Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku Bab 3

“KARL ada apa-apa hubungan dengan Marsha ke?” soal Tengku Malik dengan kening menjongket. Sudah kecoh di syarikat akan gosip hubungan Tengku Haikal dan Marsha berskandal. Makin meyakinkan, bila melihat keakraban mereka berdua baru-baru ini.
“Karl tak ada apa-apa hubungan dengan Marsha, papa.” Tengku Haikal tertunduk. Apa yang dirisaukannya terjadi juga.
“Kat pejabat dah kecoh cerita hubungan Karl dan Marsha. Karl nak nafikan lagi? Kalau tak betul, kenapa semua ni kecoh dikatakan di sana sini?” Puan Fasihah juga tidak berpuas hati.
Semua itu dibangkitkan bila pertama kali Marsha hadir ke majlis kenduri Tengku Amanda.
Tengku Haikal balas renungan Puan Fasihah, harapkan simpati daripada mamanya. “Karl dengan Marsha kawan biasa saja, mama”
“Berpeluk bagai itu kawan biasa? Nenda cukup tak berkenan perempuan macam tu. Naik pekak telinga nenda bila ada saudara-saudara kita bangkitkan perihal ni. Malu nenda sebab tak dapat nak didik cucu-cucu nenda seperti yang diharapkan.” Terpancar kekecewaan pada wajah Nenda Fauziah.
“Err, Karl...” Mulut Tengku Haikal bagaikan sudah dituang batu bata yang berat hingga tidak mampu nak berkata-kata lagi.
“Tak cukup lagikah didikan agama yang papa dan mama berikan selama ni? Malu papa, Karl.” Tengku Malik juga cukup kecewa dengan apa yang berlaku. Keluarganya yang sebelum ini menjadi contoh baik mula tergugat dengan masalah yang dilakukan oleh salah seorang anaknya.
“Karl minta maaf.” Tertunduk Tengku Haikal ke bawah tidak berani membalas pandangan Tengku Malik.
“Sekarang nenda faham Kenapa Karl tolak semua pilihan nenda.” Tersekat suara Nenda Fauziah, sedih. Apatah lagi bila melihat sendiri pilihan cucunya itu langsung tidak sopan.
“Nenda, Karl tak ada niat nak bantah cakap nenda. Bukan Karl saja nak tolak pilihan nenda. Karl cuma mahukan ruang untuk pilih calon isteri Karl sendiri.” Tengku Haikal membalas kata-kata.
Sampai bila adat temurun ini akan terus dilaksanakan? Semuanya itu tidak perlu lagi dalam zaman begini.
“Karl!” Serentak Tengku Malik dan Puan Fasihah bersuara. Tidak senang dengan jawapan yang dibalas Tengku Haikal.
Tengku Amanda dan Akim hanya saling berpandangan antara satu sama lain. Akim sempat memberi isyarat kepada Tengku Amanda agar diam sahaja.
“Biarlah Malik, jika itu yang Karl nak. Bonda dah tak mahu ambil tahu lagi.” Nenda Fauziah bangun daripada duduknya. Terus kakinya melangkah naik ke atas. Berkecil hati dengan kata-kata Tengku Haikal.

TENGKU HAIKAL meraup mukanya, lalu melepaskan keluhan berat. Salahnya juga kerana membalas teguran Nenda Fauziah sehingga dia berkecil hati dengannya. Dia sekadar ingin menyuarakan apa yang bersarang di hati.
Dia berdiri di anjung balkoni bilik dengan mata memanah pandang keluar ke ruang taman besar di hadapan. Selalunya waktu petang begini Nenda Fauziah akan duduk di depan kolam kecil di halaman rumah sambil memberi makan pada ikan-ikan peliharaannya. Kadangkala dia akan menyiram pokok-pokok bunga yang ditanamnya.
Tiada kelibat Nenda Fauziah pada petang ini. Pemandangan di taman kosong dan nampak suram tanpa nendanya. Masih merajukkah Nenda Fauziah? Rasa bersalah mula mencengkam di hati. Apatah lagi Nenda Fauziah tidak mahu berjumpa dengannya walau seketika. Dari situ sudah jelas, Nenda Fauziah begitu marahkannya.
Argh! Bagaimana aku dapat puaskan hati nenda? Takkan aku perlu terima saalah seorang pilihannya, baru dimaafkan? Tak mungkinlah!
Gambar-gambar gadis yang bertudung litup yang masih terletak di mejanya diambil lagi, lalu punggung menghenyak ke kerusi. Kali ini satu per satu gambar itu direnung lama. Cuba mencari kelebihan yang ada pada setiap raut wajah itu. Namun, tiada sesiapa pun yang dapat memikat hatinya. Jiwanya kosong saat memandang wajah-wajah itu.
Telefon yang berdering dibiarkan sahaja. Apatah lagi nama yang tertera pada skrin adalah nama Marsha. Mendengus Tengku Haikal, lalu telefon diselitkan di bawah bantal. Tindak-tanduk Marsha tempoh hari menjadi perhatian pada setiap mata yang memandang dan menjadi perbalahan yang tidak sepatutnya.
Tengku Haikal bangun daripada duduknya dan keluar dari bilik. Dia perlu terangkan kedudukan sebenar hubungannya bersama Marsha kepada Nenda Fauziah. Apa yang didengar selama ini hanyalah gosip yang digembar-gemburkan dan ditokok tambah. Dia langsung tiada apa-apa perasaan kepada Marsha. Tidak sangka layanan baiknya kepada Marsha sudah disalahertikan.
Kakinya melangkah ke arah bilik Nenda Fauziah. Pintu bilik diketuk dan salam juga diberi. Tetapi, tiada sahutan salam dari dalam bilik. Sepi. Tengku Haikal memberanikan diri memulas tombol pintu bilik. Matanya menangkap ke ruang bilik yang luas itu setelah pintu terkuak luas. Tiada kelibat Nenda Fauziah dilihat.
“Nenda...” Tengku Haikal memanggil Nenda Fauziah.
Tidak puas hati dia mula mengatur langkah ke dalam bilik yang sepi itu. Terasa tenang sahaja bilik itu dengan bau wangian yang lembut menenangkan jiwa.
“Nenda...” Pintu bilik mandi yang berkunci itu diketuknya, tetapi tiada sahutan juga.
Bunyi kereta di luar rumah membuatkan Tengku Haikal beralih arah ke tingkap yang sedikit terkuak. Nenda Fauziah dipimpin seseorang ke kereta yang masih belum dimatikan enjinnya. Papa dan mamanya juga turut berada di situ, saling bersalaman. Tapi, kenapa? Ke mana Nenda Fauziah mahu pergi? Siapa pula perempuan tu? Tengku Haikal cuba mengamati susuk tubuh lampai itu. Namun, dia tidak dapat menangkap milik tubuh itu.
“Nenda!” Kuat Tengku Haikal menjerit bila melihat Nenda Fauziah masuk ke dalam perut kereta. Cepat langkahnya diatur keluar dari bilik untuk mendapatkan nendanya. Berlari-lari Tengku Haikal menuruni anak tangga.
Kereta tadi sudah jauh hilang daripada pandangan.
“Nenda nak ke mana, mama?” soal Tengku Haikal. Nafasnya yang tidak senada itu sedikit membuatkannya lelah.
Puan Fasihah terus berlalu masuk ke dalam perut rumah tanpa membalas pertanyaannya.
“Papa, nenda nak ke mana dengan beg besar semua tu?” Soalan beralih kepada Tengku Malik pula.
Tengku Malik juga turut diam. Bahu Tengku Haikal ditepuk perlahan dan dia terus berlalu mengikut isterinya ke dalam rumah.
“Abang...” Lembut suara Tengku Amanda menyapanya. Wajah Tengku Haikal dipandang lama.
“Nenda ke mana?” soal Tengku Haikal perlahan. Suaranya seakan-akan sudah ingin tenggelam dengan rasa bersalah. Hatinya menjadi sebak tiba-tiba.
“Nenda dah pergi. Mulai saat ni, nenda tak tinggal dengan kita lagi,” terang Tengku Amanda dengan mata yang sudah berkaca.
Mata Tengku Haikal juga turut berkaca pada saat ini. Lemah sahaja lututnya untuk gagah berdiri. Kerana mulutnya itu, Nenda Fauziah pergi dan berkecil hati. Nenda, maafkan Karl!

KEADAAN rumah sunyi sahaja tanpa Nenda Fauziah dan bila masing-masing melayan perasaan sendiri. Wajah di depannya dipandang seorang demi seorang. Tak sanggup rasanya terus begini.
“Papa, mama, Karl minta maaf. Sebab Karl, nenda pergi.” Terluah juga akhirnya. Takkan dia mahu terus berdiam? Tak sanggup dipinggirkan begitu.
Puan Fasihah tidak mengendahkan kata maaf Tengku Haikal. Tengku Malik pula hanya membuang pandangan kosong kepada anak terunanya itu.    
“Sepatutnya Karl tak balas kata-kata nenda. Kerana keceloparan mulut Karl, semuanya jadi macam ni.” Mendatar kata-kata Tengku Haikal dengan penuh rasa penyesalan. Mengakui kesilapannya.
Tengku Malik dan Puan Fasihah memandang Tengku Haikal redup. Sudah tidak guna lagi, semuanya sudah terlewat.
“Papa, mama, Karl minta maaf sebab Karl dah malukan keluarga kita.” Mi goreng yang dijamah ditolak ke tepi. Tiada selera untuk menjamahnya lagi.
“Perkara dah jadi. Lepas ni, Karl perlulah beringat.” Lembut suara Puan Fasihah.
“Karl tahu dan mengaku kesilapan Karl, tapi apa yang Karl nak papa dan mama tahu sekarang, cerita yang digembar-gemburkan di pejabat tu langsung tak betul. Karl tak ada apa-apa hubungan dengan Marsha. Tak sangka hubungan kami yang baik tu disalahertikan.
“Karl juga tak sangka, Marsha nak berkelakuan begitu semasa majlis Manda. Karl tak suka apa yang dia buat tu. Karl dah larang dia daripada dekati diri Karl selepas ni,” terang Tengku Haikal lagi.
Kalau boleh dia mahu pulangkan kembali kepercayaan keluarganya.
“Karl, sebab itulah nenda selalu berpesan, berpada-pada dalam hubungan yang membabitkan antara lelaki dan perempuan. Perlu jaga batasnya agar tidak disalahertikan. Walaupun Karl tak cakap Karl sukakan Marsha, tetapi layanan Karl kat dia, macam mana? Apa anggapan Marsha kepada Karl?” Mendalam maksud soalan Puan Fasihah.
Kata-kata Puan Fasihah itu sedikit membuka matanya. Sikapnya yang acuh tidak acuh selama ini, telah memakan diri. Kerap kali juga, Tengku Hakimi berpesan, cuma dia yang tidak endahkan. Tengku Haikal sedar, dia sudah tersalah langkah. Dia perlu terangkan kedudukan sebenarnya kepada Marsha. Dia tidak mahu salah faham ini terus berpanjangan.
Zulaikha? Pasti semua cerita itu telah sampai ke telinganya dan adakah kerana ini semua membuatkan Zulaikha menjauhkan diri daripadanya? Semua itu terus menjadi persoalan di minda Tengku Haikal.
“Kalau ia pun Karl nak cari pilihan sendiri, carilah yang baik-baik. Asalkan dia tahu jaga maruah dan adabnya sebagai wanita. Itu sudah melepaskan dia sebagai calon pilihan nenda. Itulah yang nenda tekankan dalam pemilihan pasangan. Nenda bukannya sengaja ingin jodohkan Karl dengan sesiapa pun, tetapi cuma mahukan yang terbaik.”
Puan Fasihah ingat lagi kata-kata Nenda Fauziah. Walaupun dia hanyalah menantu kepada Nenda Fauziah, dia cukup bersyukur mempunyai ibu mertua sebaik Nenda Fauziah. Tidak pernah rasa terasing walaupun Puan Fasihah sebenarnya daripada golongan orang kebanyakan.
“Insya-Allah, Karl ingat semua tu. Tapi, di mana Karl boleh cari nenda? Karl nak minta ampun.” Rasa bersalah itu tidak pernah pergi daripada terus singgah di hati. Selagi tidak meminta ampun daripada Nenda Fauziah selagi itu dia akan rasa bersalah.
“Sudahlah Karl, lupakan sahaja hal ni. Berikanlah nenda ruang untuk bertenang. Karl akan tahu juga nanti.” Tengku Malik sudah bersuara.
Kata-kata Tengku Malik membuatkannya makin tertanya-tanya. Kenapa perlu dirahsiakan keberadaan Nenda Fauziah? Adakah Nenda Fauziah sudah tidak mahu berjumpa dengannya lagi? Atau ada sesuatu perkara yang papa dan mama rahsiakan daripadanya? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan