Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 1 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 1

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

SUASANA sekitar begitu sunyi. Hanya kedengaran bunyi aliran air yang mengalir tenang. Desiran angin yang bertiup perlahan menambahkan rasa damai di sekitar kawasan sungai yang sepi. Tenang lagi mengasyikkan. Itu yang dirasai jiwa lelaki Datuk Zafran saat kakinya memijak salah satu batu besar yang ada di tebing tinggi itu. Perlahan-lahan nafas panjangnya dihembus keluar.
Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sungai itu. Sudah bertahun-tahun rasanya. Kali terakhir dia ke situ hanyalah ketika dia masih muda remaja. Itu pun kerana dia ingin melepas rindu kepada kekasih hatinya. Selepas itu, dia tidak lagi pernah ke situ. Bukan sahaja tidak berkesempatan, malah hati lelakinya sendiri tidak pernah ada rasa untuk ke sungai yang penuh kenangan itu lagi.
Boleh jadi kerana kekecewaan yang pernah dirasakan ketika kehilangan gadis idaman menjadikan dia tidak lagi berminat untuk menjejakkan kaki ke tempat yang pernah menjadi tempat perjumpaan mereka itu. Entah kenapa tiba-tiba dia terasa mahu ke situ semula petang ini padahal dia sendiri sedar, dia perlu mengejar masa yang tidak pernah menunggu sesiapa. Walaupun sesaat.
Datuk Zafran baru ingin mencecah kaki ke dalam air tatkala telefon bimbitnya menjerit nyaring. Pantas dia menyeluk poket. Alat komunikasinya itu dikeluarkan seraya menekan butang menjawab.
“Ya, Helda. Ada apa awak telefon saya petang-petang begini?” soal Datuk Zafran setelah menjawab salam perempuan itu.
“Maaf mengganggu, Datuk. Saya hanya nak ingatkan Datuk tentang perjumpaan Datuk dengan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat esok pagi. Adakah Datuk akan datang atau Datuk nak saya hantar wakil bagi pihak Datuk nanti?”
Datuk Zafran tersenyum mendengar pertanyaan penuh hormat setiausahanya. Senang dengan sikap Helda yang benar-benar bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
“Pasal tu awak jangan bimbang. Saya sendiri akan hadirinya esok pagi. Sekarang ni pun saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa malam nanti saya akan sampai ke sana,” sahut Datuk Zafran tegas sebagaimana biasa.
“Maknanya urusan Datuk dengan klien syarikat di Kuantan tu dah selesai sepenuhnyalah?” Helda bertanya untuk kepastian.
“Alhamdulillah. Semuanya dah pun selesai, Helda. Hanya menanti wakil dia orang datang bertemu kita pula di Kuala Lumpur nanti.”
“Okey, kalau macam tu saya jumpa Datuk di syarikat esok pagi.” Helda memberi kata putus.
Datuk Zafran hanya mengiakan sebelum mematikan talian usai Helda memberi salam. Telefon bimbit di tangan disimpan semula ke dalam poket. Jarum jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Melihat arah jarum, tak jadi Datuk Zafran nak merasai kesejukan air sungai itu. Sebaliknya dia bergegas turun dari batu tempatnya berada.
Baru saja kakinya mencecah tanah tebing, matanya terpandang sesuatu di pinggir sungai. Dia terkedu sesaat. Dipicing anak matanya kemudian. Cuba melihat sebaik mungkin kelibat manusia yang tiba-tiba kelihatan di situ. Entah dari mana gerangan manusia itu timbul, tidak pula dia ketahui.
Tersentak kuat jantung Datuk Zafran tatkala matanya terpandang wajah gerangan manusia yang sedang leka mengutip pucuk-pucuk paku yang banyak tumbuh di situ. Bukan ketangkasan tangannya bekerja yang menarik perhatian mata lelakinya, tetapi seraut wajah itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang telah lama pergi daripada hidupnya.
Beberapa kali Datuk Zafran menenyeh kelopak mata sendiri. Cuba memastikan pandangan matanya tidak silap sebelum dia mengambil keputusan untuk mendekati figura itu. Perlahan-lahan dan penuh cermat Datuk Zafran mengatur tapak. Tidak mahu kedatangannya mewujudkan rasa kurang senang pada empunya tubuh yang masih belum menyedari kewujudannya di situ.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, tubuh itu terus menghilangkan diri dari situ tatkala tersedar bakul yang tersangkut di lengannya telah hampir penuh dengan isinya. Langsung tidak berkalih ke sekeliling. Apatah lagi kepada Datuk Zafran yang kembali terhenti geraknya.
“Ya Allah... Benarkah apa yang aku lihat atau itu hanya ilusi aku semata-mata?” soal Datuk Zafran kepada diri sendiri.
Beberapa kali dia mengucap panjang. Sekadar mahu menenangkan hati yang diasak dengan pelbagai pertanyaan dek perjumpaan yang tidak terduga itu. Lambat-lambat dia melepas nafas kemudian. Mata pula masih tidak berkalih arah. Tetap memandang ke arah sama di mana figura itu menghilang.
Dia kemudian kembali menapak menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ tatkala sedar pada keadaan sekeliling yang mula disimbah warna senja dari celah-celah pohon rendang yang banyak tumbuh di sekitar kawasan. Menandakan malam bakal menjelang dalam masa sejam dua lagi.

“Baru balik kerja ke, Ellina?”
Mendengar laungan itu, Ellina tersentak. Dia yang sedang menapak laju-laju di bahu jalan terus mengalih tubuh. Matanya terpandang kelibat Mak Odah yang membonceng motosikal anaknya. Serta-merta bibir Ellina mengukir senyuman manis.
“Ya, Mak Odah!” Ellina ikut melaung. Cuba melawan deruman sebuah lori tanah yang kebetulan sedang melalui jalan kampung itu.
“Banyak kamu dapat pucuk paku tu? Bolehlah masak lemak pucuk paku malam nanti,” laung Mak Odah lagi.
“Alhamdulillah. Rezeki Ina dan ayah nampaknya,” sahut Ellina gembira. Dia hanya sempat melihat Mak Odah melambai-lambai tangan sebelum motosikal yang dibonceng perempuan tua itu membelok masuk ke sebuah lorong kecil di penjuru jalan.
Ellina kemudian kembali menapak. Topi besar yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Lalu topi yang sudah lusuh itu dikepit di celah bawah lengan kirinya. Manakala tangan kanan sudah naik ke muka sendiri, mengelap jejeran peluh yang masih menitis di sekitar muka bujur sirihnya.
“Assalamualaikum...” ucap Ellina sebaik tiba di pintu rumah.
Segera dia menyeluk poket seluar. Dia mencari-cari anak kunci tatkala perasan, tidak kelihatan kelibat sesiapa di situ melainkan dirinya sendiri. Pintu papan rumah dikuak sedikit bila menyedari pintu itu tidak berkunci sebagaimana biasa. Ellina mengeluh kecil. Pasti ayah terlupa nak kunci pintu lagi, getus hatinya.
Usai menapak masuk, dia terus melabuh punggung di kerusi rotan. Raga kecil berisi bekalan yang turut dibawa bersama saban hari diletak di tepi kaki. Lambat-lambat Ellina melepaskan nafas panjang. Terasa letih tubuhnya setelah seharian membanting tulang empat keratnya di ladang yang sememangnya menuntut tenaga yang bukan sedikit.
Biarpun sudah bertahun-tahun dia melakukan kerja yang sama saban hari, namun Ellina tidak menafikan, tubuhnya tetap disalut letih meskipun sudah terbiasa dengan kerja-kerjanya. Sambil jari-jemari memicit-micit betis yang terasa kejang, mata Ellina merayau ke sekitar ruang tamu rumah. Ruang sempit itu kelihatan kemas walaupun keadaannya begitu daif.
Ruang atas dinding separuh batu separuh papan itu hanya dilatari dengan sehelai sejadah hitam pemberian pihak sekolah ketika Ellina memenangi pertandingan menghafaz al-Quran suatu masa dulu. Sebuah jam dinding yang telah kekuning-kuningan permukaannya digantung tepat di atas kepala sebuah tingkap kayu.
Itulah satu-satunya tingkap yang ada di ruang itu. Bingkai tingkap itu sudah mereput di beberapa sudut, namun masih boleh diguna pakai. Sehelai kain langsir hijau samar digantung bagi menghalang cahaya matahari daripada menerobos masuk ke dalam ruang rumah. Di satu sudut ruang tamu, beberapa buah buku dan majalah yang telah lama tidak digunakan tersusun rapi di bawah meja tempat peti televisyen diletakkan.
Meneliti keadaan lantai, sehelai tikar mengkuang menjadi alas bagi menutup permukaan simen yang berlubang-lubang kecil di sana sini. Tikar mengkuang itu sendiri sudah terburai anyamannya hampir di setiap penjuru.
Keadaan rumah kecil itu jelas menunjukkan keadaan hidup penghuninya. Namun, Ellina tidak pernah peduli dengan semua itu. Dia sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya dia tidak menumpang hidup di bawah jambatan atau mengharapkan belas ihsan daripada orang lain.
Kala matanya terpandang daun tingkap yang berkeriut-keriut di tiup angin, Ellina bergegas bangun. Dia teringat sesuatu. Tangannya mencapai sebatang pen yang sudah kehilangan penutupnya di tepi meja. Sambil mencungkil-cungkil seketul tanah yang membusut kecil di satu sudut tingkap, dia merungut-rungut sendiri.
“Apalah anai-anai ni. Tak jemu-jemu nak buat sarang kat tingkap rumah aku ni. Dah reput pun tingkap ni dikerjakannya. Lain kali kalau nak buat sarang tu, buatlah kat tepi dinding ke, kat luar tingkap ke. Taklah aku penat nak buang sarang kau ni hari-hari. Apa kau tak reti penat ke buat sarang kau ni, hah anai-anai?” bebel Ellina sendiri. Seolah-olah sekumpulan anai-anai yang bertempiaran lari bila sarang mereka dimusnahkan Ellina boleh membalas bicaranya.
“Tapi... Aku nak marah kau pun tak boleh juga kan, anai-anai? Yalah, kau pun serupa macam aku. Sama-sama nak hidup dalam dunia ciptaan Allah ni. Jadinya, tak guna juga aku halau kau keluar dari sini pun, kan?” keluh Ellina.
Lalu pen diletak semula ke tempatnya. Bosan sebenarnya melakukan perkara remeh itu saban hari hingga sudah menjadi rutinnya pula berbuat demikian setiap kali pulang daripada kerja.
Ellina kemudian duduk menopang dagu di muka tingkap. Pandangannya dibuang ke tengah-tengah jalan berdepan rumah. Kedudukan rumahnya yang terletak di tepi jalan utama kampung membolehkan Ellina dapat memerhati persekitaran kampung dengan begitu jelas. Halaman rumahnya hanya ditumbuhi pokok-pokok bunga setinggi pinggang manusia biasa, sekali gus tidak menghalang pandangan matanya yang sedia tajam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan