaz? Karzrin tersentap sedikit. Siapa Muaz? Matanya merenung lelaki yang sedang turun dari kereta pak sunya. Karzrin menelan air liur. Wajahnya berubah serta-merta. Dia mengamati lelaki itu dengan sorotan yang terisi dengan perasaan bercampur baur.
“Abang Muaz, terima kasih sebab bagi Hannah tunggang motor abang ni. Tapi, jangan beritahu walid tau? Rahsia,” kata Hannah sebaik sahaja Muaz berdiri di sebelahnya.
Lelaki itu tersenyum seraya mengenyitkan matanya.
Aik? Main kenyit-kenyit mata pula? Karzrin ketap bibir. Geramnya!
“Kalau walid tahu pun, Hannah jangan risau. Abang akan back-up Hannah,” balas Muaz disusuli dengan gelak tawa mereka berdua.
Karzrin gigit bibir bawahnya. Ingat aku ni patung ke? desis hatinya geram. Macam dia tak wujud pula di situ.
“Ehem, ehem!” Karzrin berdeham sambil terbatuk-batuk.
Tindakan itu membuatkan dua pasang mata merenungnya. Muaz tersenyum sebaik sahaja mata mereka bertembung.
“Siapa ni Hannah?” Muaz bertanya.
“Oh!” Hannah tepuk dahi. Terlupa pula nak kenalkan Karzrin yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang itu.
“Kenalkan, ini Abang Karz. Sepupu Hannah. Anak mak long.”
Muaz mengangguk. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Abang Karz, ini Abang Muaz. Dia kerja dengan walid. Kawan baik Hannah ni tau,” ujar Hannah bersungguh-sungguh.
Karzrin melakarkan senyuman pendek. Senyuman tak ikhlas. Haruslah begitu. Biarlah, Karzrin tak peduli. Dia macam sakit hati tengok Hannah asyik tersengih dengan Muaz. Kalau dengan aku bukan main masam lagi muka tu! getusnya lagi.
“Abang, jomlah masuk rumah. Boleh minum dulu. Hannah nak buat air yang paling spesial untuk abang sebab bagi Hannah tunggang motor abang tu. Jomlah!”
“Tak bolehlah, Hannah. Abang nak pergi pekan ni. Ada urusan di bank. Kalau masuk nanti lambat pula. Lagipun hari dah nak hujan. Lain kali ajelah.” Muaz menolak dengan lembut. Jam di pergelangan tangan dikerling. Kalau lambat nanti tutup pula bank tu.
“Ya ke?” Hannah tarik muka. Kecewa bila Muaz menolak.
Karzrin mencebik. Wajah kecewa Hannah membuatkan dia sakit hati. Eleh, kecewa konon! Kalau dah kecewa sangat pergilah ikut mamat tu pergi. Menyampah betul.
“Erm… abang pergi dulu ya? Kirim salam dekat umi.” Muaz menghampiri motosikal Kawasaki ninja hitamnya.
Karzrin berganjak sedikit menjauhi motosikal itu. Dia memandang ke arah lain bila ternampak Muaz mengenyitkan mata sekali lagi kepada Hannah. Hannah pula tersengih macam kerang busuk sambil membuat thumbs up. Ewah, dia orang ni! Main-main mata pula.
“Hoi, bukan main lagi kau sengih kan? Silap-silap boleh gugur semua gigi kau tu. Memang semua lelaki dalam dunia ni kau panggil abang ya? Abang Muaz konon! Huh!” ujar Karzrin setelah motosikal Muaz agak jauh meninggalkan halaman rumah itu.
“Mestilah kena panggil abang. Itu tanda hormat, faham tak? Lagipun, Abang Muaz tak adalah cakap geli tekak bila Hannah panggil dia abang. Lagi suka adalah,” balas Hannah sambil mengatur langkah menuju ke pintu.
“Kau perli aku ya?”
“Terasa ke? Kalau dah makan cili mestilah rasa pedas, kan? Takkan nak rasa manis pula!” Hannah menjeling lelaki yang sedang membuntutinya.
Sibuk saja hal orang! Suka hati dialah nak panggil apa pun. Lagipun Abang Muaz tu berganda-ganda baiknya. Bergaya! Lebih-lebih lagi bila menunggang motosikal besar tu. Fuyooo! Memang nampak hebat. Bukan macam lelaki di sebelah dia tu! Penakut! Agaknya kalau disuruh tunggang motosikal macam tu, boleh banjir kampung ini dengan air mata dia.
“Kau ni memang jaki dengan aku, kan? Kau ingat hebat sangat ke kalau naik motor macam tu?” Karzrin buat muka lagi.
Terbayang wajah Muaz di matanya. Ah, kusut! Kenapa pula dia rasa macam ni? Dia tak boleh tengok Hannah berbaik-baik dengan lelaki lain.
“Hebatlah! Nampak maco.”
“Habis tu, kenapa kau tak kahwin aje dengan dia?”
“Kalau suka mesti kena kahwin ke? Habis tu, Abang Karz tak suka Hannah dan Hannah pun taklah suka sangat dengan abang. Tapi kenapa kita kena kahwin?’ Hannah berpaling dan merenung wajah Karzrin.
Wajah itu cukup kacak. Cukup sifat sebagai teruna idaman dara. Tapi, kenapa agaknya mak long yang terpaksa mencarikan jodoh untuknya? Hannah pelik sebab tak logiklah kalau tak ada perempuan yang nakkan Karzrin. Dia nampak normal sebagai lelaki.
Walaupun dia yang memanggil Karzrin lembik, tapi fizikal lelaki itu tak lembik. Dengan otot biseps yang berketul-ketul dan dadanya pun nampak tegap. Hannah memerhatikan bahagian bawah. Kaki pun berbulu aje, tokok hatinya sambil ralit menilik kaki Karzrin yang berseluar pendek paras lutut itu.
“Manalah aku tahu kenapa kita kena kahwin. Kau tanyalah mama dengan mak su yang dah tak sabar nak tengok kita kahwin,” balas Karzrin.
“Kenapa kau tengok aku macam tu? Kalau ya pun nak tahu aku ni keras ke lembik. Tunggulah lepas kita kahwin nanti. Aku akan bagi kau tengok puas-puas!” sindir Karzrin seraya memanjangkan langkahnya mendahului Hannah menuju ke pintu rumah.
Hannah sekadar menggigit bibir. Merah padam pipinya bila Karzrin perasan yang dia sedang memerhatikannya. Tapi, dia tengok kaki saja. Karzrin saja yang lebih-lebih. Lelaki itu memang suka mensensasikan cerita.
Masuk sahaja ke dalam rumah, dia boleh dengar dengan jelas suara mama dan mak su sedang berbincang tentang perkahwinan dia dengan Hannah di dapur. Tengah masak agaknya. Karzrin berlalu ke dalam biliknya. Malas mahu menyertai mama dan mak su di dapur. Kepalanya tengah kusut!
Hannah mengeluh perlahan. Saat itu. dadanya yang diserang debaran. Selepas umi dan walid memberitahu yang dia akan dijodohkan dengan Karzrin, dia terus menunaikan solat istikharah selama tiga malam berturut-turut. Dia memohon petunjuk kepada Allah supaya tenangkan hatinya dan lapangkan dadanya jika Karzrin adalah jodoh yang terbaik untuknya.

Alhamdulillah! Hatinya menjadi tenang dan dadanya terasa lapang. Tiada lagi keluh-kesah setiap kali mendengar nama Karzrin disebut. Walaupun Karzrin dingin, tapi dia yakin bahawa apa yang ditentukan oleh Allah adalah yang terbaik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu yang tersurat mahupun yang tersirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan