Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 9

KE kiri dan ke kanan dia mengubah posisi baringan. Perasaan bersalah mengganggu jiwa. Macam-macam tuduhan dan hukuman yang diberikan kepada Zulaikha tanpa usul periksa.
Wajah lembut yang selalu dicuri pandang itu kembali menghiasi lamunannya. Salahnya juga kerana bersangka buruk kepada gadis sebaik Zulaikha. Bodohnya dia kerana matanya ditutupi dengan keegoannya.
“Karl, awal balik hari ni?” Puan Fasihah masuk ke bilik puteranya itu setelah panggilannya itu tidak bersahut. Rupanya anaknya jauh dengan lamunannya.
“Karl!” Nama itu dipanggil lagi. Kali ini lebih kuat. Badan anaknya itu digoyangkan perlahan.
Tersentak Tengku Haikal bila melihat kelibat Puan Fasihah sudah ada di sebelahnya. Terpinga-pinga. Bila pula mamanya di situ? Pelan-pelan ditarik senyum. Pangkal lehernya digaru-garu.
“Jauhnya lamunan. Ingatkan siapa?” Sinis soalan Puan Fasihah.
“Tak adalah, mama. Mana ada Karl fikirkan sesiapa.” Disimpan rapi apa yang sedang mengganggu fikirannya saat ini. Biar ia menjadi rahsia.
“Karl ada masalah?” soal Puan Fasihah lembut. Dilayan anaknya itu bagaikan anak kecil. Layanan itu tetap sama seperti dahulu. Belakang anaknya itu dibelai perlahan.
“Tak ada apa-apalah, mama.” Tengku Haikal menyembunyikan gelodak perasaan yang mengganggu jiwanya.
“Awal Karl balik hari ni?” soal Puan Fasihah lagi.
Tengku Haikal mengukirkan senyuman. “Mama dah lupa? Pagi tadi kan mama pesan kat Karl supaya balik awal. Ada tetamu nak datang. Itu yang Karl balik awal hari ni. Siapa tetamu yang mama maksudkan tu?”
Tengku Haikal pandai mengalihkan perhatian Puan Fasihah. Berjaya juga dia mengalih topik.
“Mak Long Zuraidah...” beritahu Puan Fasihah dengan sederet senyuman.
Bila lagi nak kenalkan Tengku Haikal dengan ibu saudaranya itu. Selama Tengku Zuraidah pulang ke Malaysia, Tengku Haikal masih belum berkesempatan berjumpa dengan anaknya Tengku Haikal.
“Mak long?” Tengku Haikal cuba mengingati sesuatu. Cuba menangkap gerangan yang Puan Fasihah maksudkan.
“Mak long mana, mama?” Berkerut muka Tengku Haikal cuba menangkap wajah yang dimaksudkan
“Kakak papa.” Pantas Puan Fasihah menjawab.
“Oh, mak long yang kahwin dengan orang putih tu?” teka Tengku Haikal.
Laju Puan Fasihah menganggukkan kepalanya.
Pernah juga dia dengar cerita tentang mak longnya itu daripada Nenda Fauziah sebelum ini. Tidak sangka malam ini mereka akan berjumpa juga. Sebelum ini dia langsung tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu. Bila mak longnya datang ke rumah, dia pula ada hal di luar rumah. Selalu sahaja begitu, hinggakan tiada langsung kesempatan untuk berjumpa.
“Hmm, tahu pun. Banyak kali mak long nak jumpa Karl, tapi selalu sahaja tak dapat. Harap malam ni kesampaianlah hasrat mak long.” Belakang Tengku Haikal ditepuk perlahan.
“Ialah, mama. Mama ni cakap macam mak long tu nak datang merisik Karl pulak,” sambut Tengku Haikal dengan gurauan.
Meleret senyuman Puan Fasihah menyambut gurauan Tengku Haikal. Memang itulah niatnya. Kalau ikutkan hatinya, ingin disatukan sahaja Tengku Haikal dengan anak Tengku Zuraidah.
“Apa-apa ajelah Karl. Bersiap cepat. Tolong mama apa yang patut kat dapur.” Puan Fasihah minta pertolongan Tengku Haikal, memandangkan anak teruna itu hebat bila di dapur.
“Ialah, Karl ni kan anak dara mama. Siapa lagi yang nak tolong, kan?” sambut Tengku Haikal lagi
“Cepat tau!” Puan Fasihah sudah bangun daripada duduk. Banyak kerja di dapur yang masih tertangguh.
“Ia, mama. Nanti Karl turun.” Tengku Haikal mahu membersihkan diri dan solat dahulu.
Dia pun teringin untuk berjumpa dengan mak longnya, Tengku Zuraidah. Ingin juga dia kenali wanita yang sering diceritakan Nenda Fauziah sebelum ini. Insan pertama dalam keluarga yang menentang adat turun-temurun keluarga dalam pemilihan teman. Hebat sangatkah dia?

“AMBOI, banyaknya hidangan untuk makan malam. Fasihah yang masak ke semua ni?” soal Tengku Zuraidah kepada adik iparnya. Terkejut bila melihat hidangan tersusun di meja. Ada beberapa masakan kegemarannya di situ.
“Siapa lagi, kak long. Isteri sayalah yang masak semua ni. Nak harapkan Manda, sampai ke esok pun kita tak dapat makan malam ni.” Tengku Malik memuji-muji isteri kesayangannya.
Tengku Amanda pula hanya tersengeh sumbing bila disinis oleh papanya. Tertunduk malu.
“Papa ni, nanti Manda belajarlah,” jawab Tengku Amanda malu-malu.
“Kamu tu dah bersuami. Kenalah rajin-rajin masak. Takkan suami kamu pulak yang nak masak,” bebel Tengku Malik. Sudah tahu sangat dengan anak perempuan tunggalnya itu. Bab memasak ini, memang bermasalah.
“Abang Akim tak kisah pun Manda tak pandai memasak,” jawab Tengku Amanda tersenyum-senyum sambil dijeling manja suaminya.
Malu juga kepada suaminya. Sejak tinggal sebumbung dengan suaminya dia juga selalu masak. Tetapi rasa makanan itu, tidak boleh sampai ke tekak. Ada sahaja yang tidak kena. Akhirnya dibuang ke singki.
“Sebagai orang perempuan kenalah tahu semua tu. Itu salah satu senjata seorang isteri,” sambung Tengku Malik.
“Ialah, papa. Eh, dari tadi, Manda tak nampak pulak Abang Karl. Mana dia?” Baru dia perasan akan ketiadaan Tengku Haikal. Lupa pula kepada abangnya.
“Lupa pulak. Tadi lepas tolong mama masak, dia naik atas, solat. Nanti turunlah tu.” Puan Fasihah memandang jam yang tergantung pada dinding.
Baru nama itu disebut, dah timbul kelibatnya. Tersenyum Puan Fasihah menyambut kedatangan Tengku Haikal.
“Maaf, Karl terlambat. Lepas solat, terlelap pulak.” Tengku Haikal menghampiri ruangan dapur kering itu. Kerusi kosong di sebelah Akim ditariknya.
“Abang Karl memang macam ni, mak long. Kaki tidur,” sampuk Tengku Amanda.
“Eh, sedap mulut aje cakap macam tu kat abang. Nanti abang sumbat cili api dalam mulut tu baru tahu,” balas Tengku Haikal serius walaupun hakikatnya dia sedang bergurau.
Menggeleng Tengku Malik dengan sikap anak-anaknya. Bukannya mahu disalam atau disapa Tengku Zuraidah. Mahu bergaduh pula di depan tetamu.
“Karl, kalau ya pun, salamlah dulu dengan mak long. Kenalkan diri,” tegur Tengku Malik.
Tengku Haikal menepuk dahinya. Tersengeh malu dengan sikapnya itu.
“Oh, inilah Haikal. Selalu tengok dalam gambar aje. Lagi kacak di luar,” puji Tengku Zuraidah ikhlas.
Tengku Amanda yang mendengar pujian itu mula mengipas telinga. Dijeling abangnya yang masih tersenyum lebar. Banggalah tu!
“Jangan dipuji sangat, Abang Karl ni, mak long. Nanti dia perasan.” Labuh bibir Tengku Amanda dijuihkan. Nak termuntah.
“Alah, Manda cemburulah tu sebab mak long tak puji dia.” Buruk mimik muka Tengku Haikal mengejek riak wajah Tengku Amanda.
Tengku Zuraidah ketawa melihat dua gelagat dan kerenah anak-anak saudaranya itu. Sudah dapat dibayangkan gelagat dua beradik itu pada zaman kanak-kanak dahulu. Pasti begitu lincah gelagat mereka.
“Eh, kita semua dah ada. Mana anak kak long? Tak sudah cakap telefon lagi ke?” Puan Fasihah memanjangkan kepalanya. Mencari kelibat anak buahnya itu.
“Nanti kak long panggil.” Tengku Zuraidah berganjak ke belakang. Menolak kerusi mengambil ruang untuk berdiri
Tengku Amanda kalut menggelengkan tangannya. “Mak long duduk aje. Biar abang Karl aje yang panggilkan. Boleh kan, abang?”
Tengku Amanda sengaja ingin kenakan abangnya Tengku Haikal. Lagipun dia sudah tahu mama dan papanya ada juga menyuarakan untuk menyatukan mereka berdua. Inilah masanya untuk mendekatkan mereka berdua.
“Betul tu. Apa kata Karl yang panggilkan? Ika ada kat luar tu.” Puan Fasihah setuju sangat dengan rancangan Tengku Amanda. Bila lagi nak rapatkan silaturahim anaknya dengan bakal menantunya itu?
“Karl?” Tertelan liurnya. Mamanya meminta dia memanggil sepupunya itu? Entah kenapa hatinya rasa sedikit gugup. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan