Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 25 Februari 2016

Cinta Tingkat Tujuh - Bab 7

BUNYI Vespa berwarna biru kedengaran dari seberang jalan. Mak Cik Kejora yang sedang duduk di gerai kecil bertemankan payung besar itu menjeling sekejap ke arah tersebut.
“Assalamualaikum, wahai Kejora hatiku,” ucap Wak Jopri sebaik sahaja tiba di hadapan mata Mak Cik Kejora. Jambul di depan yang sudah rapi itu disikatnya lagi. Biar makin handsome.
“Waalaikumussalam. Tak payah nak Kejora hatiku sangatlah. Nah, nasi lemak dengan epok-epok daging kau macam biasa.”
“Eh? Dah sedia dah? Baru nak minta. Macam tahu aje apa yang aku nak? Kau dah mula rasa isi hati aku ke?” usik Wak Jopri dengan senyum simpul hingga ke telinga.
“Tak ada maknanya. Kalau dah hari-hari tu aje yang aku jual. Takkanlah kau nak beli tayar basikal pula.”
“Kau ni, garang sangatlah Jora. Cuba kau kasi buka sikit pintu hati kau untuk aku ni.”
“Aku malas nak layan. Hari-hari tu aje modal kau nak cakap kat aku. Lain kali, cubalah tukar sikit teknik kau nak mengurat aku tu. Kau tak nak balik ke? Aku nak meniaga ni,” ungkap Mak Cik Kejora dengan garang terhadap lelaki berkumis nipis itu.
“Aku belum nak balik lagi ni.”
“Kalau kau tak nak balik lagi, kau nak buat apa kat sini? Takkan nak jadi pak gad kat gerai aku pula? Aku tak ada duit nak bayar gaji kau.”
“Daripada aku jadi pak gad gerai kau, lebih baik aku jadi pak gad hati kau, Jora. Seumur hidup aku sanggup, tak payah bayar.”
Mak Cik Kejora menjeling dan mulutnya berkumat-kamit kecil, memarahi Wak Jopri. Wak Jopri tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menambat hatinya. Tak sudah-sudah lelaki itu meluahkan ayat yang mampu menaikkan bulu roma.
“Kau janganlah buat muka macam tu. Okeylah, aku sebenarnya nak jumpa Nil. Dia dah pergi kerja ke?”
Terkebil-kebil sekejap mata wanita itu memandang Wak Jopri. Tidak pernah-pernah orang tua ni cari Nil kalau datang. Buang tabiat ke? Tak dapat mengurat mak cik, pindah anak saudara pula? monolog Mak Cik Kejora dalam hati.
“Selalu datang sini cari aku. Kenapa hari ni cari Nil?”
“Kau cemburu ke? Janganlah kau bimbang, nama Kejora akan tetap bertakhta di hatiku.”
“Nil tak ada kat rumah. Dia baru aje pergi kerja tadi.”
“Awalnya pergi hari ni? Aku ada benda nak beritahu dia.”
Mak Cik Kejora bertambah hairan. Wajah Wak Jopri cuba ditafsir. “Tadi, aku nampak kau berbual dengan lelaki yang baru pindah tu. Lepas tu kau tunjuk-tunjuk gerai aku ni kat dia. Kau cakap apa dengan budak tu?”
Belum sempat Wak Jopri mahu menjawab, deruman enjin kereta itu muncul. Sebaik sahaja Wak Jopri memberi cadangan untuk berjumpa dengan Mak Cik Kejora tadi, Alfatah mengambil keputusan untuk mengambil Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar di rumah terlebih dahulu. Senang juga nanti Mak Cik Kejora berkenalan dengan anak saudaranya.
“Aku cari Nil sebab budak baru pindah tulah. Ada kerja untuk Nil. Mana tahu dia nak.”
“Kerja?” aju Mak Cik Kejora sambil keningnya terjongket.
Mata Mak Cik Kejora dan Wak Jopri lantas tertumpu pada kenderaan jenis hybrid itu. Susuk tubuh tegap dan segak sedang tertunduk di bahagian pintu kereta. Alfatah mengalihkan kerusi di bahagian tempat pemandu ke hadapan sedikit memandangkan kereta tersebut merupakan jenis dua pintu. Kelihatan lelaki itu sedang memaksa anak saudaranya untuk keluar.
“Zaffi, Muzaf, cepat keluar. Kita nak jumpa dengan orang yang akan jaga Zaffi dengan Muzaf. Kalau lambat kau orang keluar, nanti lambat nak sampai sekolah.”
Susunan kata itu yang terdengar di telinga Mak Cik Kejora dan Wak Jopri. Mereka berdua saling berpandangan. Lebih kurang setengah minit, dua kanak-kanak itu keluar dengan wajah yang masam.
“Zaffi nak ada driver macam Pak Mat.”
“Pak su cakap apa semalam? Jangan nak buat perangai tu lagi.” Alfatah memberi amaran tegas dengan nada yang hanya mereka bertiga sahaja dengar.
Ketara wajah Rayhan Muzaffirah tidak senang.
“Saya minta maaf wak, mak cik. Zaffi ni memang banyak kerenahnya.”
Wanita tua itu hanya tersenyum kelat.
“Zaffi, Muzaf, salam nenek dengan atuk.”
Si kembar tidak bergerak.
“Zaffi, Muzaf...” Alunan suara Alfatah bertambah tegas.
Rayhan Muzaffar terlebih dahulu bertindak. Barulah disusuli Rayhan Muzaffirah. Itu pun macam rela dalam paksa.
“Kembar sepasang ya?”
Alfatah mengangguk dengan senyuman.
Mak Cik Kejora menghampiri kanak-kanak tersebut. “Siapa nama? Darjah berapa ni?”
Rayhan Muzaffirah membisu. Dia tidak mahu menjawab. Sebagai penyelesaian, Rayhan Muzaffirah segera beredar dan masuk ke dalam kereta.
“Zaffi, tunggu Muzaf,” ujar budak lelaki tersebut lalu menuruti kakak seirasnya yang lahir 10 minit lebih awal itu.
Alfatah terkelu melihat tindakan mereka sehinggakan tidak mampu berkata apa-apa. Pintu kereta pantas ditutup dengan kuat. “Saya minta maaf mak cik. Zaffi dengan Muzaf memang tak bercakap sangat dengan orang yang dia tak kenal.”
“Eh, tak apa. Mak cik faham. Comel anak-anak kamu tu.”
“Sebenarnya dia orang tu anak saudara saya. Nama saya Shukri Alfatah. Mak cik boleh panggil saya Fath. “
La hawla wala quwwata illa billah. Cik ingat anak-anak Fath. Fath belum kahwin lagilah ya? Fath boleh panggil mak cik, Cik Jora aje.”
“Saya nak jumpa mak cik ni pun sebab dia orang ni.”
“Atau lebih tepat lagi, Fath ni nak jumpa dengan Nil,” celah Wak Jopri.
“Nil?”
“Saya tengah cari orang yang boleh jaga Zaffi dengan Muzaf masa saya bekerja. Wak Jo cakap anak saudara mak cik tu boleh tolong saya.”
“Ooo... Macam tu ke? Berapa gajinya?” Serta-merta soalan itu terpacul. Haruslah. Kalau cerita kartun, mata Mak Cik Kejora dah bertukar menjadi simbol wang.
“Pasal gaji, Cik Jora jangan risau. Saya sanggup bayar berapa aje.”
“Sanggup bayar berapa aje?”
“Ya, Cik Jora.”
“Betul ni?”
“Saya memang perlukan sangat-sangat orang untuk jaga dia orang. Tapi, tak lama, mungkin dua bulan macam tu. Sebab mama dengan papa dia orang ada kerja kat luar. Dalam tempoh tu, saya yang kena jaga Zaffi dan Muzaf. Kalau boleh saya nak mula hari ni.”
“Kalau sanggup bayar berapa aje, Cik Jora setuju.”
“Eh? Kau setuju macam tu aje? Tak nak tanya Nil dulu?” soal Wak Jopri, terperanjat sekejap mendengar buah hatinya itu membuat keputusan bagi pihak Nilam Qadheera. Kalau pasal duit, memanglah Mak Cik Kejora tak nak lepaskan.
“Kalau pasal Nil, tak payahlah risau. Cik Jora yakin 100 peratus yang Nil akan setuju kalau berkaitan dengan duit ni. Kalau Nil tengah kerja, Cik Jora pun boleh tolong jaga. Cik Jora memang duduk rumah aje. Masak-masak pun kat rumah.”
Erk? Kalau berkaitan duit tu rasanya Mak Cik Kejora yang nak, bukan Nilam Qadheera.
“Betul ke ni?”
“Betul, asalkan Fath setuju dengan bayaran yang cik minta.”
“Kalau Cik Jora dah cakap macam tu, saya hantar dia orang pergi sekolah dulu. Takut terlambat pula. Lepas tu saya patah balik sini kejap, kita bincang,” cadang Alfatah sambil memandang sekilas jam tangannya.
“Ha, boleh. Cik Jora setuju.”
“Saya pergi dululah ya? Nanti kita jumpa lagi.”
Alfatah sudah bersedia untuk beredar. Namun, suara Mak Cik Kejora membantutkan niatnya.
“Eh, nanti dulu.”
“Kenapa?”
“Fath tak nak beli nasi lemak ke? Kalau tak nak nasi lemak, kuih pun ada.”
Lelaki itu terpinga-pinga. Nampaknya Alfatah sudah terjebak dengan helah dan muslihat Mak Cik Kejora. “Saya dah sarapan tadi.”
Tidak pernah pula dengar sebelum ini akan istilah kena beli. Ini kes kena paksa namanya.
“Tak apa, boleh makan bila dah lapar nanti. Belikan sekali untuk budak-budak tu. Dia orang boleh makan masa rehat,” ujar Mak Cik Kejora sambil tangannya ligat membungkus makanan tersebut ke dalam daun pisang.
Alfatah tak berkata pun yang dia setuju. “Saya dah kasi dia orang duit belanja.”
“Jangan macam tu. Sesiapa yang dah jejak gerai mak cik, mesti kena beli.”
Wak Jopri yang menjadi tukang memerhati dari tadi menggelengkan kepala sambil tertawa kecil. Itulah strategi pemasaran perniagaan nasi lemak Mak Cik Jora. Hendak ataupun tidak, terpaksa juga Alfatah menurut permintaan tersebut. Wajah lelaki itu jelas keliru.
Kalau hendak tahu, cita-cita Mak Cik Kejora ialah mahu setiap penduduk di kawasan tersebut merasa keenakan nasi lemaknya walaupun sekali. Sebab itulah tempoh hari dia tidak tenang bila Alfatah langsung tidak menyinggah di gerainya.

LANGKAH kaki yang diatur di kawasan koridor tingkat tujuh itu lantas terhenti sebaik sahaja tiba di rumah bernombor tujuh. Basikal yang diseret bersama disandarkan pada dinding. Kepala Nilam Qadheera tertunduk. Matanya tertumpu pada dua pasang kasut saiz kanak-kanak itu.
Siapa punya kasut sekolah ni? Apis punya? Takkanlah. Kaki budak tu bapak gajah, desis Nilam Qadheera dalam hati. Dua pelepah pisang masih lengkap berdaun dipikul ke bahu.
Sebaik sahaja memasuki rumah, gadis tersebut memberi salam. “Assalamualaikum, orang dah balik ni.”
“Waalaikumussalam,” sambut Mak Cik Kejora dari dapur.
Nilam Qadheera menolak lalu daun pintu tertutup rapat. “Cik Jora, tu kasut sekolah siapa? Sejak bila pula rumah kita ada budak ke...”
Kata-kata Nilam Qadheera terhenti tanpa noktah tatkala melihat ada sepasang kembar sedang duduk di sofa.
Rayhan Muzaffirah memandang tepat ke arah Nilam Qadheera manakala Rayhan Muzaffar sedang enak menghirup minuman susu di dalam kotak yang dibeli oleh Mak Cik Kejora dalam perjalanan pulang tadi.
“Orang salah masuk rumah ke?”
“Apanya salah masuk rumah?” balas Mak Cik Kejora dengan pisau di tangan. Dia sedang mengupas bawang sebelum kerja itu terhenti dek suara anak saudaranya.
Daun pisang beralih tangan. Tanpa menghiraukan ibu saudaranya di sisi, Nilam Qadheera merenung lama Rayhan Muzaffirah dan Rayhan Muzaffar.
“Apa yang kau tengok?”
“Sejak bila Apis ada adik baru?”
“Kau ni nak buat gosip apa pula, Nil? Aku tak ada lelaki lain selain arwah pak cik kau.”
“Habis tu? Budak berdua ni siapa?”
“Tadi, Cik Jora ambil dia orang balik dari sekolah.”
“Astaghfirullah al-azim. Cik Jora culik budak-budak ni?”
“Aku masih waras walaupun hutang kain Leha dan karpet aku dengan Bangla tu tak habis-habis.”
“Cik Jora betul tak culik dia orang ni? Biasanya penculik ni culik budak masa dia orang balik dari sekolah,” usik gadis itu lagi.
“Tak. Aku tak culik.”
“Dah tu, kenapa budak-budak ni ada kat rumah kita?”
“Sebelum Cik Jora cerita, kau jawab dulu soalan Cik Jora.”
“Tak munasabah. Orang tanya dia, dia tanya orang balik.”
“Kau dengar ajelah soalan aku. 2000 kali dua berapa?”
“4000.”
“4000 kali dua?”
“8000.”
“Pandai pun.”
“Cik Jora, tengah hari buta soal orang sifir ni dah kenapa? Tahulah SPM orang paras hidung aje.”
“Ni tak ada kena-mengena dengan SPM kau. Kau rasa 8000 ringgit tu banyak tak?”
Berlapis-lapis jadinya dahi Nilam Qadheera yang rata tatkala mendengar pertanyaan tersebut. Setiap raut wajah orang tua itu ditatap. Dia cuba mentafsir pertanyaan Mak Cik Kejora. Lama-kelamaan mata Nilam Qadheera membuntang luas. “Cik Jora culik dia orang ni dan minta 8000 aje?”
“Kalau aku culik budak-budak ni, lebih baik aku minta lapan juta. Budak-budak ni sebenarnya anak saudara orang depan yang baru pindah tu.”
“La... Kalau gitu, rumah budak ni kat depan sanalah. Yang dia orang duduk sini kenapa?”
Tidak sempat Mak Cik Kejora menjawab, Rayhan Muzaffirah bersuara. “Kenapa TV ni tak boleh on?”
Ibu jari budak perempuan tersebut berulang kali memicit butang merah yang ada pada alat kawalan jauh.
“Dik, TV tu memang tak boleh on sebab remote tu tak ada bateri. Nak guna, baru pasang. Lagipun, nenek ni dah cabut plag TV tu. Ini namanya penjimatan. Ada faham?” beritahu Nilam Qadheera sambil mencekak pinggang.
“Jimat ke kedekut?” bidas Rayhan Muzaffirah.
“Eh, budak ni, sesedap aje mulut nak cakap apa. Satu lagi, mana boleh on TV rumah orang sesuka hati?”
“Dahlah tu, Nil,” sekat Mak Cik Kejora, segera meleraikan pertengkaran tersebut lalu memasang plag ke soket dinding. Televisyen yang gelap kini menyala.
“Cik Jora kasi aje budak-budak ni tengok TV? Kalau dia orang nak tengok TV, baliklah rumah sana. Apis dengan Nil nak tengok bukan main Cik Jora bebel.”
“Dengan budak-budak ni pun kau nak berkira. Cik Jora anggap ni pelaburan.”
“Pelaburan? Bursa saham mana pula...”
“TV ni tak best. Kecil. Tak nampak apa-apa pun. Dahlah kecil, lepas tu tak terang. TV gemuk ni tak canggihlah. Lain kali belilah TV besar dan nipis.”
Nilam Qadheera dan Mak Cik Kejora berpandangan. Terkejut bukan kepalang dengan kenyaatan tersebut. Berani Rayhan Muzaffirah mengutuk TV 29 inci model lama tu?
“Budak sombong mana yang Cik Jora kutip ni?” soal Nilam Qadhera.
Mak Cik Kejora pula sedang mengurut dada, cuba menahan marah. Sabar... sabar... Pelaburan... 8000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan