Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 10

PINTU pejabat masih terkunci rapat ketika Danial tiba. Seperti selalu, dia yang terawal sampai. Sedang dia membukakan kunci pintu, terdengar derap tapak kaki di koridor itu.
Danial tidak mengendahkannya. Mungkin penyewa lain yang sama-sama menyewa ruang pejabat di tingkat yang sama. Tetapi kemudian ada tangan menepuk bahunya. Terus sahaja dia menyambar tangan itu, mengilasnya ke belakang. Badan si empunya tangan pula ditolak kasar sehingga tertampan ke pintu kaca pejabat.
Seketika kemudian, dia mulai kenal dengan lelaki berambut panjang yang didandan dengan gaya corncrows itu. Nazmil.
Wow! I’m impressed. Penangan jaguh silat tetap berbisa walaupun dah lama tak berpencak di gelanggang.” Lelaki itu memuji kepantasan tindakan Danial tadi.
“Kau ni...” Danial rasa seperti hendak memaki kawan yang seorang itu tetapi takut Nazmil berkecil hati pula.
Tetapi sengaja dia tidak melepaskan kilas lengan Nazmil walaupun sudah mengenali siapa yang membuat kejutan di pagi hari. Nazmil bernasib baik juga kerana dia tidak agresif bertindak tadi. Kalau tidak, muka anak bujang Tuan Arshad itu boleh lebam dikerjakannya tadi.
“Aku nak buat surprise kat kau ajelah,” ujar Nazmil.
“Atau kau tak reti nak bagi salam? Dah lupa salam tu macam mana?” Danial menyindir pula.
Chilllah woi,” balas Nazmil selamba.
Chill konon. Kang aku cilikan mulut kau tu, miring tujuh keturunan pula nanti. Dahlah kau ni pun jenis yang bengong sentiasa.” Danial terus menyindir.
Nazmil tergelak besar. Tanda sedikit pun tidak mengambil hati dengan kata-kata Danial tadi.
Mereka sudah terbiasa bergurau kasar. Itu cara mereka. Bertahun-tahun menjadi kawan membuatkan mereka saling memahami ketulusan hati masing-masing. Langsung tidak ambil hati dengan sebarang ejekan yang dilemparkan. Juga tidak berdendam apabila bersikap kasar antara satu sama lain. Mereka menjadi kawan baik selepas Danial mempertahankan Nazmil daripada menjadi mangsa buli di sekolah rendah.
Perlahan-lahan Danial meleraikan kilas tangan Nazmil. Kawan yang seorang itu berpaling ke arahnya. Lebar senyuman Nazmil. Danial gelengkan kepala. Segera dia membuka pintu pejabat.
“Masuklah,” pelawanya.
Nazmil melangkah masuk. Danial mengekori dari belakang. Selepas menghidupkan lampu di ruang utama pejabat, dia berjalan ke biliknya. Nazmil mengekorinya.
“Mana souvenir untuk aku?” soal Danial sambil meletapkan beg laptop ke atas meja.
Sorry, kali ini tak ada souvenir,” jawab Nazmil dengan senyuman lebar.
“Biar betul. Macam mana kau boleh lupa? Kan aku dah banyak kali pesan, jangan datang jumpa aku dengan tangan kosong,” balas Danial pula, menyindir kawan yang gila-gila bahasa itu.
“Nak buat macam mana, bukannya sengaja. Poket aku ni kosong,” jawab Nazmil selamba. Tangannya mengikat rambut panjangnya supaya menjadi kemas.
Semak mata Danial memandang. Kalau ada pemetik api di tangan, mahu sahaja dia membakar rambut kebanggaan Nazmil itu. Malangnya dia bukanlah seorang perokok. Secara tidak langsung, dia tiada pemetik api. Gunting adalah. Matanya memandang gunting kecil yang terletak di dalam bekas alat tulis. Tetapi dia yakin yang bilah gunting itu akan patah tanpa sempat memotong walau seurat rambut Nazmil.
“Apa lagi yang kosong?” Dia menyindir Nazmil.
“Perut aku.”
“Kau belum breakfast?” Danial bertanya dengan kening yang terangkat tinggi. Tiru gaya Amana.
Di luar sana, terdengar pintu bilik dikuak buka. Terdengar derap tapak kaki melangkah masuk. Pasti Amana yang sampai kerana malam tadi Najla memberitahu yang dia masuk lambat ke pejabat.
“Tak. Aku tidur lambat, bangun pun lambat. Bila tengok jam, dah dekat pukul 9.00 pagi. Apa lagi, terkelam-kabutlah jadinya. Takut kalau lambat sampai ke sini, tak menjadi pula surprise tadi tu,” jawab Nazmil.
Danial segera angkat kening.
“Aku sempat mandi.” Nazmil tahu apa yang terlintas dalam fikiran Danial.
Danial senyum sinis. Tetapi dia menekan interkom, menghubungi Amana. Memang Amana telah tiba. Dia meminta Amana membancuhkan minuman untuknya dan Nazmil. Kemudian kembali memandang Nazmil yang masih tegak terpacak di hadapan mejanya.
“Kenapa tak duduk?” soalnya kepada kawan yang cukup banyak kerenah itu.
Nazmil tidak menjawab. Sebaliknya depangkan tangan. Lebar.
“Apa halnya ni?” soal Danial lagi, berbaur tawa apabila melihat gelagat Nazmil yang tidak dapat difahaminya itu.
Tetapi itulah, Nazmil kadang-kadang sering buatkan dia pening kepala. Tetapi tahan pula dia tahan berkawan dengan Nazmil. Persamaan kimia? Tidak rasanya. Dia lebih yakin yang dia dan Nazmil adalah campuran kimia yang salah.
“Tak nak peluk aku?” usik Nazmil.
What?!” sergah Danial kuat. Mahu sahaja dia melemparkan pengokot besi yang ada di atas mejanya ke kepala Nazmil. Biar betul sedikit otak Nazmil.
“Kita kan hampir setengah tahun tidak berjumpa,” gelak Nazmil.
“Kalau kau baru bangkit dari kubur selepas dikebumikan, mahu juga aku peluk kau,” balasnya selamba.
“Oi! Mulut tu tak ada insurans ke?” marah Nazmil.
“Mulut aku memang tak ada insurans pun, terutamanya bila nak mengata kau,” sengit Danial membalas.
Nazmil tarik muka belas. Kemudian ketawa. Rindu benar dia kepada kawan baiknya ini. Kawan yang cukup mengambil berat dan sabar melayan kerenahnya.


MEMANG Amana gembira sangat apabila diminta oleh Danial untuk menyediakan minuman untuk lelaki itu dan Nazmil. Berdasarkan kaji selidiknya, dia telah merumuskan beberapa strategi untuk memikat hati lelaki idamannya yang bernama Danial itu.
Strategi pertamanya ialah memenuhi setiap permintaan si dia. Apa sahaja. Asalkan bukan permintaan yang melanggar hukum halal dan haram serta batasan agama. Dia kena tunjukkan kepada Danial yang dia adalah seseorang yang boleh diharapkan. Dan secara tidak langsung tunjukkan yang dia boleh menjadi seorang isteri yang taat akan arahan suami.
Amana ketawa kecil. Bangga dengan ideanya sendiri.
Dia hendak menghidangkan minuman itu dengan biskut. Tetapi apabila membuka tin biskut, biskut pula sudah habis. Dengan semangat juang yang berkobar-kobar, nanti dia hendak tawarkan diri turun membeli kuih koci kegemaran Danial di gerai di seberang jalan sana. Pasti Danial akan menghargai budi baiknya. Lelaki itu kemudian akan membalas budi itu dengan sebaik mungkin. Contohnya seperti membalas cintanya.
Setelah memastikan Nescafe untuk Danial telah sempurna rasa manisnya, dia meletakkan muk minuman ke atas dulang. Dulang itu kemudian ditatang dengan cermat untuk dibawa pergi ke bilik Danial. Amana memastikan bibirnya tersenyum sewaktu membuka pintu bilik.
Misi untuk memikat Danial secara rasminya bermula!
Dan Amana yakin yang dia akan berjaya. Maklumlah, misi memikat hati Danial adalah misi yang mudah. Bukannya ada sesiapa pun yang boleh menghalangnya daripada merapati Danial. Mudah kata, tiada siapa yang menjadi halangan atau saingan.


PINTU bilik terbuka luas dengan tiba-tiba, tanpa diketuk dari luar. Amana yang muncul, membawa bersama sebuah dulang kecil yang berisi dua buah muk. Bau Milo dan Nescafe yang berpadu begitu harum sekali menyerap ke dalam nafas yang disedut.
“Hai Amana.” Nazmil yang sudah melabuhkan duduk di kerusi menyapa riang. Mata dikenyit nakal.
“Hai.” Amana berikan senyuman kepada kawan baik Danial, selain dirinya. Dia mendekati dengan senyuman yang selebar mungkin. Langkah diayun dengan sehabis lenggang kucing.
“Amana?” Nazmil yang memerhati gerakan Amana menyeru nama si cantik itu dengan dahi yang berkerut-kerut.
“Ya?” Amana yang kian hampir dengan meja Danial bertanya lembut.
“Kenapa lain macam benar cara you berjalan ni? Tiba-tiba berjalan tertib semacam, tak macam Amana yang I kenal tu, yang berjalan macam orang nak pergi berperang. You sakit kaki ke? Atau bulan merah tengah mengambang sekarang ni, sebab tu you berjalan lain macam.” Serius sahaja Nazmil menegur.
Terus hilang senyuman Amana. Terus hilang juga lenggang pragawati yang sedang dipamerkan buat Danial. Sakit hati sungguh! Kasar dia meletakkan dulang minuman ke atas meja Danial. Bergegar sedikit muk minuman. Berkocak air di dalamnya.
Danial tercengang. Apa hal dia mengamuk pula? Agaknya memang betullah yang bulan tengah mengambang. Nazmil pun satu. Mulut dia memang tak ada insurans juga rupanya.
“Air aje?” Nazmil bertanya sambil memandang dulang yang kini ada di hadapan mata.
“Biskut dah habis. Tapi nanti I turun belikan kuih koci favourite Danial tu untuk you,” beritahu Amana. Menawarkan budi baiknya walaupun sakit hati.
Thanks, Amana.” Danial berterima kasih kepada Amana yang sanggup bersusah payah mendapatkan sesuatu untuk dihidangkan bagi meraikan kawannya.
Dia memberikan senyuman manis kepada Amana. Matanya memandang ke dalam mata cantik Amana. Tetapi kawannya itu cepat-cepat melangkah ke arah pintu yang terbuka luas.
Nazmil bersiul nyaring sebaik sahaja Amana hilang daripada pandangan.
“Kenapa?” soal Danial.
“Si putih gebu tu makin seksi,” jawab Nazmil.
Memang dia sendiri hampir terpanar melihat penampilan maut Amana yang berkebaya pendek sendat lantas menyerlahkan setiap lekuk tubuhnya. Belahan bahagian leher kebaya itu memperlihatkan lurah dada yang dalam. Kain yang disarung pula mempunyai belahan yang panjang, menyerlahkan betis dan paha yang putih.
“Yang kau pergi tengok tadi tu kenapa?” Danial menyindir pula. Tetapi dia akui Amana memang seksi.
Kawan baik yang seorang lagi itu memang suka berpakaian sebegitu walaupun fesyennya membuatkan orang lain tidak senang duduk. Termasuk dirinya. Tidak sanggup dia memandang bahagian badan Amana yang terdedah. Sudahnya dia hanya melarikan pandangan ke tempat lain setiap kali Amana tampil seksi di pejabat. Seperti tadi.
“Boleh tergugat iman lelaki yang melihat dia.” Nazmil membicarakan tentang Amana lagi.
Danial cuma tersenyum lucu. Bukannya dia tidak pernah menasihati Amana supaya mengurangkan penampilan yang seksi. Banyak kali. Sejak awal persahabatan mereka sehingga bekerja bersama-sama. Tetapi nasihatnya bagai tidak tembus masuk ke dalam telinga Amana.
Sudahnya dia tidak mahu dikatakan menyibuk hendak mencampuri urusan peribadi orang lain. Lebih-lebih lagi apabila Amana ada kekasih hati. Lagipun, Amana pastinya tahu hukum-hakam agama mengenai aurat seorang wanita kerana Amana dahulunya belajar di sekolah agama.
“Tapi walaupun dia tu secantik Miss Universe, kau tak pula terpikat dengan dia, Danial. Kenapa ya?” Nazmil mengusik.
“Hati aku belum terpikat lagi.” Danial menjawab lewa.
So, aku ada peluanglah ni?” Nazmil bersuara nakal. Tersengih-sengih.
Ada haba panas menyerbu ke dalam dada Danial.
“Zahra tu nak dicampak ke mana?” Segera dia mengingatkan Nazmil kepada kekasih hatinya.
Nazmil hanya ketawa.

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 9

AMANA bercekak pinggang di hadapan almari pakaiannya, melihat deretan pakaian yang tersusun. Baju banyak tetapi otak buntu hendak memilih pakaian yang terbaik untuk dipakai pada esok hari. Rasa macam hendak pakai blaus lycra warna merah jambu. Seketika kemudian, terasa seperti hendak pakai blaus satin lengan pendek warna biru tua. Apabila mencapai blaus satin itu dan diacukan ke badan, rasa macam tidak menarik pula.
Kalau pada matanya sudah tidak menarik, pada mata Danial sudah tentu tidak cantik. Gagal misinya nanti. Dia mengeluh perlahan. Kemudian menggaru kepala yang tidak gatal. Untuk pertama kali dalam hidup, dia buntu membuat keputusan tentang pakaian yang hendak dipakai. Kalau begini punya gaya, pada hujung minggu nanti dia perlu keluar membeli baju baru.
Telefonnya yang terletak di atas katil berbunyi. Mulanya Amana membiarkan sahaja. Isu pakaian mana yang hendak dipakai pada esok hari lebih penting untuk diputuskan dengan segera berbanding menjawab panggilan itu. Deringan telefon terhenti. Kemudian berdering kembali.
Mahu tidak mahu dia terpaksa menjawab panggilan itu. Mungkin panggilan yang penting. Segera dia mendekati katil, mencapai telefonnya. Pada skrin telefon, tertera ‘emak tiriku sayang.’
“Mak apa khabar?” Amana bertanya khabar selepas menjawab salam daripada emak.
“Baik. Semua orang di kampung dalam keadaan baik-baik belaka,” jawab emak.
Amana perasan yang suara emak kedengaran begitu riang.
“Gembiranya suara mak. Ada apa-apa ke ni?” Dia menegur.
“Mak gembira sebab ada berita gembira,” jawab emak, seperti berteka-teki pula.
Tidak pernahnya emak main teka-teki dengan Amana sebelum ini. Lain macam!
“Yalah, apa dia?” tanya Amana, makin curiga. Berharap emak segera memberitahu tujuannya supaya dia boleh sambung balik memilih baju untuk esok.
“Dah datang dah.” Emak bersuara riang, memberitahu sebegitu.
Amana tercengang. Tidak mengerti bicara emak. Juga terasa semakin lain macam. Dia labuhkan duduk di birai katil.
“Siapa yang dah datang? Datang ke mana? Dari mana datangnya?” Bertubi-tubi dia mengemukakan soalan. Kalau bercakap, biarlah jelas. Mudah sikit dia hendak faham.
“Budak ni, buat-buat tak faham pula,” bebel emak.
Bengang juga Amana. Dia memang tidak faham pun. Cakaplah terus terang!
“Calon suami kamulah. Wakil keluarganya datang merisik kamu petang tadi.” Suara emak kedengaran semakin riang.
Oh, tidak! Amana menelan liur. Wajah Danial bermain di mata. Melepaskah dia kali ini?
“Orangnya ada kerja bagus,” beritahu emak.
Kerja juga yang emak nilaikan dahulu. Patutnya emak menyelidik agama dan budi bahasanya. Bahkan harus memastikan yang lelaki itu adalah lelaki yang menjaga solatnya. Lelaki yang menjaga solat adalah lelaki yang diharapkan untuk menjadi imam. Juga boleh diletakkan harapan untuk menjaga keluarganya dengan sebaik mungkin. Emak juga perlu memastikan yang latar belakang keluarga lelaki itu adalah baik. Selepas itu, barulah membelek penyata gaji atau penyata KWSP lelaki itu.
Seketika Amana seperti mahu ketawa. Bukankah dahulu dia juga menilai lelaki berdasarkan penyata gaji mereka? Dia tidak mahu mendampingi lelaki yang bergaji rendah daripadanya. Bukan memandang rendah. Tetapi kerana dia sendiri ada keluarga di kampung yang perlu ditanggung. Tambahan pula, kos hidup saban naik semakin naik. Banyak duit yang hendak dipakai. Lebih-lebih lagi jika keluarganya ada pertambahan ahli baru.
Tetapi kini, cara berfikirnya seperti sudah berubah. Sejak bila? Mungkin selepas dia terjatuh cinta kepada Danial. Agaknyalah.
“Perangainya macam mana?” Amana bertanya kepada emak.
Sekali pun tidak berkenan dengan pilihan emak, dia masih mahu ambil tahu. Tidaklah emak terasa hati apabila dia terus menolak.
“Baik,” jawab emak pendek.
Amana mengeluh perlahan. Baik bagi emak belum tentu terbaik baginya. Lagipun, emak tidak pernah bertemu muka dengan lelaki itu lantas melihat sendiri budi bahasanya. Jadinya bagaimana emak yakin yang lelaki itu adalah seorang yang baik?
Ini mesti keluarga lelaki yang datang merisik itu membuat promosi secara besar-besaran. Bercerita segala kelebihan sehingga hati emak tertawan. Entah betul entah tidak promosi itu. Mudah pula emak percaya. Agaknya emak memang terdesak sangat hendak tengok dia berkahwin.
Dia pun boleh dikatakan terdesak juga hendak berkahwin. Tetapi tidaklah pula sampai membuat pilihan yang sembarangan.
“Dia kenal saya ke?” Amana terus bertanya.
Ingin juga dia mengenali lelaki yang tiba-tiba sahaja berani menghantar utusan untuk menyampaikan hasrat. Kalau dia kenal, mungkin dia dapat mencari kekurangan lelaki itu. Dapat dijadikan alasan untuk menolak.
“Tak. Dia tu orang kampung sebelah. Duda yang baru setahun kematian isteri sebab kemalangan, tapi dia tak ada anak. Dia minta keluarganya carikan pengganti, sebab dia tu susah sikit nak ramah dengan perempuan. Keluarganya pula minta tolong jiran mereka untuk tolong carikan calon isteri yang sesuai. Jiran mereka tu pula saudara Pak Andak. Pak Andak yang cadangkan supaya keluarganya datang bertanyakan diri kamu,” beritahu emak dengan panjang lebar.
“Mak, saya nak anak bujang orang, bukannya bekas laki orang.” Pantas Amana menemui alasan untuk menolak lamaran itu.
Emak patutnya menghantar perisik ke kampung sebelah untuk memastikan ketepatan maklumat yang disampaikan. Kalau dapat suami orang, macam mana? Huru-hara hidupnya nanti. Yang menanggung malu, emak dan ayah juga.
Tok ketua kampung pun satu. Punyalah ramai perempuan lain yang boleh dicalonkan, nama aku juga yang naik dahulu. Ini yang susahnya kalau jadi perempuan yang tercantik di kampung.
“Budak ni, tak sedar diri langsung yang umur tu dah terlajak, masih lagi nak memilih-milih. Cuba cerminkan dulu muka tu sebelum nak memilih-milih sangat pun. Sedarlah sikit yang kulit tu dah berkedut,” marah emak.
Amana buat-buat pekak. Emak suka sangat mengulangi dialog yang sama itu. Sengaja hendak bagi dia lemah semangat lalu menurut kemahuan emak. Tetapi hati memang tidak bersetuju dengan kata-kata emak. Dia perlu memilih-milih supaya dia tidak tersalah pilih. Macam mana kalau dia dapat suami kaki pukul? Lebih malang lagi suami yang menjadikan dia keldai dadah? Punah hidupnya nanti.
Sebab itu dia kena terlalu memilih. Kalaupun dia tetap tersalah pilih, dia tidak akan menyesal sangat kerana membuat keputusan berdasarkan kriteria yang ditetapkannya. Emak pun tahu lelaki yang dikenalinya selepas putus tunang bukannya ikhlas sangat pun. Baru keluar sekali dua, sudah sibuk bertanya berapa banyak gajinya. Juga sibuk hendak tahu jumlah aset yang dimilikinya.
Bahaya benar. Takut nanti dia yang kena tanggung makan minum keluarga. Si suami pula goyang kaki tidak ambil peduli. Dia tidak mahu lelaki jenis tunggul kayu seperti itu. Dia mahukan lelaki yang menghargai seorang perempuan. Lelaki yang dapat menerima keupayaan seorang perempuan. Perempuan itu ialah dia. Dan lelaki itu ialah seperti Danial!
Mata kemudian mencuri pandang ke wajahnya di dalam cermin meja hias. Kulitnya belum lagi dimamah usia sekalipun dia kini menginjak usia awal 30-an. Kalau tidak diberitahu berapakah usia sebenarnya, ramai menyangka yang dia baru berusia pertengahan 20-an. Potongan badannya masih lagi ramping dan menawan.
Dia berusaha keras menjaga kecantikan sejak zaman remaja lagi. Kini, usahanya membuahkan hasil yang membanggakan. Pendek kata dia bukannya nampak tua sangat pun. Emak memang sengaja guna ayat hiperbola untuk melemahkan semangatnya.
“Janganlah cerewet sangat. Sebab cerewet tu kamu tak berlaki sampai sekarang ni. Tak guna muka cantik kalau tak berlaki. Tapi itulah, kamu tu yang banyak songeh sangat. Tak tahulah orang yang macam mana yang kamu cari.” Emak bersuara lagi.
Sekali lagi, cuba mematah semangat Amna sekali gus menekannya secara halus. Taktik psikologi emak ini yang paling dibencinya.
“Pandailah mak cakap!” bantahnya. Geram pula rasanya.
Kenapalah emak menyangka yang dia adalah perempuan yang terlalu cerewet memilih lelaki? Mana ada!
Rasa-rasanya ciri pilihannya tidaklah keterlaluan sangat. Sempurna agama tidak bermakna lelaki itu mesti seorang ustaz. Tinggi budi bahasa tidak bererti lelaki itu mesti menjadi seorang budiman yang sentiasa lembut tutur kata atau bermadah seribu bahasa setiap kali berbual. Kasar sikit perangainya tidak mengapa, asalkan bukan gengster.
Mulia keturunan tidak bererti lelaki itu mesti berketurunan raja. Dia tidak mahu putera raja. Anak Datuk atau anak Tan Sri pun dia tidak hendak. Keturunan lanun lagilah dia tidak hendak. Yang penting, keturunan mesti sekufu. Parasnya biarlah sesedap mana memandang. Tidak perlu tampan sangat kerana dia takut kalau-kalau lelaki itu dikebas orang lain. Selain itu, akalnya mesti ada. Maknanya bukan orang gila.
Pendek kata, macam Danial!
“Kalau kamu tak cerewet, kenapa tak nak calon emak ini?” sergah emak.
Amana mengeluh perlahan.
“Cuba kenali dulu hati budi dia, baru buat keputusan untuk menolak. Hah! Dia tu kerja di KL. Bolehlah kamu pergi jumpa dia nanti,” sambung emak, mahu dia mempertimbangkan harapan lelaki itu.
“Yalah,” balasnya perlahan, tidak mahu melanjutkan perbualan tentang perkara itu lagi.
Tetapi jangan harap dia hendak pergi menemui lelaki itu. Biar lelaki itu sendiri yang datang mencarinya andai benar lelaki itu mahu mengenalinya.
Emak kedengaran senang hati mendengar kata-katanya.
Amana mengeluh lagi sewaktu meletakkan telefon di atas katil. Emak nampaknya benar-benar mahu dia menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini atau selewatnya pada tahun hadapan. Ini bermakna dia perlu bertindak segera untuk mendapatkan lelaki idamannya.
Segera dia bangun daripada duduknya, mendekati almari pakaian yang terbuka luas, menyambung mencari pakaian yang boleh menyerlahkan penampilannya. Soal calon yang datang merisik itu ditolak ke tepi dahulu. Tidak penting pun. Yang penting, esok dia pamerkan penampilannya yang anggun sekali gus memulakan misi memikat anak bujang Puan Azah.


BAJU kebaya pendek warna kuning yang dipadankan bersama kain batik warna tanah dengan corak pucuk rebung menjadi pilihannya. Baju itu bukan baju kegemarannya pun. Tetapi potongan sendat baju itu yang menyerlahkan setiap lekuk tubuhnya tidak pernah gagal membuatkan mana-mana lelaki mencuri pandang ke arahnya.
Amana senyum bangga sewaktu membelek dirinya di dalam cermin.
Terlopong mulut Sonja dan Juni melihat penampilannya apabila dia melangkah masuk ke ruang dapur. Tidak berkelip mata Sonja memandang.
Bukannya dia tidak perasan reaksi mereka namun sengaja dia buat tidak endah. Selamba sahaja dia labuhkan duduk untuk menikmati sarapan pagi di meja makan. Kalau Sonja dan Juni terlopong mulut dengan sebegitu luas, Danial tentu akan meleleh air liur apabila melihat gaya mautnya ini. Amana gelak jahat dalam hati.
“Kenapa?” Amana bertanya apabila menyedari lama Sonja memandang walaupun tahu kenapa Sonja bersikap begitu.
“Baju kau tu.” Sonja hanya menjawab sebegitu. Kembali menjamah hidangan nasi lemak di dalam pinggan di hadapannya.
Sonja dan Juni yang menyediakan juadah sarapan pada pagi itu. Bahan mentah untuk hidangan itu pula ditaja oleh Amana.
“Cantik, kan?” Amana bertanya bangga. Apabila dia menyilangkan kaki, belahan kain akan terselak dan menampakkan kakinya yang panjang dan cantik.
“Cantik? Menyakitkan mata aku yang memandang adalah. Seksi benar. Silap hari bulan, bukan setakat iman lelaki, iman tok imam pun boleh punah nanti.” Sonja bersuara sinis. Kepalanya tergeleng-geleng.
Amana tersenyum lucu. Sedikit pun tidak kisah dengan kutukan Sonja.
“Cukup kain tapi tak cukup benang. Atau tukang jahit tu terlupa nak jahit belahan kain tu?” Sonja terus mengutuk.
Juni yang pendiam hanya diam dan memasang telinga, mendengar sahaja.
Amana pura-pura tidak mendengar ulasan Sonja itu. Juga pura-pura tidak nampak yang mata Sonja dan Juni kerap mencuri-curi pandang ke arah belahan kain yang memanjang sehingga ke atas lutut. Tidak mengapalah kalau Sonja yang seorang perempuan tidak sanggup memandangnya, asalkan Danial yang merupakan seorang lelaki akan terpukau nanti. Lagi sekali Amana gelak jahat dalam hati.

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 8

ANAK Encik Daud, kau memang muka tak malu!
Amana mengutuk dirinya sendiri sambil meneliti panduan memikat lelaki yang disenaraikan oleh sebuah laman sesawang. Terasa seperti membuat kerja bodoh pun ada. Tetapi bak kata Sonja kepadanya dulu, cinta memang menjadikan manusia hilang akal. Dia tersenyum lucu.
“Kenapa you senyum-senyum ni?” Gegendang telinganya diterjah oleh pertanyaan Najla.
Amana tersentak, segera angkat kepala. Terpandang Najla yang sedang tersenyum lebar di hadapannya. Najla macam tahu-tahu sahaja apa yang sedang dilakukannya. Cepat-cepat telefon di tangannya disorokkan ke bawah timbunan kertas yang ada di atas meja. Dia kemudian mencapai kertas yang dicontengnya tadi. Pura-pura khusyuk meneliti lakarannya.
“Amana?” Danial memanggil.
Amana mengangkat kepala. Mata bertemu mata. Terasa jiwanya melayang pergi daripada jasadnya. Dia lantas menjadi patung cendana. Tidak dapat mengalih pandang ke tempat lain lagi.
“I suka idea you ni. So, just proceed with it,” ujar Danial, tersenyum manis.
Kali ini, jantungnya bagaikan terhenti daripada berdenyut.
“You tolong draf artwork tu cepat sikit. Minggu depan, Tuan Amin sudah nak tengok.” Danial bersuara lagi, sekali gus menamatkan sesi memerah idea untuk klien baru mereka.
Klien yang cerewet. Walhal hanya minta buat rekaan untuk brosur sahaja. Mulanya dia tidak mahu Amana yang membuka rekaan untuknya. Mahu Danial yang melakukannya. Terpaksa dia terangkan yang dia mengkhusus kepada rekaan laman sesawang sahaja. Tetapi banyak artwork yang direka oleh Amana ditolak. Fon tidak kena, saiz fon tidak tepat, kontras dengan imej yang digunakan. Walhal pembetulan yang dilakukan adalah mengikut kehendak klien sendiri.
Amana sendiri sudah panas hati. Akhirnya Danial panggil semua orang, duduk berbincang bersama.
“Okey,” angguk Amana. Tangan mencapai kertas yang dihulurkan oleh Danial.
“Tapi sebelum you hantar kepada dia, tunjukkan kepada I dulu,” ujar Danial yang kini bangun daripada duduknya. Kertas yang dipegang dihulurkan kepada Amana.
“Okey.” Dia menjawab sama juga.
Danial tersenyum manis, buatkan hatinya berdebar. Lelaki itu kemudian berlalu keluar meninggalkan dia dan Najla. Amana mengeluh perlahan, cuba mengawal hati yang diamuk rasa. Dia mengemas kertas-kertas yang berselerakan di hadapannya. Memasukkan kertas itu ke dalam fail kerjanya.
Najla yang sudah selesai mengemas barangannya bangun daripada duduknya, tetapi tidak terus keluar dari bilik mesyuarat itu. Sebaliknya Najla membongkokkan badan ke arahnya. Merapatkan mulut ke cuping telinganya. Terpinga-pinga Amana dengan gelagat Najla yang tidak terjangka itu.
“Jangan bertangguh lagi,” bisik Najla.
Apa hal dengan nasihat dia ni? Semakin terpinga-pinga Amana. Tidak mengerti maksud Najla. Sebelum sempat dia bertanya, Najla berlalu meninggalkannya. Tinggal dia sendirian, cuba memahami apakah maksud Najla tadi.
Mungkin Najla tidak mahu dia bertangguh siapkan kerja. Tetapi Najla pun tahu yang dia bukannya pekerja yang sebegitu. Amana kemudian ketawa kecil, menggeleng kepala. Tidak penting pun mencari maksud kata-kata Najla. Yang penting ialah memulakan misi menakluk hati Danial dengan menggunakan aset terbaiknya.
Balik kerja nanti, dia hendak ke spa. Buat rawatan muka dan badan. Juga hendak pergi mencuci rambut. Kopak duit simpanan kecemasannya. Tidak mengapa. Misi memikat hati si dia boleh juga dikatakan sebagai pelan tindakan kecemasan. Pelan untuk selamatkan diri daripada berkahwin dengan lelaki yang bukan idaman hati.
Esok, dia akan buatkan Danial juling mata apabila melihat penampilan anggunnya. Tahun ini, dia mesti menjadi isteri Danial.


TETAMU wanita yang datang pada petang itu dua orang sahaja. Tetamu yang tidak dijangka. Datang pula dengan membawa sebuah kutak kecil berbalut baldu biru. Bersinar-sinar cincin belah rotan yang terdapat di dalamnya.
Bersinar lagi mata Su Milah. Isi kutak kecil itu menyatakan hajat yang besar. Hajat yang ditunggunya sekian lama.
“Bagaimana? Sudi atau tidak dengan hajat kami?” Tetamu wanita yang lebih berusia bertanyakan maklum balas.
“Kata orang, kecil tapak tangan, nyiru kami sekeluarga tadahkan. Sudi tu, seribu kali sudi,” jawabnya gembira.
Kedua-dua tetamunya dipandang silih berganti. Tetamunya itu tersenyum lebar. Dia lagilah tersenyum lebar.
“Tapi yang saya risaukan tu, anak saya tu dah kerap sangat mengecewakan hajat orang. Saya rasa puan berdua pun tahu yang dia tu dah banyak kali menolak pinangan orang. Susah benar dia nak terima walaupun saya dan ayahnya cuba memujuknya. Maklumlah, hatinya tu hati batu, keras bukan main.” Su Milah bersuara lagi, mengingatkan tetamunya kepada reputasi anak tirinya.
Kalau tetamunya berharap, dia lagilah berharap. Pendek kata, kalau nyiru masih kecil dan tidak muat untuk menampung hajat, dia akan tadahkan tempayan buat mereka. Kalau Amana menolak kali ini, kepala Amana yang akan dibenamkan ke dalam tempayan itu.
“Kami tahu kisah putus tunangnya tu. Anggaplah itu bukan jodohnya. Sama-samalah kita doakan semoga lelaki yang mewakilkan kami ni adalah jodohnya yang pasti.” Tetamu wanita yang lebih berusia itu bersuara lembut.
“Saya pun berharap ada jodohnya kali ini. Maklumlah, tuan punya badan tu dah boleh dikira sebagai kembang yang dah nak layu. Tetapi dia tu duk perasan yang dia tu masih lagi kembang yang masih segar,” balas Su Milah, disambut dengan tawa kecil oleh tetamu-tetamunya.
“Lepas putus tunang, hatinya tu macam terkunci, susah benar hendak dibuka. Bukannya tak ada orang mencuba, tapi tak berjaya. Bila dipujuk supaya pertimbangkan hajat orang, banyak sangat alasan dia. Sakit telinga saya mendengarnya,” ujar Su Milah lagi.
Bukan setakat sakit telinga, dia juga sakit hati mendengar alasan penolakan Amana. Konon alergi dengan lelaki yang terbantut pertumbuhannya. Tetapi apabila dicarikan lelaki yang tinggi lampai, Amana tegas menolak. Konon nanti sakit lehernya kalau kena mendongak sentiasa. Yang berkulit cerah pun Amana tidak berkenan. Dikatakan lelaki itu terlebih tampan. Apabila sudah dapat calon yang berkulit hitam, Amana pula kata nanti susah hendak tengok dalam gelap.
Macam-macam alasan! Ikutkan sakit hati, dia hendak sekeh kepala si anak tiri setiap kali memberikan semua alasan itu.
Entah lelaki sempurna yang macam mana yang dicari oleh Amana. Entah-entah lelaki idaman Amana itu tidak wujud di dunia ini. Agaknya itu yang membuatkan anak tirinya itu terus menjadi anak dara tua. Kali ini, tidak boleh dibiarkan. Dia mesti bertegas. Kalau nanti Amana mengatakan yang dia seorang ibu tiri yang zalim, dia tidak kisah pun.
“Saya akan pujuk dia untuk terima lamaran ni. Doakan usaha saya menjadi.” Su Milah berjanji sebegitu.
Bukannya memujuk, dia hendak memaksa. Tahun ini, Amana mesti jadi bini orang.

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 7

WAJAH Amana yang merona merah tidak luput-luput daripada ingatannya. Seingatnya, selama dia rapat dengan Amana, ini kali pertama dia melihat wajah Amana jadi merah seperti itu. Cute sangat! Senyumnya menjadi lebar.
“Amboi! Lebar benar senyum tu. Anak gadis mana yang kamu sedang rindukan, Dan?”
Mati terus senyumannya. Terus sahaja Danial tersedar yang dia kini sedang berada di ruang tamu bersama emak dan Khalil. Menonton sebuah drama Melayu. Babak si pelakon perempuan yang tersipu-sipu malu apabila berhadapan dengan lelaki yang dicintainya spontan mengingatkannya pada wajah merah Amana. Bezanya, pelakon itu tersipu-sipu malu. Amana tadi sebaliknya merapu tidak keruan butir kata di hadapannya.
“Anak gadis mana lagi? Tu mesti bakal menantu emak tu.” Khalil yang sedang mengunyah kacang menyindir halus.
Mahu sahaja Danial menyiku si adik yang duduk di sebelahnya.
“Ia?” Puan Azah sudah tersenyum lebar. Nampak macam berharap sangat.
“Tidaklah.” Cepat-cepat Danial gelengkan kepala.
Menafikan sangkaan sebelum dia diterjah dengan 1001 soalan yang boleh membuatkan dia pitam. Emak nampaknya tidak percayakan penafiannya. Senyuman emak pun lain benar.
“Saya teringatkan Amana.” Otaknya ligat mengarang cerita di dalam kepala untuk melepaskan diri.
“Oh! Bakal menantu emak rupanya si Amana ya?” Puan Azah menjerat pantas.
Tawa Khalil sudah berderai.
“Ke situ pulak perginya emak.” Danial tumpang ketawa bersama Khalil.
“Kalau tak ke situ, ke mana lagi,” balas Puan Azah selamba.
Kalau Amana yang menjadi pilihan Danial, dia tidak menghalang. Dia sudah kenal benar dengan Amana. Cantik dan berpendidikan. Walaupun berperangai agak lepas, gadis Perlis itu jenis yang boleh disuruh mengangkat periuk dan mencuci pinggan mangkuk di majlis kenduri orang. Orang yang jenis ringan tulang seperti itu yang dia berkenan sangat.
Tetapi itulah, hati anak bujang sulungnya bagaikan tidak terbuka hati kepada kawannya sendiri. Agaknya Danial hendak kena buat mandi bunga kut.
“Kalau tiba-tiba kamu teringatkan dia, mesti ada apa-apa ni.” Puan Azah bersuara lagi.
Mengusik sekali gus tidak mahu melayan idea karut yang melintas di kepala. Takut niat menjadi dosa syirik. Takut menjadi perkara khurafat yang melanggar syariat. Jodoh dan ajal urusan Allah SWT. Tidak perlu dia sibukkan sangat. Biarkan sahaja jodoh Danial datang sendiri ke hadapannya.
“Bukannya apa. Cuma geli hati teringatkan dia terlompat-lompat sampai panjat kerusi, sebab takutkan lipas. Tak sangka dia tu penakut benar.” Terpaksa Danial berbohong, demi mengelak prasangka. Tetapi itulah, gelagat Amana di pejabat tadi memang mencuit hatinya.
“Eh! Semasa membantu di majlis Marissa dulu, emak tengok dia relaks aje bila ada lipas merayap di hujung kaki.” Puan Azah bersuara curiga.
Dia masih ingat betapa selambanya Amana menjentik lipas itu sehingga terpelanting ke atas kepala Khalil.
Kantoi!
“Tadi tu, lipas tu tengah terbang, tiba-tiba buat emergency landing kat kepala dia. Hah! Apa lagi, histerialah jadinya.” Danial cepat-cepat mengarang cerita baru.
Kalau tidak, emak dan Khalil tidak lagi akan memberi tumpuan pada Cerekarama di TV. Dia pula yang menjadi tumpuan ganti.
“Gitu.” Puan Azah terpaksa percayakan cerita si anak.
Danial kembali memandang skrin TV. Memberi tumpuan kepada pelakon wanita yang kini sedang termenung sendirian di atas katil. Eh! Kenapa muka dia... macam muka Amana pula? Spontan dia tersenyum lucu.
“Senyum-senyum sendiri tu, adalah tu. Tengok gaya emak akan terima menantu tak lama lagi. Hah! Malam ni mesti si dia mimpikan kamu,” ujar Puan Azah yang terlihat senyuman Danial.
Danial hanya ketawa. Tetapi hati bergetar seketika. Emak seperti mendoakan dia bertemu jodoh dengan Amana sahaja. Kemudian ketawanya padam apabila telefon yang diletakkan di atas meja berbunyi. Tanda ada mesej dihantar orang kepadanya. Segera dia mencapai telefon itu.
“Siapa? Amana ke?” Khalil menyibuk hendak tahu. Sempat lagi mengusik si abang.
“Nazmil,” beritahu Danial, tersenyum lucu.
Kawan baik yang seorang lagi itu bekerja di Amsterdam. Dia ada menjemput Nazmil hadir ke majlis perkahwinan Marissa dulu tetapi Nazmil tidak dapat memenuhi jemputannya. Kata Nazmil, dia tidak dapat pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat. Ralat juga dia namun dia memahami kekangan yang dihadapi oleh Nazmil.
Alih-alih Nazmil memberitahu yang dia hendak pulang ke Malaysia. Entah angin apa yang membuatkan haluan rancangan Nazmil beralih arah. Tetapi dia memang cukup gembira dengan kepulangan Nazmil. Nazmil satu-satunya kawan yang satu kepala dengannya walaupun sering memeningkan kepalanya.
“Kirim salam kat dia. Rindu pula emak kat dia,” pinta Puan Azah.
Keakraban Danial dan Nazmil sedia diketahuinya. Kedua-duanya tidak pernah berenggang sehinggalah Nazmil pergi bekerja di luar negara. Bahkan berada berjauhan membuatkan hubungan mereka semakin akrab. Danial pernah ke Amsterdam untuk meraikan tahun baru dengan Nazmil di sana. Nazmil sendiri bagaikan anaknya.
“Dia nak balik ke Malaysia.” Danial bagaikan tidak terdengar kata-kata emaknya, sebaliknya memberitahu emak dan Khalil yang Nazmil akan pulang.
“Bila?” tanya Khalil.
Danial cuma angkat bahu. Nazmil tidak pula memberitahu bila dia akan pulang. Kawan baik yang seorang itu penuh dengan kejutan. Amana juga.


I love you.”
Amana segera membuka mata. Mendapati dirinya sedang berdiri di hadapan Danial. Bukan setakat berdiri di hadapan lelaki itu, dia juga sedang bertentang mata dengan Danial. Danial pula sedang memberikan senyuman yang membuatkan lututnya jadi goyah. Terketar-ketar kaki dibuatnya. Nyaris tidak rebah ke tanah.
I love you.” Danial bersuara sekali lagi.
Kali ini sambil menyentuh kedua-dua belah tangan Amana. Menggenggam erat jarinya. Amana terasa seperti hendak melompat hingga sampai ke awan tinggi. Kalau dapat, lepas hingga ke langit ketujuh. Tetapi keliru bermain di hati. Keliru yang mencetuskan curiga.
Matanya memerhati sekeliling. Dia mendapati dirinya berada di dalam rumah kaca. Ruang rumah kaca itu penuh dengan bunga-bunga yang mekar indah. Apabila mendongak ke atas, terlihat siling yang berhias dengan lampu yang bercahaya lembut. Ruang udara pula dipenuhi dengan haruman bunga yang segar.
Romantis sekali. Tetapi dia terasa seperti ada yang tidak kena dengan situasi ini.
Ialah, Danial melafazkan cinta kepadanya. Kalau lelaki lain, dia tidaklah curiga sangat. Tetapi ini Danial, yang dikenali semua orang sebagai putera ais. Lelaki yang beku semacam sahaja perasaannya. Bahkan selama mengenali Danial, dia tahu tiada salji cinta pernah gugur di hati dingin lelaki itu.
I love you.”
Danial melafazkan bicara yang sama itu sewaktu melepaskan pegangan tangannya. Boleh percaya ke bicara hati lelaki ini?
Apabila Amana kembali memandang Danial, lelaki itu masih memandangnya dengan senyuman. Dan di dalam mata Danial ada sinar yang indah sekali. Yang membuatkan dia terpesona. Dia terasa seperti merenung ke dalam sebuah tasik yang dalam. Dia lantas tenggelam ke dalam tasik jiwa itu.
Yang peliknya, dia tidak mahu diselamatkan. Dia ingin terus tenggelam dan terus tenggelam. Ingin terdampar di dasar tasik itu. Kini, dia percaya yang Danial memang cintakannya.
Kakinya tiba-tiba terangkat dari tanah. Hampir sahaja Amana menjerit tetapi kemudian mendapati dia berada di dalam dukungan lelaki tampan itu. Pantas dia memaut leher Danial. Mahu memastikan dirinya kukuh berada di dalam dukungan lelaki itu. Dia tidak mahu jatuh terhempas ke tanah. Bukan setakat sakit badannya, berkecai hatinya nanti.
Terdengar desah nafas panas Danial.        “I love you.”
Bisikan keramat itu bergema di cuping telinganya lagi. Apabila dia mendongakkan kepala dan memandang ke dalam mata Danial, dia tetap rasa yang dia ingin tenggelam di dalam tatapan mata lelaki itu.
I love you.”
Danial bersuara sekali lagi. Seperti mahu mendengar bicara yang sama dari mulutnya.
I love you too.” Amana bersuara perlahan.
Kepala dirapatkan ke dada Danial. Mata dipejamkan rapat. Konon hendak menikmati detik manis ini. Tidak terdengar degupan jantung Danial. Zombie ke lelaki ini? Ah! Tidak kisahlah kalau dia zombie sekalipun. Yang penting, Danial aku punya!
I really love you. So, jom kita kahwin, Dan. Tak payah buat majlis besar-besaran. Bersanding pun tak payah. Janji kita jadi husband and wife tahun ni juga.” Amana bersuara lagi.
Dentum paluan kompang membuatkan Amana membuka mata kembali. Dia kini mendapati dirinya bukan lagi berada di dalam dukungan Danial. Sebaliknya tegak berdiri di atas permaidani merah yang ditaburi kuntum-kuntum mawar. Permaidani itu pula dihampar di atas kepulan awan putih. Yang peliknya dia tidak pula berasa bergoyang.
Matahari tampak dekat namun hangat pancarannya tidak pula memijarkan kulit. Angin yang bertiup lembut pula begitu dingin menyentuh pipi. Dia bagaikan berada di kayangan.
Hanya permaidani merah itu sahaja yang ada di hujung kakinya. Di hujung permaidani sebelah sana pula ada sebuah pelamin yang besar dan gah bak singgahsana diraja. Ada orang yang sedang duduk di atas singgahsana itu, bersanding berdua. Dia tidak dapat melihat wajah pasangan yang duduk bersanding itu. Bunyi paluan kompang semakin kuat. Tetapi dia tidak dapat melihat kumpulan kompang di sekitarnya.
Siapa yang bersanding di hujung sana?
Rasa ingin tahu membuatkan dia segera melangkah deras ke pelamin di hujung sana. Mahu melihat wajah mereka dengan lebih jelas. Kaki terasa sakit apabila dia memijak kuntum bunga yang menaburi permaidani baldu merah itu. Mungkin orang yang menabur bunga mawar itu terlupa untuk membuang duri yang tersembunyi di celah-celah kelopak.
Dengan kaki yang terhincut-hincut sakit, dia sampai juga di hadapan pelamin yang diwarnai dengan warna-warna pelangi. Ternampak Danial yang sedang duduk bersanding. Tetapi bukan dia yang duduk bersanding di sebelah Danial. Gadis lain! Yang membuatkan darahnya mendidih ialah apabila gadis itu tersenyum manis kepadanya, bagaikan mengejeknya.
Danial sudah dirampas orang? Oh, tidak!
“Danial!”
Bunyi kompang terhenti. Amana rasakan yang tubuhnya tiba-tiba ditarik oleh graviti. Melayang-layang membelah awan ke tanah di bawah sana. Kecut perutnya. Terus sahaja dia memejamkan mata. Tahu-tahu badannya terhempas ke tanah. Sakit.
“Adoi!” Amana membuka mata kembali. Kemudian memandang ke kiri dan kanan. Mencari Danial. Tiada. Hampa.
Dia rupanya berada di dalam biliknya. Bukannya di atas kayangan awan putih. Dan baru tersedar yang dia sedang terlentang di simen. Bukannya di atas katil. Perlahan-lahan Amana bangun dan duduk bersila di lantai. Tangan menggosok-gosok kepala yang sakit dek terhantuk di simen tadi. Tetapi sakit lagi hatinya yang kehilangan Danial, walaupun sekadar dalam mimpi.
Tahu-tahu pipinya sudah basah. Segera dia menyeka dengan lengan baju tidur. Kemudian dia rasa pelik, kenapa dia menangis pula? Mimpi sahaja pun. Amana menepuk dahi. Rasa hendak tergelak sahaja.
Tidak sangka dia boleh tumpahkan air mata dek sebuah mimpi yang entah apa-apa. Tidak sangka mainan tidur itu membuatkan dia penasaran tanpa sedar. Tetapi dia kini yakin benar yang dia sudah terpikat dengan anak bujang Puan Azah. Dia sudah terjatuh cinta dengan kawan baiknya sendiri.

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 6

MUJUR ketika dalam perjalanan pulang, Sonja tidak bertanya kenapa Amana membuat maraton dari wad ke tempat letak kereta hospital. Kalau tidak, panjang cerita hikayat yang hendak dikarangnya nanti.
Apabila keluar dari kereta, mata tiba-tiba sahaja berpinar-pinar. Terasa kudratnya tiba-tiba sahaja direnggut pergi. Terhuyung-hayang badannya sewaktu dia melangkah ke pintu rumah.
“Kenapa dengan kau ni?” Sonja bertanya hairan.
“Aku rasa macam nak pitam. Panas sangat,” beritahu Amana sambil menolak daun pintu.
“Nak aku panggilkan Encik Danial? Dapat juga aku tengok dia ulang tayang dukung kau,” Sonja bertanya, separuh mengusik.
Amana cuma muncungkan bibir. Konon lawak sangatlah tu. Masuk sahaja ke dalam rumah, Amana terjelepok di sofa. Malas hendak masuk ke biliknya. Lebih-lebih lagi bila kepala terasa berdenyut kuat. Jadinya dia berbaring sahaja di sofa, sementara menanti sakit kepalanya surut sedikit.
“Aku ada masakkan bubur nasi tadi. Kau nak makan tak?” tanya Sonja yang sedang meletakkan bakul barangan ke atas meja.
“Nantilah,” geleng Amana. Perutnya masih kenyang dengan sarapan pagi.
“Apa lagi bantuan yang kau mahu sebelum aku pergi kerja?” tanya Sonja. Menawarkan budi baiknya sebelum dia berlalu pergi.
Amana menggeleng sekali lagi.
“Kau boleh jaga diri tak kalau tinggal sendirian ni?” Sonja bertanya sambil membetulkan letak tali beg di bahu.
Amana angguk.
“Kalau keadaan aku makin teruk, aku akan call kau,” janjinya, tidak mahu Sonja terus berasa bimbang.
Gadis itu baik benar. Sanggup bersusah payah demi orang lain. Tetapi dia tidak mahu menyusahkan Sonja. Lagipun, dia boleh menjaga dirinya sendiri. Hidup bersendirian mengajarnya erti kelangsungan hidup. Jangan terlalu bergantung harap kepada orang lain.
Sonja melangkah ke pintu rumah. Amana memerhati gadis Kadazan itu menghilangkan diri di balik pintu. Dia kemudian memejamkan mata. Mahu tidur sekejap di sofa. Harap-harap tiada orang datang mengganggu.


RASA macam baru sahaja melelapkan mata apabila terjaga kembali. Terasa seperti bermimpi kerana terdengar suara Danial memberi salam. Amana membuka kelopak mata yang berat, terkebil-kebil memandang siling ruang tamu. Dia cuba memasang telinga. Tidak terdengar sebarang suara orang pun. Agaknya dia bermimpi mendengar suara Danial tadi. Namun, alangkah baiknya kalau Danial betul-betul datang ketika ini.
“Assalamualaikum.”
Danial? Rasa berat yang berpaut di kelopak mata dengan tiba-tiba hilang. Amana kini betul-betul terjaga. Danial memang betul-betul datang ke rumahnya dan kini sedang berada di luar pintu hadapan. Pendek kata, dia tidak bermimpi pun!
“Assa...”
“Waalaikumssalam.” Amana segera menjawab salam. Tergesa-gesa dia bangun daripada baringnya. Entah berapa lama Danial berada di luar sana.
Lelaki di luar sana itu memberikan senyum manis kepadanya.
Sorry sebab I datang tanpa memberitahu. I cuma nak tengokkan keadaan you,” ujar Danial lembut.
Amana melirik ke jam tangan. Sudah melewati pukul 6.00 petang. Danial mesti datang dari pejabat.
“Masuklah.” Aman mempelawa. Dia berganjak sikit dari muka pintu.
Danial kelihatan ragu-ragu tetapi kemudian membuka kasut. Melangkah ke dalam rumah Amana walaupun tahu yang dia telah melanggar sempadan antara seorang lelaki dan perempuan. Berdua-duaan di dalam rumah tanpa teman.
Bimbang juga kalau-kalau jiran yang ternampak mereka berdua-duaan bertindak menghubungi pejabat agama. Tidak pasal-pasal kena kahwin pula. Tapi kalau kahwin dengan Amana, aku tak kisah.
“You dah makan?” Danial bertanya kepada Amana yang kelihatan pucat dan mengantuk.
Amana geleng kepala. Tetapi pertanyaan Danial membuatkan perutnya terasa lapar.
“Okey, you duduk dan rehat. I akan sediakan makanan untuk you,” ujar Danial sambil melangkah ke dapur.
Amana terasa seperti mahu melompat tinggi sehingga mencecah ke awan. Juga mahu ketawa bahagia. Tidak sangka Danial datang mencurahkan perhatian kepadanya. Kalau begini, dia rela sakit sentiasa. Segera dia labuhkan duduk di sofa dengan hati yang berbunga-bunga.
Di dapur, terdengar bunyi api dapur dihidupkan. Juga terdengar bunyi sudu berdenting di dalam muk.
Danial kemudian muncul dari dapur. Menatang sebuah dulang kecil yang berisi mangkuk kecil dan sebuah muk yang berasap nipis. Bau manis Milo panas sampai ke hidung. Bau harum kanji beras juga mengusik deria bau. Perut semakin berasa lapar. Hati Amana pula tiba-tiba sahaja dipeluk rasa bahagia.
“Ada orang sediakan bubur nasi. Tak luak lagipun. Ada nota kat periuk tu. Suruh you habiskan bubur tu. Jadi, I cuma panaskannya kembali,” beritahu Danial sambil meletakkan dulang ke atas meja.
Amana teringatkan Sonja. Aduh! Kalau Sonja tidak memasak bubur nasi itu, tentu dia sudah dapat merasa bubur nasi air tangan Danial. Kempunan aku!
Danial duduk di sebelahnya. Kemudian capai mangkuk bubur dari dalam dulang. Lelaki mencedok sedikit bubur dengan sudu. Kemudian menghulurkan sudu itu ke mulutnya.
“I suapkan,” ujar Danial dengan senyuman.
Terpaku Amana. Secara sembunyi, dia mencubit paha kirinya. Sakit. Maknanya dia tidak bermimpi. Matanya memandang bubur nasi yang hanya dicampur kentang sebelum memandang ke dalam mata lelaki itu.
“Jangan tengok I. Tak kenyang pun kalau you tengok I. Bismillahirrahmanirrahim.” Danial bersuara lembut sambil merapatkan sudu ke bibir Amana.
Perlahan-lahan Amana membuka mulut. Menjamah bubur nasi yang disuapkan oleh Danial. Bubur yang sebenarnya tawar itu terasa cukup garamnya di deria rasanya. Danial, jangan salahkan aku kalau aku jatuh cinta dengan kau! Itu salah kau ya!


AMANA mula bimbangkan keadaan yang melanda dirinya. Semenjak detik Danial suapkan bubur nasi ke mulutnya, fikiran sentiasa teringatkan Danial. Apabila teringatkan Danial sahaja, hati terus bergetar dengan satu rasa yang lain macam. Entah-entah sambil suapkan dia makan tempoh hari, Danial ada hembuskan jampi serapah kepadanya.
Takkanlah kut! Amana segera menafikan sangkaan liar itu. Danial bukannya lelaki yang terdesak. Yang terdesak ialah dia. Mujur masih belum ada khabar berita dari kampung yang emak menerima lamaran orang untuknya. Yang penting sekarang, dia kena mencari jawapan kenapa hatinya jadi lain macam apabila teringatkan atau ternampak Danial.
Seperti sekarang ini. Hatinya terus sahaja diterpa alunan getar apabila melihat Danial melangkah masuk ke pejabat. Getar ini lebih kuat berbanding dengan getar yang dirasai sebelum ini. Ini sudah dikira macam gempa hati. Yang mencetuskan tsunami resah dengan tiba-tiba.
“Assalamualaikum, Amana, Najla.” Danial menyapa Amana dan Najla dengan sebuah senyuman.
Itu memang rutin setiap pagi Danial. Tetapi kali ini Amana rasakan yang senyuman Danial seperti penuh dengan gula dan madu. Manis sungguh.
“Amana, you betul-betul dah sihat ke untuk datang kerja ni? Kan nanti I kena usung you ke hospital sekali lagi. Sudahlah you semakin berat sekarang ni. Tak larat I nak angkat.”
Mesra Danial bertanya khabar dirinya. Kalau dahulu, Amana panas hati apabila mendengar lelaki mengusik tentang berat badannya, kini dia tersenyum malu. Terasa bahagia apabila ada orang mengambil berat akan dirinya. Lebih-lebih lagi oleh lelaki yang sekacak Danial.
Amana, kau memang gatal! Dia menyumpah dirinya sendiri. Tetapi itulah, alunan getar di hati kini menjadi ombak yang mula melemaskannya. Yang lebih parah, dia pasrah tidak mahu diselamatkan.
Amana, kenapa dengan you ni? Kenapa terpaku bila lihat I? Something wrong with me?” Danial terus menegur dengan ramah. Senyuman Danial semakin lebar.
Semakin cair hati Amana.
“Tak ada apa-apa. I okay aje.” Amana menjawab gugup.
Mana ada something wrong dengan Danial. Yang selalu ada something wrong ialah aku!
Segera Amana tunduk memandang fail di atas meja. Menyelak-nyelak dokumen di dalam fail. Pura-pura sibuk. Tetapi senyuman manis Danial tadi membuatkan dia semakin gelisah. Hati semakin tidak tentu arah. Apa dah jadi ni?
“Baguslah. I ingatkan I dah jadi macam zombiee yang makan otak orang bila you renung I macam tu tadi.” Danial mengusik kembali sambil melangkah ke bilik kecil pejabatnya.
“Tak, tak. You bukan zombie. You... you’re just so sweet and...” Amana pantas menekup mulutnya sebelum dia terus mengeluarkan kata-kata yang membuatkan dia tampak seperti orang bodoh di mata Danial.
Terlambat!
Danial yang sudah berada di hadapan pintu biliknya dilihatnya terpaku tidak bergerak.
Najla yang tadinya tidak mempedulikan mereka kini mengangkat kepala dari skrin komputernya. Memandang Amana dengan mata yang bulat besar. Ada senyuman yang sedang ditahan di penjuru bibir Najla. Najla mesti sudah syak sesuatu.
Amana, engkau yang jadi zombiee di pagi hari! Aduhai! Jatuh air muka aku.
No... Actually, what I’m trying to say is you’re so sweet and I’m full of sweat...”
Mulut, oh, mulut! Janganlah berkata-kata lagi! Nanti Danial ingat otak kau dah rosak dek demam panas tempoh hari. Tingkap! Mana tingkap?!
Keterlanjuran bicara membuatkan mukanya terasa panas dengan tiba-tiba. Tidak tahu di mana hendak disorokkan muka ketika ini. Amana rasa seperti mahu terjun ke tanah. Patah riuk pun tidak apa, asalkan dia dapat lari jauh. Masalahnya tingkap pejabat bukannya boleh dibuka pun cerminnya. Pendek kata, dia terperangkap.
Lelaki tampan itu kemudian berpaling, melangkah ke arah Amana. Ada kerut yang dalam di dahi Danial.
Amana cepat-cepat memandang skrin komputer. Pura-pura membaca e-mel yang dihantar oleh klien, demi menyembunyikan rasa malunya. Terdengar bunyi tapak kaki berhenti di hadapan mejanya. Dia tidak sanggup mengangkat kepala dan memandang Danial yang kini sudah berdiri di hadapannya.
“You okey tak ni, Amana? You ni... dah lain macam benar ni. I dah risau dah ni.” Terdengar Danial bertanya lembut. Mempamerkan keprihatinan seperti selalu, yang tidak pernah disedari dan dihargai selama ini.
I’m okay,” jawabnya perlahan, tanpa mengangkat kepalanya. Berbohong.
“Amana?”
Yes.” Amana gugup mendengar suara Danial yang kedengaran begitu serius. Jarang dia mendengar Danial memanggilnya dengan nada serius seperti itu.
Masalahnya, tidak tahu kenapa suara serius Danial itu tiba-tiba sahaja kedengaran begitu syahdu di telinganya!
“Bila bercakap tu, pandang ke arah I.”
Mak tiri! Tolong! Amana memaksa diri untuk ketawa tatkala mengangkat kepala. Dia kembali memandang wajah di hadapannya, tetapi mengelak daripada memandang ke dalam mata Danial. Takut kalau-kalau dia lemas di dalam mata cantik itu.
“Janganlah bimbang, I okey,” ujarnya lembut, cuba meyakinkan Danial yang otaknya tidak bermasalah.
 “Amana?” Lagi sekali namanya diseru Danial.
Yes.”
“Bila bercakap tu, pandang ke dalam mata I.”
Somebody! Tolong! Amana tahu yang dia tiada pilihan lain melainkan akur dengan suruhan majikan. Dan, jantungnya berdegup laju di tahap maksima apabila bertentang mata dengan lelaki itu. Terasa seperti terdengar-dengar bunyi degupan jantungnya yang sedang laju berlari itu di telinga.
Are you really, really okay? Muka you tu dah merah benar.” Danial kembali melontarkan soalan yang sama.
Bimbang juga dia melihat keadaan Amana yang menjadi lain macam. Seperti ada makhluk asing yang telah mengambil alih jasad Amana. Mungkin dia perlu menghantar Amana ke hospital untuk membuat imbasan bagi memastikan demam panas tempoh hari itu tidak merosakkan otak Amana.
Yes, I am. I cuma bercakap tanpa berfikir panjang. Hah! My mother did say that I must fix this habit before it landed me into troubles but I’m definitely sure that the damage is already done,” jawab Amana terkelam-kabut. Cuba meyakinkan Danial yang kini mungkin beranggapan otaknya telah miring disebabkan demam tempoh hari.
Tetapi itulah, otaknya memang telah miring kerana terkena aura Danial yang begitu mengancam. Aura Danial telah membahayakan jiwanya sendiri!
Terdengar tawa kecil Najla.
Danial pula tersenyum lebar tetapi dahi lelaki itu masih berkerut-kerut. Mata Danial masih memandang Amana dengan curiga.
Amana kembali mengelak daripada bertemu pandang dengan Danial. Dia tidak mahu hatinya lemas di dalam tatapan mata Danial, lantas tidak timbul-timbul lagi. Danial dengan tiba-tiba meletakkan telapak tangannya di dahinya. Amana terpaku. Langsung tidak menyangka yang Danial akan buat begitu. Juga langsung tidak menepis tangan lelaki itu.
Dia membiarkan sahaja dan memerhati wajah lelaki itu tanpa berkelip mata. Tidak pernahnya Danial berbuat sebegini kepadanya. Mujur sahaja peluh yang tadi membasahi dahinya telah kering terkena pendingin hawa. Kalau tidak, makin malu dibuatnya. Sudahlah dia sememangnya sedia menahan malu ketika ini.
Terdengar tawa Najla sekali lagi. Nyata gelagatnya menjadi hiburan percuma untuk Najla.
“Hmm, tak rasa panas pun. You tak demam pun,” ujar Danial sambil menjatuhkan tangannya. Ada senyuman di bibir Danial.
Manis sekali. Menggoda sekali. Oh, hati, tolonglah jangan jatuh cinta!
“Kan I dah kata yang I okey. You tak perlu risaulah,” balas Amana. Bibir tersenyum semanis mungkin, menyembunyikan jiwa yang semakin bergelora.
“Tapi kalau rasa tak sihat, jangan bertangguh lagi. Pergi ke klinik. Dapatkan rawatan. Kalau sesuatu terjadi pada you, I juga yang risau nanti. Jangan dera hati I tau.” Danial menasihati. Juga mengusik. Juga mempamerkan keprihatinan yang semakin memikat hati.
Aneh, ini bukannya kali pertama Danial bersikap prihatin terhadapnya. Tetapi kenapa hati semakin tidak keruan?
Thanks. You memang baik hati, Dan.” Amana bersuara lembut. Jiwa kian bergelora.
“I memang baik hati pun. You tak perasan ke?” Danial terus mengusik.
Masalahnya bukannya aku tak perasankan kebaikan kau, Danial. Sejak dulu lagi aku tahu yang kau seseorang yang tersangat baik. Tetapi itulah, kenapalah aku tak jatuh hati dulu? Kenapa aku buta hati dulu?
Danial melangkah meninggalkan mejanya. Sebelum menghilang ke dalam biliknya, lelaki yang membuatkan hatinya bergetar itu berpaling ke arahnya.
“Bila you pergi ke klinik nanti, periksa mata you sekali. I’m definitely sure I’m not sweet and hot pun hari ini. Sweat, yes,” ujar Danial. Lelaki itu mengenyit mata nakal.
Amana terpaku. Hati kian dibadai debar yang menggilakan jiwa. Mengingatkannya kepada kata-katanya sendiri ketika terlantar di wad dahulu. Takkanlah yang aku sudah jatuh cinta dengan dia? No way! Amana tetap cuba menafikan.