Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 2

INGATKAN apabila pulang ke kampung, boleh buat sesi tidur, makan dan lepak dengan aman. Rupanya tidak. Si emak tiri asyik membebel setiap masa. Topik pula topik yang sama. Kahwin, kahwin dan kahwin. Lebih-lebih lagi apabila ayah pulang ke rumah dengan membawa khabar yang anak perempuan Pak Andak, tok ketua kampung, akan melangsungkan perkahwinan pada hujung bulan nanti.
Ini yang rasa menyesal apabila pulang ke kampung kali ini. Lebih-lebih lagi apabila sekarang ini musim orang kahwin. Pendek kata, menjadi wanita yang tercantik di kampung pun satu masalah apabila tiada lelaki yang mahu masuk meminang.
Yang lebih menyakitkan hati, emak buat ribut. Bercerita tentang ikhtiar supaya Amana dapat cepat kahwin. Dan semasa makan tengah hari tadi, emak tiba-tiba sahaja mencadangkan supaya dia mandi bunga. Bengang juga Amana mendengar cadangan itu.
Dia, Amana yang seksi kena mandi bunga? Kalau Danial tahu, mesti lelaki itu terguling-guling di tanah sambil ketawa terbahak-bahak.
“Daripada mandi bunga, lebih baik saya mandi air longkang aje. Lagipun mak, penampilan saya ni dah memang sedia berseri-seri pun. Kalah bunga. Bunga pun tak berseri dan seharum saya.” Amana membantah keras.
Terasa lawak pun ada. Emak seolah-olah yakin yang jodohnya akan datang dengan sekelip mata jika dia mandi bunga. Ingatkan selepas dia membantah sebegitu, emak akan menutup mulut. Langsung tida. Emak makin kalut bercerita bab kahwin.
Mujur cutinya sudah sampai ke penghujung. Cadangnya hendak bertolak sebelum waktu zuhur esok. Malam nanti dia hendak mengemas semua barangan. Esok tidaklah terkelam-kabut sangat. Rasa macam tidak sabar hendak tinggalkan rumah dan segera pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali menatap wajah Danial.
Amana senyum lucu. Tetapi juga mula bimbangkan kewarasan dirinya sendiri yang selalu teringatkan Danial sepanjang di kampung. Cuma itulah, sejak melihat Danial yang bersusah payah untuk adik perempuannya, hati mula bergetar semacam. Makin menjadi-jadi.
Yang lagi parah, dia sentiasa terkenangkan lelaki itu. Sekarang ini pun, senyuman Danial sedang mengembang dalam ingatan. Apa maknanya ini? Jatuh hati? Tidak! Tidak mungkin dia jatuh hati dengan kawan baiknya sendiri. Tetapi kenapa hati makin teringatkan anak bujang orang itu?


TERCENGANG juga Amana apabila emak tiba-tiba masuk ke bilik dan labuhkan duduk di birai katil. Tetapi emak diam sahaja. Sekadar memerhati dia yang sedang memasukkan baju ke dalam beg.
Apabila dijeling dari hujung mata, emak kelihatan serius sahaja. Amana yakin yang emak mahu memperkatakan sesuatu. Cuma emak menunggunya bersuara terlebih dahulu. Taktik azali emak. Mahu buatkan dia tertanya-tanya. Mahu buatkan dia tunjuk minat. Macamlah dia tidak tahu strategi itu.
Dan dia sudah tahu apa yang hendak dikatakan oleh emak. Bosan pula rasanya. Hati terasa sakit juga. Emak, tolonglah mengerti yang dia juga sedang mencari calon suami. Cuma belum ditemui lagi. Siapa yang hendak membujang sehingga ke mati? Takkan nak suruh tok ketua masuk meminang aku pula, jadi pelengkap kuota empat dia? Minta simpanglah!
“Ada apa?” Akhirnya Amana bertanya tanpa berhenti daripada kerja yang dilakukannya.
Sengaja hendak tunjuk kepada emak yang dia sibuk sangat. Walhal bukannya sibuk sangat pun. Hanya satu beg sahaja kerana tidak banyak baju dan barangan yang dibawa balik.
“Mengenai kamulah,” jawab emak.
Amana menoleh, pandang emak. Emak segera mengelak daripada bertemu pandang dengan matanya. Memilih untuk memandang ke dalam cermin meja hias yang terletak dekat dengan pintu masuk. Ini pun salah satu daripada taktik azali emak. Hendak menekan dia secara halus. Mahu dia bersetuju dengan apa yang hendak diperkatakan nanti.
“Mestilah tentang saya. Takkan tentang emak pula. Kalau pasal emak, emak mesti bercerita dengan ayah aje. Tapi apa bendanya tu?” Amana bertanya lewa.
Kembali sambung menyusun baju di dalam beg. Beg kecil itu kian padat apabila disumbat dengan semua benda yang hendak dibawa pulang.
“Tahun ni, kalau ada lelaki masuk merisik kamu, mak nak terima.” Emak bersuara serius, sekali gus membuat satu ketetapan.
Amana segera memandang wajah emak di dalam cermin. Hati berharap agar emak hanya bergurau namun raut wajah emak kian serius. Tanda emak tidak main-main dan dia pula tidak boleh berbantah lagi. Hati Amana dengan tiba-tiba diterpa cemas. Dia arif dengan perangai emak. Hitam bagi emak tidak akan berubah menjadi putih. Bahkan hendak jadi warna kelabu pun tiada harapan. Tetapi mana mungkin dia dipaksa sebegitu.
Artikel 16 bagi Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia jelas menyatakan bahawa lelaki dan perempuan yang telah cukup umur mempunyai hak untuk berkahwin dan membentuk keluarga. Perkahwinan pula dibentuk dengan persetujuan pasangan, bukan dengan paksaan. Bermakna emak sedang melanggar hak asasinya sepertimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pendek kata, ini sudah dikira sebagai jenayah kemanusiaan.
“Janganlah macam ni, mak.” Amana bersuara lemah. Berharap agar emak mempertimbangkan kata-katanya semula.
Di luar sana, angin malam menderu resah. Resah lagi hatinya kini. Rasa bimbang dengan tiba-tiba menyesakkan dada. Bagaimana kalau emak menerima lamaran lelaki yang tidak kena dengan cita rasanya? Lelaki yang tidak dapat diterimanya? Bala besar namanya itu. Kalau terjadi apa-apa, dia yang menanggung sengsara.
“Mak, saya ni bukannya tak laku. Mak jangan lupa ya, saya ni kan memegang takhta dan mahkota sebagai perempuan yang tercantik di kampung kita ni. Tapi itulah, cuma tak kuat jodoh aje,” ujarnya lagi, tetap tidak menoleh ke arah emak. Tetap menolak kemahuan emak.
Emak tidak tahu bagaimana hancurnya hati apabila dia putus tunang dahulu. Ini kerana dia menyembunyikan luka di sebalik senyuman dan tawa riang. Berlagak bagaikan tidak kisah dengan apa yang terjadi. Walhal, dia menangis setiap malam hampir sebulan lebih. Sengaja berpura-pura sebegitu kerana tidak mahu emak dan ayah berasa sedih. Biar dia sendiri yang menanggung pedih hati.
Kalau emak bersedih apabila dia tidak berkahwin, tuan punya badan lagilah sedih kerana jodoh asyik tidak menjadi. Sungguh! Apa gunanya kecantikan diri yang dibanggakan ini jika sehingga kini dia masih bersendirian? Jangankan anak ikan, bapa jerung pun tidak inginkan dia. Agaknya betullah kata emak, dia memang kena mandi bunga supaya jodohnya datang dekat dan melekat.
“Habis tu, nak buat macam mana?” marah emak yang kini berpaling memandangnya. Wajah emak kelihatan tegang.
Amana tahu yang wajahnya turut tegang.
“Biar saya cari sendiri calon suami saya. Mak bersabar aje, tunggu saya bawa balik menantu untuk emak. Saya janji, tahun ni juga saya cari calon suami. Saya janji, tahun ini juga saya akan kahwin.” Pun begitu Amana mengawal perasaan. Sebaliknya memujuk emak supaya membatalkan niat. Juga melafazkan janji yang belum tentu dapat dikotakannya. Sekadar hendak sedapkan hati emak sebenarnya.
“Kalau macam tu, biar mak juga tolong kamu carikan calon suami,” balas emak.
Amana mengetap bibir. Menarik zip begnya dengan kasar. Emak macam tidak faham yang dia tidak mahu emak campur tangan dalam soal hati dan perasaannya.
“Kalau mak dapat carikan calon dan kamu pula belum jumpa lagi calon kamu sendiri, kamu kena terima pilihan emak,” ujar emak lagi, terus bertegas. Tidak mahu bertolak ansur dengannya lagi.
Emak kemudian berlalu dari biliknya. Tidak meninggalkan sebarang ruang untuknya membantah lagi.
Untuk seketika, terasa yang emak tirinya benar-benar telah menjadi ibu tiri yang zalim seperti dalam drama atau filem Melayu yang sering ditontonnya. Sungguh, dia lebih rela mandi bunga daripada kahwin paksa!
Amana mengeluh perlahan, menggaru kepala yang tidak gatal. Situasi ini nampaknya sudah boleh dikira sebagai situasi kritikal. Dia kini perlu memintas usaha emak untuk mencari calon suami baginya. Bermakna dia tidak boleh buang masa. Balik sahaja ke Kuala Lumpur nanti, dia perlu bertindak segera mencari calon suami sendiri untuk menolak jodoh pilihan emak.
Mungkin dia perlu segera jatuh cinta dengan mana-mana lelaki. Kalau tidak pun, pergi daftarkan diri di agensi cari jodoh. Alahai! Tidak sangguplah pula rasanya hendak buat begitu. Mesti semua orang gelak nanti. Amana yang seksi kena masuk agensi cari suami.
Lebih baik aku pikat si bujang Danial itu. Idea yang tidak seberapa canggih itu melintas di fikirannya. Amana sengih sendiri, kemudian mengeluh perlahan. Bagaimana hendak memikat Danial sedangkan tiada sebarang rasa di hati terhadap lelaki itu?
Dia hendak jatuh cinta terhadap lelaki itu terlebih dulu. Dan bab ini yang susah sikit. Lebih mudah jatuh tangga daripada jatuh cinta. Lebih-lebih lagi dengan Danial. Selama mereka berkawan baik, perasaannya terhadap Danial biasa-biasa. Tidak pernah menjadi luar biasa. Lagipun selama ini Danial sendiri tidak pernah jatuh cinta dengan sesiapa. Hati lelaki itu sukar diteka dan ditakluk.
Hendak tidak hendak, dia kena pupuk rasa hati terhadap Danial. Tetapi macam hendak lakukannya?
Amana rasa seperti hendak hantukkan kepala sendiri ke dinding rumah. Susah benar hendak mencari calon suami. Masalahnya, takkan hendak terima calon emak pula?
Dia segera tarik nafas. Kumpul semangat dan azam. Tahun ini dia mesti kahwin. Dengan calon hatinya sendiri. Bukan dengan calon emak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan