Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Februari 2016

Suami Paksa Rela - Bab 10

“Hoi, Fa! Kau nak makan lagi ke tak? Kalau nak, aku masak lebih.” Kepala Ika terjengul di sebalik ruangan dapur. Wafa yang tengah duduk bersenang-lenang di atas sofa di ruang tamu dipandang sekejap.
“Aku kenyang lagilah. Tapi, kalau kau nak masak lebih pun tak apa. Aku makan aje,” jawab Wafa sambil tangan sibuk menggodek-godek telefon. Dia tengah semak e-mel daripada pembekal-pembekal butik mereka.
“Kau tu dah nak kahwin, Fa. Bawak-bawaklah diet sikit. Tak muat baju nikah kau tu karang baru tau.”
“Alah, aku makan banyak pun jenis badan yang tak naik-naik. Lainlah macam kau, melantak sepinggan dua pun badan dah naik berkilo-kilo!” Mengekek-ngekek Wafa ketawa. Sengaja menyakat kawannya itu.
Ika yang mendengar terus keluar dari dapur. Pap! Laju dia mencampak bantal tepat ke perut Wafa.
“Hoi, senak perut aku tau tak!” Wafa campak semula bantal kepada Ika. Kemudian, dia usap-usap perutnya. Serius, senak! Mana taknya, dia baru saja lepas melantak bihun sup di Dataran Cendekiawan (DC) di UiTM Shah Alam tadi. Adeh, sesak nafas dia dibuatnya.
“Mulut tu pergi buat insurans ya, Fa!”
Wafa hanya balas kata-kata Ika dengan memuncung-muncungkan mulut. Saja nak buat Ika lagi bertambah sakit hati.
“Dahlah, malas aku nak layan kau ni!”
Wafa tergelak bila tengok Ika yang dah menonong ke dapur semula. Pergi bawa dirilah tu. Ika ini pesen yang rajin ke dapur. Ada saja resipi baru yang kawannya itu nak cuba. Tapi, bagus jugalah. Sebab yang tukang habiskan semua makanan itu nanti, dia. Hahaha!
Sudah selesai menyemak dan membalas e-mel pembekal, dia tengok pula gambar dan video Dubsmash orang di Instagram. Tengah dia syok menonton, tiba-tiba skrin telefonnya muncul nama seorang pemanggil. Berubah terus muka Wafa bila tengok nama itu. Terus dia decline panggilan itu.
Tapi, tak sampai lima saat, orang itu telefon dia lagi. Sampai adalah beberapa kali dia terpaksa batalkan panggilan itu. Tapi, bila dah banyak kali sangat orang itu cuba menelefonnya, dia terus saja angkat panggilan itu.
“Kau nak apa, Idham?!”        
“Saja. Am rindu dekat Fa,” ucap suara dekat hujung talian. Meleret saja bunyinya.
“Rindu itik kau! Kau nak apa lagi ni? Jangan ganggu aku lagi boleh tak?!”
“Tapi, Am tak boleh lupakan Fa. Am masih sayangkan Fa.”
Wafa ketap bibir. Sayang nenek kau! Hah, geram pula dia rasa. Masih sayang konon. Sayang, tapi tak setia nak buat apa! Sayang apa ke bendanya macam itu? Sayang hampeh adalah! Inilah yang dia tidak suka dan dia tak faham.
Kenapa? Kenapa Idham masih nak ganggu hidup dia? Padahal, antara mereka bukannya ada apa-apa lagi dah. Sebab itulah dia minta tolong Karl supaya berlakon di depan bekas kekasihnya itu. Dia nak balas balik semua perbuatan Idham!
“Tak payah nak bersayang-sayang sangatlah!” sangkal Wafa, geram.
“Betul. Am tak tipu. Dalam hati ni, hanya ada nama Fa aje. Tak ada orang lain dah.”
“Banyaklah kau tak ada orang lain. Tu bakal bini kau tu, nama dia tak ada ke dalam hati kau?”
Senyap. Diam terus Idham jadinya.
“Kalau betul kau sayang aku, batalkan wedding kau dengan Elli. Boleh ke?” cabar Wafa, berani.
Wafa yang tadi sedang berbaring, terus duduk. Tak sabar dia nak tunggu jawapan daripada bekas kekasihnya itu. Hah, tak terjawab pun, kan? Dasar lelaki! Hanya menanam tebu di tepi bibir! Kalau dapat kat aku, aku tukar tebu tu dengan cili padi. Biar berasap, berapi! Heh!
“Fa, Am...”
“Fa, Am. Fa, Am! Dah, tak payah nak banyak cakap! Lelaki macam kau ni, memang tak pernah cukup dengan seorang perempuan. Kau jangan nak ganggu aku lagi. Aku pun dah nak kahwin hujung bulan ni. Bye!” Wafa terus tekan skrin matikan talian.
Sempat juga dia mention pasal dia nak kahwin hujung bulan ini. Biar, biar! Idham ingat, dia seorang saja boleh kahwin dan nak menunjuk konon lelaki itu seorang saja yang tengah bahagia di dalam dunia ini? Dia pun bolehlah!
Tapi, serius ke dia boleh bahagia dengan Karl? Errr... entah. Tak terkomen pula dia kalau pasal itu. Harap-harap bolehlah.

KARL pegang erat iPhone milik dia itu. Kemudian, dia mencari nama seseorang di bahagian contacts. “Nak call ke, tak nak? Call ke, tak?”
Karl garu-garu kening. Dia duduk di birai katil sambil memandang lama ke arah skrin telefon. Tak tahu nak buat keputusan sama ada nak telefon Wafa ataupun tidak. Jam baru pukul 10.30 malam. Alah, mesti perempuan itu tak tidur lagi. Call sajalah.
Nombor Wafa didail. Tapi, muncul perkataan waiting pada skrin telefon. “E,eh, perempuan ni! Bergayut dengan siapa pulak dia ni?”
Karl matikan talian. Kemudian, dia dail sekali lagi. Masih sama seperti tadi. Wafa tengah berbual dengan seseorang di talian. Eee, dengan siapa pula perempuan itu bercakap? Ini nak dia nak jealous ni! Dia jealous? Macam pelik saja bunyinya?
Tak dapat telefon, Karl terus laju menaip ayat di aplikasi WhatsApp.
Kau tengah call siapa, hah?
Sesaat. Seminit. Nak dekat 10 minit. Wafa masih belum baca mesej yang dia hantar. Tanda tick masih belum bertukar menjadi warna biru. Amboi, lama betul boraknya ni!
Karl mahu dail semula nombor Wafa. Baru saja dia nak dail, telefonnya berbunyi tanda ada mesej WhatsApp yang baru masuk. Ceh, baru nak reply perempuan ni!
Idham call.
Dia nak apa?
Nak mintak kaki!
Tergelak terus Karl dibuatnya. Ganas betul si Wafa ini. Tengah marah, macam-macam anggota badan dia nak sebut. Kakilah, tanganlah. Apa sajalah... Terasa malas nak menaip, Karl terus saja mendail nombor Wafa. Tak sampai dua saat, panggilannya bersambung.
“Amboi, laju angkat,” perlinya sambil tersenyum senget.
Kalaulah Wafa nampak senyum sengetnya ini, seratus peratus dia confirm yang hati bakal bininya itu akan cair.
“Tertekan.”
“Tengah bengang lagi ke?”
“Maunya saya tak bengang. Kalau datang tu, tak pernahnya tak menyakitkan hati. Dah ada kekasih baru, duk sibuk cari saya lagi nak buat apa?! Heh!”
“Eh, kau ni... Janganlah nak emo sangat. Alah, apa susah? Kau block ajelah nombor dia. Tak adalah dia nak kacau kau lagi.”
Tiada balasan daripada Wafa di hujung talian. Karl dah buat muka sinis. Tahu dah apa yang ada dalam hati Wafa sebenarnya.
“Ni mesti kes tak sampai hati, kan? Kau ni, mulut aje bising-bising cakap menyampahlah, bencilah, sakit hatilah. Tapi, kau sebenarnya suka dia cari kau lagi, kan? Suka bila dia cakap dia masih sayangkan kau. Sebab semua tu buat kau rasa macam dia masih perlukan kau. Konon-konon macam dia payah nak lupakan kau. Buat kau rasa macam kau ni spesial sangat dekat mamat tu. Itu pasal kau tak nak block nombor dia. Itu sebabnya, kan? Aku tahulah, Wafa.”
“Errr, emm, mana ada!” Laju Wafa nafikan.
Karl tergelak mendengar respons daripada Wafa yang agak tergagap-gagap itu. Dia memang dah agak. Percaya ataupun tidak, memang itulah realitinya bagi seorang perempuan. Mulut dan hati tak pernah sekata.
Orang perempuan ni, mulut bukan main kutuk. Dalam hati? Mereka sebenarnya nak diberi perhatian, nak dipujuk, nak dibelai. Sebab itu selalunya mereka akan konon-konon marah. Padahal nak minta perhatian lelaki saja. Okeylah, mungkin tak semualah perempuan macam ini. Tapi, memang ada yang pesen macam ini. Salah seorangnya, bakal bini dia inilah. Wafa Adlina.
“Awak nak apa call saya sebenarnya ni?”
Karl tergelak lagi. Semenjak dia kenal dengan Wafa ini, dia selalu saja gelak. Apa kena entah. Ceria saja dia rasa hidupnya. “Aik, tukar topik ke?”
“Kalau awak call semata-mata nak tambah rasa sakit hati saya ni, baik saya letak. Buang masa aje.”
“Eh, nantilah. Okey, okey. Aku saja aje call kau. Saja nak memupuk rindu dekat dalam hati ni. Nanti dah kahwin senang,” ucap Karl tergelak-gelak.
“Banyaklah awak punya nak pupuk rindu. Sekali saya puk dengan tangan ni karang, baru tau!”
Meletus besar ketawa Karl. Kan dia dah cakap tadi, Wafa bila tengah marah, suka sebut pasal anggota badan. Memang trademark perempuan itu agaknya. “Kau ni, memang tak reti betul nak romantik dengan bakal husband sendiri kan.”
“Tak payah nak romantik sangatlah! Nak semua tu, tunggu dah kahwin nanti. Lebih daripada romantik pun saya boleh bagilah.”
Daripada duduk, Karl dah berbaring di atas katil. Seronok pula rasanya berborak dengan si Wafa malam-malam begini. Suara Wafa di dalam telefon pun bukan main comel lagi. Dalam kasar, ada godanya. Hahaha! Okey, itu dia yang over.
“Betul ni? Aku tuntut nanti, Wafa.”
“Nak tuntut apa benda pulak ni?”
“Tuntut kau jadi romantik dengan akulah. Tak sabarnya rasa, weh...” ucapnya perlahan. Perangai sengal Karl dah mula keluar.
Wafa yang dah perasan akan kesengalan Karl itu, terus cepat-cepat nak tamatkan talian. “Awak, kalau nak jadi tak betul, jadi orang-sorang eh? Pi jauh-jauh sana tu. Tak laratlah haih saya nak layan awak. Bye!”
Tut. Tut. Tut. Talian terus mati. Karl di atas katil dah mengekek ketawa. Dia dapat bayangkan muka Wafa yang dah merah sebab malu. Ah, rindu pula dia dengan wajah itu! Eh, rindu? Dah angaukah dia?

KARL sandarkan tubuhnya pada badan kereta Audi hitam miliknya itu. Jam di tangan dipandang sekilas. Kalau ikutkan petang ini dia ada hal dengan klien. Tapi, dia terpaksa batalkan gara-gara Wafa. Gadis itu suruh dia bersiap sedia. Nak kena berlakon di Setia City Mall katanya.
Ini pun, dari tadi lagi dia dah tercongok di depan Sweet Sweet Couture. Menunggu Wafa yang tak siap-siap membuang ‘hajat’ di dalam bilik air. Nasib baik hari mendung saja. Kalau panas, memang taklah dia nak berposing macam model di bawah langit ini, hah.
Bila matanya menangkap susuk tubuh Wafa yang dah berjalan keluar dari butik, dengan malas dia berdiri tegak.
“Okey dah ke perut tu?” tanyanya dengan bibir memuncung ke arah perut Wafa.
Wafa mengangguk kepala. “Okey dah. Saya laparlah, Karl. Nanti nak makan banyak-banyaklah.”
“Kau tu mana pernah makan sikit,” perli Karl, perlahan.
Wafa yang baru nak masuk kereta, terus tak jadi. “Awak cakap apa tadi?”
“Tak, aku cakap makanlah banyak-banyak. Nanti aku bayarlah.” Fuh! Karl lega. Nasib Wafa tak dengar. Kalau dengar, panaslah telinganya mendengar Wafa membebel-bebel di dalam kereta nanti.
“Haruslah lelaki yang bayar. Takkan perempuan pulak. Apalah... Tak gentleman langsung!”
Karl pusingkan bebola mata sambil masuk ke dalam kereta. Apa-apa ajelah, Wafa oi.
Perjalanan dari Seksyen 7 ke Setia City Mall bukannya lama mana pun. Tapi, disebabkan banyak sangat kenderaan di atas jalan yang sama, sampai panas jugalah pungung Karl dengan Wafa.
“Ni nak kena berlakon macam mana ni?” Karl pandang Wafa sekilas sambil sebelah tangannya memegang stereng kereta.
“Berlakon macam awak sayang saya, saya sayang awaklah.”
Karl yang mendengar, terus senyum. “Kau sayang aku ke?”
“Isy, berlakon ajelah,” balas Wafa.
“Kalau real, kau sayang aku tak?”
Wafa toleh ke sebelah. Dia saja buat muka blur. “Soalan apakah itu, wahai Encik Karl?”
“Soalan direct yang biasa orang tanya, Cik Wafa. So, kau sayang aku tak?”
“Kena sayang ke?”
Karl kecilkan mata memandang Wafa. Geram pula dia tengok Wafa hari ini. Sudahlah penampilan gadis itu nampak lain. Dengan pencil skirt paras bawah lutut dan berkemeja blaus warna merah yang dimasukkan ke dalam dan rambut panjang yang dilepaskan bebas beralun begitu...
Wau! Wafa nampak cantik, menarik dan dia tertarik sangat! Sudahlah kulit gadis itu putih melepak. Gebu. Pakai pula pakaian warna merah cili dan hitam seperti itu, memang nampak sungguhlah kontranya.
“Eh, mestilah kau kena sayang. Rugi tau kalau tak sayang lelaki macam aku ni.”
Wafa pamerkan senyuman sinis. “Tak rugi mana pun.”
Karl mencebik. Geram dengan jawapan selamba perempuan itu.
“Ni, kau pakai cantik-cantik sangat ni kenapa? Nak menggoda Idham? Ke, kau nak goda aku?” ucap Karl sambil mata mengimbas penampilan perempuan itu buat entah yang ke berapa kali.
Kalau betul perempuan itu nak menggoda dia, ya. Dia memang tergoda. Nak jatuh dah iman dalam dada ni, hah!
Wafa tunduk melihat pakaian dia sendiri. Rasanya biasa saja. Mungkin sebab ini kali pertama Karl tengok penampilan dia yang seperti ini kut. Itu yang lelaki itu banyak mulut sikit. “Cantik apanya? Biasa ajelah. Saya ada meeting pagi tadi. Tu pakai macam ni. Kenapa? Awak rasa tergoda ke?”
Gila tak tergoda! Karl lirikkan mata ke arah Wafa. “Lepas ni, jangan nak pakai macam ni lagi. Pakai seluar. Macam selalu tu. Faham?”
Karl tidak mendengar sebarang jawapan daripada Wafa. Dia toleh ke sebelah. “Aku tanya kau ni, faham ke tidak?”
Wafa buat dek saja. Malas dia nak layan. Eleh, suka hati dialah nak pakai apa pun. Badan dia.
“Nanti bila kau dah jadi isteri aku, aku tak nak kau pakai seksi-seksi macam ni lagi. Nak seksi ke, tak pakai apa-apa langsung ke, biar dekat rumah. Biar aku seorang aje yang tengok. Yang kau sibuk nak tayang kat orang lain tu buat apa?”
“Yalah, Encik Karl!” balas Wafa tak rela. Malas sungguh rasanya nak mendengar lelaki itu mengomel. Boleh tahan pedas berapi juga mulut lelaki itu. Heh!

Sampai saja di Setia City Mall, mereka bergerak mencari Manhanttan The Fish Market. Elok saja dah sampai di depan restoran itu, Wafa tarik laju lengan Karl.
“Awak, kejap, kejap.”
Karl mula pelik tengok reaksi Wafa. “Hah, kenapa pulak?”
“Saya cantik tak?”
Karl pandang Wafa atas bawah. “Ya, cantik.”
“Jujur ni? Tipu, dosa!”
Geram pula Karl dengar ayat Wafa itu. Orang dah cakap betul-betul, tak nak percaya pula. Gigit pipit gebu tu karang baru tau! “Ya, aku tak tipu. Kau cantik, lawa, comel, jelita, hah... Apa lagi kau nak aku cakap?”
Wafa kecilkan mata. “Eee, main-main eh!”
Karl tergelak. “Dah, jom masuk. Aku lapar ni.”
Karl dan Wafa melangkah masuk ke dalam restoran itu.
Dalam hati Wafa berharap sangat yang Idham turut berada di situ. Dan, dia rasa macam nak melompat-lompat bintang saja bila tengok mata Idham macam nak tersembul keluar bila nampak kelibat dia dengan Karl. Hah, ambik kau!
“Lelaki berkemeja biru tu Idham ke?” bisik Karl di telinga Wafa.
“Ha’ah. Dialah tu.”
“Okey. Tangan kau tu, peluk lengan aku cepat!”
Wafa ikut kata-kata Karl. Perlahan-lahan, dia peluk lengan lelaki itu. Erat pegangannya.
Karl memilih tempat betul-betul di depan meja Idham dengan bakal isterinya itu. Wafa rasa macam nak peluk-peluk saja Karl ketika itu. Pandai betul tunangnya itu mainkan peranan. Lagi senanglah dia nak buat Idham ternganga sampai muntoh hijo tengok dia dengan Karl. Hahaha!
“Apasal taste kau teruk sangat eh?” tanya Karl bila selesai buat pesanan untuk dia dan Wafa.
“Maksud awak?” Wafa pelik. Taste apa yang lelaki itu maksudkan? Makanan atau...
“Apa yang kau nampak dekat Idham tu? Aku ni sejuta kali lagi kacak tau.”
Wafa kerling Idham sekejap. Lelaki itu tak lepas daripada terus memandang ke arahnya walaupun Elli berada di sebelah.
Wafa pandang Karl semula. “Jangan nak perasan boleh?”
“La, aku cakap benda yang betul kut. Kau pun rasa aku ni lagi handsome daripada mamat tu, kan? Betul tak?” Karl kerdip-kerdip mata. Dalam hati berharap sangat yang Wafa akan cakap dia lagi kacak daripada bekas kekasih tunangnya itu.
Wafa tahan bibir daripada tersenyum. “Yalah, fine! Awak lagi handsome. Tapi, tak adalah sampai sejuta kali. Satu kali aje cukup.”
“Ceh! Nak menangkan jugak bekas boyfriend dia tu. Heh, ambiklah!” Karl cebikkan bibir. Konon-konon merajuk.
Tergelak juga Wafa dibuatnya bila tengok muka konon comel Karl itu. Tak sedar diri dah tua bangka, nak buat memek muka macam itu pula. Lawa sangatlah tu?
Makanan akhirnya sampai ke meja mereka. Mereka memesan fried country mushrooms, quad delight, mac ‘N cheese, fish ‘N chips, scalllops fish chicken dan set grillin ‘N chillin. Nah, makanan serupa untuk lima orang makan! Padahal untuk mereka berdua saja. Yalah, masing-masing dah lapar. Terutamanya Wafa yang dah kosongkan perut sebelum keluar tadi.
“Meh, aku suapkan kau.” Karl angkat sesudu makanannya dan dia suakan ke mulut Wafa.
Serius, Wafa tak boleh nak tahan daripada tersenyum. Rasa kelakar sangat!
“Cepat, Wafa. Kata nak aku berlakon macam aku sayangkan kau, kan? Aku tengah sayangkan kaulah ni. Cepat!” gesa Karl.
Wafa laju membuka mulut. Bila makanan dah masuk dalam mulut, terus dia tutup mulut dengan tangan. Takut tersembur sebab dia memang rasa nak tergelak sekarang ini. Alahai!
“Nak lagi?” tanya Karl.
Wafa laju menggeleng kepala. Di dalam mulut ni pun tak habis telan, Karl oi.
“Apasal comot sangat ni, sayang? Alololo... Meh, aku lap meh.” Karl lapkan tepi bibir Wafa yang sedikit comot dengan kain.
Wafa pula masih seperti tadi. Beria-ia cuba menahan gelak daripada terhambur.
“Macam mana lagi nak tunjukkan yang aku sayang dekat kau, eh? Apa kata aku cium pipi kau. Nak tak?”
Wafa yang tengah mengunyah, bulatkan mata. No, no, no!
“Aku pura-pura kiss kau, eh?” ucap Karl lagi, makin mendekat dengan pipi Wafa. Sikit lagi... sikit lagi... dan... “Kau rasa mamat tak handsome tu pengsan tak tengok aksi kita ni?”
Bisikan yang penuh maco di telinga Wafa itu serius buat dia dah tak dapat nak kawal diri lagi. Selaju mungkin dia telan makanan dan terus dia hamburkan ketawa. Nasib baik dia tutup mulut dengan tangan. Kalau buka, memang bergegar restoran ini dengan gelak menggelegak dia. Keturunan Mak Jemahlah katakan. Hahaha!
Karl duduk, tegakkan badan semula. Dia siap tayang muka manis dan kontrol handsome lagi. Ceh!
“Hebat tak lakonan aku?”
Wafa angkat tinggi ibu jari dia. “Sangat!”
Tengah mereka galak gelak, Wafa perasan Idham dah mula bangun dan berjalan keluar dengan bakal isterinya itu. Dia tengok makanan di meja pasangan itu masih banyak. Ini mesti kes tak lalu makan, kan? Hahaha! Padan muka!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan