Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 4

APABILA bangun pagi, Amana rasa yang badannya panas benar. Demam. Pelik juga, malam tadi elok sahaja suhu badannya.
“Telefonlah bos, minta sambung cuti sampai demam tu kebah. Kan nanti terjadi apa-apa di tengah jalan, susah kamu nanti,” suruh ayah ketika bersarapan bersama.
Segera Amana muncungkan mulut. Tanda enggan. Mata segera menjeling kepada emak. Teringatkan perbualan mereka pada malam tadi. Dia perlu pulang segera ke Kuala Lumpur. Perlu cepat merangka tindakan bagi mencari calon suami. Dia mesti bertemu lelaki idamannya sebelum emak menemui lelaki pilihan untuknya.
Sebelum bertolak pulang, demam terasa seperti surut sedikit. Tetapi tatkala berhenti di kawasan R&R Tapah, Amana sudah rasa yang badannya semakin panas. Badan mula rasa lesu. Tekak pula rasa kering walaupun dia baru sahaja meneguk habis air mineral dari botol kecil yang diambil dari kedai ayah.
Amana memandang ke dalam cermin pandang belakang. Mahu melihat keadaan mukanya. Wajahnya kelihatan merah-kemerahan. Jelas ketara warna merah itu dek kulitnya yang putih. Dia kemudian meraba ke dahi dan pangkal leher. Mahu menyukat suhu badan. Sah! Memang lebih panas berbanding semasa bertolak meninggalkan Kangar tadi. Maknanya demamnya menjadi semula.
Dia tersandar ke kusyen tempat duduk. Hati mula terasa bimbang. Demam denggi ke? Hati bertanya cemas. Demam yang berulang-ulang adalah salah satu tanda demam denggi. Harap-harap tidaklah.
Semenjak diserang demam denggi dahulu, dia bagaikan fobia setiap kali dapat demam. Takut benar kalau-kalau diserang demam denggi buat kali kedua. Bukan apa, azab benar rasanya apabila terkena demam denggi. Terasa seperti separuh mati.
Dia kemudian ke tandas di kawasan rehat itu. Membasuh mukanya supaya menjadi segar. Sambil itu dia membelek setiap pelosok tubuh untuk melihat jika ada butir-butir merah kecil. Tiada. Hati terasa lega, cuma masih ada cebis-cebis kebimbangan di sudut hati.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, dia mencari masakan ketam yang dijual di gerai makanan di kawasan rehat itu. Tidak dapat sup ketam, dapat ketam masak lemak campur nenas pun jadilah. Dia turut membeli sebotol besar 100 Plus sebagai ganti air mineral. Harap-harap dia ada kekuatan untuk memandu sehingga sampai ke rumah sewanya.


SESUDAH mengerjakan solat isyak, terus Danial berbaring di atas katil dengan sebuah buku yang mengupas kandungan Perlembagaan Malaysia. Buku yang dibeli di pesta buku sewaktu dihadiri dengan Amana dulu.
Boleh pula dia ralit membaca buku yang lebih sesuai dijadikan rujukan di dalam kelas politik atau undang-undang itu apabila telefonnya berbunyi. Sekejap sahaja bunyinya. Pelik. Buku yang tebal itu segera diletakkan ke tepi. Tangan kemudian menyambar telefon yang diletakkan di atas bantal di sebelah.
Paparan masa pada skrin telefon menunjukkan sudah pukul 1.30 pagi. Tidak sangka dia leka membaca sehingga ke larut waktu. Berkerut dahinya apabila melihat nama Amana yang tertera pada skrin telefon. Kenapa Amana tiba-tiba menghubunginya pada waktu ini?
Takkan dia call aku untuk beritahu yang dia rindukan aku? Danial senyum lucu. Mesti Amana gelakkan dia kuat-kuat kalau Amana tahu akan sangkaannya tadi. Tetapi itulah, dia pun satu. Kenapa tiba-tiba mahukan Amana rindukan dia pula?
Danial menanti seketika, kalau-kalau Amana menghubunginya sekali lagi. Seminit, dua minit, tiga minit, tiada panggilan. Mungkin Amana tertekan nombor telefonnya. Untuk memuaskan rasa ingin tahu, dia menghubungi Amana semula.
“Assa...”
“Dan...”
Kalau tidak kerana dia camkan suara Amana, nyaris sahaja dia melompat bangun daripada baringnya apabila mendengar suara wanita yang mendayu pilu seperti itu. Lebih-lebih lagi pada larut malam begini. Ingatkan suara hantu.
“Amana, kenapa?” Danial bertanya bimbang.
Dia bingkas bangun. Duduk bersila di atas katil. Amana jarang hendak menghubunginya pada waktu sebegini kecuali jika ada kes kecemasan. Seperti ketika dia demam denggi dahulu. Entah-entah dia demam lagi, syak Danial.
“I demam.” Lemah benar suara Amana.
Hah! Kan betul tekaan aku tadi.
“You tak pergi ke klinik ke?” Danial bertanya lagi.
Kali ini dilabuhkan kaki ke lantai. Seketika, dia tersedar yang Amana mungkin baru sampai dari kampung. Tidak sempat hendak ke klinik jika Amana dalam keadaan begini.
“I baru sampai dari kampung petang tadi. Sebelum balik ke KL ni, I dah demam dah pun. Ingatkan demam biasa sahaja. Itu sebabnya bila sampai KL ni, I tak pergi ke klinik. Tapi sekarang ni demam I makin teruk. Sendi I sakit, ada bintik-bintik merah kat lengan I, urat saraf badan I sakit, kepala I yang pening ni rasa macam nak pecah, badan I pula rasa seperti dehydrate dan I rasa macam nak mati...”
“Pendek kata, you syak yang you kena denggi. Okey, you tunggu I datang. I pergi ke rumah you sekarang juga,” tingkah Danial. Kini bergegas ke meja kecilnya untuk mencapai kunci kereta.
Semua tanda yang disebutkan oleh Amana itu adalah tanda yang sama sewaktu Amana terkena demam denggi dahulu. Kalau dibiarkan Amana melalut panjang, lewat pula kawannya itu menerima bantuan. Dan, Amana menelefonnya untuk mendapatkan bantuan, bukannya orang lain. Bermakna Amana amat berharap kepadanya ketika ini.
Tanpa menukar baju, dia bergegas menuju ke rumah Amana. Memecut kereta selaju mungkin. Biar cepat sampai ke rumah Amana yang sememangnya terletak jauh dari rumahnya.
Dalam perjalanan, baru dia terfikir. Kenapa Amana menghubunginya? Kenapa Amana tidak mengejutkan rakan serumahnya sahaja? Amana bukannya tinggal bersendirian. Ada Sonja dan Juni. Satu lagi, kenapa dia tidak berfikir panjang untuk segera pergi menolong Amana?
Danial tidak mahu mencari jawapan. Yang penting, dia kena segera sampai kepada Amana.


APABILA membuka matanya, Amana terpandang siling putih. Untuk seketika, dia rasa seperti ada yang tidak kena. Entah apa, dia tidak pasti. Dia kemudian rapatkan mata. Cuba mengenal pasti yang dirasakan tidak kena itu. Juga cuba mengingati apa yang terjadi. Seingatnya semasa terlelap tadi, dia berada di dalam dakapan seorang lelaki.
Alamak! Mimpi saja tu! Tu mesti mimpi tu! Mimpi gatal!
Amana membuka mata kembali. Tersenyum pahit dengan samar-samar ingatan terhadap mimpinya. Ini salah emaklah. Asyik membebel pasal calon suami, sehingga dia terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Kemudian dia menyedari yang siling putih yang sedang ditatapnya bukan siling biliknya. Siling biliknya berwarna ungu. Ada kipas di tengah-tengah siling itu. Ada sawang labah pada bilas kipas itu. Siling bilik yang sekarang ini berwarna putih bersih tanpa sebarang kotoran. Tiada kipas namun terasa dingin sangat.
Hmmm... Bukan bilik aku ni. Kat mana aku ni? Dalam UFO ke? Cepat-cepat Amana tarik nafas dalam-dalam. Cuba tenangkan diri sendiri yang sudah mula panik dan bertanggapan yang bukan-bukan. Dia yakin yang dia tidak diculik makhluk asing pun. Tidak mungkin UFO mendarat di dalam biliknya.
Tetapi dia tidak berani bangun daripada baringnya untuk cuba mengenal pasti di mana dia berada sekarang. Menoleh ke kiri dan ke kanan pun dia tidak berani. Jalan mudah, dia mengerah semua deria untuk membantu. Deria penglihatannya tadi sudah mengecam siling yang berwarna putih itu. Deria sentuhannya tadi sudah merasai udara yang dingin itu. Kini deria pendengarannya terdengar bisik-bisik halus. Deria baunya pula terhidu bau ubat.
Putih. Dingin. Bisik. Ubat. Rasa-rasanya dia tahu di mana dia berada sekarang. Nyata sekali lagi dia menghuni wad disebabkan demam. Dia bukannya berada dalam bilik bedah dalam perut UFO. Hah! Aku hidup lagi. Amin ya rabbal alamin.
Dia ingat kini, selepas solat, dia berbaring seketika di atas lantai dengan harapan dingin simen lantai dapat membuatkan panas demamnya surut sedikit. Selepas itu, dia terus tidak ingat apa-apa lagi.
Dia perasan kini yang badannya tidak lagi panas membahang seperti ketika selepas solat isyak tadi. Tangan kanannya seperti kebas. Amana mengangkat tangan kanannya itu, mahu memastikan sesuatu. Terlihat bahagian belakang tangannya itu dicucuk jarum halus untuk dimasukkan air ke dalam badan.
Dia tidak mengendahkan tusukan jarum itu, sebaliknya mencubit kuat pipinya yang panas. Sakit. Amana cuba menggerakkan tangan yang satu lagi, mahu menyentuh kedua-dua belah pipinya. Biar berpuas hati dan semakin yakin yang dia sememangnya masih hidup. Tangan kirinya terhalang oleh sesuatu yang berat dan hangat. Baru dia perasankan perkara itu. Kehangatan itu pula bersumber daripada sesuatu yang bukan sebahagian daripada jasadnya.
Apa bendanya ni? Amana menoleh ke sisi. Mahu melihat apakah bendanya itu. Terpaku dia apabila menyedari yang berat dan hangat itu ialah tangan Danial yang sedang memegang tangannya.
Lelaki itu sedang tidur. Sedikit pun tidak terganggu dengan gerakannya tadi. Dia tidak pasti bagaimana Danial boleh berada di sisinya pada ketika ini. Yang pasti, lelaki itu bersama-sama dengannya di bilik wad yang dingin ini.
Pada waktu inilah, hatinya buat hal apabila tiba-tiba sahaja didatangi getar misteri yang dulu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan