Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 4

SAPPHIRE CREATIVE SDN BHD. Nilam Qadheera membaca paparan tulisan yang berada di tingkat paling atas itu dalam hati. Dadanya turun naik. Dia cuba menyedut oksigen yang berada di sekeliling sebanyak mungkin. Mana tidaknya, Nilam Qadheera mengayuh basikal dari pejabat majikannya hingga ke tempat itu. Ini semua gara-gara dia terlewat bangun akibat keletihan bekerja malam tadi.
“Biar betul aku kena cuci dinding bangunan ni hari ni?” soalnya dalam keadaan mendongak.
Manik jernih peluh mengalir tanpa henti sebaik sahaja dia tiba di premis perniagaan tersebut. Nilam Qadheera menanggalkan topi lalu dia menghasilkan angin menerusi gerakan topi itu.
“Isy, takkanlah aku kena cuci tempat ni pula?” Nilam Qadheera masih tidak percaya dengan apa yang dia bakal lalui nanti. Pandangannya meliar dan tingkahnya serba tak kena. Detik itu, telefon bimbitnya berbunyi.
“Kau kat mana? Kau dah sampai belum? Kau jumpa tak alamat yang aku mesej kau tadi?” tanya si pemanggil bertalu-talu sebaik sahaja telinganya menangkap panggilan telefon disambut.
“Aman, betul ke alamat yang kau kasi ni?” Sengaja Nilam Qadheera memberi jawapan dengan pertanyaan.
Sewaktu Nilam Qadheera tiba di pejabat Kasi Bersih Services kira-kira setengah jam yang lepas, van yang membawa pekerja syarikat tersebut telah tiada. Itu menandakan yang dia benar-benar lewat. Oleh itu, Nilam Qadheera terpaksa ke tempat yang dijadualkan untuk pembersihan secara sendiri dengan jalan pintas. Memandangkan tempat tersebut pertama kali menerima khidmat pembersihan daripada Kasi Bersih Services, Nilam Qadheera meminta Aman memberikan alamat syarikat itu.
“Nil, kau tak sampai-sampai lagi? Kau ingat sekarang ni ada masa lagi ke kau nak tanya macam tu? Yang penting kau kena sampai cepat. Bapak mertua tiri kau ni asyik tanya kau kat mana. Aku dah tak tahu nak temberang apa lagi nak cover kau. Aku cakap kau semalam makan julap sebab sembelit dah dua hari.”
Bapa mertua tiri yang dimaksudkan oleh Aman ialah bos mereka, Encik Rahim.
“Kau cakap aku makan julap? Kurang adab. Itu biadab. Kau pun satu, lain kali munasabah sikit alasan tu kalau kau nak temberang.”
“Munasabah tak munasabah, kau datang sini cepat.”
“Aku rasa aku dah sampai. Tapi, tak tahulah betul ke tak tempat ni,” dalih Nilam Qadheera.
“Kau tengok tempat parking. Kalau kau nampak van ala-ala Scooby Doo, maknanya betullah tu. Kalau kau tak nampak, kau cari sampai jumpa. Aku nak sediakan barang-barang ni. Lincah sikit. Sampai aje terus naik atas bumbung,” arah Aman sebelum dia memutuskan panggilan.
Mata Nilam Qadheera memandang skrin telefon bimbit yang gelap. Dia mengeluh sekali lagi. Nak tak nak, terpaksa juga dia melangkah.

LAMPU menunjukkan arah ke atas terpadam. Pintu lif terbuka. Kosong dan tiada siapa-siapa. Setelah berjalan masuk ke dalam lif, Alfatah terdiam sekejap.
Dia baru sahaja selesai berurusan dengan bahagian sumber manusia Sapphire Creative Sdn Bhd di tingkat tiga. Lemah seketika tatkala diberitahu yang pejabatnya terletak di tingkat paling atas bangunan tersebut. Menurut pekerja itu lagi, bilik pejabat untuk ketua pereka grafik terletak di bahagian hujung.
“Ada ke patut buat bangunan ni boleh nampak luar? Tinggi tu satu hal. Konon pemandangan luar tu boleh bagi inspirasi untuk designerlah, macam tu? Ceh!” Mulut Alfatah mengomel sendiri.
Tingkat yang paling atas tu tidaklah menjadi masalah sangat. Apa yang lebih membimbangkan, permukaan biliknya ialah dinding kaca yang boleh menampakkan bahagian luar. Kalau tertutup macam dinding batu-bata biasa tu tak apa juga.
Lelaki tersebut menekan butang angka tujuh lalu simbol pintu ditutup dengan perasaan berat hati. Ruang tertutup yang mampu membawa manusia dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain itu mula bergerak. Alfatah bersandar pada salah satu permukaan dinding lif. Tali beg briefcase yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri pula. Pemuda itu tidak selesa. Dia mula tidak suka dengan suasana kerjanya.
Bunyi menandakan lif terhenti menusuk ke pendengaran. Alfatah menapak ke luar sebaik sahaja pintu terbuka. Dia menggelengkan kepala dan mendecit. Kakinya terhenti setelah berjalan tiga langkah.
“Kenapa bangunan ni sampai tingkat tujuh? Dah kenapa bahagian grafik kat HQ ni kena tingkat tujuh? Kat Melaka tingkat dua aje. Letaklah bahagian promosi kat tingkat ni ke? Tak boleh?” Alfatah membebel disulami rasa geram.
Ikutkan hati, nak saja dia buat surat rayuan kepada bos besar untuk ditempatkan di tingkat bawah. Tapi, macam tak logik pula kalau dia buat macam itu. Belum ada pekerja buat surat rayuan sebab nak tukar tingkat.
Pintu kaca ke bahagian grafik dipandang lama. Alfatah lesu dan letih kerana menguruskan rumah serta kelengkapan sekolah anak saudaranya hingga lewat malam. Hari pertama melapor diri sudah ada yang tidak kena. Bukan setakat hari ini, semua jadi tak betul tatkala dia hidup dengan Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar.
Malam tadi selepas dia pulang dari gimnasium, keadaan rumah menjadi huru-hara. Barang mainan bersepahnya lain, televisyen dibiarkan tanpa ada sesiapa yang menonton. Itu belum kira sampah sarap yang bercampur aduk di dapur. Pusing dan pening Alfatah memikirkan hal tersebut.
Sebab itulah tidak sampai seminit masuk ke dalam rumah, dia keluar semula untuk mencari ketenangan. Serabut memikirkan perangai anak suadaranya yang tidak mahu mendengar kata, malah tahu menjawab pula. Memang dasar anak orang kaya yang dimanjakan. Selagi tak dapat apa yang dikehendaki, selagi itu mereka memberontak. Dia memicit kepala.
“Kau kena tahan semua ni untuk dua bulan aje, Fath. Dua bulan aje.” Alfatah memberi kata-kata semangat kepada dirinya.
Dia cuba bernafas dengan tenang. Kalau di rumah sudah stres, dia harus menjadikan tempat kerjanya satu tempat yang mampu membuatkan dirinya gembira dan selesa. Belum sempat Alfatah meredakan rasa tidak puas hati, belakang lelaki itu ditolak seseorang dan menyebabkan dia teranjak dari tempatnya berdiri.
Alfatah menoleh. Perasaan marah bertimpa-timpa.

OTOT di bahagian paha dan betis mula terasa kesan daripada kayuhan basikal tadi. Tangan perempuan itu berpaut pada selusur besi kerana keletihan. Nilam Qadheera merasakan begitu banyak anak tangga yang perlu didaki.
“Mak aih... Baru sampai tingkat tiga, tapi penat macam naik tingkat 10,” ungkap Nilam Qadheera sendiri. Topi hitam di atas kepala ditanggalkan.
Sekali lagi dia menggerakkan objek tersebut seperti kipas tangan untuk menghasilkan angin. Kalau boleh dia mahu ke aras bumbung dengan menggunakan tangga. Nampaknya niat tersebut harus dibatalkan. Jika diteruskan juga, mahunya dia tidak ada tenaga untuk membersihkan dinding luar bangunan itu.
Nilam Qadheera menguak sedikit pintu kecemasan di tingkat tiga itu. Kepalanya dijulur. Dia mahu memastikan terlebih dahulu keadaan di kawasan tersebut. Hujung matanya menangkap ada seseorang memasuki lif. Inilah peluang Nilam Qadheera untuk turut serta masuk ke dalam.
Gadis itu meloloskan diri dari pintu dengan keadaan terkocoh-kocoh. Ayunan kaki diatur pantas. Masa inilah juga topi yang berada di tangan jatuh ke lantai.
“Kejap, kejap. Jangan tutup dulu,” pinta Nilam Qadheera.
Gadis itu mengundur lalu tunduk untuk mengutip topi. Akan tetapi, pintu terus tertutup rapat. Nilam Qadheera berusaha berlari dan menekan butang simbol ke atas yang ada pada dinding. Usahanya agar pintu lif itu terbuka kembali hanyalah sia-sia.
“Terlepaslah pula,” ucap insan berumur 25 tahun itu sendiri.
Dia harus menunggu seketika. Cepat-cepat Nilam Qadheera memakai topi. Tangan kirinya cuba menutup sebahagian muka. Dia menundukkan kepala. Apabila mendengar sahaja bunyi pintu lif terbuka, Nilam Qadheera dengan pantas masuk ke ruangan tersebut. Jarinya juga laju menekan salah satu butang yang ada.
Tidak sampai seminit, perempuan itu tiba di tingkat tujuh. Dia sudah bersedia untuk bergerak cepat ke aras bumbung melalui tangga kecemasan. Sebaik sahaja ruang pintu terbuka, Nilam Qadheera mahu memulakan larian. Akan tetapi, laluannya terhalang.
Dia sama sekali tidak menjangka ada seseorang di situ. Sudahnya, sebahagian tubuh Nilam Qadheera bertembung dengan pemuda tersebut. Beg bimbit yang disangkut ke bahu itu terjatuh ke lantai.
“Tak nampak orang ke?”
Itu ayat dan pertanyaan pertama yang Alfatah lontarkan sewaktu matanya menatap raut muka Nilam Qadheera. Wajah Alfatah serius dan jelas tidak berpuas hati.
“Minta maaf, encik. Saya tak perasan ada orang kat depan pintu lif ni,” lafaz Nilam Qadheera sambil tangannya mengambil beg di lantai.
Dia menghulurkan beg kepada lelaki yang mengenakan kemeja kelabu lengan panjang berserta tali suspender dan seluar hitam. Insan yang berada di hadapannya itu kelihatan segak dengan gaya rambut spike pendek.
“Saya betul-betul minta maaf, encik. Sebenarnya saya nak cepat. Saya ada kerja,” ujar Nilam Qadheera lagi tatkala Alfatah hanya mendiamkan diri. Gadis itu cuba tersenyum untuk mewujudkan suasana mesra.
Tangan lelaki itu mengambil begnya dengan raut muka yang masam. Setelah meletakkan tali beg di bahu, Alfatah mahu melangkah menuju ke ruang pejabat.
“Saya betul-betul tak sengaja. Saya tak ada niat pun nak langgar encik. Saya minta maaf ya?” ucap Nilam Qadheera lagi tatkala menerima respons dingin Alfatah. Dia benar-benar rasa bersalah.
Pemuda itu berpaling. Tajam mata Alfatah menghunus pandangan Nilam Qadheera.
Sebaliknya, gadis tersebut hanya tersenyum. Yalah, sudah buat salah, takkan nak menyombong pula.
“Kau dah cakap minta maaf sekali tadi, kan? Aku dengar. Aku tak pekak. Satu lagi, dah langgar orang, tak payah nak senyum-senyum. Cakap sikit nak senyum, cakap sikit nak senyum. Tak payah nak gedik sangat.”
Alunan suara lelaki tersebut nyata serius. Lengkungan bibir yang terukir manis lantas menjadi rata. Setiap perkataan yang terbit umpama batu yang memantul ke dahi Nilam Qadheera. Bila suara Alfatah menusuk ke telinga lalu turun ke hati, jiwa gadis tersebut tanpa henti diserang perasaan marah. Meluap-luap amarah di hati sehinggakan dia tidak mampu untuk membidas kata-kata tersebut. Mulut Nilam Qadheera melopong.
Usai berkata sedemikian, Alfatah dengan yakin mengatur langkah.
“Aku yang salah dengar ke salah mamat ni yang memang ada masalah? Kurang adab. Mulut macam dinding lumut yang dah lama tak kena cuci. Ingat dah pakai kemeja, kerja ofis, duduk dalam air cond, dah hebat sangat ke? Orang senyum pun cakap gedik? Aku rasa dia ni makhluk asing yang tersesat kat bumi. Tak pernah jumpa manusia agaknya. Jakun nampak orang senyum.” Kedua-dua belah tangan Nilam Qadheera mengepal tumbukan.
“Munasabah ke senyum tu gedik? Tak munasabah langsung. Aku rasa kau tu yang kena muhasabah diri. Lepas ni, kalau aku terserempak dengan kau lagi, memang aku tak akan senyum kat kaulah,” bebel Nilam Qadheera lagi.
Badannya mulai panas. Penghawa dingin yang berada di bangunan itu tidak mampu meredakan kemarahan yang sedang dialami.
Arghhh... Kenapa aku tak kasi penumbuk aje kat muka mamat tu?” Tumbukan tangan kanan Nilam Qadheera sudah naik ke paras dada. Ikutkan hati memang nak saja dia masuk ke ruang pejabat tersebut. Kasi sound sikit mamat jakun tu.
“Kau dah kenapa ni?” soal suara itu dari arah belakang.
Nilam Qadheera lantas menoleh. “Aman?”
“Kau bebel sorang-sorang kat sini?” tanya Aman lagi. Entah bila rakannya itu sampai pun dia tidak sedar.
“Aman, ada ke patut mamat tu cari pasal dengan aku?”
“Aku tak tahu mamat yang mana, tapi kau tahu tak yang sekarang ni kau tengah cari pasal dengan bos? Bos tak sudah-sudah sebut nama kau.”
Nilam Qadheera menepuk dahi. Alamak! Matilah kau, Nil. Dia hampir lupa Encik Rahim sedang menantinya di atas bumbung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan