Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 12 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 7

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

PAGI-PAGI lagi Zulfah Insyirah sudah masuk ke pejabat. Seperti biasa bunyi hentakan stiletto berjenama Chanel berwarna hitam itu mula menghiasi ruang atas yang menempatkan bilik Zulfah Insyirah.
Bila hentakan itu terdengar di telinga para pekerja, masing-masing kelam-kabut duduk di tempat sendiri. Fokus melakukan kerja kononnya. Padahal dalam hati masing-masing gerun dengan ketegasan Zulfah Insyirah.
Pintu kaca ditolak kasar. Semua mata mula tumpu ke arah Zulfah Insyirah pula.
“Selamat pagi, Cik Zufa,” ucap salah seorang pekerja. Kemudian diikuti pula para pekerja yang lain, termasuklah Elena.
Hari ini mood Zulfah Insyirah sedikit baik. Dia mengangguk dan membalas kepada pekerja yang mengucapkan selamat kepadanya.
“Elena, masuk ke pejabat I,” arah Zulfah Insyirah.
Elena berdiri dan mengangguk. Dia capai buku nota yang memuatkan semua maklumat dan janji temu Zulfah Insyirah dengan mana-mana pihak. Tidak sampai lima minit Zulfah Insyirah masuk, Elena sudah mengetuk pintu.
“Masuk,” arah Zulfah Insyirah.
Elena masuk dan menutup perlahan pintu bilik. Dia senyum dan bersedia menerima arahan daripada Zulfah Insyirah yang pada ketika itu sedang duduk dan bersandar pada sofa. Kaki disilangkan dan diletak atas meja di hadapan sofa. Terserlah lambang Chanel pada tapak stiletto milik wanita itu.
“I ada appointment apa hari ni?” soal Zulfah Insyirah. Jari-jemari bersilang dan diletak santai atas perut.
 “Hari ni Cik Zufa tak ada apa-apa appointment yang penting. Petang aje ada hi-tea dengan Datin Malar.”
Zulfah Insyirah terangguk-angguk.
Elena perasan perubahan wajah Zulfah Insyirah. Sesekali wanita itu nampak tersenyum. Seperti orang dilamun cinta dan tak fokus dengan apa yang dia beritahu. Sesekali nampak seperti orang bersedih pula.
“Cik Zufa nak apa-apa? Coffee or something?” pelawa Elena perlahan. Risau kalau ganggu mood wanita itu.
“Boleh jugak. Buatkan roti bakar untuk I ya?” pinta Zulfah Insyirah.
“Baik, Cik Zufa.” Elena segera keluar dari bilik dan menuju ke pantri.
Tinggal Zulfah Insyirah sendirian. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Menghadap cermin kaca, melihat pemandangan hijau di luar biliknya. Wajah Akeel Firdaus mula terbayang-bayang di ruang mata.
Nama lelaki itu sudah melekat dalam hatinya. Perasaannya penuh dengan bunga-bunga cinta. Kalau boleh dia mahukan Akeel Firdaus menjadi miliknya seorang. Sangkanya, Akeel Firdaus sama juga seperti lelaki lain yang akan terpukau dengan kecantikan yang dia miliki.
Angan-angan Zulfah Insyirah lenyap apabila Elena kembali semula ke biliknya dengan menatang sebuah dulang berisi satu muk kopi dan roti bakar dua keping.
“Cik Zufa, breakfast dulu.” Elena letak dulang atas meja Jepun bertentangan dengan sofa berangkai tiga.
“Elena, I tak boleh lupakan Akeel Firdaus. Lelaki pramugara yang kita jumpa dulu,” luah Zulfah Insyirah perlahan.
Kali ini Elena dapat lihat sisi lain Zulfah Insyirah. Entah ke mana perginya perangai menjengkelkan wanita itu.
“Cik Zufa dah jumpa dia?” soal Elena. Masih takut-takut walaupun kelihatannya Zulfah Insyirah boleh diajak berbual.
Zulfah Insyirah mengangguk. “You know what? He is so tempting.”
Elena sembunyi senyum. Memang sah Zulfah Insyirah sudah jatuh cinta buat ke sekian kalinya. Elena masih setia mendengar luahan bosnya.
I think hes the one. I cant focus. I cant wait to see him.” Zulfah Insyirah semakin mabuk asmara. Sampai jadi risau pula Elena dibuatnya.
“Mesti dia sangat istimewa sampai Cik Zufa tak boleh lupakan dia.” Elena cuba untuk mengambil hati Zulfah Insyirah.
Yes. I tak boleh berhenti fikirkan dia. I nak jumpa dia, Elena.” Zulfah Insyirah nekad. Dia capai beg tangan di atas meja kerja dan buru-buru mahu keluar.
Elena yang terkejut dengan tindakan Zulfah Insyirah juga turut berdiri. Tak sangka Zulfah Insyirah akan buat keputusan drastik begitu.
“Cik Zufa, kalau ya pun, sarapan dulu,” ujar Elena sambil tunjuk sarapan di atas meja Jepun.
Zulfah Insyirah pandang sepi sarapan yang disediakan oleh Elena. Kemudian dia mengeluh.
“You makanlah, Elena. I tak ada selera.” Zulfah Insyirah menggeleng dan terus berlalu keluar.
Elena hanya menggeleng kepala. Faham sangat dengan sikap bosnya. Akhirnya Elena bawa kembali dulang keluar dari bilik Zulfah Insyirah dan dia jadi mangsa tukang habiskan makanan itu.

BERBEKALKAN maklumat yang Din dan Dol berikan, akhirnya Zulfah Insyirah menjejaki sendiri di mana tempat Akeel Firdaus selalu melepak selepas habis waktu kerjanya.
Sampai di depan Old Malaya Kopitiam, Zulfah Insyirah berdiri agak lama di situ. Dia memerhati segenap ruang kopitiam itu. Manalah tahu kalau-kalau nasibnya baik boleh terus berjumpa dengan lelaki pujaannya. Bila dilihat tidak satu pun wajah yang dia kenal, Zulfah Insyirah ambil keputusan untuk duduk di kopitiam tersebut. Sambil menunggu, dia bersarapan di situ.
Afeef Zakwan mahu menuju ke arah wanita cantik yang duduk seorang diri. Dia mahu mengambil pesanan. Bila semakin dekat, langkah Afeef Zakwan semakin perlahan. Perasaannya kuat mengatakan dia kenal wanita yang duduk berseorangan ini. Wanita ala-ala ketua mafia yang menghempuknya dengan beg tangan berjenama mahal.
Afeef Zakwan mengambil kesempatan meneliti Zulfah Insyirah yang kelihatannya sedang sibuk dengan telefon pintarnya. Sut sepasang Zulfah Insyirah yang berwarna hitam nampak eksklusif dan elegan. Dihiasi pula dengan selendang kecil berwarna merah jambu di lehernya. Afeef Zakwan tahu, bukan calang-calang wanita yang berada di depannya ini.
Dalam sibuk meneliti, Zulfah Insyirah memanggung wajah. Tepat anak matanya menikam wajah Afeef Zakwan yang masih merenung dirinya.
“Helo?” Zulfah Insyirah petik jari di hadapan Afeef Zakwan.
“Err... Ya, cik?”
“Menu? I nak pesan.” Zulfah Insyirah mengeluh melihat Afeef Zakwan yang agak kelam-kabut. Dia jeling tajam lelaki yang tergopoh-gapah menghampirinya.
“Menu, cik.” Afef Zakwan sudah bersedia mahu mencatat pesanan menu Zulfah Insyirah. Sambil menunggu sambil berfikir tidak kenalkah Zulfah Insyirah akan dirinya?
Honey lemon ice, please.” Zulfah Insyirah sudah buat pesanan.
“Makan, cik?”
“Tak nak.” Zulfah Insyirah menggeleng kepala. Sebelah mata pun dia tidak pandang Afeef Zakwan yang setia memandang wajah cantik itu. Entah kenapa dia tidak ada selera hendak makan selagi tidak berjumpa dengan Akeel Firdaus.
Bila dirasakan dirinya tidak diperlukan, Afeef Zakwan menuju ke kaunter. Kemudian beralih ke bahagian dapur. Dia segera ke bahagian kaunter semula. Di situ ada dia selitkan risalah kepunyaan Akeel Firdaus tempoh hari. Segera Afeef Zakwan menuju ke bahagian luar dan membuka risalah tersebut. Sekejap matanya memandang wanita pada risalah tersebut, sekejap lagi dia memandang wanita yang masih leka dengan telefon pintarnya.
“Sah, memang dia,” bisik Afeef Zakwan sendirian.
Loceng menandakan menu sudah siap mula terdengar di telinga Afeef Zakwan. Dia menuju ke kaunter dan mengambil minuman yang dipesan oleh Zulfah Insyirah. Dengan perasaan berdebar, dia mendekati wanita itu.
Honey lemon ice.” Dengan tertib Afeef Zakwan meletakkan minuman di hadapan Zulfah Insyirah.
Kemudian keadaan sunyi sepi. Tiada ucapan terima kasih daripada Zulfah Insyirah. Dia tidak ada masa untuk itu semua. Tidak ada masa untuk beramah mesra. Dia sekarang sibuk melilaukan mata mencari kelibat Akeel Firdaus.
Afeef Zakwan tidak mahu mengganggu Zulfah Insyirah. Dia melakukan kerja sambil itu curi-curi pandang juga ke arah wanita itu. Dia tahu, pasti Zulfah Insyirah sedang menunggu Akeel Firdaus. Afeef Zakwan tersenyum kecil. Tidak sangka adiknya diminati oleh golongan high-class seperti Zulfah Insyirah.
Setelah menunggu hampir dua jam, Afeef Zakwan jadi kasihan pula. Dia mahu mendekati Zulfah Insyirah dan bertanyakan kalau-kalau wanita itu perlukan apa-apa, tetapi belum sempat dia hampiri, kelihatan adiknya menuju ke Old Malaya Kopitiam. Afeef Zakwan membatalkan niatnya dan hanya memerhati dari jauh gelagat Zulfah Insyirah apabila terlihat Akeel Firdaus memasuki kopitiam.
Spontan Afeef Zakwan tersenyum bila melihat tindakan berani Zulfah Insyirah yang mahu merangkul pinggang Akeel Firdaus. Puas dielak akhirnya Akeel Firdaus biarkan sahaja Zulfah Insyirah memaut erat pinggangnya.
“Nasib kaulah, Akeel.” Afeef Zakwan memandang tempat lain dan meneruskan kerja-kerjanya.

Hampir sejam juga Akeel Firdaus melayan kerenah Zulfah Insyirah. Sesekali Afeef Zakwan curi-curi pandang ke arah mereka.
Dia tahu adiknya itu bukanlah ikhlas sangat melayan Zulfah Insyirah. Kelihatan Zulfah Insyirah sahaja yang beria-ia merenung, senyum dan cuba untuk bermanja dengan Akeel Firdaus. Kemudian Afeef Zakwan lihat Zulfah Insyirah dan Akeel Firdaus sama-sama berdiri. Kelihatan Zulfah Insyirah mahu pulang.
Sebaik sahaja mereka berbalas lambai dan Zulfah Insyirah hilang daripada pandangan, Akeel Firdaus melepaskan nafas lega. Dia duduk semula dan bersandar pada kerusi.
Waktu ini barulah Afeef Zakwan mendekati adiknya sambil tersenyum penuh makna. Dia pura-pura lap meja dan mengalihkan dulang yang ada di atas meja tersebut.
“Apa hal senyum sorang-sorang? Orang tengah stres dia senyum-senyum pulak,” marah Akeel Firdaus sambil menjeling geram abangnya.
“Aik, orang dilamun cinta pun stres ke?” usik Afeef Zakwan sambil ketawa kecil.
“Yang dilamun cinta tu dia. Akeel tak nak pun. Pening kepala macam mana nak elak dia tu.” Akeel Firdaus mengurut pelipis.
“Apa kurangnya dia?” soal Afeef Zakwan lagi.
“Dia tak kurang apa-apa. Cuma Akeel ni, kurang perasaan kat dia.” Akeel Firdaus ketawa lucu.
Afeef Zakwan menggeleng kepala. Dia tersenyum sahaja. Kemudian pinggan-pinggan dan cawan-cawan kotor diangkat dan diletak ke dalam dulang. Lalu dibawa pula ke bahagian dapur.
Kemudian, Afeef Zakwan datang semula sambil bawakan secawan kopi untuk adiknya. Dia duduk sebentar sementara tidak ada pengunjung di kopitiam tersebut.
“Kurang perasaan aje. Boleh pupuk. Bukan tak ada perasaan langsung,” balas Afeef Zakwan.
“Kurang tu dah lebih kepada tak ada langsung. Abang tengok dia macam mana? Not my tastelah, abang. Peduli apa dia ada harta berkoyan-koyan pun.” Akeel Firdaus sudah merengus.
“Okey, abang faham. Cuba bagi peluang kepada diri sendiri. Jangan nampak sangat kita tak suka. Layan dia sebagai kawan. Apa salahnya.” Nasihat Afeef Zakwan ada benarnya.
Akeel Firdaus terdiam. Dia tahu dia terlalu menampakkan yang dia tidak suka kepada Zulfah Insyirah. Tetapi, Zulfah Insyirah terlalu berani, itu yang membuatkan dia tidak selesa berdepan dengan wanita itu.
“Abang jangan risau, lagi dua tiga hari mesti dia cari Akeel lagi. Rasa-rasanya kalau dia jumpa abang pun dia akan terpikat dengan abang. Rupa kita kan sama aje kacaknya.” Akeel Firdaus mula perasan.
“Apa pulak? Abang dah jumpa dialah tadi. Jangan kata suka, sebelah mata pun tak pandang. Bagi jelingan maut lagi ada,” balas Afeef Zakwan.
“La... ya ke? Haisy, macam manalah nak pas kat abang ni?” rungut Akeel Firdaus.
“Apa dia? Ingat awek tu barang ke nak pas-pas? Isy.” Afeef Zakwan sekeh manja kepala adiknya.
Kemudian masing-masing ketawa senang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan