Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 7 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 6

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Pagi itu, Rafiqi gelisah sendirian di dalam bilik pejabatnya. Sekejap-sekejap jam di pergelangan tangan dikerling. Baru meneliti laporan kewangan yang berada di tangannya, jam dikerling lagi. Tidak cukup dengan jam di tangan, waktu yang terpapar pada skrin komputernya dipandang pula.
“Mana ni? Takkan tak dapat apa-apa lagi?” Jari jemari diketuk-ketuk di atas meja.
Sejak dua hari yang lalu dia menantikan hasil untuk rancangannya. Orang yang diharap-harapkan, sepi terus tanpa berita. Fokus Rafiqi memang terganggu selagi tidak menerima khabar berita daripada orang suruhannya yang seorang itu.
Sedang fikirannya jauh melayang memikirkan hasil yang mungkin diperolehi, telefon iPhone 6 yang berada di atas meja berbunyi. Laju saja gadjet yang berwarna keemasan itu disambar. Skrin yang memaparkan nama si pemanggil membuatkan Rafiqi mula tersenyum.
“Helo. Lamanya kau tak telefon!” Rafiqi tidak bertangguh terus menyembur sebaik menjawab panggilan.
“Helo bos. Sabar, sabar...” Kedengaran suara si pemanggil di hujung talian.
“Sabar, sabar. Kalau kau kat tempat aku boleh kau sabar? Hei! Dua hari tau aku tunggu kalau-kalau kau nak bagi tahu aku apa-apa. Ni tak, senyap terus!” sahut Rafiqi berang.
“Maunya saya tak senyap bos. Bos juga yang nak saya ikutkan dia, kan? Ingat senang? Ni hah... Sampai utara baq hang!” Suara lelaki itu sudah mengekek ketawa.
Rafiqi yang tadinya santai menyandar di kerusi bingkas berdiri sebaik mendengar maklumat tersebut.
“Utara? Kat mana?” Semakin berkerut wajah lelaki yang berusia 30 tahun itu. Wajah semakin cemburut apabila pelbagai kemungkinan datang menerpa di dalam kepala.
“Kat Kedah. Dah bos suruh ikut dia, kan? Saya buat ajelah. Nanti, saya masukkan dalam bil ya bos?”
Suara Khairul, salah seorang pekerjanya yang dihantar untuk melakukan tugasan itu bagaikan semilir di pendengaran Rafiqi. Kedah? Apa yang dia buat kat negeri utara itu?
“Bos? Helo?”
“Hah! Kenapa?” Rafiqi melangkah beberapa tapak membawa diri ke jendela. Cermin kaca lut sinar yang menyajikan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur terasa hanya menyesakkan dadanya di saat ini.
“Tak, saya cakap tadi, nanti saya tuntut ya semua bil ni? Banyak tau bos!” Nada Khairul beria-ia memberitahu.
“Itu ajelah yang kau tahu! Tapi, kenapa dia pergi sana? Kau tak tengok apa yang dia buat? Dengan siapa dia berjumpa? Semua tu kau kena ambil tahu, faham?” Rafiqi terus mengeluarkan arahan.
Terdengar ketawa Khairul yang semakin lantang di hujung talian apabila menerima arahan daripada bosnya itu.
“Hei! Kau dah kenapa? Kelakar ke apa yang aku cakapkan tadi?” Rafiqi mula hilang sabar.
“Tak, bukan pasal bos,” sahut Khairul dengan tawa yang masih bersisa.
“Dah tu?”
“Pasal dialah. Kalau saya cakap mesti bos takkan percaya punyalah!”
Well, try me Khairul. Kalau pasal dia, benda yang mustahil pun boleh dia buat,” sahut Rafiqi yang mula terasa ingin tahu.
“Nantilah bos. Balik sana nanti saya bagi tahulah. Lagipun, saya bukannya cakap kosong. Ada gambar-gambar lagi tau yang saya ambil. Manalah tahu kalau-kalau bos ingat saya nak temberang sama bos,” tukas Khairul.
“Cara kau bercakap ni macam benda tu serius aje?” Rafiqi terus cuba mengorek maklumat.
Terdengar lagi tawa Khairul di hujung telinganya. “Serius tu memanglah serius sebab saya sendiri pun tak faham kenapa dia sanggup buat macam tu. Pening saya bos dua tiga hari ni bila fikirkan sebab dia buat semua ni, tapi kelakar pun ada bila tengok dia. Nantilah saya cerita. Apa-apa nanti saya update bos.”
Perbualan Khairul tamat di situ. Rafiqi kembali menghenyakkan punggung di kerusinya. Kepala mula menyandar. Biarpun deru penyaman udara bertiup di dalam bilik, tetap saja tidak mampu menyejukkan hatinya yang semakin gundah.

“Puas hati kau?” Durrah menjeling Nuha.
Pagi itu menyaksikan dia adalah antara pengunjung yang turut menyesakkan keadaan di jeti Kuala Perlis itu.
“Puas Cik Durrah. Cukup puas,” balas Nuha tersengih tidak ingin mengalah.
Puas hatinya kerana berjaya memujuk Durrah untuk menerima hadiah pakej percutian itu. Setelah mengeluarkan bagasi milik Durrah, mereka memerhati sekeliling, mencari kelibat ejen yang dikatakan akan menyambut mereka di situ.
“Cik Durrah? Saya Bahar daripada Calm Travel and Tours.” Seorang lelaki menyapa sambil tersenyum. Kedua-dua gadis itu diperhati untuk mengenal pasti yang mana satu adalah Durrah. Di tangannya terdapat sebuah fail.
Durrah diam membatu. Hanya anak matanya sahaja yang bergerak melirik lelaki itu atas dan bawah. Lelaki yang mengenakan seluar hitam dan sehelai kemeja berwarna biru muda yang disenteng lengannya hingga ke paras siku itu kelihatan kemas. Agaknya, boleh dipercayai?
“Saya Durrah,” sahut Durrah memperkenalkan diri. Belum pun sempat Encik Bahar ingin membuka mulut, Durrah terlebih dahulu bersuara.
“Boleh saya tanya satu soalan? Apa alamat agensi tu kat sini? Maksud saya, kat mana pejabatnya? Arau ke, Alor Setar? Sebab surat yang sampai kat saya tu beralamat di Kuala Lumpur,” luah Durrah. Tangannya mula menggagau mencari surat yang dibawa bersama di dalam beg tangan.
Encik Bahar terasa bagaikan putus nafas. Alamat di sini?
“Di Alor Setar. Jauh sikit dari sini sebab kami pun baru mula beroperasi di cawangan utara ni.”
Satu suara halus yang menyahut menarik perhatian mereka bertiga yang berada di situ. Kelihatan satu susuk yang mengenakan tudung labuh, jubah besar berwarna hitam dan berpurdah sedang menapak ke arah mereka.
Durrah mula menjongketkan kening ke atas apabila melihat susuk perempuan itu. Tinggi orangnya. Surat yang baru dicapai disimpan kembali di dalam beg tangan. Sekejap. Kenapa perempuan yang baru datang ini kelihatan sedikit pelik ya? Durrah melirik ke arah belakang tapak tangan perempuan itu. Nak kata orang Arab rasa-rasanya bukan kerana kulitnya tidak secerah orang Arab. Suaranya itu... macam ada sesuatu. Apa ya?
“Err... kenalkan. Ini, Cik Juliana. Dia pun salah seorang yang memenangi peraduan tempoh hari,” ujar Bahar kepada Durrah dan Nuha.
Nuha tersenyum sambil menganggukkan kepala. Durrah merenung tepat kepada Juliana yang baru saja diperkenalkan oleh Encik Bahar. Hanya kelihatan sepasang matanya yang dioles dengan celak hitam pekat.
“Selain saya dan Cik Juliana ni, siapa lagi yang akan ikut kita?” soal Durrah selepas beberapa ketika. Matanya mula melingas sekeliling, mencari-cari kalau-kalau adanya sesiapa yang bakal menyertai kumpulan mereka. Tiada. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
Juliana mengerling Bahar yang turut memandang kepadanya sebelum menjawab, “Hanya Cik Durrah dan saya saja.”
“Kalau tak ada apa-apa lagi, bolehlah cik berdua bergerak sekarang. Di sana nanti, Zul akan menyambut,” tambah Encik Bahar.
Durrah berkerut kening. Hanya dia dan Juliana? Macam mana Juliana boleh tahu? Macam dia pula yang menganjurkan cabutan bertuah itu. Pelik!
Encik Bahar mengeluarkan dua keping tiket yang disimpan di dalam failnya lalu diserahkan kepada Juliana dan Durrah.
Selesai mengucapkan selamat tinggal kepada Nuha, Durrah memulakan langkah mengikuti Juliana yang sudah berada di depannya.
“Semuanya akan okey kan, Encik Bahar? Kat sana nanti Zul tu akan jaga dia orang, kan?” Nuha melepaskan soalan. Matanya terus menyorot langkah Durrah dan Juliana yang kian menghilang di celah-celah orang ramai.
“Err... ya. Zul akan jaga mereka berdua. Jangan risau, ya?” Encik Bahar menganggukkan kepala sambil memaksa diri untuk tersenyum.
Kalaulah... Kalaulah gadis itu tahu nanti, macam mana? Ah! Dia sendiri makan gaji. Apa yang disuruh, itulah yang harus dilakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan