Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 5

INGATKAN demam denggi seperti yang dibimbangkannya, rupanya demam biasa sahaja. Lega! Bak kata kawan serumahnya Sonja, dia yang paranoid tidak tentu hala. Amana lagi lega apabila doktor memberitahu yang dia boleh keluar dari wad pada tengah hari esok. Bahkan selepas disahkan yang dia sekadar demam biasa, terus sahaja dia meminta untuk dibenarkan keluar wad pada ketika itu juga.
Bukan kerana masakan hospital tidak sedap. Fikirannya asyik teringatkan kerja yang menimbun. Terasa bersalah pula kerana lama tidak masuk ke pejabat. Terasa kasihan juga kepada Najla yang terpaksa membuat kerjanya. Walaupun Danial yang datang melawat memberitahunya supaya tidak perlu fikirkan hal kerja sangat, fikiran tetap teringat-ingat.
Kerja satu hal. Danial pula satu hal.
Amana rasa macam ada yang sudah tidak kena dengannya. Kenapa hati semakin bergetar lain macam ketika Danial datang menziarahinya? Lebih membimbangkan lagi ialah apabila wajah Danial semakin kerap datang bertandang di fikiran.
Semalam, Danial tampak begitu tampan pada matanya. Sedangkan sebelum ini lelaki itu tampak biasa-biasa sahaja tanpa sebarang tarikan. Hendak kata Danial tampak mengancam sebegitu kerana baju kemeja biru yang dipakainya, tidak rasanya. Ini bukannya kali pertama dia melihat Danial memakai baju yang sama itu. Sudah berkali-kali. Bahkan hayat baju itu rasa-rasanya sudah lebih dari dua tahun. Sudah boleh dikira baju buruk.
Tetapi itulah. Semalam dia lihat Danial seperti tampan sangat. Mata aku ada masalah ke? Rasa-rasanya tak. Entah-entah, hati aku yang bermasalah. Hmm, pun rasa-rasanya tak.
Amana yakin yang hatinya bebas daripada jangkitan hepatitis C. Kalau ya pun dia ada hepatitis C, hati yang bergetar setiap masa bukanlah simptom penyakit itu. Atau dia mungkin ada masalah jantung? Tangan segera menyentuh dadanya. Kemudian meraba pergelangan tangan untuk memeriksa urat nadi. Hmm, tidak kut.
Tetapi kalau mata, jantung dan hati tidak ada masalah, bermakna otaknya yang bermasalah. Oh, tidak! Aku belum gila lagi!
Amana menjadi cemas dengan tiba-tiba. Bingung kerana tidak tahu kenapa keganjilan seperti itu tiba-tiba terjadi kepadanya. Keganjilan yang membuatkan dia berpeluh dingin di dalam bilik wad yang sejuk.
Tetapi dia tidak mahu menyesakkan otaknya dengan keganjilan yang mula melanda diri. Apatah lagi memikirkan mengenai Danial. Bukan apa, takut kalau-kalau keganjilan itu menjadi penyakit yang tidak dapat dirawat dan tiada ubat. Sengsara dan merana dia jadinya nanti.
“Encik Danial betul-betul nampak macam a knight in white shining armour semasa dia dukung kau pada malam tu.”
Masalahnya Sonja yang sering datang melawat selepas waktu kerja sentiasa membuatkannya teringatkan Danial. Rupanya tanpa sedar dia menghubungi Danial pada malam itu. Ketika Danial datang ke rumah, Sonja baru pulang daripada berjumpa kawannya. Sonja turut mengikut Danial menghantarnya ke hospital.
Daripada Sonja, dia mendapat tahu yang Danial menyerbu masuk ke dalam bilik dan mengusungnya keluar. Sekarang, Sonja suka sangat menceritakan kembali hal itu. Itu yang rasa macam hendak lekatkan pita pelekat atau gam cap Gajah sahaja ke mulut Sonja. Atau minta doktor tolong jahitkan bibir Sonja. Biar tertutup rapat. Biar nama Danial tidak lagi disebut-sebut.
Tetapi kalau buat begitu, Sonja pasti mengesyaki adanya kelainan yang sedang dialaminya ketika ini. Kawannya itu pasti akan cuba menyelongkar rahsianya. Tidak aman hidupnya nanti. Sudahnya, dia biarkan sahaja Sonja mendera jiwa raganya dengan sentiasa menyebut-nyebut nama Danial.
Mujur pesakit lain di dalam bilik wad itu tidak mengendahkan bual mereka. Kalau tidak, lagi tebal kulit mukanya nanti.
“Kau pula, terlentok semacam kat dada Encik Danial. Siap peluk leher dia lagi. Erat benar. Kalau tak fikirkan yang kau sedang sakit, aku dah ingat yang kau sedang menggedik dengan bos sendiri.” Sonja terus bercerita. Siap buat posing dengan memeluk bantal.
“Ya ke?” Amana terkejut juga mendengar kata-kata Sonja. Malu sungguh apabila melihat posing Sonja itu. Buruk benar!
Sangkanya dia sudah terkulai tidak sedarkan diri ketika diusung Danial ke hospital. Rupanya ada drama lain yang dilakonnya tanpa sedar. Patutlah Danial yang melawatnya sering tersenyum semacam sahaja. Aduh! Malu! Betul-betul jatuh air muka ni! Macam nak lari ke bulan saja.
“Ia, aku tak tipu. Tapi itulah, aku terlupa nak ambil gambar. Tapi waktu tu, serius cakap, kau betul-betul nampak macam a damsel in distress.” Sonja bersuara lagi. Mengenyit mata kepada Amana. Nakal mengusik.
Terasa mukanya panas, cepat-cepat Amana memandang majalah hiburan yang dibawakan oleh Sonja. Lebih baik dia membaca gosip artis daripada membiarkan dirinya menjadi topik hangat Sonja.
“Muka dia pula nampak cemas sangat. Macam panik pun ada. Masa aku tak tahu yang kau tengah sakit dan cuba halang dia masuk ke dalam bilik kau, dia siap warning aku. Kalau terjadi apa-apa kepada kau, dia akan poskan aku ke Papua New Guinea.” Sonja terus bercerita.
“Ya ke?” Amana tidak percaya.
Danial jenis yang serius sentiasa. Tenang dalam tindakan. Payah hendak tengok Danial menjadi kelam-kabut.
“Ia, aku tak tipu. Hmm, berdasarkan pemerhatian aku pada malam tu, aku dapat rumuskan yang dia tu terlalu ambil berat tentang diri kau,” balas Sonja.
“Alah. Benda biasa aje tu. Apa yang nak dihairankan sangat. Dia tu memang sentiasa ambil berat tentang diri aku pun,” balas Amana. Terus sahaja membelek-belek majalah yang diletakkan di atas pangkuan. Sedikit pun tidak memandang Sonja.
Kerana Danial seorang lelaki yang baik, dia tahan berkawan dengan lelaki yang sentiasa serius itu. Kebajikannya terjaga sepenuhnya. Mana hendak dicari lelaki seperti itu sekarang ini? Di bulan pun tiada. Tidak jadi dia hendak mengangkut kain baju lari ke bulan.
“Tetapi itulah, kau tak pula jatuh cinta dengan dia kan,” usik Sonja.
Amana yakin, bukan setakat dia, perempuan lain pun tidak pernah jatuh cinta dengan Danial.
“Kenapa kau tak jatuh cinta dengan dia ya?” Sonja yang tidak diam mulut terus mengusik.
“Soalan tu kena tanya kat hati aku,” jawab Amana mudah.
“Tanya hati kau buat apa, bukannya boleh dapat jawapan bertulis pun,” ejek Sonja.
“Memanglah tak ada jawapan bertulis. Kau ingat hati aku ni ada tangan untuk tulis atau hantar SMS dengan WhatsApp ke? Jawapan lisan lagilah tak ada,” balas Amana selamba. Giliran dia pula menyakat gadis Kadazan itu.
“Ceh! Kononnya lawak sangatlah tu. Kalau macam ni punya gaya, patutlah kau tak jumpa lelaki idaman kau selama ni. Hati kau sendiri pun kau tak faham,” marah Sonja yang sakit hati dengan jawapan bodoh Amana itu.
“Eh! Aku tahu hati aku sendirilah. Hati aku ni kan, apabila jatuh cinta, ia akan bergetar. Lain macam bentuk getarannya, buatkan aku pun turut jadi lain macam...” Sekejap!
Amana terhenti daripada berbicara. Juga terhenti daripada menyelak-nyelak halaman majalah. Tiba-tiba sahaja sahaja ada kesedaran yang menusuk ke akalnya. Hati bergetar apabila jatuh cinta?!
Bukankah kebelakangan ini apabila dia terdengar suara Danial, bahkan terfikirkan lelaki itu sahaja sudah membuatkan hati gila lain macam? Semakin teruk situasinya apabila Danial ada di hadapan mata. Jantung terasa seperti mahu melompat keluar dari dalam mulut dan lari jauh-jauh. Biarkan hanya jasad yang berhadapan dengan Danial.
Amana tidak tahu kenapa situasi misteri ini terjadi kepada dirinya. Agaknya kerana sebelum ini dia ada berharap agar dia jatuh cinta dengan Danial supaya dia ada alasan untuk memulakan misi memikat hati lelaki itu.
Tapi takkan secepat ini aku jatuh cinta? Dengan Danial pulak tu! Isy, Amana. Tak ada orang lain lagi ke? Takkanlah otak tu dah tak betul? Amana mula bimbangkan tahap kesihatan mentalnya sendiri.
“Begitu ya? Well, kau yang rugi kalau kau tak jatuh cinta dengan Encik Danial tu. Kalau ya, memang sahlah otak kau tu tak betul. Yalah, takkanlah dengan lelaki macam tu pun kau boleh terpikat. Maklumlah, dia bukannya taste kau pun,” gelak Sonja.
Amana sudah tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi.
“Kenapa tiba-tiba terdiam ni?” Sonja bertanya curiga apabila Amana terkelu dengan tiba-tiba.
Nothing. Aku tiba-tiba teringat... handphone aku. Kau asyik lupa nak bawakan handphone aku ke mari. Mesti mak aku tengah risa,sebab aku masih tak telefon beritahu dia yang aku dah sampai KL. Takut dia fikir yang bukan-bukan pula.” Amana pantas menjawab. Tidak mahu curiga Sonja menjadi prasangka. Tidak tertepis olehnya nanti.
Sonja tetap memandang Amana dengan pandangan curiga. Cuma tidak memaksanya untuk bercerita.


KATA Sonja, Amana dibenarkan keluar pada hari ini. Danial rasa pelik juga. Kenapa Amana tidak memberitahunya? Walhal dia sudah memberitahu Amana yang dia sendiri hendak menjemput Amana pulang dari hospital. Kalau dia tidak terfikir untuk menghubungi Sonja untuk bertanya khabar Amana pada pagi ini, tentu dia tidak akan tahu perkara ini.
“Amana tak beritahu I pun yang dia keluar wad hari ni,” ujarnya sambil sandarkan badan ke kerusi. Mata merenung kosong kepada skrin laptop.
Kalau Amana tidak beritahu, bermakna Amana tidak mahu dia datang. Terasa seperti tidak dipedulikan. Aduhai, hati! Kenapa rasa macam ni?
“Bukannya perkara penting pun. Yang penting, dia sihat.” Sonja hanya berkata sebegitu.
Tidak! Semua perkara berkaitan Amana adalah perkara penting baginya.
“I dah kecil hati dah ni,” balasnya pula.
“Alah, dia tak nak susahkan youlah tu.” Sonja di talian sana menjawab dengan tawa yang berderai.
“Apa pulak susahnya? I okay aje nak berbudi kepada dia,” keluh Danial. Demi Amana, dia rela bersusah payah.
“Encik Danial, you takkan tak tahu atau terlupa? Kalau tersilap berbudi ni, boleh tergadai body tau. Amana tentunya tak nak ambil risiko yang satu ni.” Sonja bersuara nakal. Selamba benar.
Danial terasa mukanya panas dan merah. Di sebelah sana, riuh terdengar suara Amana memarahi Sonja. Pasti Sonja menetapkan telefonnya pada mod pembesar suara. Amana turut sama dapat mendengar bual mereka. Dan yang pasti, Amana turut malu sepertinya. Budak Sonja ni memanglah...
“Betul dia tak perlukan khidmat I?” Pun begitu, Danial bertanya lagi. Mahu memastikan perjalanan pulang Amana dari hospital ke rumah lancar tanpa sebarang halangan.
“Hmm, I rasa, dia perlukan khidmat you,” jawab Sonja sebegitu.
Tell me.” Danial sudah bersedia untuk bangun dan pergi ke hospital. Untuk Amana, apa sahaja!
“Dia perlukan you untuk usung dia masuk ke dalam kereta. A bridal style. Macam malam tu,” Selamba sahaja suara Sonja.
Di belakang Sonja, terdengar jeritan kuat Amana. Danial juga sudah tidak betah hendak berbual lama-lama dengan Sonja. Budak seorang ini makin melalut. Bicaranya makin mengarut.
“Kalau macam tu, tak apalah. Tapi beritahu I kalau both of you need anything,” ujarnya sambil mencapai tetikus. Mahu sambung kerja. Petang nanti dia akan menelefon Amana untuk bertanya khabar.
Sure,” janji Sonja.
“Sonja?” Dia memanggil kawan serumah Amana yang juga pekerja salun emak itu.
Yes, Encik Danial?”
“I suruh mak I potong gaji you bulan ni.”
Terdengar Amana ketawa terbahak-bahak dari sebelah sana. Danial tersenyum senang. Senang mendengar tawa itu. Mungkin dia patut memberitahu Mak Su Izah supaya mencarikan wanita yang ketawa seperti itu.


“KAU ni, teruk benar. Malu aku tau,” marah Amana sebaik sahaja Sonja menamatkan bualnya dengan Danial.
Dek bicara nakal Sonja, dia terjerit-jerit macam orang gila. Selepas itu, ketawa berdekah-dekah. Mata pesakit lain yang lain di kamar wad itu sudah memandang-mandangnya. Tanda terganggu. Ada yang tersenyum nipis, ada juga yang menjuihkan bibir. Tetapi ada seorang sedang tunjuk muka bengang. Amana langsung tidak berani pandang pesakit itu. Jururawat pula sudah bercekak pinggang.
Malu sungguh!
Amana cepat-cepat menarip zip untuk menutup beg barangannya. Kemudian menggalas beg itu ke bahu. Mujur ringan. Tidak banyak barang peribadinya. Mudah diangkut. Dia mahu cepat-cepat meninggalkan wad itu sebelum jururawat yang berwajah masam itu mengesyaki yang dia ada masalah mental. Kesan sampingan daripada demam panas sebelum ini.
Laju dia berjalan meninggalkan Sonja yang sedang mengangkat bakul barangan yang diletak di atas katil tadi.
“Alah, malulah pulak. Eleh! Nak malu apanya? Bukannya kau tak pernah bergurau macam tu dengan Encik Danial sebelum ni. Hadapan Puan Azah pulak tu. Takkan kau tak ingat kisah lawak bodoh kau di salun Puan Azah hujung tahun lepas? Aku ingat lagi, babe. Selamba aje kau waktu tu, ajak Encik Danial kahwin dengan kau. Encik Danial punyalah tersipu-sipu malu mendengar. Kau pulak selamba badak aje waktu tu,” ujar Sonja yang mengekori Amana dari belakang. Terkial-kial mengusung bakul barangan Amana yang boleh tahan berat.
“Mana ada! Aku yakin aku tak buat lawak bodoh macam tu dengan Danial. Kalau ada, maknanya aku yang bodoh,” tegas Amana menafikan. Walhal dia ingat lagi lawak bodohnya itu.
Dia selalu ke salun Puan Azah untuk mencuci rambut. Danial pula selalu membantu emaknya pada hari Sabtu atau Ahad di situ. Dia ingat lagi, kejadian itu berlaku pada petang Sabtu. Ketika itu Danial memberitahu yang Marissa hendak berkahwin. Juga bertanya sama ada dia sudi membantu menguruskan majlis perkahwinan Marissa ataupun tidak. Pantas sahaja dia menerima ajakan Danial dengan satu ayat yang cukup selamba.
“Aku sedia bantu, FOC. Tapi lepas tu kau kena kahwin dengan aku.”
Ketika dia berkata sebegitu, dia tidak malu langsung. Bahkan ketawa besar apabila melihat wajah Danial yang merah padam. Sekarang ini...
Arghhh!”
“Eh! Kenapa kau jerit ni?” Sonja segera menerpa ke arah Amana, memaut bahu dan menggoncang-goncang badan kawannya itu.
Terkejut juga dia apabila Amana tiba-tiba sahaja terhenti daripada melangkah dan menjerit sebegitu. Takkan kena sampuk hantu hospital pada siang hari begini? Sonja cemas juga memikirkan kemungkinan itu.
Huh? Amana tersedar, memandang Sonja yang sedang memaut bahunya. Dia memandang sekeliling. Baru perasan yang dia masih lagi belum meninggalkan kamar wad itu. Mata semua orang, tidak kira pesakit atau jururawat, sedang memandangnya dengan pandangan curiga. Mak tiri! Tolong aku!
“Amana!” Sonja terpinga-pinga apabila Amana tiba-tiba sahaja memecut bagaikan atlit lumba lari, meninggalkannya sendirian tercegat di pintu masuk kamar wad.

Hai! Minah Perlis ni memang lain macam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan