Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 4

HI, dear.” Marsha menerpa Tengku Haikal yang baru melangkah masuk ke ruang pejabat. Lalu dipeluk tubuh itu tanpa rasa segan-silu.
Tengku Haikal sedikit terpempan dengan tingkah laku Marsha. Pelukan itu dirungkaikannya.
Stop, Marsha!” Perlahan suara Tengku Haikal, tapi kedengaran tegas.
“Kenapa dengan you ni? I call tak pernah angkat...” rengek Marsha manja. Jari-jarinya yang runcing menarik tali leher Tengku Haikal. Dari atas hingga ke bawah digerakkan jari-jarinya.
Menepis kasar Tengku Haikal kali ini. Terus mengatur langkahnya ke bilik. Malas hendak melayan kerenah Marsha yang makin menjadi-jadi. Ada-ada sahaja yang ingin dibuatnya. Langsung tidak malu dengan tindakannya menjadi perhatian mata-mata yang memandang.
“You ni kenapa, Karl? Layan tak layan I aje?” Langkahnya turut diatur mengikut langkah Tengku Haikal. Tubuhnya dipeluk dan dijeling tajam Tengku Haikal. Tidak puas hati.
“Tolonglah, Marsha. Jangan nak lebih-lebih boleh tak? I tak suka you sentuh-sentuh I.” Ditepis tangan Marsha yang sudah mula merangkulnya dari belakang.
“I rindukan youlah Karl. Tiga hari kita tak jumpa. I call, you tak angkat.” Belakang Tengku Haikal dicuit lembut.
“Marsha, you tahu tak sebab tingkah laku you ni, keluarga I dah salah faham. Tolonglah jaga sikit adab you sebagai seorang perempuan. Tak manislah kalau ada orang tengok,” bentak Tengku Haikal perlahan. Sedikit hanyut dengan godaan Marsha.
Tali leher Tengku Haikal ditarik lembut membuatkan Marsha ke depan. Terasa hangat nafas Marsha, membuatkan jantungnya makin bergelora. Marsha mengambil kesempatan yang ada untuk mendekatkan bibirnya ke bibir Tengku Haikal. Makin lama makin dekat.
“Tengku Haikal...” Tiba-tiba suara menyapa dari sebalik pintu.
Saat itu juga Tengku Haikal tersedar. Jika tidak pasti dia sudah hanyut dan jatuh ke pangkuan Marsha. Perlahan badan Marsha ditolaknya ke depan. Manakala Tengku Haikal membetulkan tali lehernya. Matanya terlekap ke pintu yang sudah kembali tertutup rapat. Tiada sesiapa pun masuk ke biliknya. Tertelan liurnya, kemudian digigit bibirnya kuat.
Marsha pula kembali mendekati tubuh Tengku Haikal. Tanpa segan-silu, kepalanya dilentokkan ke dada Tengku Haikal. Bau wangi daripada tubuh Tengku Haikal terus dihidu, hingga terasa ke setiap pelosok jiwanya. Sungguh tenang.
Astaghfirullah al-azim! Apa yang aku dah buat ni? Tengku Haikal segera menjauhkan dirinya daripada Marsha. Ditolak Marsha sekali lagi dan dia perlu melawan perasaannya. Jangan biarkan syaitan merajai diri.
Ingatannya kembali pada kejadian tadi. Siapa yang menguak pintu dan memanggilnya tadi? Pasti sudah dilihat apa yang hampir dilakukannya bersama Marsha tadi. Sudah pasti akan ada satu gosip besar yang akan meletup dan sampai ke pendengaran papanya. Wajahnya diraup. Gelisah!
“You...”
Marsha berjalan menghampiri Tengku Haikal, namun cepat-cepat dia menghalang. Kedua-dua belah tangannya diangkat tinggi memberi isyarat agar Marsha tidak menghampirinya lagi.
“Sayang, you kenapa?” soal Marsha manja.
“Jangan nak bersayang-sayang. Kita bukan pasangan kekasih pun,” balas Tengku Haikal tidak mahu berlembut lagi.
“Apa yang you cakapkan ni? I tak faham.” Berubah riak wajah Marsha, penuh dengan kerutan. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
“Kita hanya teman biasa, bukan pasangan kekasih.” Tengku Haikal mengulangi ayatnya. Mahu Marsha mengerti.
“Apa yang you merepek ni, Karl?” Marsha tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Tengku Haikal mungkin bergurau dengannya.
“Cukup Marsha. I rasa lebih baik you keluar dari sini daripada bukan-bukan yang berlaku. You jangan cuba-cuba nak goda I lagi.” Tangannya dihalakan ke daun pintu. Mahu Marsha keluar dari biliknya.
“I tak habis lagi nak lepaskan rindu kat you, sayang. You dah nak I keluar?” Marsha hentak kakinya berkali-kali.
Enough! I tak mahu apa yang terjadi tadi berlaku sekali lagi. I nak tegaskan kepada you, kita berdua cuma teman sekerja dan hubungan kita tak lebih daripada itu. Tolonglah hormat I,” terang Tengku Haikal lagi.
Marsha hanya menjuihkan bibirnya dan melemparkan senyuman paling menggoda. Langsung tidak kisah. “I tak sukalah dengan gurauan you. Okey, nanti kita jumpa lagi. Bye sayang...”
Dada Tengku Haikal ditepuk lembut. Sempat matanya dikenyitkan kepada Tengku Haikal. Lenggang-lenggok Marsha keluar dari bilik Tengku Haikal. Sekali lagi, dikenyitkan mata bersama flying kiss sebelum terus hilang daripada pandangan mata kasar Tengku Haikal.
Tengku Haikal duduk kembali di kerusinya. Meninggalkan keluh yang yang cukup menggusarkan hati. Masih tertanya-tanya siapakah yang membuka pintu biliknya? Adakah itu Zulaikha, atau setiausahanya, Helan?
Argh! Rambutnya ditarik-tarik. Baru sahaja dia berjanji dengan keluarganya akan menjaga maruah diri, kini ia berulang lagi. Jika cerita ini sampai ke telinga Nenda Fauziah pasti dia kecewa, walaupun dia belum sempat menjamah bibir mungil Marsha.
Badan disandarkan ke kerusi, lalu matanya dipejamkan rapat. Cuba tenangkan perasaannya yang sudah bermacam rasa saat ini.
“Helo, Tengku Haikal Razif. Sibuk ke?”
Suara Tengku Hakimi sedikit sebanyak mengganggu ketenangannya. Matanya yang tadi terpejam dicelikkan seluasnya. Kedatangan sepupunya itu disambut dengan senyuman hambar.
“Kau ada masalah lagi ke Karl?” Melihat riak wajah Tengku Haikal dia sudah dapat mengagak.
Tengku Hakimi terus duduk di depannya tanpa dipersilakan. Tengku Haikal hanya menjongketkan keningnya, bibirnya dijuihkan. “Fail apa yang kau pegang tu?”
“Ini fail yang kau minta Ika siapkan tu,” terang Tengku Hakimi yang menjadi orang tengah kepada Zulaikha.
Membulat biji mata Tengku Haikal sebaik nama itu meniti di bibir Tengku Hakimi. Tidak berkelip wajah sepupunya direnung. Tajam dan dalam renungannya. “Zulaikha?”
“Ialah. Siapa lagi akauntan syarikat ni, kalau bukan Zulaikha?” Tenang sahaja Tengku Hakimi menjawab walaupun pelik melihat gelagat sepupunya yang bagaikan tak kena.
“Kenapa dia tak bagi sendiri kat aku?” Fail yang diletakkan di atas meja diambilnya. Diselak sekali imbas semuanya. Matanya kembali bertaut pada wajah di hadapannya.
Tengku Hakimi menjongketkan bahu. Dia juga tiada jawapan untuk soalan itu. Sepatutnya Zulaikha yang menyampaikan sendiri fail pengurusan kewangan itu kepada Tengku Haikal. Entah mimpi apa Zulaikha serahkan semua fail itu kepadanya. Tidak pula disoal lebih.
Tengku Haikal mengetap bibirnya. Tertelan liur. Sah! Yang tadi pasti Zulaikha. Ya Allah, pasti dia sudah lihat apa yang terjadi tadi. Malunya!

MARSHA terkedek-kedek menghampiri Helan dan Emelda yang sedang berbual. Dia juga ingin tahu apa yang dibualkan oleh mereka berdua?
“Kenapa dengan Ika tu ya? Lepas dia masuk bilik Tengku Haikal tadi, muka dia terus berubah,” soal Emelda. Dia pelik lihat reaksi Zulaikha yang berubah tiba-tiba.
Helan kerut dahi sambil menggelengkan kepala.
“Tak tahu. Tapi, aku perasan Ika belum masuk pun. Baru kuak pintu sikit dia dah tutup pintu dan berlalu,” cerita Helan. Dia tahulah, sebab biliknya memang menghadap dengan bilik Tengku Haikal.
“Merah muka dia, kau tahu,” sambung Emelda lagi.
“Oh, jadi tadi Zulaikha yang nak masuk bilik Tengku Haikal?” Sibuk Marsha menyampuk.
“Ialah, kan dia nak hantar fail yang Tengku Karl nakkan tu,” bidas Helan kurang senang dengan kehadiran Marsha. Tiba-tiba sahaja datang menyampuk. Menyibuk!
“Kenapa dia tak bagi kat you aje?” Marsha menjeling Helan.
“Mana tahu! Kenapa you macam tak puas hati aje dengan Ika?” soal Helan. Mungkin perubahan Zulaikha ada kaitannya dengan Marsha.
Marsha menjuihkan bibirnya. Dilibaskan rambutnya ke depan. “Memang I tak puas hati. Dia kacau daun. I baru nak jamah sarapan, dia dah ganggu. Pengacau!”
“Jamah ajelah sarapan. Apa kena-mengena dengan Ika?” bentak Emelda geram. Sakit jiwa agaknya si Marsha ni. Gila!
“Mestilah... Sebab dia, aku tak sempat nak jamah bibir Tengku Haikal. Hmm... melepas!” Dijelirkan lidah kepada Helan dan Emelda sebelum melangkah pergi. Tersenyum-senyum senang.
Eiya! Tak malunya perempuan ni. Benda macam tu pun nak bagi tahu orang.” Emelda mengerutkan mukanya. Rasa hendak muntah hijau sahaja.
Helan dari tadi tidak faham apa yang dimaksudkan, masih terkebil-kebil. Berkerut mukanya. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu.
“Jamah bibir? Apa tu?” soal Helan ingin tahu.
Emelda helakan nafas. Hujung jemari Emelda dilaga-lagakan, mulutnya juga muncung menerangkan maksudnya.
“Apa tu? Cakaplah senang?” Menggeleng Helan. Tidak faham dengan isyarat Emelda. Berkerut mukanya meneka maksud temannya itu.
Emelda menarik Helan dekat dengannya. Berbisik perlahan ke telinga Helan, risau ada yang mendengarnya nanti tak fasal kecoh satu pejabat.
Aiya!” Dahi ditepuk. Berkerut wajah Helan bersama dengan riak wajah yang tidak selesa. “Tak malulah perempuan tu.”

MEMANG seperti yang dijangkakan, apa yang dirisaukannya tadi benar-benar sudah terjadi. Sudah kecoh di pejabat dan cerita itu sampai ke pendengaran Tengku Malik. Teruk dia dimarahi oleh papanya.
Tidak sangka, Zulaikha sanggup memperbesar cerita itu kepada orang ramai. Siapa lagi yang sampaikan jika bukan Zulaikha? Berona merah mukanya menahan marah. Ini semua gara-gara Zulaikha!
“Helan, panggil Zulaikha masuk ke bilik I sekarang,” pesan Tengku Haikal kepada Helan melalui interkom.
Dalam beberapa saat pintu biliknya diketuk dan segera dia menyahut, meminta masuk ke dalam. Bila pintu terkuak, Zulaikha menapak masuk. Wajah itu yang dulu mencuri hatinya berubah rasa dendam dan benci yang teramat. Semuanya kerana mulut cabul si Zulaika.
“Tengku Karl panggil saya?” Lembut tutur suara Zulaikha menyoal. Sebenarnya dia menahan rasa malu apa yang dilihatnya tadi.
Wajah Zulaikha direnung tajam, dari atas hingga ke bawah dirakam wajah Zulaikha. Rasa tidak puas hati bersarang dalam hati Tengku Haikal.
“Apa yang awak dah buat Zulaikha?” soal Tengku Haikal terus kepada Zulaikha. Matanya terus menikam Zulaikha. Dalam amarahnya itu, bila bertentangan tetap ada rasa getarannya.
“Saya buat kerja, Tengku Karl,” jawab Zulaikha tenang.
Berdiri tegak Zulaikha sambil mata tidak lepas membalas renung ketuanya. Walaupun terasa kekok dan segan dengan apa yang dilihatnya tadi, dia berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku di depan matanya. Tapi, sayang, bayangan itu mengganggu mindanya juga.
“Kerja awak memang suka mencanang fitnah tentang diri saya ke?” tuduh Tengku Haikal tanpa menyiasat kesahihannya.
Zulaikha terkedu. Matanya dikecilkan dan muka dikerutkan. Perlahan dia menggelengkan kepala. Pelik, apa yang sudah dicanangnya?
“Puas hati awak satu pejabat ni tahu fasal kejadian pagi tadi?” Perlahan suara Tengku Haikal, tapi jelas ketegasannya. Tengku Haikal yang tadi duduk mula berdiri.
Zulaikha menggelengkan kepalanya laju. Sah, Tengku Haikal menyangka dia yang khabarkan berita itu. Tidak mungkin dia akan menceritakan berita mengaibkan kedudukan majikannya sendiri.
“Puas hati awak?!” Sekali lagi Tengku Haikal soal. Kedua-dua belah tapak tangannya ditepuk ke permukaan meja bersama pekikan kuat. Wajahnya pula serius serta bengis bagaikan singa kelaparan.
Zulaikha sedikit terkejut dengan sergahan menyinga Tengku Haikal. Sepanjang bekerja di Senta Holdings, ini pertama kali melihat Tengku Haikal marah.
“Saya tak tahu apa-apa, Tengku Karl. Kenapa Tengku Karl tuduh saya yang sebarkan cerita tu?” soal Zulaikha masih mampu bertenang. Tiada apa yang perlu digentarkan kerana dia tidak bersalah.
“Pagi tadi awak yang masuk ke bilik saya, kan?” Tajam renungan Tengku Haikal. Dia berjalan dekat Zulaikha, badan itu dikelilingi dua pusingan dan berhenti betul-betul hadapan Zulaikha sambil tangan mencekak pinggang.
Zulaikha anggukkan kepala, tanda mengaku dia yang masuk ke bilik Tengku Haikal dan tanpa sengaja terlihat. Tetapi, itu tidak bererti dia yang lakukan.
“Awak lihat apa yang terjadi tadi?” Tengku Haikal terus siasat Zulaikha.
Zulaikha anggukkan kepala perlahan. Marsha dan Tengku Haikal sedang bermesra dan sebab itu dia cepat-cepat melangkah keluar kembali. Tidak sanggup dan malu melihat adegan yang sebegitu.
“Mmm, awaklah yang kecohkan semua tu, kan?” Meja di depannya dihentak kuat sekali lagi. Terkejut Zulaikha.
“Bukan saya,” jawab Zulaikha seraya menggeleng kepala.
“Kalau bukan awak siapa lagi? Saya bayar gaji awak bukan sebab suruh kecohkan apa yang saya buat! Fitnah orang sana sini. Harap muka aje cantik, tapi perangai teruk.” Tengku Haikal terus memarahi Zulaikha.
“Tengku Karl...” Zulaikha cuba menerangkan kedudukan sebenar.
Tengku Haikal langsung tidak mahu dengar penjelasannya. Mulutnya terus dikunci dengan bebelan berbisa Tengku Haikal yang membuta tuli.
“Saya takkan lepaskan awak macam tu aje. Saya akan hukum awak!” bentak Tengku Haikal tegas dengan mata jegil membulat.
Kali ini dia tidak akan lepaskan Zulaikha begitu sahaja. Zulaikha perlu bertanggungjawab semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan