Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 1 April 2016

Isteri Duda Terhangat - Bab 2

Tajuk: Isteri Duda Terhangat
Penulis: Qhayra Qhayriesa
ISBN: 978-967-365-263-1
Harga: RM24.00 / RM27.00

LEWAT petang, suasana kampung kelihatan sedikit lengang daripada biasa. Hanya tinggal beberapa orang jiran tetangga yang masih duduk bersembang di tepi pokok cempedak di pinggir jalan. Sekumpulan kanak-kanak turut ligat bermain gasing di tepi semak. Riuh-rendah suara mereka hingga kedengaran jelas di telinga Ellina.
“Nak masak apa ya untuk makan malam ni?” Sambil menapak menuju ke dapur, Ellina bertanya sendiri.
Raga kecil yang berisi termos dan bekas makanannya turut dibawa bersama. Tidak lupa pucuk paku yang sempat dikutipnya di tepi sungai kampung sewaktu dalam perjalanan pulang sebentar tadi. Diletak di atas meja makan berbentuk empat segi sama itu. Dia melangkah mendapatkan peti sejuk di tepi dinding. Pintunya dibuka luas. Tiada apa yang ada di dalamnya melainkan beberapa biji telur ayam di rak paling atas.
“Masak sambal telur dan pucuk paku goreng sudahlah. Itu aje yang ada,” putus Ellina tatkala perasan bahan-bahan untuk memasak kuah masak lemak pucuk paku tidak mencukupi.
Ellina baru berkira-kira ingin mengangkat tudung tong beras di sisi almari pinggan bila tiba-tiba bum! Pintu rumahnya ditendang seseorang dari luar. Wajah menyinga Pak Samad terjengul dari balik pintu.
“Tak guna! Dah banyak duit aku habis hari ni. Satu sen pun aku tak dapat balik! Kalau macam ni keadaannya hari-hari, sampai bila-bila pun aku tak boleh hidup senang!” maki Pak Samad.
Dia terus menghempas tubuhnya ke kerusi. Kuat. Nafasnya turun naik, menahan marah yang masih bergelodak di dada tuanya. Seharian masanya dihabiskan di warung makan Chuhalok bersama kawan-kawannya. Nyata nasibnya hari ini memang malang. Hasil judinya kosong!
“Balik-balik dia jugak yang menang. Tak guna punya Wong Pai! Tahu nak kikis duit orang saja!” maki Pak Samad lagi.
Dia merengus bila terpandang Ellina yang entah bila sudah tercegat di tengah ruang pemisah di antara ruang tamu dan dapur rumah mereka. Sebaik saja mendengar pintu rumah ditendang, Ellina sudah bergegas ke situ. Takut-takut dia memandang gelagat lelaki tua itu.
“Apa kau tengok-tengok? Kau tak pernah tengok aku ke, hah?” jerkah Pak Samad, menghambur marah kepada gadis itu pula.
Ellina menggeleng perlahan.
“Ayah main judi lagi ya?” Ellina memberanikan diri bertanya. Tersentak dia bila Pak Samad menjerkah tinggi.
“Hei, kau tu hanya budak-budak tahu tak! Bukannya ayah aku atau abang aku! Jadi, jangan pandai-pandai nak atur hidup aku. Suka hati akulah nak buat apa pun. Tak payah nak mengajar aku macam-macam!”
Ellina yang mendengar hanya menunduk muka. Diketap bibirnya perlahan. Cuba menahan sebak yang sudah selalu menyapa hati.
“Perangai kau sama saja macam mak kau. Suka menyibuk hal aku. Baru setahun jagung umurnya dah pandai nak mengajar orang tua. Hidup dalam dunia ni pun hanya tahu nak menyusahkan aku saja. Huh!” Pak Samad kembali memaki.
Kakinya menyepak meja kecil di sudut kerusi. Meja yang tidak tahu apa-apa itu tertonggeng memakan lantai. Pak Samad kemudian terus bangun menapak ke dapur. Sempat dia menjeling marah kepada Ellina sebaik melintasi tempat gadis itu berdiri.
Cepat-cepat Ellina membetulkan kedudukan meja yang disepak ayahnya selepas itu.
Tangan Pak Samad menyambar tudung saji yang terdampar di meja makan. Wajah marahnya kembali disimbah darah merah. Tiada apa yang terhidang di atas meja plastik itu. Lalu tudung saji di tangan dilambung kasar ke satu arah. Melayang jatuh mengenai tong sampah di tepi dinding rumah.
“Ellina!” jerit Pak Samad sekuat hati.
“Ya, ayah,” sahut Ellina terkocoh-kocoh berlari ke dapur. Ellina terjerit kesakitan bila tangan kasar Pak Samad terus mencekak kuat kain tudung yang masih terlilit di kepalanya.
“Hei, budak tak guna! Kau buat apa sepanjang hari kat rumah ni hah sampai sebiji nasi pun kau tak masak? Kau membuta ya?” jerkah Pak Samad lalu menolak kuat tubuh Ellina hingga gadis itu terdorong ke belakang.
Hampir-hampir tubuh kecil Ellina terhempap ke dinding rumah jika Ellina tidak cepat-cepat mengimbang tubuhnya.
“Minta maaf, ayah. Ina banyak kerja kat ladang hari ni. Ina tak sempat nak balik masak untuk ayah.” Tergetar-getar Ellina menyahut.
Dia menjerit semula bila Pak Samad kembali mencekak kepalanya sebelum wajah gadis itu ditonyoh ke permukaan meja makan.
“Ooo... Kau pergi kerja ya? Kalau kau pergi kerja, mana duit gaji kau, hah? Sesen pun aku tak pernah nampak! Kerja konon. Budak tak guna!” Pak Samad menampar pula wajah Ellina.
Gadis itu sudah teresak-esak menangis. Sakit bila diperlakukan begitu. Lelaki bengis itu pula langsung tidak peduli dengan darah merah yang telah meleleh keluar dari tepi bibir gadis itu.
“Sakit, ayah... Tolong ayah, sakit...” rayu Ellina dalam tangisannya. Dia cuba melawan, namun kudratnya tiada. Genggaman tangan kasar Pak Samad dirasakan begitu kuat pada batang lehernya ketika ini.
“Kalau kau tahu sakit, mana perginya duit gaji kau, hah? Mana duit kau?” tengking Pak Samad masih tidak puas hati membalun anak gadisnya. Wajah gadis itu ditampar lagi tanpa belas kasihan.
“Mana Ina ada duit lagi, ayah? Ayah kan dah ambil semua duit gaji Ina daripada Puan Hajah? Ina dah tak ada duit lagi,” ngongoi Ellina tetap menjawab biarpun sukar untuk bersuara.
“Huh, alasan kau saja tu! Macamlah aku tak tahu, majikan kau tu selalu bagi duit lebih kat kau. Mana kau simpan duit tu, hah? Cakap!” tengking Pak Samad semula.
Kali ini kepala Ellina dihentak ke dinding rumah pula. Berpinar-pinar pandangan Ellina jadinya.
“Hei, anak tak guna! Mana duit kau, hah?” Pak Samad semakin menyinga bila Ellina tidak menyahut. Gadis itu menggeleng lemah.
“Tak ada, ayah. Ina dah tak ada duit,” balas Ellina tergetar-getar menahan sakit. Terasa kepalanya berdenyut-denyut ketika ini.
Semakin panas hati Pak Samad mendengar jawapan Ellina. Mahu saja Pak Samad menampar muka gadis itu bila dia terpandang sesuatu di pinggang Ellina. Pantas beg kecil berwarna hitam pekat itu dirampas.
Ellina terkejut.
“Jangan, ayah! Jangan ambil duit tu! Itu duit makan kita, ayah! Itu aje duit yang Ina ada, ayah. Tolong, ayah, jangan ambil!” Ellina kembali terjerit-jerit.
Dia cuba merebutnya dari tangan Pak Samad. Ellina jatuh terduduk bila lelaki itu pantas menolak tubuh kecil moleknya.
“Oh... Kau dah pandai berbohong dengan aku sekarang ya? Tak ada duit konon. Ini apa? Anak tak guna!” jerkah Pak Samad lalu... Pang! Satu lagi tamparan hinggap ke wajah Ellina.
Gadis itu tersungkur ke lantai.
“Ayah, tolonglah. Itu saja duit yang Ina ada. Duit tu untuk beli keperluan makan kita, ayah. Tolong jangan ambil, ayah. Tolonglah!” rayu Ellina.
Dia cuba mencapai kaki ayahnya, namun Pak Samad terus menendang Ellina hingga tubuh yang sedia tidak bermaya itu jatuh terlentang semula.
“Argh! Duit makan konon! Kalau kau nak duit, kau pergilah minta dengan Puan Hajah tu. Dia kan suka bagi kau duit selama ni?” balas Pak Samad tersenyum sinis.
Senang hatinya bila mendapat duit. Walaupun tak sebanyak mana, namun sudah cukup untuk dia menebus semula kekalahannya di warung Chuhalok tadi. Dia bergegas keluar. Tidak peduli pada Ellina yang terus-terusan memanggil ayahnya. Dalam keadaan sakit, gadis itu menangis penuh hiba.
“Ya Allah... Kuatkanlah imanku untuk menghadapi segala dugaan-Mu ini,” pinta Ellina tertahan-tahan.
Dilap wajah basahnya dengan hujung jari. Cuba menghalang air mata daripada terus-terusan mengalir keluar. Namun, Ellina tidak berdaya. Hatinya terlalu hiba mengenangkan sikap Pak Samad yang tidak berubah sejak dulu. Lantas air matanya jatuh lagi.
“Mak... Kalaulah mak masih hidup, pasti hidup Ina takkan jadi begini. Sekurang-kurangnya, Ina masih ada tempat untuk berkongsi perasaan Ina dengan mak,” ngongoi Ellina semula.
Kali ini dia terkenang kepada arwah Hasnah yang telah lama pergi meninggalkannya. Akhirnya Ellina menangis lagi. Meratap nasib sendiri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan