Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 15 Februari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 7

“NUHA, jom kita pergi minum cendol dekat gerai sana. Aku rasa dahagalah.” Anum menarik tangan Nuha ke arah yang dimaksudkan.
Nuha akur.
“Panas betul kan hari ni?” sungutnya setelah duduk di sebuah meja.
Tetapi, Anum diam sahaja tidak memberi respons. Dia perhati Anum sedang ralit memandang si penjual cendol yang sedang sibuk menyediakan pesanan pelanggan. Kaki Anum di bawah meja disepak perlahan sekali gus menyentakkan Anum.
“Ooo... Kau ajak aku datang sini sebab nak sekodeng mamat tu ek?”
Anum tersengih-sengih memandang Nuha. Memang itulah niat dia yang sebenar. Sudah lama dia terpaut dengan lelaki itu. Walaupun penampilannya selekeh, tetapi di matanya lelaki itu sangat kacak. Badannya berketak habis!
Handsomelah mamat tu, Nuha. Kau rasa-rasa kan... dia sudi tak nak berkawan dengan aku?” tanya Anum menggeletis.
“Manalah aku tahu. Kau pergilah tanya dia sendiri,” balas Nuha tidak kuasa melayan pertanyaan Anum. Sambil itu dia cuba menarik perhatian pelayan datang mengambil oder.
Anum memetik jari kuat.
“Tanya mamat tu sendiri? Okey jugak tu. Jom ikut aku pergi dekat dia,” putusnya lalu mengheret Nuha pergi mendekati lelaki itu.
Nuha tergamam dengan tindakan Anum. Segera direntap tangannya dan menahan Anum daripada berbuat demikian.
“Kau ni biar betul, Anum. Kau tak rasa segan ke kalau orang tengok kau mengurat lelaki? Ingat sikit. Kau tu dah ada pakwe,” bebel Nuha.
“La... Tadi kau jugak yang suruh aku pergi tanya dia, kan? Kalau kau segan, kau duduk ajelah diam-diam kat sebelah aku. Biar aku aje yang bercakap dengan dia. Pasal pakwe aku tu tak apa. Dia tak tahu aku mengurat lelaki lain,” balas Anum bersahaja.
“Tapi, aku tahu. Nanti aku nak cakap dekat dia yang makwe dia ni gatal mengalahkan ulat bulu.”
Anum mendecit. “Alah, kau janganlah kantoikan aku. Ini rahsia antara kita aje. Dahlah, jom ikut aku.”
Kali ini dia pegang tangan Nuha kemas-kemas supaya tidak terlepas lagi.

“HAI.” Anum melambai tangan kepada si penjual cendol sambil tersengih. Terujanya dapat tengok muka lelaki itu dari jarak dekat.
“Ya, adik? Nak oder cendol ke?” tanya lelaki itu memandang Anum dan Nuha silih berganti.
“Tak. Saya nak kenal dengan abang, boleh?” Anum berterus terang tanpa segan-silu.
Nuha sudah melarikan muka ke arah lain apabila melihat air muka lelaki itu berubah. Aduh! Dia pula yang berasa malu bagi pihak Anum. Kalau Anum sudah datang penyakit gatal memang susahlah.
“Err... Abang ni dah kahwin, dik. Anak dah nak masuk dua orang,” balas lelaki itu sambil menaikkan jari telunjuk dan hantunya.
Anum menelan air liur. Dia menoleh Nuha yang sedang kemam bibir menahan ketawa.
“La... Nampak sangat kita memang tak ada jodoh, kan? Kalau macam tu tak apalah, abang. Saya reda. Abang kasi cendol dua mangkuk. Letak jagung dengan santan lebih sikit tau. Buat cover malu saya tadi,” kata Anum bersahaja seraya menarik Nuha duduk semula di meja tadi.
Nuha ketawakan Anum sepuas hati. Bergegar-gegar satu badannya. Memang kelakar tengok muka Anum yang terkedu apabila lelaki itu memberitahu sudah berkahwin dan sudah ada anak.
“Itulah kau... Nak mengurat tak buat persediaan dulu. Main redah aje. Kan dah saja-saja dapat malu percuma. Ini semua balasan sebab kau tak jujur dengan pakwe kau. Padan muka!”           Anum menjeling Nuha sebal. Kemudian menopang dagu sambil mengeluh berat.
“Tak sangka pulak aku mamat tu dah kahwin. Tengok gaya macam bujang lagi. Kan bagus kalau dia cakap, abang memang dah kahwin. Tapi, dah bercerai talak tiga dengan isteri abang. Ha, baru sejuk hati aku ni dengar. Adalah jugak harapan nak masuk jarum,” kata Anum masih tidak dapat menerima hakikat tadi.
“Sudahlah, Anum. Kau tak payah nak frust menonggeng sangattlah. Simpan aje perasaan kau tu dekat pakwe kau sorang. Belajarlah jadi jujur dan setia sikit,” nasihat Nuha.
Dalam masa sama, cendol yang dipesan tadi sampai di meja. Lelaki itu sendiri yang menghantar bukan pekerjanya.
“Terima kasih, bang,” ucap Anum tersenyum manis.
“Sama-sama.” Lelaki itu membalas senyuman Anum sambil mengangguk. Kemudian dia memandang Nuha dan mengenyit mata kanannya sebelum pergi dari situ.
Nuha terkesima. Gatalnya mamat ni!
Anum yang menyaksikan kejadian itu terus menarik muka masam. “Aku tak puas hati. Kenapa mamat tu kenyit mata dekat kau, bukan aku?”
“Manalah aku tahu. Mungkin dia terpikat dekat aku kut,” seloroh Nuha. Dia terus menghirup cendol tanpa mempeduli Anum.
Anum mendengus. Huh, tak aci!

SELESAI minum cendol, Nuha dan Anum bergerak pulang. Di pertengahan jalan, Anum berhenti berjalan secara tiba-tiba.
“Alamak, Nuha. Salam ajak aku jumpalah. Dia dah ada dekat area sini,” beritahu Anum sejurus membaca SMS kekasihnya.
“Tak apalah kalau macam tu. Kau pergi ajelah jumpa dia,” balas Nuha tidak kisah.
“Tak apa ke ni, beb? Rasa bersalahlah pulak nak biar kau balik sorang-sorang. Tadi datang berdua. Balik sendiri-sendiri pulak.”
“Alah, tak ada apalah. Dekat aje pun dari sini nak pergi ke stesen bas.”
“Okey. Hati-hati ya. Jumpa lagi nanti.” Anum berpecah haluan dengan Nuha.
Nuha pula meneruskan langkah pergi ke stesen bas. Untuk memendekkan perjalanan, dia melalui jalan pintas belakang sebuah bangunan. Sememangnya dia sudah biasa dengan selok-belok kawasan itu.
“Hoi! Jangan lari!” Tiba-tiba terdengar satu teriakan suara yang kuat dari belakang.
Nuha tersentak dan terus berpaling. Sekelip mata bahunya dirempuh oleh seorang lelaki. Dia jatuh secara melutut dengan kedua-dua tangannya menopang di atas jalan.
“Aduh! Sakitnya lutut aku. Tak guna betul mamat ni. Dah langgar orang bukannya reti nak minta maaf. Lari macam tu aje,” bebel Nuha. Terkial-kial dia cuba bangun semula.
“Tepi! Tepi!” Belum pun sempat berdiri betul-betul, tubuhnya sekali lagi kena rempuh dari belakang. Lebih kuat daripada tadi. Kali ini dia jatuh tersembam pula sampai tercium jalan. Habis melekat pasir di mulutnya.
“Wei! Kau orang ni apa hal? Kalau nak main kejar-kejar janganlah sampai langgar orang. Pergilah langgar tiang lampu ke? Dinding bangunan ke? Langgar aku buat apa?” Nuha mengherdik bengang kepada dua orang lelaki yang melanggarnya tadi.
Dia membersihkan bibir sebelum berdiri semula dengan susah payah. Ada baiknya dia tinggalkan tempat ini cepat-cepat. Lagi lama dia di sini, entah apa lagi nasib malang yang akan menimpanya.
Baru beberapa langkah berjalan, dia terdengar suara orang merintih kesakitan dari lorong berhampiran. Lantas dia mengambil keputusan pergi menghendap di sebalik dinding bangunan. Mulutnya terlopong melihat lelaki pertama yang melanggar dia tadi terlentang di atas jalan, kena pukul dengan lelaki kedua yang merempuh dia sampai tercium jalan tar. Tambah tergamam mangsa pukul itu adalah Fadil!
Apa hal pula ni Fadil kena pukul dengan samseng? Perasaan ingin masuk campur dalam urusan pukul-memukul itu membuak-buak hadir. Seperti ada daya tarikan magnet pada kaki yang mengheretnya pergi dekat. Sedar-sedar dia sudah pun berada di belakang samseng itu.
“Hoi! Lepaskan dia!” jerkah Nuha sambil bercekak pinggang.
Namun, apabila samseng itu menoleh tidak semena-mena dia berasa kecut perut. Lebih-lebih lagi apabila samseng itu mara ke arahnya pula sambil tayang muka bengis. Alamak! Ini memang betul-betul cari pasal.
“Ja... jangan dekat. Kalau tak, aku lari!” Nuha mengundur perlahan-lahan.
Tetapi, hanya setakat dua langkah sahaja sebab terasa ada sesuatu yang menahannya dari belakang. Sebaik sahaja memusingkan badan, terasa menggeletar kepala lututnya. Seorang lagi samseng merenung tajam ke arahnya dengan mimik muka garang ala-ala taiko jahat.
“Usin Koboi?” sebut Nuha perlahan sambil menelan air liur dengan susah payah.
Usin Koboi terkejut melihat gadis di hadapannya. Kemudian dia tersengih-sengih. “Ooo... Kau rupanya. Elok sangatlah aku jumpa kau dekat sini. Boleh aku tuntut hutang lapuk aku yang kau malas nak bayar tu. Mana duit aku?”
Nuha menepis tangan Usin Koboi yang betul-betul berada di depan hidungnya. Busuk! Bau budu. Mesti baru lepas makan nasi ni, telahnya dalam hati.
“Usin, ak... aku tak ada duit sekarang. Boleh tak aku bayar lain kali?” balas Nuha tergagap-gagap.
“Huh! Asal aku minta hutang, dan-dan kau cakap tak ada duit. Kau ingat aku percaya ke cakap kau?” Usin Koboi naik berang.
“Betul, Usin. Aku memang tak ada duit sekarang. Kau minta tak kena masa. Lain kali mintalah masa aku tengah banyak duit.”
“Kau jangan nak kelentong akulah. Masuk bulan ni, dah enam bulan kau berhutang dengan aku. Aku cari kau merata-rata tempat. Tapi, pandai ya kau mengelak daripada bayar hutang. Ah, sudahlah! Aku malas nak dengar alasan kau lagi. Aku tak kira. Aku nak kau bayar hutang aku sekarang jugak!” Usin Koboi mendesak dengan suara keras. Jangan harap dia nak berlembut-lembut lagi dengan Nuha.
“Alah, Usin... Takkanlah kau nak berkira dengan aku. Orang lain ramai lagi yang bayar hutang kau. Mesti kau dah ada banyak duit, kan? Kalau kau halal aje hutang aku tu tak boleh ke? Buat amal jariah sikit. Nanti kau pun dapat pahala jugak.” Nuha memberanikan diri untuk tawar-menawar dengan Usin Koboi. Jikalau samseng itu berlembut hati, dapatlah dia melepaskan diri daripada bebanan hutang.
Dia sendiri tidak pasti berapakah jumlah tunggakan hutangnya sekarang jika dicampur dengan bunga. Tambahan pula sudah lama dia tidak bayar. Mungkin sudah berkembang macam bunga yang mekar di pagi hari bak kata Usin Koboi dahulu.
Terbeliak mata Usin Koboi mendengar tawaran Nuha. Rasa hendak sekeh sahaja kepala perempuan itu. Berani betul bercakap begitu dengan seorang ceti haram. Peminjam lain semuanya gerun dengan dia. Tetapi, Nuha selamba badak bergurau senda macam kawan.
“Hoi! Aku ni Usin Koboi. Kerja aku memang banyak bergelumang dengan dosa. Kau tak payah nak cakap pasal amal jariah dan pahalalah dengan aku. Karang aku tempeleng muka kau baru kau tahu. Kau nak ke macam tu?”
Bahu Nuha terjongket mendengar jerkahan Usin Koboi. Marah benar nampaknya Usin Koboi dengan dia. Memang sesuailah Usin Koboi menjadi samseng.
“Okey, okey... Aku bayar. Tapi, aku nak kau lepaskan dulu lelaki tu.” Nuha memuncungkan mulut ke arah Fadil yang masih terduduk menahan sakit.
“Bayar dulu hutang aku baru aku lepaskan dia.”
“Mana boleh macam tu. Kau kena lepaskan dia dulu sebab aku nak buat baik dekat dia untuk pinjam duit. Dengan aku sekarang duit tak berapa nak ada ni. Macam mana aku nak bayar hutang kau?”
Usin Koboi mendengus.
“Apa ke bangang kau ni? Dah, pergi minta cepat!” Tubuh Nuha ditolak agar pergi ke arah Fadil.
Nuha akur. Ketika melintasi orang suruhan Usin Koboi, tiba-tiba lelaki itu rebah tertiarap di hadapannya sambil mengerang kesakitan. Dia terpinga-pinga serentak memandang Usin Koboi. “Ak... aku tak buat apa-apa pun.”
“Aku yang buat. Cepat lari!”
Nuha terkejut apabila Fadil menyambar tangannya dan heret dia pergi dari situ. Kerja Fadil rupanya. Dia terus pecut sekuat hati.
“Apasal samseng dua orang tu kejar awak?” Dalam termengah-mengah mencari oksigen, Nuha masih sempat menyoal Fadil. Takkanlah Fadil pun berhutang dengan along juga kut?
Fadil menjeling Nuha. “Perlu ke aku jawab soalan kau tu sekarang?”
Tersentap Nuha mendengar pertanyaan sinis Fadil yang bunyinya sedikit kasar. “Okey. Simpan dulu jawapan awak. Kita selamatkan diri dulu.”
“Pecut laju-laju. Jangan sampai kita kena cekup dengan dia orang lagi,” pesan Fadil.
Nuha berpaling untuk memastikan jarak mereka dengan samseng dua orang itu. Dia nampak Usin Koboi berlari penuh semangat mengejar dia dan Fadil. Kemudian berpatah semula ke belakang apabila topi koboinya terbang kena tiup dengan angin. Terkekek-kekek dia mentertawakan lelaki itu.
“Kau gelak dekat siapa?” soal Fadil kepelikan. Dalam situasi cemas begitu boleh lagi Nuha bergelak ketawa.
“Usin Koboi. Topi dia kena tiup angin,” beritahu Nuha. Itulah, Usin... Siapa suruh kau tak letak tali dekat topi tu? ejeknya dalam hati.
Fadil menoleh sekilas untuk memastikan.
“Kau kenal samseng tu?” soalnya apabila Nuha tahu nama samseng yang mengejar mereka.
“Dia tu...” kata Nuha. Belum sempat menjelaskan sampai habis, kakinya terkehel memijak sebiji batu. Seperti nangka busuk dia jatuh tersembam. “Aduh!”
Fadil yang sudah terlajak ke hadapan berhenti berlari dan berpatah semula mendapatkan Nuha. “Ya Allah, kau ni... Kut ya pun nak jatuh janganlah pilih masa genting macam ni. Dahlah kita kena kejar dengan orang jahat sekarang. Cepat bangun. Dia orang dah dekat tu.”
“Tak boleh. Kaki saya sakit...” Nuha memegang kaki sambil mengerut muka.
“Kejar! Kejar! Jangan bagi dia orang terlepas!” Usin Koboi memberi arahan kepada orang suruhannya.
Fadil dan Nuha berpaling serentak. Kemudian saling berpandangan sesama sendiri.
“Cepat naik belakang aku. Aku kendong kau,” kata Fadil siap sedia mencangkung di hadapan Nuha.
Mata Nuha terjegil. Fadil nak kendong dia? Biar betul ni! “Err... Cadangan lain tak ada ke? Saya tak nak pe...”
“Cepatlah panjat belakang aku. Kau tak nampak ke samseng dua ekor tu masih kejar kita? Nanti kalau dia orang rogol kau, aku tak jamin dapat selamatkan kau atau tidak.”
“Okey, saya panjat sekarang!” ujar Nuha lantas berbuat demikian. Dia tidak sanggup membayangkan apa yang diperkata oleh Fadil tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan