Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 7 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 10

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Hampir setengah jam di situ, Munir memandu bot menghala ke destinasi yang terakhir.
“Okey semuanya. Kita pergi tempat yang akhir sekali, Pulau Beras Basah,” ujar Aziz.
Selepas beberapa minit, bot yang dikemudi oleh Munir tiba di jeti Pulau Beras Basah.
“Dah sampai. Inilah Pulau Beras Basah, pulau terakhir untuk aktiviti kita. Kita kat sini lebih kurang sejam, okey? Nanti bolehlah kalau siapa-siapa nak cuba snorkeling. Nak mandi pun boleh sebab pantai kat sini memang bersih dan cantik,” terang Munir kepada semua yang ada sebelum melangkah turun dari bot.
“Rugi kan I tak tukar pakaian tadi? Kalau tak boleh cuba snorkeling.” Juliana cuba mencipta perbualan antaranya dengan Durrah.
Diam. Durrah tidak menghiraukan. Kaki mula melangkah turun dari bot. Baru sahaja sebelah kakinya memijak ke jeti, Durrah hampir terjatuh kerana hilang imbangan. Kalau tidak kerana dirinya pantas ditarik, sudah pasti dia tersungkur mencium papan jeti itu. Durrah menoleh ke belakangnya, memerhati sepasang mata milik Juliana yang baru sahaja menyelamatkannya.
“Awak okey ke tak ni?”
Nafas dirasakan tidak teratur. Dada dirasakan berdebar-debar dengan sebaris soalan itu.
“Durrah?” Juliana memanggil Durrah yang hanya kaku memandangnya.
“Err... Ya, saya okey,” sahut Durrah. Lengannya yang diraih oleh Juliana ditarik kembali sebelum melangkah turun dari bot.
Dia mengetap bibir menahan rasa aneh yang menyelinap dalam hati. Malu dan... Satu perasaan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata dengan tingkah Juliana kepada dirinya.
Zul yang sedari tadi memerhati bergegas mendapatkan Juliana sebaik mereka melangkah keluar dari bot dan mula berjalan di jeti.
“Cik Ju ada terlepas cakap apa-apa ke?” bisik Zul.
Juliana terjeda. Minda cuba digerakkan seaktif yang mungkin untuk mengingati kalau-kalau dia yang menjadi punca kepada perubahan Durrah yang mendadak.
Durrah yang sudah tiba di tepi pantai mula melepaskan beg yang tergalas di bahu. Sebungkus beg plastik yang elok tersimpan dikeluarkan. Matanya terus melingas sekeliling. Sudah kelihatan beberapa ekor monyet yang terhendap-hendap di sebalik pokok-pokok yang berhampiran. Beg plastik yang baru dikeluarkan tadi ditinggalkan berhampiran pokok-pokok itu.
Bagaikan mengerti, sebaik melihat tiada lagi bayangan Durrah, beberapa ekor monyet yang tadinya bersembunyi di sebalik pokok-pokok yang berhampiran mulai keluar lalu menyambar beg plastik yang ditinggalkan sebelum kembali ke celah-celah pokok.
Durrah membawa diri ke sebuah meja kayu yang berdekatan. Angin lembut yang bertiup terasa begitu menyenangkan. Pandangan dibuang, memerhati kawasan pesisir pantai yang memang bersih. Terasa tenang sedikit hatinya daripada pelbagai perkara yang bersarang di dalam kepala.
Zul dan Juliana yang baru tiba mengambil tempat di meja Durrah. Sengaja Durrah tidak mengendahkan mereka dua orang yang berada di situ.
“Laparlah, kan? Biar saya pergi beli makanan. Durrah nak makan apa? Biar saya pergi tengok kat sana ada apa,” ujar Zul. Dia dan Juliana menantikan respons daripada Durrah yang hanya mendiamkan diri.
“Durrah?” tegur Juliana pula. Perasaan cuak semakin menebal. Janganlah... janganlah rancangan yang diatur kantoi di saat-saat akhir.
“Tak payahlah. Ni hah...” Durrah mula mengeluarkan dua beg plastik yang tersimpan di dalam beg galas.
Zul dan Juliana hanya saling berpandangan, kehairanan.
“Saya beli kat restoran tadi. Kalau nak ke sini, selalunya elok bawa bekal sendiri sebab kat sini mahal. Takkan yang tu pun awak tak tahu?” sindir Durrah kepada Zul. Beberapa bekas polisterina yang mengandungi makanan sudah tersedia di atas meja.
 “Err... tahu, tapi tulah. Terlupa pula nak pesan awal-awal tadi,” sahut Zul sambil tersengih.
Durrah semakin geram. Tengok, langsung tak ada rasa bersalah. Agak-agaklah kalau nak berbohong pun. Nak saja aku tanya apa motif sebenar dua ekor ni? Hah, kan tak pasal-pasal aku bagi percuma gelaran ‘ekor’ macam monyet-monyet tu.
“Makanlah. Saya ada ambil nasi goreng dan kuetiau goreng dari kafe tadi,” pelawa Durrah.
Beberapa air kotak turut dikeluarkan. Air kotak yang dibeli dari sebuah kedai berdekatan dengan resort sebelum mereka bertolak pagi tadi. Dia yang sudah pernah melakukan aktitivi ini sebelum ini sudah sedia maklum dengan harga makanan yang sedikit mahal di sini. Sebab itulah bekal makanan diambil awal-awal dari kafe resort tadi. Lagipun senang, bila sampai boleh terus makan kalau ada bekal sendiri.
“Hai!” Cindy menegur sebaik tiba di meja yang dihuni oleh mereka. Turut kelihatan Alisya yang mengukirkan senyuman.
“Maaflah kalau kacau,” ujar Cindy. Dia mengerling Alisya yang berada di sisi.
“Err... sebenarnya, I datang nak minta maaf kat you Durrah. Sorry ya? Maksud I, yalah, semua yang I cakapkan kat you kat resort tu. Kadang-kadang, kita manusia ni boleh hilang sabar dan percayalah cakap I, memang bukan niat I nak cakapkan semua tu kat you. I’m sorry, okay?” luah Alisya sambil menghulurkan tangan kanan.
Durrah, peraturan pertama jangan sesekali percaya cakap dia. Jangan!
“Kalau bermaaf-maafan kan elok?” ujar Juliana seakan-akan bersetuju.
Durrah mengetap bibir. Orang yang buat salah datang meminta maaf. Kalau orang yang terkena itu tak maafkan, siapa yang jahat? Dialah, kan? Situasi yang sama ketika mereka masih bersekolah dahulu kini menjelma di dalam kepala.
Namun, menyedari tiga pasang mata, empat sebenarnya termasuk sepasang mata milik Alisya yang masih merenung kepadanya, Durrah menghulurkan juga tangannya kepada Alisya. Tangan mereka kini berjabat erat.
“Maaf tau? I betul-betul tak ada niat nak sakitkan hati you. Yalah. Kadang-kadang tu teringat zaman sekolah kita dulu. Apa tu orang cakap, hmm... Gaduh-gaduh manja gitu, kan? Okeylah, I dengan Cindy nak pergi makan ni,” tukas Alisya sebaik tangan yang berjabat erat tadi dilepaskan.
Gaduh-gaduh manja? Bluek! Nak muntah. Bila masanya Alisya oi yang kita ni boleh nak manja-manja? Kalau gaduh tu, memang ya! Durrah hanya membatukan diri. Emosi mula bercampur baur.
“Jemputlah makan sekali,” pelawa Zul mesra.
Durrah menghela nafas dalam-dalam. Amboi-amboi Zul! Bukan main sedap mulut dia dan senang saja dia pelawa si Alisya tu. Macamlah semua makanan ini dia yang bawa, kan? Eii! Panas pula hati yang baru nak sejuk ni.
That’s okay. Kami pergi kat kedai sana ajelah. Jom.” Cindy bersuara sebelum melangkah pergi dengan Alisya.
Sebaik kelibat dua orang gadis itu menjauhi meja, Zul memulakan sesi menjamu selera. Bukan main lagi nasi goreng yang dibawa sebagai bekal itu disuap ke dalam mulut. Satu demi satu suapan tanpa menghiraukan sekeliling lagi.
Riak muka Durrah mula berubah masam. Sakit pula hati apabila teringatkan perangai Alisya tadi. Bukan main pandai lagi dia berlakon. Minta maaf konon!
“You tak makan?” tegur Juliana yang sejak tadi memerhati tingkah Durrah. Dia sendiri belum memulakan suapan.
 “Kenyang.” Durrah bingkas bangun meninggalkan kerusi. Dia mula mengorak langkah membawa diri menuju ke pantai.
Juliana hanya memerhati. Sepatah kata yang meluncur keluar dari mulut Durrah, ditambah dengan ekspresi wajah yang mencuka sebegitu, dia bertambah yakin adanya sesuatu yang tidak kena.
“Hei! Bukan main kau ya? Berselera sangat macamlah pagi tadi kau tak makan,” sergah Juliana sambil menghempas tapak tangan ke atas meja.
Hampir tersembur keluar nasi yang berada di dalam mulut Zul. Terkejut disergah oleh Juliana secara tiba-tiba. Air kotak pantas dicapai.
“Yalah cik. Lapar,” tukas Zul ringkas. Nasi yang masih bersisa kembali disuap sebaik menyedut air.
“Cuba kau tengok Durrah tu. Makan tak, minum tak. Yang kau sedap-sedap aje hadap semua yang dia bawa. Tak ada rasa bersalah langsung,” luah Juliana geram.
 “Ambil berat nampak?” Lelaki itu sudah tersenyum-senyum. 
“Yalah. Kalau aku tak ambil berat, buatnya rancangan tu gagal, macam mana? Kau nak bertanggungjawab?” balas Juliana serius.
Laju Zul menggelengkan kepala. Lebih baik jangan masuk campur. Dia tahu Juliana lebih arif dan tahu apa yang harus dilakukan. Tangan terus menyuap. Mata memerhati Juliana yang berjalan mendapatkan Durrah.
Durrah yang sedang duduk menghadap pantai membuang pandang jauh ke laut yang bagaikan tidak berpenghujung. Kata Nuha, dia harus ke sini untuk berubah angin. Setidak-tidaknya menenangkan fikiran dan jangan asyik terperuk di dalam rumah.
Bab terperuk di dalam rumah itu betul, tapi kalau nak tenangkan fikiran? Semakin kusut pula fikirannya sejak datang ke sini dan berjumpa dengan mereka semua. Si Juliana dan Zul itu bagaikan ada niat terhadapnya dan lebih teruk, bertembung dengan si Alisya ak.a Miss World yang perangainya masih lagi tidak berubah.
“Kenapa tak makan?” Juliana yang baru mengambil tempat di sisi Durrah menegur.
Durrah tidak mengendahkan.
Juliana yang tidak menerima jawapan turut memandang ke laut. Tak apa. Cuba lagi.
“Ke you nak I pergi beli makanan kat kedai sana? Nak? Biar I pergi tengok apa yang ada ya?” ujar Juliana.
Durrah menghela nafas. Kenapalah dengan si Juliana ini?
“Tak payahlah awak nak berlagak gentleman Ju. Awak tu pun perempuan macam saya. Kalau saya lapar, tahulah nak makan nanti,” balas Durrah sambil bergegas bangun.
Kacau daun! Orang nak bersantai-santai seorang diri, nak lupakan sekejap perangai hipokrit si Miss World itu, waktu-waku ini jugalah si Juliana ni pun nak mencelah. Pergi sajalah makan kat sana tu dengan kawan baik dia itu. Huh!
Juliana tidak berputus asa. Dia bergegas bangun, menyaingi langkah Durrah.
Durrah membawa diri ke pesisiran pantai. Sengaja berjalan menyelusuri pantai yang sememangnya bersih. Sesekali, ombak kecil yang memukul ke kaki membuatkan dia menguntumkan senyuman seorang diri.
“Kenapa? You ada masalah ke? Ceritalah kat I,” pinta Juliana dengan nada lembut.
Durrah mendiamkan diri. Sengaja tidak menyahut. Tidak ada hati ingin membuka mulut kepada sesiapa pun di saat ini.
Juliana yang menanti menjeling Durrah. Diam juga? Macam mana ini? Dia yang berjalan beriringan dengan Durrah terus berfikir. “Hah! Tadi kan you ada janji nak ceritakan pasal kawan you dekat I ? Err... siapa ya nama dia?”
Durrah menjeling Juliana sekilas.
“Steve,” sahutnya sepatah.
“Ya, Steve. Ceritalah.” Juliana memujuk.
“Steve tu nama gelaran dia. Nama sebenar dia Eshan.” Durrah memulakan cerita.
“Oh! Sedap nama dia? Tapi, kenapa Steve? Dia kacuk ke?” soal Juliana.
Kaki terus melangkah di gigi pantai. Angin pantai yang menyapa terasa begitu menyenangkan. Sesekali, mereka berselisih dengan pelancong asing yang turut berjalan di pantai itu. Turut kelihatan seorang dua pelancong asing wanita yang berbikini sedang berjemur.
“Bukannya kacuk. Dia seratus peratus Melayu, tapi...” Durrah teragak-agak untuk bercerita.
“Tapi, apa?” tanya Juliana tidak sabar.
“Eshan dapat nama tu sebab Alisya yang bagi,” terang Durrah. Wajah Juliana dikerling sekilas. “Awak pernah tengok cerita Family Matters yang ada Steve Urkel tu?”
“Yang pakai cermin mata tu kan, betul tak?” soal Juliana setelah beberapa minit terjeda sekejap.
“Pakai cermin mata, lurus bendul, pakai seluar singkat dengan tali suspender dan bila cakap, macam sengau sikit. Tulah Steve Urkel. Tapi Eshan bukannya seratus peratus macam tu. Hari pertama kami kat sekolah untuk tahun tu, dua orang pelajar baru diterima. Alisya dan Eshan. Kesian Eshan. Seluar dia tersingkat sikit hari tu.”
Juliana mengetap bibir menahan tawa. Hendak dilepaskan sekuat hati, akan menimbulkan dua masalah. Pertama, rancangannya akan gagal. Kedua, sudah pasti akan mewujudkan rasa amarah Durrah yang baru berjaya dipujuk.
Durrah mengerling Juliana sekilas. Memerhati reaksi gadis yang setia berjalan di sisinya. Nasib baik dia serius. Kalau dia ketawa kat Steve tadi, mahunya aku humban dia kat dalam laut sekarang juga!
“Dah tu, takkan sebab seluar dia singkat dia dapat gelaran tu?” soal Juliana.
“Dahlah seluar singkat, pakai cermin mata, bila dia nak pergi duduk kat tempat dia, dia tersadung kaki meja. Terus terjatuh. Bukan setakat hari tu saja, hari-hari lain pun banyak benda yang tak kena. Dia ni kelam-kabut sikit. Kadang-kadang dengan cikgu pun boleh dia terlanggar kalau tengah berjalan. Dalam makmal, entah berapa tabung uji yang dia pernah bagi pecah. Semenjak tulah, Alisya gelarkan dia Steve sebab dia cakap Eshan macam Steve Urkel,” cerita Durrah mengimbau kenangan di masa persekolahan.
“Oh! Macam tu ya?” Juliana menganggukkan kepala melayan segala cerita Durrah.
“Tapi, Eshan baik. Dia pandai,” terang Durrah beria-ia sambil tersenyum.
“Lagi pandai daripada you ke?” usik Juliana.
“Ya. Ada subjek yang memang dia lagi pandai daripada saya,” ujar Durrah terus tersenyum, kemudian pandang Juliana. “Awak percaya cerita saya?”
“Percaya.” Juliana menganggukkan kepalanya.
“Maksud saya, awak percaya bila saya bagi tahu Alisya yang bagi gelaran tu?” tambah Durrah sudah teruja. Bagaikan tak percaya pula Juliana akan mempercayainya.
“Ya, percaya. Takkanlah awak yang nak gelarkan dia macam tu, kan?” balas Juliana.
Durrah tersenyum senang, membuatkan Juliana pelik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan