Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 8

ANAK Encik Daud, kau memang muka tak malu!
Amana mengutuk dirinya sendiri sambil meneliti panduan memikat lelaki yang disenaraikan oleh sebuah laman sesawang. Terasa seperti membuat kerja bodoh pun ada. Tetapi bak kata Sonja kepadanya dulu, cinta memang menjadikan manusia hilang akal. Dia tersenyum lucu.
“Kenapa you senyum-senyum ni?” Gegendang telinganya diterjah oleh pertanyaan Najla.
Amana tersentak, segera angkat kepala. Terpandang Najla yang sedang tersenyum lebar di hadapannya. Najla macam tahu-tahu sahaja apa yang sedang dilakukannya. Cepat-cepat telefon di tangannya disorokkan ke bawah timbunan kertas yang ada di atas meja. Dia kemudian mencapai kertas yang dicontengnya tadi. Pura-pura khusyuk meneliti lakarannya.
“Amana?” Danial memanggil.
Amana mengangkat kepala. Mata bertemu mata. Terasa jiwanya melayang pergi daripada jasadnya. Dia lantas menjadi patung cendana. Tidak dapat mengalih pandang ke tempat lain lagi.
“I suka idea you ni. So, just proceed with it,” ujar Danial, tersenyum manis.
Kali ini, jantungnya bagaikan terhenti daripada berdenyut.
“You tolong draf artwork tu cepat sikit. Minggu depan, Tuan Amin sudah nak tengok.” Danial bersuara lagi, sekali gus menamatkan sesi memerah idea untuk klien baru mereka.
Klien yang cerewet. Walhal hanya minta buat rekaan untuk brosur sahaja. Mulanya dia tidak mahu Amana yang membuka rekaan untuknya. Mahu Danial yang melakukannya. Terpaksa dia terangkan yang dia mengkhusus kepada rekaan laman sesawang sahaja. Tetapi banyak artwork yang direka oleh Amana ditolak. Fon tidak kena, saiz fon tidak tepat, kontras dengan imej yang digunakan. Walhal pembetulan yang dilakukan adalah mengikut kehendak klien sendiri.
Amana sendiri sudah panas hati. Akhirnya Danial panggil semua orang, duduk berbincang bersama.
“Okey,” angguk Amana. Tangan mencapai kertas yang dihulurkan oleh Danial.
“Tapi sebelum you hantar kepada dia, tunjukkan kepada I dulu,” ujar Danial yang kini bangun daripada duduknya. Kertas yang dipegang dihulurkan kepada Amana.
“Okey.” Dia menjawab sama juga.
Danial tersenyum manis, buatkan hatinya berdebar. Lelaki itu kemudian berlalu keluar meninggalkan dia dan Najla. Amana mengeluh perlahan, cuba mengawal hati yang diamuk rasa. Dia mengemas kertas-kertas yang berselerakan di hadapannya. Memasukkan kertas itu ke dalam fail kerjanya.
Najla yang sudah selesai mengemas barangannya bangun daripada duduknya, tetapi tidak terus keluar dari bilik mesyuarat itu. Sebaliknya Najla membongkokkan badan ke arahnya. Merapatkan mulut ke cuping telinganya. Terpinga-pinga Amana dengan gelagat Najla yang tidak terjangka itu.
“Jangan bertangguh lagi,” bisik Najla.
Apa hal dengan nasihat dia ni? Semakin terpinga-pinga Amana. Tidak mengerti maksud Najla. Sebelum sempat dia bertanya, Najla berlalu meninggalkannya. Tinggal dia sendirian, cuba memahami apakah maksud Najla tadi.
Mungkin Najla tidak mahu dia bertangguh siapkan kerja. Tetapi Najla pun tahu yang dia bukannya pekerja yang sebegitu. Amana kemudian ketawa kecil, menggeleng kepala. Tidak penting pun mencari maksud kata-kata Najla. Yang penting ialah memulakan misi menakluk hati Danial dengan menggunakan aset terbaiknya.
Balik kerja nanti, dia hendak ke spa. Buat rawatan muka dan badan. Juga hendak pergi mencuci rambut. Kopak duit simpanan kecemasannya. Tidak mengapa. Misi memikat hati si dia boleh juga dikatakan sebagai pelan tindakan kecemasan. Pelan untuk selamatkan diri daripada berkahwin dengan lelaki yang bukan idaman hati.
Esok, dia akan buatkan Danial juling mata apabila melihat penampilan anggunnya. Tahun ini, dia mesti menjadi isteri Danial.


TETAMU wanita yang datang pada petang itu dua orang sahaja. Tetamu yang tidak dijangka. Datang pula dengan membawa sebuah kutak kecil berbalut baldu biru. Bersinar-sinar cincin belah rotan yang terdapat di dalamnya.
Bersinar lagi mata Su Milah. Isi kutak kecil itu menyatakan hajat yang besar. Hajat yang ditunggunya sekian lama.
“Bagaimana? Sudi atau tidak dengan hajat kami?” Tetamu wanita yang lebih berusia bertanyakan maklum balas.
“Kata orang, kecil tapak tangan, nyiru kami sekeluarga tadahkan. Sudi tu, seribu kali sudi,” jawabnya gembira.
Kedua-dua tetamunya dipandang silih berganti. Tetamunya itu tersenyum lebar. Dia lagilah tersenyum lebar.
“Tapi yang saya risaukan tu, anak saya tu dah kerap sangat mengecewakan hajat orang. Saya rasa puan berdua pun tahu yang dia tu dah banyak kali menolak pinangan orang. Susah benar dia nak terima walaupun saya dan ayahnya cuba memujuknya. Maklumlah, hatinya tu hati batu, keras bukan main.” Su Milah bersuara lagi, mengingatkan tetamunya kepada reputasi anak tirinya.
Kalau tetamunya berharap, dia lagilah berharap. Pendek kata, kalau nyiru masih kecil dan tidak muat untuk menampung hajat, dia akan tadahkan tempayan buat mereka. Kalau Amana menolak kali ini, kepala Amana yang akan dibenamkan ke dalam tempayan itu.
“Kami tahu kisah putus tunangnya tu. Anggaplah itu bukan jodohnya. Sama-samalah kita doakan semoga lelaki yang mewakilkan kami ni adalah jodohnya yang pasti.” Tetamu wanita yang lebih berusia itu bersuara lembut.
“Saya pun berharap ada jodohnya kali ini. Maklumlah, tuan punya badan tu dah boleh dikira sebagai kembang yang dah nak layu. Tetapi dia tu duk perasan yang dia tu masih lagi kembang yang masih segar,” balas Su Milah, disambut dengan tawa kecil oleh tetamu-tetamunya.
“Lepas putus tunang, hatinya tu macam terkunci, susah benar hendak dibuka. Bukannya tak ada orang mencuba, tapi tak berjaya. Bila dipujuk supaya pertimbangkan hajat orang, banyak sangat alasan dia. Sakit telinga saya mendengarnya,” ujar Su Milah lagi.
Bukan setakat sakit telinga, dia juga sakit hati mendengar alasan penolakan Amana. Konon alergi dengan lelaki yang terbantut pertumbuhannya. Tetapi apabila dicarikan lelaki yang tinggi lampai, Amana tegas menolak. Konon nanti sakit lehernya kalau kena mendongak sentiasa. Yang berkulit cerah pun Amana tidak berkenan. Dikatakan lelaki itu terlebih tampan. Apabila sudah dapat calon yang berkulit hitam, Amana pula kata nanti susah hendak tengok dalam gelap.
Macam-macam alasan! Ikutkan sakit hati, dia hendak sekeh kepala si anak tiri setiap kali memberikan semua alasan itu.
Entah lelaki sempurna yang macam mana yang dicari oleh Amana. Entah-entah lelaki idaman Amana itu tidak wujud di dunia ini. Agaknya itu yang membuatkan anak tirinya itu terus menjadi anak dara tua. Kali ini, tidak boleh dibiarkan. Dia mesti bertegas. Kalau nanti Amana mengatakan yang dia seorang ibu tiri yang zalim, dia tidak kisah pun.
“Saya akan pujuk dia untuk terima lamaran ni. Doakan usaha saya menjadi.” Su Milah berjanji sebegitu.
Bukannya memujuk, dia hendak memaksa. Tahun ini, Amana mesti jadi bini orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan