Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 6 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 6

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

“Assalamualaikum, Ellina.”
Ellina yang ralit menatap aliran sungai di depannya tersentak. Segera dia berkalih pandang, memandang gerangan manusia yang menegur lembut dirinya. Perlahan dia menyahut sebelum bibirnya tersenyum kemudian. Tidak sangka mereka akan bertemu lagi di situ. Apatah lagi dalam keadaan dirinya sibuk memikirkan tentang keadaan diri sendiri.
“Awak dari mana? Lama tak nampak kat sini?” Ellina bersuara sebaik saja figura itu melabuh punggung tidak jauh dari tempatnya berada kini.
“Awak dah lupa agaknya. Saya tak tinggal kat kampung ni. Jadi, awak memang jarang-jarang dapat nampak kelibat saya kat sini,” sahut Datuk Zafran sambil membalas pandangan malu-malu Ellina.
“Kalau macam tu, awak tinggal kat mana? Kampung sebelah?”
Soalan lurus Ellina membentuk senyuman Datuk Zafran tanpa sedar. Senang dengan tingkah Ellina yang kelihatan selesa berbual-bual dengannya kali ini. Tidak seperti pertemuan pertama mereka tak lama dulu. Begitu pun, Datuk Zafran masih tidak lupa pada tujuannya ke situ petang itu. Dia mahu mengenali diri Ellina dengan lebih dekat atau dengan kata lain, dia mahu tahu siapa Ellina sebenarnya Ellina dan apa kaitan gadis itu dengan bekas kekasihnya.
“Saya tinggal di Kuala Lumpur. Hanya sesekali saya balik ke sini. Itu pun sekejap saja. Saya tak boleh berlama-lama di sini memandangkan banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan di sana,” jelas Datuk Zafran lembut.
“Oh...” Ellina mengangguk faham.
“Maknanya awak hanya ke sini untuk mencari ketenangan, begitu?” soal Ellina. Dia tersenyum bila Datuk Zafran mengangguk perlahan.
“Pelik saya. Kenapa orang kaya macam awak masih mencari kawasan kampung begini untuk cari ketenangan padahal di bandar sana semuanya dah ada? Malah jauh lebih baik daripada apa yang ada di kampung ni,” kata Ellina, jelas tidak mengerti.
“Bandar memang moden, tapi itu tak bermakna di bandar ada segala-gala yang kita nak, Ellina. Malah pada sesetengah orang, bandar lebih banyak keburukannya daripada di kampung. Pada yang pandai membawa diri, hidup di bandar memang menyeronokkan. Tapi jika sebaliknya, boleh memberi tekanan pada kita sendiri,” sahut Datuk Zafran.
“Kenapa pula macam tu?” Tanpa sedar, Ellina membuka ruang perbualan yang lebih luas antara mereka.
Biarpun dia masih segan untuk membalas pandangan lelaki itu, namun Ellina tidak dapat nafikan dia selesa berbual-bual dengan lelaki matang itu. Boleh jadi tingkah tenang dan selamba yang dipamerkan Datuk Zafran menjadikan Ellina yakin lelaki itu tidak menyimpan sebarang niat buruk terhadapnya. Apatah lagi lelaki itu kelihatan begitu menjaga adab dan batas antara mereka.
“Bukan semua perkara kita boleh beli dengan duit, Ellina. Seperti ketenangan, kebahagiaan. Perkara-perkara begitu hanya boleh kita rasa kalau kita terima apa yang kita ada dengan hati yang reda. Jika tidak, buatlah macam mana sekalipun, kita tetap berada di tahap yang sama kerana kita sendiri tidak mahu mengubah arah hidup kita. Sebab tu saya kata, tak semua orang mampu merasa nikmat ketenangan dan kebahagiaan itu jika tak kena caranya,” jelas Datuk Zafran lalu Ellina mengangguk lagi.
“Betul kata awak tu. Sebenarnya, hidup di mana-mana pun sama saja. Asalkan kita bahagia, insya-Allah, kita tetap akan berasa tenang biar apa pun keadaan hidup yang kita lalui. Ya tak?” sahut Ellina lalu dia tersenyum bila Datuk Zafran mengangguk perlahan, tanda mengiakan kata-katanya.
“Awak memang selalu ke sungai ni ke, Ellina?” soal Datuk Zafran, sengaja melencong arah perbualan mereka. Sekali gus mengambil peluang itu untuk mengorek kisah hidup gadis itu.
Lama matanya memandang Ellina yang menggeleng perlahan.
“Tak juga. Saya hanya datang ke sini bila saya ada masa lapang atau bila saya teringin nak makan sayur-sayur kampung. Kat sinilah saya akan cari semua tu,” beritahu Ellina.
“Mak ayah awak tak kisah awak datang duduk kat sini lama-lama?”
Soalan seterusnya daripada Datuk Zafran menjadikan wajah ceria Ellina berubah mendung sejenak. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Ayah saya tak kisah. Dia sendiri pun jarang-jarang ada kat rumah. Sibuk bekerja aje.” Teragak-agak Ellina mahu bersuara.
Mustahil dia mampu berterus terang tentang kehidupannya kepada lelaki yang baru sekali dua ditemuinya itu. Lagipun telah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga maruah Pak Samad biarpun terpaksa menipu.
“Mak awak pula macam mana? Dia pun tak kisah?”
Soalan itu menjadikan Ellina terdiam sejenak. Sebak sebenarnya dengan pertanyaan yang mengingatkan dia kepada arwah mak yang telah lama pergi. “Mak saya dah lama meninggal. Sejak saya kecil lagi.”
Giliran Datuk Zafran terdiam bila mendengar jawapan sayu gadis itu. Terkedu sebenarnya dengan jawapan yang tidak diduga itu, namun hanya sekejap, tatkala akalnya terfikir sesuatu.
“Maafkan saya, tapi boleh saya tahu siapa nama mak awak tu?” soal Datuk Zafran memandang Ellina yang lambat-lambat mengukir senyuman. Hambar.
“Hasnah nama mak saya,” jawab Ellina sekali gus menjadikan riak teruja Datuk Zafran berubah mendung biarpun tidak ketara di mata Ellina.
Ternyata telahannya salah. Ellina tidak mempunyai sebarang hubungan dengan bekas kekasihnya. Sekali gus membuktikan Ellina dan bekas kekasihnya memang tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain. Mungkin Allah sudah menentukan mereka berdua mempunyai raut wajah yang hamper sama. Itu saja.
Datuk Zafran tersentak kecil bila Ellina kembali bersuara kemudian.
“Hmm... Tak apalah, awak. Saya balik dulu ya. Hari dah petang sangat ni.” Ellina terus meminta diri sebaik terpandang pada cahaya matahari yang mulai menghilang.
Biarpun masih terlalu awal, namun Ellina tidak mahu menjadikan semua itu sebagai alasan untuk dia terus berada di kawasan sunyi itu. Paling penting, dia tidak mahu timbul fitnah antaranya dengan lelaki asing itu. Mata dan telinga manusia, tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Lain dipandang dan didengar, pasti lain jugalah yang akan sampai kepada orang lain nanti.
“Ellina?”
Ellina yang baru melangkah setapak kembali menoleh. Menatap Datuk Zafran yang ikut serta bangun daripada duduknya.
“Terima kasih kerana sudi berbual-bual dengan saya. Andai ada rezeki, saya harap kita boleh bertemu lagi,” kata Datuk Zafran penuh harap.
Bukan kerana hatinya sudah pandai berdebar setiap kali menatap wajah polos itu, tetapi kerana dia senang dengan tingkah yang ditunjukkan Ellina. Ellina menerimanya sebagai kenalan tanpa peduli pada latar belakangnya. Jauh sekali bertanya tentang kedudukan mahupun pangkat yang disandangnya. Satu tingkah yang menjadikan hati Datuk Zafran teringin mengenali Ellina dengan lebih mendalam.
“Insya-Allah. Assalamualaikum,” sahut Ellina sebelum terus menghilang.
Meninggalkan Datuk Zafran yang menjawab perlahan salam gadis itu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan