Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 7 April 2016

Jejaka Macam Dia - Bab 9

Tajuk: Jejaka Macam Dia
Penulis: Daisy Zahra
ISBN: 978-967-365-262-4
Harga: RM26.00 / RM29.00

Seperti yang dijanjikan, Zul tiba di Langkapuri Inn pada pagi itu. Pertemuan yang diaturkan di restoran resort berjalan lancar untuk sesi sarapan pagi.
“Jadi Zul dah pernah buatlah island hopping ni?” soal Durrah sebaik nasi goreng sudah licin di pinggan.
“Mestilah! Dah tak terkira dengan jarilah kalau nak diikutkan,” sahut Zul sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Yakin nampak? Huh! Durrah mula mengomel dalam hati. Tengok muka pun aku dah tahu, penipu!
“Awak Ju, tak bawa ke baju nak diganti nanti? Takkan tak mau mandi nanti?” Durrah menghala pula kepada Juliana yang sedang menikmati air Nescafe.
“Err... tak payahlah. I tak naklah mandi-mandi ni,” sahut Juliana laju sambil menggawangkan tangannya.
“Betul? Dahlah datang jauh dari Kuala Lumpur. Rugi tau,” tingkah Durrah.
“Tak apa, tak apa.”
“Kalau ya pun tak mau mandi, err... Jangan salah faham ya apa yang saya cakap ni. Memanglah tak salah, bahkan baik awak pakai tutup aurat macam ni berjubah dan berpurdah, tapi nanti, kita nak buat aktiviti tu, berpeluh. Tak apa ke nak berjubah macam ni?” omel Durrah yang kehairanan dengan sikap Juliana.
“Isy! Tak apa, tak apa. I dah terbiasa pakai jubah. I...”
Pecah tiba-tiba tawa Zul di meja yang dihuni oleh mereka bertiga. Juliana mula menayangkan muka cemburut sambil menjeling. Durrah pula mulalah, semakin menebal syak wasangkanya dalam diam.
“Kenapa Zul? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Tidak bertangguh, Durrah terus melepaskan soalan.
“Tak, tak. Cuma...” Dalam tawa yang masih ada, kelihatan susah pula Zul untuk berkata-kata. Lelaki itu masih lagi ketawa. Sampaikan berair matanya.
Durrah mula mencebik. Macamlah lucu sangat. Agaknya dia lelaki, dia tak boleh bayangkan Juliana yang selalu berjubah?
“Biarkan dia Durrah. Mengada-ada. I memang dah terbiasa pakai jub...”
Ketawa Zul yang baru hendak reda tercetus lagi. Kali ini lebih kuat berbanding yang tadi. Sampaikan beberapa orang pengunjung yang lain yang berada di situ mula menjeling ke meja mereka.
“Isy! Awak ni Zul. Dah kenapa? Gelak macam kena rasuk!” tempelak Durrah geram. Mesti ada apa-apa ini!
Sorry, sorry. Saya...” Zul yang cuba menuturkan kata-kata tidak boleh menahan tawanya. Tergeleng-geleng kepalanya berulang kali.
“Gelak ni gelak juga. Bila kita nak bertolak? Sekarang ni dah nak 9.20 pagi,” tukas Durrah sambil menjeling jam.
“Entah. Asyik gelak aje kerjanya,” tokok Juliana sambil mengerling Zul. Mata dijegilkan kepada lelaki itu apabila pandangan mereka bertaut.
“Err... Pakej yang saya ambil tu memang dia orang akan datang jemput dan hantar kita balik kat sini. Mula-mula, dia orang nak kita berkumpul di Underwater World. Tapi saya minta datang ajelah ambil kita terus kat sini sebab bukannya jauh sangat pun resort ni dengan Underwater World tu. Dah sudah makan, kan? Bolehlah kita pergi ke depan sekarang.” Zul masih tersenyum-senyum merenung Durrah dan Juliana bersilih ganti.
“Kau orang tunggu sekejap ya? Saya nak balik bilik kejap. Nak ambil beg,” ujar Durrah terus bangun. Kaki mula diatur meninggalkan restoran.
Juliana yang memerhati kelibat Durrah yang semakin menghilang, mulai bersuara.
“Hei! Kau ni kan, tadi tu mujurlah. Kalau tak?” Keras suara Juliana menerjah pendengaran Zul.        
Sorrylah. Saya tak sengajalah, tapi err... Betul ke tak payah nak tukar dulu baju tu?” Sempat lagi Zul melepaskan usikannya.
Bukannya dia tidak tahu akan rancangan dan rahsia yang harus disimpan rapi. Setidak-tidaknya, sehingga Juliana berjaya mendapatkan apa yang diingininya.
“Dahlah! Mengada-ada kau ya? Jom.” Juliana bingkas bangun untuk meninggalkan restoran.
Zul yang mengikut dari belakang terus menahan tawa. Dalam hati, timbul rasa kagum kerana Juliana sanggup melakukan perkara tersebut demi perkara yang diinginkannya.

“Wah! Hebat. Kat sini pun kawan you boleh berpurdah segala, kan?”
Durrah melepaskan keluhan. Suara Alisya yang kedengaran itu senang saja difahami kepada siapa ditujukan. Tidak sangka yang gadis itu pun akan turut berada di situ untuk melakukan aktiviti bersama-sama mereka nanti.
“Isy! You ni Lis...” Cindy sudah menyiku lengan Alisya sebagai isyarat tidak senang dengan kata-kata kawannya itu.
Alisya tidak mengendahkan. Sebaliknya, semakin menebal keinginannya untuk terus menyakitkan hati Durrah yang ditemani oleh kedua-dua orang kawannya.
“I tak terkejut pun kalau orang macam ni yang you pilih untuk dibuat kawan,” luah Alisya.
Durrah yang berhasrat tidak ingin melayan kata-kata Alisya, menoleh ke arah gadis itu apabila mendengar bicaranya. “Apa maksud awak ni Alisya?”
Juliana dan Zul hanya mendiamkan diri. Hanya sepasang mata milik Juliana yang bercelak itu bergerak-gerak memandang Durrah dan Alisya.
“Yalah. Maksud I tu...” Alisya memuncungkan mulutnya kepada Juliana.
“Dialah... yang berjubah dan berpurdah tu. Kawan you, kan? Sama macam kat sekolah kita dulu. You kan jenis yang suka tunjuk baik, buat-bual alim gitu, kan? Samalah macam dia tu. Helo? Kita kat pulau tahu? Perlu ke nak berjubah dan berpurdah segala?”
“Lis!” Cindy sudah mengeraskan suaranya tanda tidak senang dengan kata-kata Alisya.
Durrah menahan sabar. Tidak ingin berbalas kata dengan Alisya yang memang hanya tahu menyakitkan hatinya saja sejak zaman persekolahan lagi.
Sepasang mata Alisya galak membelek raut wajah Durrah yang sudah berubah corak.
 “Kenapa diam? Sebab betul, kan? Dulu tu you dengan Steve...” Sengaja Alisya membiarkan ucap katanya tergantung. Sengaja juga dia ingin membakar hati Durrah di bawah sinar matahari yang kian membakar itu.
“Alisya! Awak jangan melampau tau! Dulu...”
Sebuah van berwarna putih tiba berhenti betul-betul di depan mereka berlima yang sedang menunggu, mematikan kata-kata yang ingin diluahkan Durrah.
Alisya tersenyum senget kepada Durrah sebelum melepaskan jelingan. Puas hatinya sekarang kerana berjaya mengungkit peristiwa masa lalu sekali gus menyakitkan hati Durrah.
“Ini ke Abang Syam yang saya telefon hari tu?” ujar Zul sebelum melangkah masuk. Dia membiarkan mereka yang lain memasuki van terlebih dahulu.
“Sayalah. Bot yang kita nak guna kejap lagi ni bot Pak Harun. Tak apa, kejap lagi sampai saya tunjuk yang mana,” sahut Abang Syam.
Setelah memastikan semuanya sudah berada di dalam van, dia memulakan perjalanan. Durrah yang duduk di belakang bersama-sama Juliana membuang pandangan ke luar cermin tingkap. Alisya yang duduk bersebelahan dengan Cindy pula sibuk berbisik-bisik sesama sendiri. Zul yang dudul di hadapan, di sisi Abang Syam, sibuk berborak dengan lelaki tersebut.
Terasa lengannya dicuit, Durrah menoleh ke sisi.
“Kenapa?” Dia memandang Juliana.
“Err... you dengan dia, macam ada yang serius aje?” ujar Juliana sambil memuncungkan mulut ke arah Alisya yang duduk di depan mereka.
Durrah berpaling semula ke arah tingkap. Malas hendak bercakap mengenai Alisya yang mengungkit mengenai peristiwa yang tidak ingin dikenangkan pun.
Tidak berputus asa, Juliana mencuba lagi untuk mengorek maklumat daripada Durrah. “Siapa Steve tu?”
Durrah menoleh sekilas ke arah Juliana sebelum membuka mulut.
“Nantilah saya bagi tahu kat awak, ya?” kata Durrah perlahan. Pandangan kembali ditala ke luar.
Fikirannya jauh melayang mengenangkan pelbagai peristiwa. Kenangan di sekolah bersama-sama Alisya semestinya kenangan yang tidak ingin dikenangkan. Aktiviti yang bakal dilakukan sebentar nanti adalah aktiviti yang pernah dilakukan bersama-sama ahli keluarganya yang tersayang dahulu. Perasaan Durrah bercampur baur.
Juliana membatukan diri. Raut wajah mendung Durrah bagaikan menyembunyikan sesuatu. Semakin kuat pula gelodak di hatinya ingin mengetahui perihal gadis ini. Sepasang matanya menyorot Alisya yang sedang duduk di depan mereka. Semakin terserlah sifat perempuan yang seorang itu pada pandangan matanya.

Kumpulan yang melakukan island hopping itu diketuai oleh Munir dan pembantunya, Aziz. Setelah hampir sejam berada di Tasik Dayang Bunting yang menjadi destinasi pertama mereka, Munir membawa pula kumpulan pengunjung tersebut ke Pulau Singa Besar.
Hampir beberapa minit memandu bot, mereka tiba berhampiran di jeti pulau tersebut. Masing-masing sibuk bersedia dengan telefon bimbit dan kamera untuk mengambil gambar dan merakam video helang-helang yang terbang berkeliaran di langit turun ke permukaan laut untuk menangkap ikan. Pelancong asing yang turut terdapat di dalam bot mengangguk-anggukkan kepala berpuas hati apabila berjaya mengambil gambar seperti yang dikehendaki.
Durrah melirik Juliana dan Zul yang leka memerhati beberapa ekor helang yang sedang mencari rezeki.
“Kata ejen dan selalu ke sini?” bisik Durrah yang masih menyoroti tingkah Zul. Bukan main lagi lelaki itu bersorak bila melihat seekor helang berjaya menangkap seekor ikan setelah terbang rendah di permukaan air laut.
Hilang sekejap mood bila terkenangkan perangai Zul dan Juliana yang boleh dipersoalkan. Kalau mereka mempunyai motif jahat, tak nampak pula dia orang ada nak ambil kesempatan kat aku. Isy! Pening macam ini.
“Durrah, memang kat sini kita tak turun dari bot ya?” tegur Juliana.
“Hmm...” Durrah menganggukkan kepala.
Hati Juliana mula berdetik. Habis, habis! Durrah sudah memasuki mod sepatahnya. Aduhai! Susah betul dengan perempuan yang seorang inilah. Apa lagi yang tak kena? Ke aku atau Zul ada terlepas cakap apa-apa? Cepat betul angin dia berubah.
Risau kalau-kalau rancangan yang diatur terbongkar dek kecuaiannya, Juliana mendiamkan diri. Hanya mata yang memerhati keindahan alam semula jadi yang terbentang di depan mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan